Remaja maut tertimbus tanah – Bernama


Remaja maut tertimbus tanah

2011/12/05

JELI: Seorang remaja maut apabila tertimbus tanah ketika memasang paip air dalam satu kejadian di Kampung Kulim, Lakota di sini, pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Anuar Mohamad Taib, berkata Muhammad Amir Azim, 14, maut di tempat kejadian pada 10.40 pagi.

“Mangsa dilaporkan membantu memasang paip air dalam satu kawasan yang dikorek bagi pemasangan paip sebelum berlakunya kejadian tanah runtuh itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cedera parah di bahagian kepalanya yang pecah dan tertimbus hampir separuh badan ketika anggota bomba yang dibantu bomba suka rela tiba tidak lama selepas itu.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pauh Sembilan, Bachok itu dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. – BERNAMA

Kaki jerlus lubang tandas – Metro


Kaki jerlus lubang tandas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menempuh saat paling mencemaskan dalam hidupnya apabila terpaksa menanggung kesakitan hampir dua jam selepas terjerlus ke dalam lubang tandas di rumah datuknya di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, murid tahun empat itu, Amir Yusri Muhamad, mahu membuang air besar apabila kakinya tergelincir masuk ke dalam lubang tandas hingga memaksa keluarganya mendapatkan bantuan bomba.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit bersama adiknya tiba dari Pulau Pinang ke rumah datuknya seminggu lalu sempena cuti persekolahan, tetapi berdepan saat cemas selepas kaki kirinya tergelincir dan memasuki lubang tandas di bilik air rumah itu.

 

Datuk mangsa, Abdul Muluk Mohamad, 61, berkata, kejadian disedari isterinya selepas mendengar jeritan cucunya meminta pertolongan dari dalam tandas.
“Mendengar suara terbabit, isteri segera mendapatkan saya sebelum kami berdua ke arah bilik air untuk melihat apa yang berlaku, tetapi mengalami kesukaran berikutan bilik air dikunci dari dalam.
“Mulanya kami tidak dapat membuka pintu bilik air berkenaan, tetapi dengan bantuan cucu yang mencuba untuk membukanya akhirnya ia dapat dibuka, tetapi keadaan cucu saya ketika itu hanya terduduk kerana kaki kirinya termasuk ke dalam lubang tandas,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

 

 

Katanya, selepas gagal mengeluarkan kaki cucunya, dia cuba mendapatkan khidmat tukang tandas bagi mengetuk mangkuk terbabit.
“Bagaimanapun, tukang terbabit tidak dapat datang kerana berada di luar kawasan menyebabkan saya menghubungi pihak bomba.

 

“Saya bimbang lebih-lebih lagi cucu saya mengalami sakit sawan dan tidak mampu menghadapi tekanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Muhamad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota.
“Kami menggunakan sabun dan terpaksa mengetuk mangkuk tandas perlahan-lahan kerana bimbang mencederakan kaki mangsa sebelum kakinya dikeluarkan jam 2.30 petang,” katanya.

NUTP sifatkan syor ‘elaun kesusahan’ tak wajar – Berita Harian


NUTP sifatkan syor ‘elaun kesusahan’ tak wajar

2011/12/05

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan pemberian ‘elaun kesusahan’ kepada guru yang bekerja di kawasan pedalaman sebagai tidak wajar kerana mereka sudah pun dibayar elaun khas ketika ini.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata ketika ini Guru Pedalaman Satu menerima elaun khas RM500 sebulan, Guru Pedalaman Dua mendapat RM1,000, manakala Guru Pedalaman Tiga dibayar RM1,500, sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin terhadap mereka yang bertugas di kawasan luar bandar.

“Cadangan ini bukanlah baru dan hanya akan meningkatkan beban kewangan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan UMNO Negeri Sembilan ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, kelmarin, supaya kerajaan memberi ‘elaun kesusahan’ kepada guru bertugas di kawasan pedalaman.

