Day: December 6, 2011
Ibu gagal selamat anak lemas – Berita Harian
Ibu gagal selamat anak lemas
2011/12/06
TANAH MERAH: Kegembiraan seorang ibu membawa dua anaknya bermain air terjun di Lata Hujan, Ulu Kusial, di sini, bertukar tragedi, apabila salah seorang anaknya itu mati lemas dibawa arus deras, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Irfan Anuar, 12, yang sedang mandi di air terjun berkenaan bersama adiknya, Muhammad Islah, 8, tiba-tiba dibawa arus deras air terjun berkenaan.
Ibunya, Aznira Abdullah, 37, yang melihat kedua-dua anaknya itu lemas, terus terjun ke dalam air yang deras itu dan berjaya menyelamatkan Muhammad Islah, namun gagal menyelamatkan Muhammad Irfan, yang dibawa arus deras.
“Saya bersama dua anak termasuk arwah ke air terjun itu petang kelmarin dengan menaiki motosikal untuk mandi di situ, tambahan pula ia terletak tidak jauh dari kediaman kami iaitu di Kampung Buluh.
“Kejadian berlaku begitu cepat, sebelum kejadian kedua-dua anak sedang seronok mandi bersama di air terjun itu dan tiba-tiba mereka dibawa arus deras menyebabkan saya terpaksa bertindak pantas terjun untuk menyelamatkan mereka.
“Saya sempat mencapai Muhammad Islah yang sudah kelemasan dan cuba menyelamatkan arwah yang sebelum itu tersangkut ada ranting kayu di situ, namun arus deras menyebabkan gagal untuk memegangnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah (HTM), semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud, berkata operasi mencari mangsa dijalankan selepas menerima laporan kejadian kira-kira jam 4 petang, membabitkan Skuad Keselamatan Tanah Merah Machang Jeli (SKTMJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah serta Pengkalan Kubor.
Katanya, hasil kerjasama pihak terbabit berjaya menemui mangsa kira-kira jam 10.37 malam hari kejadian, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
“Mangsa dipercayai mati akibat lemas dan dibawa ke HTM untuk dibedah siasat sebelum mayat dituntut keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
PEKELILING BIL.6 TAHUN 2011-TARIKH DAN PERATURAN PEMBAYARAN GAJI TAHUN 2012
PEKELILING BIL.6 TAHUN 2011-TARIKH DAN PERATURAN PEMBAYARAN GAJI TAHUN 2012
Berikut merupakan Pekeliling Bil.6 Tahun 2012 – Tarikh dan Peraturan Pembayaran Gaji Tahun 2012.
Sila klik untuk muat turun Surat Pekeliling
TERKINI 8 DEC, 2011 – SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM rujuk sini. https://eyesnews.wordpress.com/2011/12/08/saraan-baru-perkhidmatan-awam/
5,000 guru dilantik – Kosmo
5,000 guru dilantik
BATU PAHAT – Kira-kira 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan akan dilantik sebagai guru di sekolah menengah mulai Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,894 graduan ISMP telah pun ditemu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, jumlah pengambilan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 4,318 orang dilantik sebagai guru tahun ini.
“Justeru saya menafikan graduan ISMP dianaktirikan dalam pemilihan guru kerana ia dibuat berdasarkan kelayakan dan opsyen bersesuaian,” katanya.
Adik Apek meninggal akibat demam panas – Metro
KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan dirinya baru saja reda, namun penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, sekali lagi berdepan dugaan besar apabila menerima berita sedih kematian adik lelakinya yang meninggal dunia akibat demam panas, semalam.
Mohd Amirul Izat, 16, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, jam 11.30 pagi semalam selepas hampir 23 hari tidak sedarkan diri.
Allahyarham yang juga anak sulung kepada isteri kedua bapa penjaga gol kebangsaan itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 10 November lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 15 November lalu.
Dia yang pada mulanya disyaki menghidap demam denggi, sekali lagi dirujuk ke HUSM sebelum disahkan meninggal dunia.
Che Mat Hussin, 58, berkata, anak sulung dari dua beradik hasil perkongsian dengan isteri keduanya, Hasnah Mahmood, 47, disemadikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Pohon Tanjung kira-kira satu kilometer dari rumah Hasnah di Kampung Pak Lah dekat Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.
