Pelajar temui bayi perempuan baru berumur seminggu – Bernama


Pelajar temui bayi perempuan baru berumur seminggu

12/12/2011 5:55pm

 

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Seorang bayi perempuan dipercayai baru seminggu dilahirkan ditemui di Taman Cheras Prima, Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, bayi tersebut ditemui oleh seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun ketika melalui sebuah taman permainan di taman itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Beliau berkata, pengadu yang tinggal berhampiran kawasan tempat kejadian telah berjalan kaki melalui taman permainan itu dan terjumpa bayi perempuan dalam gelongsor.

“Bayi itu dibalut dengan sehelai seluar pendek berwarna biru dan tidak menangis serta ada gigitan semut di bahagian badan bayi,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.

Ab Rashid berkata, pelajar itu kemudiannya membawa bayi itu ke rumahnya sebelum membuat laporan polis hari ini.

“Pemeriksaan doktor mendapati bayi tersebut dipercayai berumur seminggu berpandukan tali pusat yang masih baru dan telah dipotong dan bersimpul serta dalam keadaan sihat,” katanya. – Bernama

Berhutang untuk belajar agama – Kosmo


Berhutang untuk belajar agama

 

Oleh MELATI MOHD. ARIFF

 


 

KETIKA anak-anak lain ke sekolah agama, Udin leka bermain. Sesekali matanya merenung ke arah sekolah. Ada perasaan sayu dan pilu di dalam hatinya.

Dia sememangnya teringin untuk belajar di sekolah agama itu tetapi apakan daya ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah, meskipun jumlahnya hanyalah RM20 sebulan.

Makan mereka pun atas belas ehsan jiran. RM20 nilai wang yang bagi sesetengah orang boleh dihabiskan untuk sekali makan. Adakalanya Udin berjalan mengelilingi pagar sekolah yang sebahagiannya sudah tumbang akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab menceroboh ke kawasan sekolah.

Udin seronok mendengar suara kanak-kanak mengulangi ungkapan kata ustazah dan ustaz. Ingatannya singgah kepada ibu. Ibunya sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser rahim. Ayahnya sudah lama meninggal dunia.

Seperti Udin, kakak dan abangnya juga tidak bersekolah kerana kesempitan hidup.

Lain pula kisahnya dengan Mail. Dia dan abangnya pernah ditangkap kerana mencuri meja sekolah. Bahagian besi meja itu dijual kepada pembeli barang lusuh.

Hasil jualan RM3 itu digunakan untuk membeli makanan. Mereka mencuri kerana lapar. Ibu Mail masih hidup tetapi sudah lama keluar rumah, meninggalkan dia dan adik- beradiknya yang lain.

Sara kehidupan

Tinggallah ayah Mail sebagai bapa tunggal yang menyara kehidupan anaknya yang lima orang itu dengan menjaja secara kecil-kecilan.

Mail hanya ke sekolah agama kerana tiada surat beranak untuk ke sekolah kebangsaan. Abangnya juga tidak mempunyai surat beranak. Kakaknya tidak bersekolah kerana perlu menjaga adik-adiknya apabila bapa keluar mencari rezeki.

SEBAHAGIAN daripada kemudahan yang terdapat di Kafa Al-Insaniah Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.

 

Anak yang penulis namakan sebagai Man ini pula terpaksa berhenti sekolah. Ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak RM20. Ayah sudah berkahwin lagi. Walaupun ayah ada memberi wang kepada ibunya tetapi jumlah yang diberi tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan mereka.

Ibu Man pula hanya mampu menjaga anak orang untuk menambah pendapatan bagi kelangsungan hidup dan enam orang anaknya.

Atas keprihatinan pihak sekolah, Man dibenarkan meneruskan persekolahan walaupun tidak dapat membayar yuran.

Kesusahan hidup yang dilalui Udin, Mail dan Man ini hanyalah secebis daripada kehidupan berliku anak yang belajar di Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Integrasi Al-Insaniah, Jalan PJU 1A/42, Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.

Keprihatinan pihak sekolah membolehkan Udin, Mail dan Man menjadi murid di Kafa itu.

Cuma Udin sempat belajar hanya beberapa bulan sahaja. Dia dan adik-beradiknya diberitakan sudah pulang ke kampung halaman di Kelantan setelah ibu mereka meninggal dunia.

Mungkin ada ramai lagi anak yang menyimpan kisah pahit dan duka kehidupan mereka di sebalik wajah-wajah yang redup dan tubuh yang lesu.

 

Perut kosong

Kebanyakan anak-anak ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai adik-beradik yang ramai.