Wakilnya, Mustapha Naoor, berkata kemudahan pendidikan di pedalaman amat daif sehingga guru terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan menaiki bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke sekolah.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan sepatutnya memberi elaun kos sara hidup (Cola) kepada guru mengikut tempat tinggal dan bukannya berdasarkan kepada lokasi mereka ditugaskan.

“Contohnya, ada guru mengajar di Gopeng tetapi menetap di Ipoh, maka mereka tidak layak mendapat Cola RM200, sebaliknya hanya memperoleh RM100 kerana Gopeng dianggap sebagai kawasan pedalaman. Ia akan menjadi beban kepada guru di kawasan luar bandar,” katanya.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, turut berpendapat elaun kesusahan bagi guru tidak perlu kerana kerajaan sudah pun mewujudkan elaun khas pedalaman untuk mereka.

“Ketika ini elaun pedalaman adalah antara RM500 hingga RM1,500 dan dibayar mengikut kategori kawasan pedalaman, iaitu Pedalaman P1, P2 dan P3.

“Kementerian tidak bercadang untuk menaikkan lagi jumlah elaun pedalaman itu seperti mana yang diminta oleh sesetengah pihak kerana nilai yang diberikan itu masih lagi relevan,” katanya selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

CUEPACS bantah JUSA, Turus diisi pihak luar – Bernama


CUEPACS bantah JUSA, Turus diisi pihak luar

2011/12/05

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus dengan kepakaran luar, terutama daripada sektor swasta.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu jika dilaksanakan, seumpama menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.

Katanya, seharusnya keutamaan jawatan itu diberi kepada penjawat sedia ada, terutama generasi muda yang mempunyai idea dan kebolehan agar kualiti kerja dapat ditingkatkan.

“Kenapa perlu ambil orang luar yang tidak tahu apa-apa mengenai jabatan kerajaan sedangkan kita tahu masih ramai penjawat awam berkebolehan untuk menjawat jawatan itu.

“Jika sudah tiada (penjawat awam) yang layak… mungkin orang luar boleh mengisinya, tetapi dengan syarat bukan semua jawatan ditawarkan,” katanya ketika memberi taklimat mengenai Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA) dan Pembangunan Bersepadu Penilaian Kompetensi (PROSPEK) di Stadium Negeri di sini, semalam.

Omar mengulas laporan akhbar sebelum ini berkaitan cadangan untuk mengubahsuai skim JUSA dan Turus bagi membolehkan kepakaran luar, termasuk daripada sektor swasta diambil mengisi jawatan itu.

“Pihak kami juga memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantah cadangan itu,” katanya. – BERNAMA

Diperkosa adik lelaki ibu tiri lepas tonton bola – Metro


Diperkosa adik lelaki ibu tiri lepas tonton bola

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JERTIH: Padah menerima pelawaan menonton perlawanan bola sepak bersama adik lelaki ibu tiri, seorang pelajar berusia 15 tahun dirogol suspek di rumah ibu suspek dekat sini, Ahad lalu.

Selepas kejadian di Kampung Beting Lintang, dekat sini, mangsa berturutan dirogol suspek dua kali lagi di rumah datuk saudara mangsa di kampung sama pada Isnin dan Selasa selepas itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa mengikut suspek untuk berbual di depan rumahnya selepas menonton bola sepak sebelum dia dirogol tengah malam itu. Beliau berkata, mangsa sekali lagi dipaksa mengikut suspek melakukan hubungan seks di atas pangkin dalam pagar rumah datuk saudara mangsa di kampung sama jam 7.30 malam.

 

“Mangsa dirogol kali ketiga di depan rumah datuk saudara mangsa pada hari seterusnya kira-kira jam 10 malam,” katanya.
Katanya, mangsa yang takut dengan kejadian itu mengadu perkara berkenaan kepada seorang saudaranya.
Menurutnya, keluarga mangsa membawanya ke Balai Polis Kampung Raja, dekat sini, membuat laporan kejadian itu Khamis lalu.