Dewan Rakyat: Sekolah Wawasan ikut populasi
Oleh Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/12/02
Hanya dibina di lokasi sesuai didiami kaum Melayu, Cina, India seimbang
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan melihat keperluan dan lokasi sesuai sebelum menambahkan lagi bilangan kompleks Sekolah Wawasan yang menggabungkan tiga jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pembinaan kompleks sekolah itu hanya dilaksanakan di kawasan mempunyai populasi Melayu, Cina atau India yang tinggi bagi memupuk integrasi nasional pada peringkat sekolah.
“Secara ideanya kita perlu mendapat satu tempat yang mana populasi merangkumi pelbagai kaum, sebab itu ada kawasan yang hanya ada SK dan SJKT yang mana dua kaum ini mempunyai jumlah agak besar dalam kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, untuk mendapatkan tempat yang ada populasi tiga kaum itu tidak mudah. Sebagai contoh di USJ (kompleks Sekolah Wawasan USJ15) ada populasi Melayu, Cina dan India seimbang, jadi tiada masalah bina sekolah itu.
“Kalau kita buat di Kelantan, mungkin masyarakat India tak ramai, jadi tidak ada keperluan untuk membinanya, justeru ia bukan satu kegagalan cuma harus melihat kepada tempat yang sesuai,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Rashid Din (PKR-Merbok) di sidang Dewan Rakyat, semalam.