Tempoh perbaharui lesen bas sekolah dilanjut ke 2013 – SPAD – Bernama


Tempoh perbaharui lesen bas sekolah dilanjut ke 2013 – SPAD

08/12/2011 4:07pm

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Persidangan Dewan Negara dimaklumkan bahawa kerajaan melanjutkan tempoh kelulusan pembaharuan lesen sehingga akhir 2013 kepada pemilik-pemilik bas sekolah yang berusia melebihi 30 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberi kelulusan pembaharuan lesen satu tahun hingga akhir 2012 bagi bas sekolah yang akan tamat tempoh pada tahun ini, dan sekiranya kenderaan itu masih gagal disiapkan sebelum tamat tempoh berkuatkuasa lesen, tambahan satu tahun lagi akan diberikan kepada pengusaha hingga akhir 2013.

“Keputusan yang dicapai ini dapat memberi lebih masa kepada pengusaha untuk mendapatkan kenderaan gantian.

“Dalam tempoh lanjutan tersebut, pengusaha dikehendaki membuat gantian kenderaan,” katanya menjawab soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang ingin tahu mengenai usaha SPAD membantu pengusaha bas sekolah yang terjejas ekoran tindakan kerajaan tidak mengeluarkan permit kepada bas sekolah berusia lebih 30 tahun.

Ahmad berkata, SPAD amat mementingkan faktor keselamatan dalam menetapkan dasar pengangkutan awam amnya dan bas sekolah khususnya.

Justeru, semua bas dan kenderaan pengangkutan awam wajib menjalani dan mendapatkan kelulusan pemeriksaan daripada Puspakom tanpa mengira had usia bagi memastikan kenderaan dalam keadaan baik demi menjamin keselamatan penumpang khasnya anak-anak yang menaiki bas sekolah.

“Keputusan membenarkan had usia penggunaan bas sehingga 30 tahun dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi pengusaha bas sekolah yang bukannya mengaut keuntungan besar untuk khidmat mereka,” katanya.

Ahmad berkata, terdapat 18,156 bas sekolah didaftarkan sehingga 30 Nov tahun ini, dan daripada jumlah itu, bilangan bas yang berusia 30 tahun dan ke atas adalah 1,916 buah atau 10.5 peratus sahaja.

Oleh itu, katanya, kenyataan Tunku Abdul Aziz bahawa 60 peratus daripada 25,000 buah bas terjejas ekoran penetapan had usia itu adalah tidak benar. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s