Golf TSM: Pemain berusia 15 tahun muncul juara – Bernama


Golf TSM: Pemain berusia 15 tahun muncul juara

04/12/2011 5:40pm

 

SHAH ALAM 4 Dis. – Pemain berusia 15 tahun, Low Khai Jei mencipta kejutan apabila menjuarai edisi keenam Kejohanan Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) di Kelab Golf & Country Glenmarie, di sini, hari ini.

Walaupun memulakan saingan dengan hambar selepas sembilan di atas 80 pada pusingan pertama, pemain muda dari Perak itu bangkit dengan penuh bersemangat untuk mencipta tiga bawah 69 semalam.

Pemain dengan handicap kosong meneruskan aksi cemerlang pada pusingan akhir dengan membenam enam birdie dan satu eagle di lubang ke-11 untuk merekodkan tujuh bawah 65 bagi mengumpul keseluruhan 214 pukulan.

Khai Jei berjaya mengatasi pemain yang lebih tua dan berpengalaman seperti pemain negara Kenneth C De Silva dari Negeri Sembilan dan pemain Kedah, Mohd Azman Basharuddin dengan kelebihan empat pukulan.

“Saya bernasib baik hari ini. Pukulan putt yang jauh dan pukulan awal adalah baik sekali. Saya tidak menjangkakan ini kerana permulaan yang tidak baik pada hari pembukaan.

Pada lubang ke-11, saya hanya cuba melakukan birdie tetapi bertindak melakukan pukulan putt jauh dari lubang dan ia berhasil,” kata Khai Jei selepas majlis penyampaian hadiah.

Khai Jei menerima hadiah berbentuk biasisiwa latihan bernilai RM40,000 dan piala manakala juara kategori wanita Kelly Tan dari Johor menerima biasisiwa latihan bernilai RM30,000 serta piala.

Dalam kategori bawah 15 tahun yang baru diperkenalkan tahun ini, pemain Perak, Muhd Naqiuddin Fuad menjuarai acara itu dan membawa pulang RM3,000 dan sebuah set golf.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengasas kejohanan tahunan itu, menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kejohanan itu menampilkan 75 pemain muda iaitu 30 pemain lelaki dan 26 wanita bawah 21 tahun dan 19 pemain lelaki bawah 15 tahun. – Bernama

CUEPACS bantah JUSA, Turus diisi pihak luar – Bernama


CUEPACS bantah JUSA, Turus diisi pihak luar

2011/12/04

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengisi jawatan utama perkhidmatan awam iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus dengan kepakaran luar terutama dari sektor swasta.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu jika dilaksanakan umpama menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang sudah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.

Katanya, keutamaan jawatan itu seharusnya diberikan kepada penjawat sedia ada terutama golongan muda yang mempunyai idea dan kebolehan agar kualiti kerja dapat ditingkatkan.

“Kenapa perlu ambil orang luar yang tidak tahu apa-apa tentang jabatan kerajaan sedangkan kita tahu masih ramai penjawat awam yang berkebolehan untuk menjawat jawatan itu.

“Kalau sudah tiada (penjawat awam) yang layak…mungkin orang luar boleh mengisinya tetapi dengan syarat bukan semua jawatan ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat mengenai Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA) dan Pembangunan Bersepadu Penilaian Kompetensi (Prospek) di Stadium Negeri di sini hari ini.

Omar mengulas laporan akhbar sebelum ini berkaitan cadangan untuk mengubahsuai skim JUSA dan Turus bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil mengisi jawatan itu.
“Pihak kami juga sudah memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantah cadangan itu,” katanya. – BERNAMA

Semakan Panggilan Temu Duga Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR j-QAF) Ambilan Januari 2012 Anjuran Bahagian Pendidikan Guru


Semakan Panggilan Temu Duga Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR j-QAF)
Ambilan Januari 2012
Anjuran Bahagian Pendidikan Guru

Maklumat lanjut lawat http://apps1.moe.gov.my/kpli/tdjan2012/

Budak parah diserang tiga anjing – Metro


Budak parah diserang tiga anjing

Oleh MOHD FIRDAUS IBRAHIM
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUCHONG: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki yang bermain dengan basikal baru dihadiahkan bapanya bertukar tragedi apabila betis kirinya cedera teruk akibat diserang tiga ekor anjing di depan rumahnya di Taman Bukit Kinrara, di sini, semalam.

Akibat serangan itu, mangsa terpaksa dibedah berikutan daging di betisnya cedera teruk.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Adryn Muhammad, 9, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang bersama ibunya di kedai runcit di kawasan berhampiran.

 

Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Asmah Alias, 36, berkata basikal itu dibeli untuk anak bongsu daripada tiga beradik itu oleh bapanya, Khamis lalu.
“Sebelum kejadian, Adryn dan saya pergi ke kedai di kawasan perumahan ini untuk membeli barangan dapur. Saya pergi menaiki motosikal manakala Adryn bertegas mengekori saya dengan menaiki basikal barunya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Asmah, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melihat tiga ekor anjing berhampiran kawasan kediamannya, menyebabkan dia berasa bimbang.

 

 

“Sebaik memberhentikan motosikal di laman rumah, saya mendengar jeritan Adryn meminta tolong.
“Saya bergegas semula ke depan rumah sebelum melihat beberapa jiran, termasuk seorang pengawal keselamatan, mengangkat anak saya yang berlumuran darah,” katanya yang memberitahu mereka juga menghalau anjing itu.

 

Asmah berkata, jiran dan Adryn memberitahu dia digigit dua daripada tiga anjing yang menyerangnya.
“Adryn memberitahu dua anjing itu menggigit betis kirinya ketika dia cuba melarikan diri. Adryn bernasib baik kerana beberapa jiran dan pengawal keselamatan yang menyaksikan kejadian itu segera membantunya,” katanya.
Katanya, selepas bertemu pemilik anjing berkenaan, dia bergegas membawa anaknya ke sebuah hospital swasta di Puchong, di sini, untuk rawatan susulan.
“Sehingga kini, doktor melakukan rawatan awal dan memberitahu keadaan Adryn stabil. Namun, akibat kecederaan serius pada betis kirinya, Adryn terpaksa menjalani pembedahan,” katanya sambil menambah, pembedahan dilakukan selewat-lewatnya jam 5 petang, semalam.
Asmah berkata, dia kecewa dengan sikap pemilik anjing terbabit yang tidak menjaga peliharaannya sehingga mencederakan Adryn.
“Saya berharap anjing berkenaan dibunuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang kepada kanak-kanak lain,” katanya sambil mengakui, ini bukan kejadian pertama kanak-kanak dan penduduk diserang anjing.
Sehubungan itu, Asmah memberitahu dia akan membuat laporan di Balai Polis Puchong, di sini, selepas pembedahan anaknya selesai.

Video Cikgu Shida kena godam – Metro


Video Cikgu Shida kena godam

Laporan MOHD IDRIS SULAIMAN
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PARIT: “Saya tidak sangka ada pihak sanggup menggodam dan memadamkan video miming yang melonjakkan nama saya,” kata ratu ‘miming’, Roshida Abd Aziz atau lebih popular dengan panggilan Cikgu Shida.

Cikgu Shida berkata, penggodam yang berjaya mengesan kata laluan miliknya memadamkan video miming lagu Kalau Berpacaran yang dimuat naik di laman Youtube sehingga mencecah sejuta pengunjung itu.

“Saya kesal dan sedih dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu kerana hasil kerja seni saya terpadam begitu saja.

“Namun saya tidak patah hati dengan kejadian itu yang berlaku dua bulan lalu. Peminat bagaimanapun boleh menyaksikan video itu di blog baru saya iaitu ‘Cikgu Shida Miming Art’ menggantikan ‘Cikgu Shida dari Parit’,” katanya.

