MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sempat menikmati teh tarik terakhir sebelum maut selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Kenari di Jalan Telok Emas-Melaka berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Zulkepli Ab Rauf, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.
Mangsa yang masih bujang ketika itu hanya beberapa meter dari kawasan sekolah tempatnya bekerja. Jiran mangsa, Md Radzi Senin, 30, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mangsa meninggal dunia kerana baru berbual dengannya sambil minum bersama di sebuah gerai di Alai.
Katanya, ketika itu arwah memberitahu mula bekerja jam 7 petang dan sempat minum teh tarik sebelum mengayuh basikalnya meninggalkan gerai untuk ke tempat kerja.
“Ketika duduk bersama rakan lain, tiba-tiba orang memberitahu arwah dilanggar kereta dan meninggal dunia sebelum saya bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba saya mendapati badannya sudah terkujur di tepi jalan dan tidak menyangka sempat menemuinya sebelum meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang basikal memasuki arah kanan menghala ke sekolah berkenaan.
“Ketika itu, sebuah Perodua Kenari dari pusat bandar raya merempuh mangsa menyebabkannya maut di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan.