SIARAN AKHBAR: YANG BERBAHAGIA DATO’ SRI ABD GHAFAR MAHMUD SAMBUNG PERKHIDMATAN SEBAGAI KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


SIARAN AKHBAR: YANG BERBAHAGIA DATO’ SRI ABD GHAFAR MAHMUD SAMBUNG PERKHIDMATAN SEBAGAI KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

SIARAN AKHBAR

YANG BERBAHAGIA DATO’ SRI ABD GHAFAR MAHMUD
SAMBUNG PERKHIDMATAN SEBAGAI
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd Ghafar Mahmud yang bersara wajib pada 7 Disember 2011, disambung perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia selama setahun lagi bermula 8 Disember 2011 hingga 7 Disember 2012 atas keperluan perkhidmatan.
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
9 Disember 2011

Model pengajaran, pembelajaran Bahasa Inggeris Australia dikaji: Muhyiddin – Bernama


Model pengajaran, pembelajaran Bahasa Inggeris Australia dikaji: Muhyiddin 

2011/12/09

PERTH: Kementerian Pelajaran akan mengkaji model Kursus Intensif Bahasa Inggeris yang dilaksanakan di Australia sebagai contoh bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata model Australia itu contoh yang baik untuk dipelajari dan melihat sama ada ia selaras dengan matlamat pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan pengalaman Australia, kementerian akan melihat kemungkinan menimbang keperluan untuk menambah sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat pra-sekolah sebagai langkah permulaan.

“Kalau boleh kita mahu ada satu tempoh masa di mana pembelajaran Bahasa Inggeris dibuat secara intensif. Jadi kita akan kaji, mungkinkah, kita boleh mulakan di peringkat pra sekolah kerana dikatakan waktu usia masih kecil mereka lebih mudah menangkap dan boleh mudah mahir.

“Itu permulaannya dan selepas itu bila sudah masuk sekolah formal, kita akan kaji kemungkinan sama ada ketika darjah tiga atau darjah empat, diadakan sekali lagi program yang intensif ini,” katanya selepas menghadiri taklimat tertutup dengan Jabatan Pendidikan Australia Barat di sini, hari ini.

Sesi taklimat kira-kira dua jam itu dihadiri Pengarah Kurikulum dan Perkhidmatan Sokongan Jabatan Pelajaran Australia Barat, Karen Webster dan Ketua Konsultasinya, Coral Jenkins.

Ia bertujuan menjelaskan mengenai pelaksanaan kursus intensif itu yang digunakan untuk mengajar dan meningkatkan kemahiran murid-murid bukan penutur jati Bahasa Inggeris, sebaik saja mereka memasuki sistem pelajaran di negara itu yang berteraskan Bahasa Inggeris.
Menurut Muhyiddin, pelajar terpilih, kebanyakannya daripada keluarga masyarakat Asia seperti Vietnam, Malaysia dan China yang bermastautin di Australia, diwajibkan untuk mengikuti kursus selama setahun di Pusat Intensif Bahasa Inggeris dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Australia.

Katanya, hanya tenaga pengajar yang terlatih akan diambil untuk mengajar Bahasa Inggeris secara intensif selama kira-kira lima jam sehari di pusat berkenaan. Di Malaysia mata pelajaran Bahasa Inggeris hanya diajar lima jam seminggu.

“Saya difahamkan kursus itu cukup berkesan di mana dalam tempoh setahun itu pelajar boleh menguasai Bahasa Inggeris dan apabila mereka balik semula ke sekolah biasa,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, sekiranya sesuai, pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan konteks dan persekitaran di Malaysia, selain mengambil kira jumlah tenaga pengajar dan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

“Di sini (Australia) mungkin lebih mudah kerana jumlah yang terlibat pun tidak banyak iaitu kira-kira 7,000 murid saja, berbanding di Malaysia satu kohort membabitkan kira-kira 500,000 murid di seluruh negara, jadi untuk melaksanakan kursus ini akan memerlukan kos yang tinggi.”

Muhyiddin berkata, berdasarkan taklimat wakil jabatan itu, kerajaan Australia dianggar mengeluarkan kos sebanyak AUS$12,000 bagi setiap pelajar yang mengikuti kursus itu, iaitu dua kali ganda daripada perbelanjaan untuk murid-murid di sekolah biasa.