Lantas, ada antara anak-anak ini datang ke sekolah dengan perut kosong seperti yang diberitahu oleh pengasas Kafa Integrasi Al-Insaniah, Norazainah Adnan dan Siti Hawa Sharif.

Pihak sekolah sememangnya membantu mereka yang benar-benar memerlukan dengan mengecualikan mereka daripada bayaran yuran di samping makanan tambahan.

Bagaimanapun, kewangan yang terhad membolehkan hanya 70 orang sahaja setakat ini menerima makanan tengah hari yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM2,100 sebulan.

Norazainah mempunyai pengalaman sekitar 14 tahun sebagai guru tadika sementara Siti Hawa pula telah menjadi guru agama selama kira-kira 15 tahun.

Sebelum penubuhan Kafa ini, mereka berdua mengambil inisiatif mengadakan kelas agama di surau Insaniah Blok D Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Putra Damai.

MESKIPUN saiz sekolah ini kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid.

 

Norazainah ketika itu menyandang jawatan Ketua Muslimah Surau Insaniah.

Kelas agama yang menampung kira-kira 90 pelajar itu diadakan di surau berkenaan selama dua tahun mulai tahun 2001. Pada 15 Januari 2003, Kafa Integrasi Al-Insaniah dibuka di lokasi yang ada sekarang.

Meskipun saiz sekolah itu kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid. Sekolah ketika itu mempunyai hanya lima buah kelas, pejabat dan kantin. Pelajar diajar mata pelajaran Al-Quran, Feqah, Tauhid, Bahasa Arab, Akhlak dan tulisan Jawi.

Norazainah bukan setakat menjadi pengasas, bahkan beliau turut menjadi tenaga pengajar di Kafa Al-Insaniah.

Naluri seorang ibu menjadikan beliau begitu mengambil berat agar anak di PPRT Taman Putra Damai tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama.

Setiap kali melihat ada anak yang bermain di luar kawasan sekolah pasti dia akan bertanya mengapa mereka tidak datang ke sekolah agama itu.

Tidak cukup dengan alasan yang diberikan, dia akan menyusul pula ke rumah untuk menggalakkan ibu bapa berkenaan menghantar anak ke sekolah.

Alasan yang sering singgah di cuping telingnya ialah tidak ada wang untuk membayar yuran sekolah.

“Saya akan memberitahu mereka hantar dulu anak ke sekolah dan soal kewangan boleh dibincang kemudian.

“Saya susah hati, saya bimbang sekiranya anak ini tidak dibekalkan dengan pendidikan agama, ini akan merosakkan diri mereka kelak,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Kafa Al-Insaniah itu kepada Bernama.

Kafa Integrasi Al-Insaniah kini mempunyai 450 murid. Seramai 25 orang belajar pada sesi pagi sementara bakinya belajar pada sesi petang.

Anak-anak ini kebanyakannya berasal dari kawasan setinggan Taman Medan, Kampung Cempaka, Kampung Kayu Ara dan Kampung Sentosa yang terletak di sekitar Petaling Jaya.

“Ada yang mempunyai ibu atau ayah sahaja. Ada yang emak bekerja di kilang, ayah berniaga sendiri atau bekerja sebagai buruh. Ada juga emak yang hanya suri rumah.

“Ada juga antara mereka emak sahaja yang bekerja. Rata-rata mereka berpendapatan rendah. Ada yang mempunyai anak seramai lapan hingga 12 orang,” kata Norazainah.

NORAZAINAH (tengah) mengambil berat kebajikan anak-anak muridnya agar mereka tidak tercicir daripada mendapat pelajaran.

 

Menurut beliau, 30 daripada 40 murid dalam salah sebuah kelas adalah murid yang ibu bapa mereka sudah bercerai atau bapa mereka meninggal dunia.

Hampir 50 peratus murid di Kafa Integrasi Al-Insaniah tidak mampu membayar yuran sekolah. “Ada yang berhutang dari darjah satu sehingga darjah enam,” kata Siti Hawa.

Menurut beliau, pihak sekolah lazimnya akan mengeluarkan surat jika ada tunggakan yuran namun hasilnya agak mengecewakan.

Hanya segelintir mampu membayar penuh manakala sebahagian besar lagi ibu bapa bertindak memberhentikan sahaja persekolahan anak masing-masing.

Siti Hawa mengambil contoh kes tahun 2005 apabila pihak sekolah mengeluarkan surat peringatan berhubung tunggakan yuran, hampir 100 murid tidak datang ke sekolah.

