Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang – Bernama


Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang

2011/12/08

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, dipercayai warga Indonesia, ditemui mati lemas dalam kolam renang Kondominium Puteri yang terletak berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mayat mangsa ditemui orang awam pada kira-kira 1 tengah hari.

“Mayat kanak-kanak itu kemudiannya dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai kejadian daripada pihak keluarga mangsa kerana mereka masih trauma dengan kejadian itu.

“Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bilik mayat HKL ketika dihubungi berkata kanak-kanak itu dikenali sebagai Brenda Patricia.

Ibu bapa mangsa dipercayai warga Indonesia yang bertugas di kedutaan negara mereka di sini. – BERNAMA

Tempoh perbaharui lesen bas sekolah dilanjut ke 2013 – SPAD – Bernama


Tempoh perbaharui lesen bas sekolah dilanjut ke 2013 – SPAD

08/12/2011 4:07pm

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Persidangan Dewan Negara dimaklumkan bahawa kerajaan melanjutkan tempoh kelulusan pembaharuan lesen sehingga akhir 2013 kepada pemilik-pemilik bas sekolah yang berusia melebihi 30 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberi kelulusan pembaharuan lesen satu tahun hingga akhir 2012 bagi bas sekolah yang akan tamat tempoh pada tahun ini, dan sekiranya kenderaan itu masih gagal disiapkan sebelum tamat tempoh berkuatkuasa lesen, tambahan satu tahun lagi akan diberikan kepada pengusaha hingga akhir 2013.

“Keputusan yang dicapai ini dapat memberi lebih masa kepada pengusaha untuk mendapatkan kenderaan gantian.

“Dalam tempoh lanjutan tersebut, pengusaha dikehendaki membuat gantian kenderaan,” katanya menjawab soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang ingin tahu mengenai usaha SPAD membantu pengusaha bas sekolah yang terjejas ekoran tindakan kerajaan tidak mengeluarkan permit kepada bas sekolah berusia lebih 30 tahun.

Ahmad berkata, SPAD amat mementingkan faktor keselamatan dalam menetapkan dasar pengangkutan awam amnya dan bas sekolah khususnya.

Justeru, semua bas dan kenderaan pengangkutan awam wajib menjalani dan mendapatkan kelulusan pemeriksaan daripada Puspakom tanpa mengira had usia bagi memastikan kenderaan dalam keadaan baik demi menjamin keselamatan penumpang khasnya anak-anak yang menaiki bas sekolah.

“Keputusan membenarkan had usia penggunaan bas sehingga 30 tahun dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi pengusaha bas sekolah yang bukannya mengaut keuntungan besar untuk khidmat mereka,” katanya.

Ahmad berkata, terdapat 18,156 bas sekolah didaftarkan sehingga 30 Nov tahun ini, dan daripada jumlah itu, bilangan bas yang berusia 30 tahun dan ke atas adalah 1,916 buah atau 10.5 peratus sahaja.

Oleh itu, katanya, kenyataan Tunku Abdul Aziz bahawa 60 peratus daripada 25,000 buah bas terjejas ekoran penetapan had usia itu adalah tidak benar. – Bernama

MUAT TURUN PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2011 – SBPA GURU


MUAT TURUN JPA.SARAAN(S)256/21/17-7

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2011

PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM
BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN PERSEKUTUAN

MUAT TURUN DI SINI!~

Sila rujuk Bahagian Sumber Manusia Kementerian/Jabatan/agensi masing-masing bagi urusan mengenai Lampiran C.
 

Deskripsi: Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Persekutuan

Berkuatkuasa: 1 Januari 2012

Halaman: 29

Saiz: 422KB

Dokumen berkenaan SBPA boleh diakses dan dimuat turun melalui laman web agensi-agensi masing-masing.

Semua Pekeliling yang disenaraikan di bawah adalah dalam format PDF. Bagi yang tiada perisian Acrobat Reader, sila muat turun Acrobat Reader.

SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM


SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

Dalam tempoh ini, tumpuan utama penyampaian laman ini adalah ke atas penyebaran Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang merangkumi perkhidmatan Perjawatan Awam Umum, Guru dan PDRM.

Hak Cipta © 2011 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Tempoh 15 hari untuk pilih SBPA atau kekal dalam SSM – Metro


Tempoh 15 hari untuk pilih SBPA atau kekal dalam SSM


 

PUTRAJAYA – Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberi tempoh selama 15 hari mulai 16 hingga 30 Disember ini untuk memilih kekal dalam sistem saraan lama atau menerima sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menawarkan kenaikan gaji lebih baik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah (gambar) berkata, selepas tempoh itu penjawat awam tidak lagi dibenarkan menukar sistem saraan dan mereka yang tidak memilih SBPA kekal dalam SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang sedia ada.

“Berdasarkan penyusunan gaji, kita percaya sebahagian besar penjawat awam akan memilih SBPA yang menawarkan pelbagai faedah dan insentif lebih baik.

“Bagaimanapun kita tidak akan memaksa penjawat awam memilih SBPA kerana mereka yang bekerja dan perlu menentukan pilihan sendiri,” katanya pada sidang akhbar Pelancaran Pekeliling SBPA di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, penjawat awam yang memilih SPBA berpeluang memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan dan pelbagai faedah lain.

Tiada penganiayaan – Metro


Tiada penganiayaan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Tidak wujud isu penganiayaan terhadap penjawat awam yang menyertai skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar berkata, kakitangan awam yang memilih SBPA tidak perlu bimbang kerana banyak faedah dan kebaikan yang boleh didapati melalui skim baru itu. Menurutnya, skim itu turut memperbetulkan andaian sesetengah pihak yang mendakwa ia mengurangkan jumlah kakitangan awam yang berkhidmat dalam pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan. “Misalnya, sekiranya seorang penjawat awam itu memperoleh markah bawah 70 peratus dalam masa setahun, penilaian selama enam bulan terhadapnya akan dilakukan badan khas. “Justeru, individu itu tidak akan diberhentikan tanpa pembelaan kerana kita akan menilainya secara telus dan terperinci,” katanya selepas menandatangani pekeliling SBPA, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr Ismail Alias. Pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan memperkenalkan sistem SBPA bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dalam usaha melakukan transformasi perkhidmatan awam di negara ini supaya lebih dinamik, responsif serta berorientasikan prestasi.

 

Pengumuman itu dibuat ketika Najib membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat. Abu Bakar berkata, seramai 1.4 juta penjawat awam akan menerima surat selewat-lewatnya 15 Disember ini untuk mengikuti skim SBPA atau kekal dengan sistem lama. “Mereka diberi tempoh mulai 16 hingga 30 Disember untuk membuat keputusan menyertai skim berkenaan atau meneruskan dengan skim sedia ada,” katanya. Sementara itu, Abu Bakar berkata, penjawat awam tetap diutamakan untuk menjawat jawatan tertinggi kerajaan termasuk Kumpulan Primier walaupun wujud dasar yang membolehkan ‘orang luar’ mengisi kekosongan dalam skim SBPA. “Kalau ‘orang luar’ itu banyak membuat kerja belum tentu kita boleh anggap dia terbaik untuk menjadi penjawat awam kerana dia pun perlu melalui pelbagai proses dan saringan seperti kakitangan awam lain. “Empat individu yang akan ditugaskan menilai ‘orang luar’ terbabit iaitu Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara,” katanya. Sebelum ini, akhbar melaporkan melalui skim SBPA, jawatan premier perkhidmatan awam peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk bagi mengisi jawatan berkenaan. Ia mendapat bantahan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana dilihat seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada.

Teh tarik terakhir jaga sekolah – Metro


Teh tarik terakhir jaga sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sempat menikmati teh tarik terakhir sebelum maut selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Kenari di Jalan Telok Emas-Melaka berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Zulkepli Ab Rauf, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.
Mangsa yang masih bujang ketika itu hanya beberapa meter dari kawasan sekolah tempatnya bekerja. Jiran mangsa, Md Radzi Senin, 30, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mangsa meninggal dunia kerana baru berbual dengannya sambil minum bersama di sebuah gerai di Alai.

 

Katanya, ketika itu arwah memberitahu mula bekerja jam 7 petang dan sempat minum teh tarik sebelum mengayuh basikalnya meninggalkan gerai untuk ke tempat kerja.
“Ketika duduk bersama rakan lain, tiba-tiba orang memberitahu arwah dilanggar kereta dan meninggal dunia sebelum saya bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba saya mendapati badannya sudah terkujur di tepi jalan dan tidak menyangka sempat menemuinya sebelum meninggal dunia,” katanya.

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang basikal memasuki arah kanan menghala ke sekolah berkenaan.

 

“Ketika itu, sebuah Perodua Kenari dari pusat bandar raya merempuh mangsa menyebabkannya maut di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Saya kehilangan sahabat baik’ – Metro


Saya kehilangan sahabat baik’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: “Saya sedih kerana arwah tidak sempat datang ke rumah kerana dia menemui ajal dalam keadaan tragik. Sebelum itu dia hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berjumpa saya pagi tadi (semalam),” kata Syuhada Ghazali (gambar), 14.

Syuhada rakan karib kepada Amalina Adam, 14, yang maut bersama Wirda Izwaney Daud, 13, selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas sebelum merempuh titi besi dan terhumban ke dalam tali air di Kampung Stesen Keretapi, Tunjang, di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia berasa amat gembira apabila arwah memberitahu mahu ke rumahnya di Kampung Jeram, Tunjang, di sini, tiga kilometer dari rumah mangsa.

 

“Semalam (kelmarin) saya hantar SMS kepada arwah beritahu nak jumpa sangat kerana tidak dapat berbuat demikian sejak dua minggu lalu. Saya beritahu arwah saya terlalu rindu dengannya.
“Arwah tidak membalas SMS pada hari itu sebaliknya hanya menjawab kira-kira jam 8 pagi ini (semalam) sambil memberitahu dia dan rakannya akan datang ke rumah saya pada tengah hari,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra, di sini, semalam.
Menurutnya, dia dan arwah adalah rakan baik dengan bersama-sama ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Bonglai, di sini.