Kerajaan, sebelum ini sudah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memantapkan penggunaan dan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia termasuk membawa guru penutur jati Bahasa Inggeris dari luar negara dan menambah jadual pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah di seluruh negara. – BERNAMA

Pengesahan Maklumat Bagi Pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia Yang Ditemu Duga Ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 Yang Tamat Pengajian Pada November 2011


Pengesahan Maklumat Bagi Pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia Yang Ditemu Duga Ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 Yang Tamat Pengajian Pada November 2011

Bagi mereka yang ditemu duga pada 14 – 18 November dan 30 November – 23 Disember 2011, adalah dipohon untuk mengesahkan maklumat secara atas talian dengan mendaftar akaun baru dan mengemaskini maklumat anda dihttp://anggerik.spp.gov.my:7778/online/borang . Anda dipohon berbuat demikian selewat-lewatnya pada 26 Disember 2011. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-8871 7330.

Pesara terima pencen, bayaran khas 16 Disember – Bernama


Pesara terima pencen, bayaran khas 16 Disember

2011/12/09

KUALA LUMPUR: Pembayaran pencen dan Bayaran Khas Pesara kali kedua akan dibuat pada 16 Disember ini sempena sambutan Krismas.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhdimatan Awam, hari ini, penerima yang dibayar melalui bank boleh menuntut pembayaran pencen dan bayaran khas berkenaan di bank-bank yang terbabit pada tarikh berkenaan.

Bayaran khas sebanyak RM500 itu pula akan dikredit terus ke akaun bank
penerima pencen termasuk penerima di bawah Skim B.

“Dengan itu, penerima pencen di bawah Skim B tidak perlu mengisi borang
tuntutan pencen di kaunter bank bagi mengeluarkan RM500 itu,” kata kenyataan itu.

Bayaran Khas Pesara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika beliau membentangkan Belanjawan 2012, Oktober lalu.
Penerima pencen yang menerima waran pencen bertarikh 17 hingga 31 Disember boleh
menunaikan waran mereka mulai 16 Disember.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada Pusat Panggilan Setempat di talian
03-88854906/4475/4476/4478/4479. – BERNAMA

SBPA luaskan jurang kakitangan – Kosmo


SBPA luaskan jurang kakitangan

KERATAN Kosmo! semalam.

 

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendakwa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya membuatkan jurang tangga gaji kakitangan antara pekerja atasan dan bawahan lebih luas.

Timbalan Presiden I CUEPACS, Azih Muda berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian mengenai perkara itu dan akan membuat pendirian muktamad pada 14 Disember ini.

“Buat masa ini, kami berpendapat ia akan meluaskan jurang antara kakitangan apabila pengurusan tertinggi menerima kenaikan sehingga 40 peratus manakala sokongan pelaksanaan kenaikan itu bermula 10 peratus.

“Pengurusan profesional ini, gaji mereka sudahlah tinggi ditambah lagi dengan kenaikan yang banyak, jurang itu semakin ketara,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

15,400 penjawat awam berprestasi rendah disiasat – Utusan


15,400 penjawat awam berprestasi rendah disiasat

2011/12/09

PUTRAJAYA: Kira-kira 15,400 kakitangan awam yang mencatatkan prestasi rendah iaitu mendapat markah penilaian 69 peratus ke bawah, tidak akan sewenang-wenangnya diminta bersara awal, sebaliknya kelemahan itu akan disiasat panel khusus bagi mengelakkan penganiayaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata panel itu diberi tempoh enam bulan untuk melakukan siasatan berkenaan yang membabitkan 1.1 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Katanya, siasatan itu turut membabitkan kemungkinan kakitangan terbabit mempunyai sebab tertentu mendapat prestasi rendah.

“Siasatan panel khas itu akan menyeluruh… kita melihat semua perkara termasuk bakat dan kemampuan kakitangan terbabit dan hanya selepas itu, panel akan memberi cadangan sama ada mungkin memindahkan mereka ke jabatan lebih sesuai dengan bakatnya.

“Mereka mungkin hanya diminta bersara awal sekiranya didapati mempunyai rekod prestasi buruk bagi tempoh yang lama dengan mengambil kira rekod tahun terdahulu secara berturut-turut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, katanya, fenomena itu bukan isu besar bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana sebahagian besar kakitangan awam memiliki rekod prestasi baik iaitu melebihi 70 peratus berdasarkan kepada sampel laporan prestasi tahun lalu yang dibuat ke atas 131,196 penjawat awam atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.

Daripada laporan itu, katanya, 39 peratus (546,000) penjawat awam mendapat markah prestasi 90 peratus; 55.6 peratus (778,400) mendapat markah antara 80 hingga 89 dan 4.3 peratus (60,200) mendapat antara 70 hingga 79 markah.
Beliau mengulas laporan akhbar berkaitan isu penjawat awam yang berprestasi rendah dengan markah 70 peratus ke bawah, akan diminta bersara awal apabila skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilaksanakan mulai 1 Januari depan.