Teruskan persekolahan

Apabila ditanya mengapa berhenti sekolah, alasan yang diberi ialah tidak mampu membayar yuran.

“Ini membuatkan kami pula yang merasa bersalah. Keadaan yang sama berlaku pada tahun 2006 bila masuk murid baharu.

“Kali ini pihak kami lebih berhati-hati dan menyelidik dahulu latar belakang ibu bapa murid sebelum mengeluarkan surat peringatan.

Atas rasa keprihatinan, pengurusan sekolah membenarkan anak yang tidak mampu membayar yuran untuk meneruskan persekolahan mereka.

Seperti kata Siti Hawa: “Kita usahakan supaya anak-anak ini masih boleh belajar meskipun tak bayar yuran. Bagi kita, mereka hendak belajar pun sudah Alhamdulillah.” Untuk menampung perbelanjaan pengurusan sekolah, berikhtiar melakukan aktiviti mengumpul dana di samping menerima sumbangan para dermawan, Kementerian Pelajaran serta bantuan zakat.

Kutipan yuran yang dapat dikutip digunakan untuk membayar gaji guru, kerani, pencuci, bil elektrik dan untuk menampung keperluan lain.

Mengenai gaji guru, Siti Hawa menjelaskan, pihak sekolah mempunyai 12 guru tetapi hanya 10 guru sahaja yang layak menerima gaji daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Bagi sesi pagi, kita ada tiga guru dan masing-masing dibayar RM400 sebulan oleh pihak sekolah.

“Untuk sesi petang, ada 12 orang guru. Gaji bulanan untuk 10 orang dibayar RM1,300 seorang sementara dua lagi masing-masing menerima gaji sebanyak RM600,” jelasnya.

Khatan beramai-ramai tarik pelancong asing – Kosmo


Khatan beramai-ramai tarik pelancong asing

Sebahagian daripada 40 pelajar asing membawa bunga manggar bagi memeriahkan majlis berkhatan beramai-ramai di Kampung Relau, Bandar Baharu semalam.

 

BANDAR BAHARU – Keunikan majlis berkhatan beramai-ramai, mendorong sekumpulan penuntut asing untuk turut memeriahkan suasana, sekalipun sekadar memegang bunga manggar mengiringi peserta di Kampung Relau di sini semalam.

Kumpulan 40 penuntut dari program pertukaran pelajar antarabangsa Universiti Sains Malaysia itu jelas teruja melihat 80 kanak-kanak lelaki melalui proses yang dituntut agama Islam tersebut.

“Ini kali pertama saya menyaksikan majlis ini dan saya berasa bertuah,” kata Fredrik Blom, 22, yang tidak sabar mahu berkongsi pengalaman tersebut dengan rakan dan keluarganya di Sweden.

‘Seronok jadi orang dewasa’ – Metro


‘Seronok jadi orang dewasa’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Sejak beberapa hari lalu, saya bertanyakan ayah mengenai sakit berkhatan, tetapi hari ini merasainya. Ia pengalaman menyeronokkan, apatah lagi saya dan adik menyertai rakan lain menjadi ‘orang dewasa’,” kata Mohd Iskandar Haris, 11.

Menurutnya, banyak gurauan daripada rakan yang sudah berkhatan sebelum ini menyebabkannya membuat ‘persediaan’ dengan bertanyakan pelbagai soalan kepada bapa kerana bimbang tidak mampu menahan sakit.
Menurutnya, rasa gemuruh hilang apabila diarak penduduk selain diraikan pada majlis penuh meriah untuk kanak-kanak Pangsapuri Intan Baiduri di sini, semalam dan ternyata dia seronok dengan pengalaman baru dilaluinya.

Penjawat awam usah gopoh tandatangani tawaran opsyen – Metro


Penjawat awam usah gopoh tandatangani tawaran opsyen

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Semua penjawat awam dinasihatkan tidak tergesa-gesa menandatangani surat tawaran opsyen yang diberikan selewat-lewatnya 15 Disember ini untuk mengikuti Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau kekal dengan sistem lama.

Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, ini memandangkan pihaknya belum membuat keputusan sama ada untuk menerima skim berkenaan.
Katanya, keputusan hanya akan dilakukan selepas perbincangan menerusi kongres khas tiga hari bermula 14 Disember ini.

 

“Tempoh 15 hari yang diberikan untuk menandatangani surat opsyen itu terlalu singkat,” katanya.

Memadu kasih lepas ‘tekanan’ ambil SPM – Metro


Memadu kasih lepas ‘tekanan’ ambil SPM

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Tidak sampai beberapa hari habis ‘memerah otak’ selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sepasang kekasih melepas tekanan dengan bermadu kasih di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Ali, di sini, semalam.

