Wujudkan asrama dalam bandar untuk pelajar bandar: UMNO WP
2011/12/03
KUALA LUMPUR: Wakil UMNO Wilayah Persekutuan hari ini mencadangkan Kementerian Pelajaran mewujudkan asrama dalam bandar untuk menempatkan pelajar bandar yang cemerlang meneruskan pembelajaran dalam keadaan lebih kondusif.
Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Rizalman Mokhtar berkata, inisiatif itu adalah untuk memastikan pelajar cemerlang di bandar tidak tercicir kerana himpitan ekonomi.
“Menjalani kehidupan di bandar adalah satu cabaran yang paling besar dihadapi oleh warga kota, dengan kos sara hidup yang tinggi serta pelbagai dugaan dan rintangan menyebabkan kehidupan warga kota tidaklah seindah seperti yang digambarkan.
“Sehubungan itu, di samping memberi tumpuan pembangunan pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman, kemiskinan di bandar juga perlu diberikan perhatian khuatir pelajar-pelajar cemerlang dalam bandar akan mengalami keciciran disebabkan himpitan ekonomi dan keupayaan ibu bapa untuk menyara pembelajaran anak-anak,” katanya. – BERNAMA