Katanya, arwah yang begitu rapat dengan abangnya (Khairul Fahmi) dirujuk ke HUSM dan menjalani pembedahan pada leher selain melalui prosedur memasukkan alat untuk mengeluarkan kuman yang dikatakan menyerang otaknya. Menurut Che Mat, kematian anaknya itu dimaklumkan kepada Khairul Fahmi yang ketika itu berada di Kuala Lumpur menjalani latihan rutin harian menghadapi Sukan Olimpik.
Ketika ahli keluarga Che Mat menuju ke tanah perkuburan, kenderaan dinaiki Khairul Fahmi tiba 10 minit kemudian dan penjaga gol kebangsaan itu sempat mengusung jenazah adik lelakinya diiringi ahli keluarga lain.
Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya sebelum Aidiladha lalu dan sempat beramah mesra dengan seluruh ahli keluarganya.
“Walaupun rapat, kami jarang bertemu kerana sibuk menjalani latihan dan saya hanya sempat memberikan baju sebagai hadiah hari raya,” katanya.
Gadis diperkosa hamil tujuh bulan – Metro
KAJANG: Tanda tanya seorang ibu mengenai perubahan fizikal anak gadisnya berusia 16 tahun sejak beberapa bulan lalu terjawab apabila remaja itu disahkan hamil tujuh bulan akibat dirogol teman lelakinya awal tahun ini.
Rahsia itu terbongkar apabila rakan remaja berkenaan menceritakan kejadian itu kepada seorang rakan lain sebelum dimaklumkan kepada ibu mangsa.
Pada mulanya, ibu mangsa sangsi dengan kejadian menimpa anaknya sebelum membawa mangsa menjalani pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan hujung November lalu bagi mengetahui kesahihan dakwaan itu.
Sebaik mangsa disahkan hamil, ibu mangsa berusia 41 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku awal tahun ini.
Bunuh bayi terlarang – Metro
SEGAMAT: Panik sebaik melahirkan bayi hasil hubungan terlarang dengan teman lelaki, seorang remaja berusia 15 tahun sanggup menekap mulut bayinya sehingga lemas dan kemudian menyoroknya di bawah katil dalam bilik tidur di rumahnya.
Malah, dia yang bersalin berseorangan dalam bilik tidur di rumahnya di Palong 1, Gemas, sanggup menarik keluar bayi daripada kandungan bagi mempercepatkan kelahiran, kerana bimbang tangisan bayi itu didengari keluarga.
Bagaimanapun, kejadian berlaku jam 11.30 pagi 30 November lalu akhirnya diketahui juga keluarga apabila dia mengalami tumpah darah sehingga mukanya menjadi pucat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, bimbangkan kesihatan anak yang semakin lemah, ibu bapa remaja berkenaan membawanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Palong.
“Bagaimanapun, petugas di klinik berkenaan kemudian meminta remaja terbabit menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah,” katanya.
Dikubur tanah – Metro
TERTIMBUS…anggota bomba dan JPAM berusaha mengeluarkan mayat mangsa. Gambar kecil, Amir, maut.
JELI: Seorang pekerja kontrak yang sedang mencangkul bagi meratakan tanah dalam lubang sedalam 1.5 meter bagi kerja penggantian paip lama, di Kilometer 81, Kampung Air Puteh, Lakota, dekat sini, terbunuh akibat tertimbus tebing lubang berkenaan yang runtuh, pagi semalam.
Kejadian jam 10.50 pagi itu berlaku ketika remaja berkenaan, Mohamad Amir Mohd Azmi, 14, bersama empat pekerja lain melakukan kerja penggantian paip lama apabila tebing lubang yang dikorek menggunakan jengkaut sebelum itu, runtuh.
Kemalangan menyebabkan mangsa yang tidak bersekolah parah di kepala dan patah tulang rusuk kanannya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut saksi, Mohd Shukri Mohd Rashid, 19, tanah di sebelah kanan Mohamad Amir runtuh tiba-tiba dan menimbus seluruh tubuhnya.