 
Cikgu Shida yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah, dekat sini, berkata melalui blog itu peminat boleh melihat 67 klip video miming nyanyian pelbagai artis popular tanah air, termasuk dari Indonesia.

Tujuh anggota geng samun ‘Cota Kayu’ diberkas – Utusan


Tujuh anggota geng samun ‘Cota Kayu’ diberkas

BATU PAHAT 3 Dis. – Polis berjaya menumpaskan sekumpulan tujuh penjenayah antaranya baru berusia 15 tahun yang menggunakan cota kayu untuk menyamun mangsa, khususnya warga asing baru-baru ini.

Kumpulan itu terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes samun warga asing di daerah ini. Dalam kes tersebut, terdapat mangsa yang dibelasah sehingga patah gigi.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 26 tahun dan difahamkan suspek yang di bawah umur masih bersekolah manakala rakan yang lain adalah penganggur.

Dalam kes terbaru, kumpulan itu menyamun seorang warga Myanmar berusia 19 tahun dan melarikan wang tunai RM100, telefon bimbit jenama Nokia dan salinan pasport antarabangsa milik mangsa di hadapan kawasan Kelab Golf Bukit Banang di sini pada 27 November lalu.

Mangsa turut dipukul dan dibelasah dengan cota sehingga patah gigi serta cedera di muka, belakang badan dan tangan dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.

Mangsa yang merupakan pelayan restoran di kelab golf itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Banang dengan menunggang basikal bersama rakannya setelah selesai kerja, diserang tanpa belas kasihan tetapi rakan mangsa sempat melarikan diri dan bersembunyi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, hasil siasatan dan maklumat yang diterima, polis berjaya menahan suspek di sekitar daerah ini dalam tempoh 24 jam selepas kejadian samun itu.

“Polis turut menemui wang tunai dan telefon bimbit mangsa tetapi salinan pasport tidak ditemui ekoran suspek tidak mengingati tempat mereka membuang salinan tersebut,” katanya di sini hari ini.

1.4j nikmati faedah – Utusan


1.4j nikmati faedah

 

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

 

TEMERLOH 3 Dis. – Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam bakal menikmati pelbagai faedah dan insentif menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, skim baharu itu akan menyaksikan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Menurutnya, berbanding Skim Saraan Malaysia (SSM), penjawat awam yang dilantik selepas 1991 diwajibkan berkhidmat sehingga berusia 58 tahun, tetapi dalam SBPA pula syarat itu dimansuhkan yang mana semua penjawat awam boleh membuat pencen pilihan masing-masing.

“Sebelum ini kakitangan awam yang mula berkhidmat sebelum 1991 sahaja diberi kelonggaran memilih untuk bersara sama ada pada usia 56 atau 58 tahun, manakala perkhidmatan selepas 1991 diwajibkan berkhidmat dan bersara pada usia 58 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Pahang Bersama CUEPACS di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh di sini, hari ini.

Omar memberitahu, prospek perjawatan turut membuka ruang kepada penjawat awam untuk kenaikan pangkat tanpa menunggu kekosongan jawatan.

Menurutnya, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria seperti prestasi kerja efisien dan aktif dalam tugas yang diamanahkan.

Katanya, selain menikmati gaji baharu, cara bekerja turut berubah dan perubahan itu selari dengan kehendak semasa sebagai pelaksana dasar kerajaan.

“Penyelarasan baharu ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sekali gus satu transformasi perkhidmatan awam di negara ini,” katanya.

Program Latihan Guru Prasekolah Swasta dan JPNIN Ambilan Kohort 5 Tahun 2011


Program Latihan Guru Prasekolah Swasta dan JPNIN Ambilan Kohort 5 Tahun 2011

 Tarikh Kursus :

5 Dec 2011 – 9 Dec 2011 (Minggu 1)
12 Dec 2011 – 16 Dec 2011 (Minggu 2)
19 Dec 2011 – 23 Dec 2011 (Minggu 3)

Sila layari url : http://apps.moe.gov.my/abpg/prasek/ untuk semakan