 

 

“Hubungan kami rapat sejak dulu lagi. Saya kini kehilangan seorang sahabat yang baik buat selama-lamanya.
“Apabila dapat tahu arwah terbabit dalam kemalangan, saya rasa macam tidak percaya sehingga saya datang sendiri ke hospital ini untuk mengetahui apa yang berlaku,” katanya.

 

Ibu Amalina, Rahmah Md Isa, 57, berkata, dia terkejut apabila diberitahu anak bongsu daripada sembilan beradik itu terbabit dalam kemalangan.
“Biasanya arwah beritahu ke mana dia pergi, tetapi pagi tadi (semalam) dia keluar rumah tanpa memberitahu saya dan adik-beradik lain.
“Arwah nampak pelik kerana beria-ia bersolek sampai dua tiga kali sebelum keluar rumah,” katanya.
Bapa Wirda Izwaney, 13, Daud Saad, 45, berkata, sebelum kejadian, anaknya baru sampai ke rumah selepas beberapa minggu tinggal bersama kakaknya di Kuala Lumpur.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Gurindam, Kampung Pida 3, di sini.

Mayat 2 remaja terapung – Metro


Mayat 2 remaja terapung

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: “Pak cik ketaq (menggeletar) apabila nampak mayat dua budak perempuan terapung dalam tali air ketika melalui jalan itu. Seorang melekat pada motosikal dan seorang lagi terapung dalam jarak 20 meter.”

Demikian kata Salleh Saad, 65, yang menemui mayat Amalina Adam, 14, dan Wirda Izwaney Daud, 13, dalam tali air di Kampung Stesen Keretapi, Tunjang, di sini, selepas motosikal dinaiki mereka terbabas jam 11.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Bonglai itu dalam perjalanan ke rumah rakan mereka di Kampung Jeram di kawasan berhampiran.

Salleh yang juga petani berkata, ketika menunggang motosikal di jalan berkenaan bagi menghantar racun ke rumah anak saudaranya, dia terkejut melihat dua mayat perempuan terapung dalam tali air itu.

 
“Pak cik berpatah balik ke rumah dan beritahu isteri dalam keadaan ketaq kerana sepanjang hidup tidak pernah nampak mayat macam itu. Pak cik terlalu sedih mengenangkan nasib mereka.

Penjawat awam tetap diutamakan dalam SBPA – Bernama


Penjawat awam tetap diutamakan dalam SBPA

PUTRAJAYA 7 Dis. – Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier, walaupun terdapat dasar membenarkan “orang luar” mengisi jawatan tersebut dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan mula dikuatkuasakan Januari depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, penilaian akan dibuat terhadap penjawat awam yang layak mengisi kekosongan itu terlebih dahulu dan calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak untuk memegang jawatan itu.

“Penjawat awam jangan risau tentang perkara ini, sebab ini hanyalah persediaan. Kalau kita tak sediakan peruntukan ini sekarang dan kalau keperluan timbul nanti, waktu itulah baru kita nak buat pindaan dan sebagainya tentulah tak elok.

Setiap skim yang kita laksanakan bukan saja untuk mengatasi masalah sedia ada tapi juga melihat kemungkinan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa dalam skim baharu ini, jawatan premier perkhidmatan awam, peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah dasar tersebut, mengatakan ia seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.

Abu Bakar berkata, bakat dari luar itu turut perlu melalui proses sepertimana pegawai dalaman termasuk saringan dan penilaian oleh satu panel yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara.

“Jadi dia akan dinilai keupayaannya dari segi pengetahuan peraturan-peraturan perkhidmatan, kewangan, pengauditan dan sebagainya yang bermakna dia perlu cekap tentang urusan pentadbiran kerajaan dan dicampur dengan keupayaan dan pengalamannya berkhidmat di luar perkhidmatan awam barulah diberi pertimbangan,” katanya.

Setakat ini tiada kuota spesifik ditetapkan untuk pengambilan tersebut, namun menjangka keperluannya tidak akan melebihi 20 peratus daripada jumlah jawatan yang ada, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk urusan spesifik jangka pendek, seperti untuk menyertai kumpulan perundingan kedudukan negara dalam ekonomi, mereka yang tidak berada dalam perkhidmatan awam boleh diambil bekerja secara kontrak.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata SBPA bukanlah bertujuan untuk mengurangkan penjawat awam, tetapi bagi memastikan tenaga kerja dalam sektor awam itu dapat dikawal mengikut keperluan.

Beliau berkata, tahun ini sehingga hari ini sahaja sejumlah 29,000 jawatan dalam perkhidmatan awam dimansuhkan dalam usaha tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih baik.

“Sebagai contoh, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, kita mengambil 7,000 anggota polis yang selama ini berkhidmat di ibu pejabat dan balai, dipindahkan membuat kerja kawalan keselamatan awam dan tempat mereka ini digantikan dengan 4,200 penjawat awam dari agensi kerajaan lain,” katanya. – BERNAMA