Mohd Shukri yang juga sepupu mangsa berkata, dia serta rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas dan ketika ketika itu, dia berada dua meter dari Mohamad Amir.
Meraung ratap anak hanyut – Metro
USUNG…jenazah mangsa dituntut keluarga selepas dibedah siasat di Hospital Tanah Merah.
TANAH MERAH: Seorang wanita hanya mampu meraung memanggil nama anaknya yang hilang dihanyutkan arus deras di Lata Hujan, Ulu Kusial, di sini, selepas gagal menarik tangan kanak-kanak itu yang terkapai-kapai dalam air, kelmarin.
“Saya cuba menyelamatkan Irfan dengan menarik tangannya, tetapi air terlalu deras menyebabkan dia hanyut sebelum hilang daripada pandangan,” kata Aznira Abdullah, 37, ibu kepada Muhammad Irfan Anuar, 12.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, kegembiraan Aznira membawa dua anaknya berkelah di pusat rekreasi berkenaan sempena cuti sekolah berakhir tragedi apabila Muhammad Irfan maut dihanyutkan arus deras.
Berikutan itu, usaha mengesan mangsa digerakkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat, polis serta Skuad Keselamatan Tanah Merah/Machang/Jeli (SKTMJ).
Misi menjejaki mangsa berakhir lebih enam jam kemudian apabila mayat Muhammad Irfan ditemui pada jam 10.37 malam, sejauh 50 meter dari tempat dia terjatuh dan hanyut.
5,000 lepasan ijazah pendidikan diambil jadi guru – Utusan
5,000 lepasan ijazah pendidikan diambil jadi guru
BATU PAHAT 5 Dis. – Kira-kira 5,000 lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan diambil bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah menengah di bawah Kementerian Pelajaran, mulai Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,894 lepasan ISMP ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk diserap masuk sebagai guru.
Menurut beliau, pengambilan guru dalam kalangan ISMP keluaran IPTA pada tahun depan menunjukkan peningkatan berbanding jumlah 4,318 golongan itu yang dipilih menjadi guru pada tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menafikan graduan ISMP ‘dianaktirikan’ dalam pemilihan guru di sekolah di bawah kementerian itu, sebaliknya menjelaskan, pengambilan dibuat berdasarkan kelayakan dan pilihan bersesuaian.
Katanya, antara kegagalan graduan ISMP dipilih untuk menjadi guru adalah kerana penuntut itu mengambil opsyen mata pelajaran yang kurang diperlukan Kementerian Pelajaran.
“Sebenarnya, kita sudah mewujudkan jawatankuasa bersama antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membincangkan dari segi unjuran iaitu berapa keperluan guru sekolah menengah mengikut opsyen yang diperlukan.
“Unjuran ini dibahagikan antara universiti. Misalnya, jika diperlukan 300 opsyen matematik, ia akan dibahagikan antara IPTA. Jadi, jika mereka menawarkan mengikut opsyen, sepatutnya tidak timbul masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan Ahli Parlimen Batu Pahat dan Menteri Besar Johor sebanyak RM500,000 bagi membina bangunan baru Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit di sini, hari ini.
Baru-baru ini, kira-kira 5,000 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meminta agar Kementerian Pelajaran tidak menawarkan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kepada graduan lepasan ijazah bukan pendidikan.
Mereka turut meminta agar kerajaan tidak menjadikan mereka seperti ‘anak tiri’ berbanding lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Sementara itu, Mohd. Puad berkata, isu ‘anak tiri’ tidak timbul kerana lepasan IPG hanya akan diserap sebagai guru di sekolah rendah manakala graduan ISMP keluaran IPTA yang berkelayakan dipilih sebagai guru sekolah menengah, sekali gus mengelakkan persaingan antara kedua-duanya.
“Untuk IPG, sebelum masuk mereka akan disaring dan kita (Kementerian Pelajaran) akan panggil untuk ditemuduga. Yang ditemuduga itu pun belum tentu semua dapat, sebaliknya yang terpilih sahaja akan masuk IPG.
“Tetapi yang masuk universiti ini, dia mohon masuk bidang pendidikan, kemudian bila nak mohon jadi guru baru ditemuduga oleh SPP,” katanya.