Day: December 13, 2011
SEMAKAN PANGGILAN TEMUDUGA BAGI BIASISWA HADIAH LATIHAN PERSEKUTUAN (HLP) DAN CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH TANPA BIASISWA (CBBP TB) PERINGKAT KEDOKTORAN DAN SARJANA
SEMAKAN PANGGILAN TEMUDUGA BAGI BIASISWA HADIAH LATIHAN PERSEKUTUAN (HLP) DAN CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH TANPA BIASISWA (CBBP TB) PERINGKAT KEDOKTORAN DAN SARJANA
Pengalaman tidak dilupai – Metro
SUBANG JAYA: “Peluang untuk berjumpa dan menemu ramah sendiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah antara perkara paling berharga yang saya pernah lakukan seumur hidup,” kata pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Mohd Afif Shamri Ibrahim Bakri, 17.
Dia adalah antara lebih 350 pemenang yang terpilih untuk mendapat pengiktirafan pada Anugerah Penulis Muda New Straits Times 2011, semalam.
Majlis kali kedua itu mengiktiraf penulisan pelajar serta mahasiswa membabitkan beberapa institut pengajian tinggi, antaranya Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.
Afif berkata, dia tidak menyangka artikel bertajuk ‘Dilahirkan untuk Berdebat’ yang ditulisnya menambat hati juri, sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai pemenang kategori Penulisan Rencana Terbaik pada majlis itu.
Menurutnya, beliau akan terus berusaha menghasilkan penulisan lebih baik pada masa akan datang.
Sementara itu, rakannya, Nurul Nadhirah Foong Mohd Faiz Foong, 17, turut melahirkan rasa gembira menyertai program NiEXTER, iaitu program anjuran New Straits Times Press (NSTP) yang menampilkan elemen keremajaan berkonsepkan pendidikan dan hiburan.
Difahamkan, sebanyak 27 kategori dipertandingkan termasuk Topik Paling Kreatif, Artikel Penyelidikan Terbaik, Isu Tempatan Terbaik serta Isu Inspirasi Terbaik dengan sejumlah RM50,000 ditaja Bank Rakyat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Ketua Hal Ehwal Awam Bank Rakyat, Saliman Zainal.
Hamba nafsu bapa – Metro
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tergamak menjadikan anak kandungnya yang berusia 12 tahun sebagai hamba seksnya sejak setahun lalu di Jinjang.
Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa lelaki berusia 37 itu juga terpaksa menanggung rahsia besar bapanya yang mengugutnya supaya tidak membocorkan perbuatan jijik berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa yang tidak tahan menjadi hamba seks bapanya nekad menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Jinjang selepas dia sekali lagi dirogol suspek, kelmarin.
Sumber berkata, episod hitam itu bermula pada tahun lalu apabila bapa kanak-kanak berkenaan membawanya ke tempat kerja di ibu kota dan merogol mangsa.
“Dia yang gagal melawan hanya mampu berdiam dan menangis ketika menjadi mangsa nafsu seks bapa.
“Mangsa yang ketakutan hanya mampu berdiam dan terus menyimpan rahsia itu kerana bimbang dicederakan,” katanya
Terpukau lihat kecekapan minda kanak-kanak selesai soalan matematik – Utusan
Terpukau lihat kecekapan minda kanak-kanak selesai soalan matematik
KUALA LUMPUR 12 Dis. – Pantas mencongak soalan matematik yang diberikan secara spontan dan mampu menghafal 15 jenis perkataan dalam masa tidak sampai satu minit.
Inilah aksi-aksi kanak-kanak yang menyertai program Permata Insan pada Ekspo Permata 2011 hari ini. Kebolehan mereka itu begitu menakjubkan pengunjung.
Kebolehan kanak-kanak ini adalah hasil daripada program Permata Insan yang bukan sahaja memberi ilmu rohaniah bahkan kemahiran dalam bidang akademik tanpa pembelajaran yang membosankan.
Pengarah Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim (gambar) berkata, program Permata Insan bukan sahaja memberikan ilmu rohaniah kepada kanak-kanak terlibat, malah turut mendedahkan kemahiran berfikir secara pantas dalam bidang akademik.
“Permata Insan turut mengadakan aktiviti yang mampu membangunkan minda dan membina keyakinan diri kanak-kanak,” katanya selepas demonstrasi kebolehan peserta program Permata Insan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMA Mental Arithmetic Ivy Lina Tiang berkata, kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja dapat meningkatkan minda, malah keyakinan dan jati diri.
“Kami sudah dua tahun terlibat dengan Permata Insan. Kami mengamalkan corak pembelajaran yang seronok dan tidak membawa tekanan kepada mereka. Ini terbukti berjaya melahirkan kanak-kanak yang bijak dan pantas berfikir,” jelasnya.
Dalam pada itu, salah seorang peserta, Hadif Darwish Badrul Hisham, 8, berkata, dia secara sukarela menyertai program ini kerana mahu mempelajari teknik yang mampu meningkatkan daya ingatan seseorang.
“Saya diajar teknik-teknik menjawab soalan matematik dan ternyata ia seronok dan saya akan teruskannya. Program ini membolehkan saya berfikiran pantas dan menyelesaikan matematik dengan mudah,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Nur Farzana Rosni, 8, berkata, program itu mengajar dia menjadi lebih yakin dan meningkatkan kebolehan menghafal.
“Saya enam kali mengikuti program ini dan mampu menguasai kaedah-kaedah dalam menyelesaikan soalan matematik. Ini satu kelebihan yang boleh dipraktikkan semasa di sekolah,” katanya.