Remaja lelaki berasal dari Kuala Lumpur dan pasangannya dari Negeri Sembilan berusia 17 tahun itu sanggup ke negeri ini semata-mata untuk memadu asmara.
Pasangan itu ditahan ketika pemeriksaan mendapati mereka berkurung di dalam satu bilik hotel dalam operasi bersepadu disertai Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Invest Melaka.

 

Mereka antara empat pasangan berusia di antara 23 dan 35 tahun yang dicekup dalam serbuan di dua hotel berasingan bermula jam 1 pagi, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, pasangan itu dipercayai mendaftar masuk ke hotel itu beberapa jam sebelum serbuan dilakukan.
Katanya, mereka dipercayai bersiar-siar di sekitar bandar ini sebelum menyewa bilik berkenaan.

 

 

“Soal siasat mendapati pasangan itu masih di bawah umur dan baru selesai menduduki SPM,” katanya.
Operasi bersepadu selama tempoh empat jam itu bermula jam 1 pagi dengan membabitkan seramai 30 pegawai dan anggota daripada Jaim, MBMB dan Invest Melaka.

 

Antara lokasi yang diserbu adalah Jalan Tun Ali dan Taman Melaka Raya.
Rahimin berkata, dalam serbuan di hotel sama, pihaknya menahan dua warga Indonesia yang memberi alasan sebagai sepupu.
Bagaimanapun, katanya, alasan itu tidak masuk akal kerana kedua-duanya tetap bukan mahram dan ditahan untuk siasatan lanjut.

100,000 serbu Pameran Pendidikan Facon – Metro


100,000 serbu Pameran Pendidikan Facon

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Pameran Pendidikan Facon 2011 ke-31 berjaya mencecah sasaran pengunjung hampir 100,000 orang terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Mereka tidak melepaskan peluang berkunjung ke ruang pameran membabitkan 800 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta sejak ia berlangsung dua hari lalu dan berakhir semalam, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur, Khairunnisa Syahirah Azman, 17, berkata pameran pendidikan anjuran Facon Exhibitions Sdn Bhd ini berbeza berbanding pameran yang pernah dikunjunginya kerana ia lebih besar dan membabitkan lebih banyak IPT dalam dan luar negara.

 

“Saya teruja kerana sudah hampir selangkah menuju menara gading, oleh itu, saya tidak mahu tersilap membuat pilihan pusat pengajian yang sesuai dengan bidang diminati,” katanya yang hadir bersama dua lagi rakannya ke pameran berkenaan, semalam.

Jangan terburu terima SBPA – Utusan


Jangan terburu terima SBPA

 

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

 

KOTA BHARU 11 Dis. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kakitangan awam supaya tidak tergesa-gesa menandatangani surat tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman (gambar) berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai SBPA selepas mengadakan bengkel dan kongres untuk membincangkan perkara berkenaan pada 14 Disember ini.

Beliau berkata, buat masa sekarang, semua kakitangan awam perlu bertenang dan berfikir semasak-masaknya sebelum menerima tawaran itu dan tidak perlu mengikut pandangan mana-mana pihak.

“Sebelum ini wakil CUEPACS memang mengadakan perbincangan dengan kerajaan sebelum SBPA dilaksanakan tetapi ia tidak mewakili semua ahli kesatuan ini.

“Kita ada pelbagai sektor dalam kesatuan. Jadi perkara ini harus dibincang terlebih dahulu dengan semua ahli dan mendapat persetujuan dengan mereka sebelum kita membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden CUEPACS di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Omar berkata, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kira-kira 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara akan diberikan tempoh dua minggu bermula 15 Disember ini untuk berfikir sebelum menandatangani tawaran SBPA.

“Kita minta semua kakitangan awam agar tidak terburu-buru, fikir dulu semasak-masaknya atau tunggu kenyataan rasmi daripada kongres sebelum menandatangani surat tawaran ini.

“Rujuk kepada ketua jabatan, JPA atau wakil CUEPACS terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.

Sementara itu, CUEPACS berharap kerajaan melantik seorang wakil daripada golongan pekerja sebagai senator supaya suara mereka didengar di Dewan Negara, katanya.

“Dahulu pekerja ada wakil di Dewan Negara melalui bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Zainal Rampak tetapi sekarang tidak ada.

“Seniman dan orang kelainan upaya (OKU) ada wakil dalam Dewan Negara. Jadi kita berharap ada senator yang mewakili suara 11 juta pekerja di negara ini,” tegas beliau lagi.