Day: December 15, 2011
Remaja didera terjun balkoni pusat tuisyen – Kosmo
Remaja didera terjun balkoni pusat tuisyen
lily.yean@kosmo.com.my
![]() JIAN HEE ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Oktober lalu.
|
PETALING JAYA – Gara-gara tidak tahan didera selama 40 hari termasuk dibogelkan oleh guru di sebuah pusat tuisyen, seorang remaja berumur 13 tahun bertindak nekad dengan terjun dari balkoni sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan premis pusat tuisyen berkenaan.
Akibat kejadian itu, remaja terbabit patah tangan kanan dan terpaksa dirawat selama lapan hari di Hospital Kuala Lumpur.
Ibu mangsa, Guan Siok Choo, 50, mendakwa, kejadian pada 21 Oktober lalu itu berlaku kerana anaknya, Toh Jian Hee tertekan akibat didera secara fizikal dan mental oleh guru berkenaan.
Jelas Siok Choo, anaknya mula belajar serta tinggal di pusat tuisyen itu yang merupakan rumah dua tingkat di Jalan Khalsa, Kuala Lumpur dan mempunyai sekurang-kurangnya 80 pelajar pada 4 September lalu selepas dibuang sekolah.
Sebelum itu, anaknya belajar di sebuah sekolah persendirian iaitu Sekolah Menengah Kwang Hua.
Menurut beliau, pada minggu pertama, dia diberi peluang melawat Jian Hee sebanyak tiga kali, namun selepas itu dia tidak dibenarkan melawat serta membawa makanan untuk anaknya itu.
Murid lemas dijumpai dalam tasik – Utusan
Murid lemas dijumpai dalam tasik
SUNGAI PETANI 14 Dis. – Seorang murid lelaki tahun tiga, Sulaiman Mohd. Zakaria yang dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ke dalam longkang di Bandar Puteri Jaya dekat sini kelmarin, ditemui mati hari ini.
Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir Kecil itu ditemui terapung pada pukul 7.45 pagi dalam sebuah tasik tidak jauh dari tempat dia dihanyutkan arus deras tersebut.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Rosdi Ismail, sembilan anggota bomba termasuk dari unit skuba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sejak kelmarin.
“Bagaimanapun, disebabkan keadaan hujan, kami gagal menemui mangsa sehinggalah pagi ini. Mayatnya ditemui terapung berdekatan tebing tasik,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sulaiman dipercayai tergelincir ketika bermain hujan bersama rakannya berdekatan longkang kira-kira pukul 5.30 petang.
Gerakan mencari kemudian dijalankan oleh anggota Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dengan bantuan penduduk setempat.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.
8,000 guru sandaran bimbang tidak dapat gaji bulan ini – Utusan
8,000 guru sandaran bimbang tidak dapat gaji bulan ini
KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kira-kira 8,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) berdepan tindakan tidak mendapat gaji bulan ini jika gagal menandatangani surat akur janji membayar balik lebihan bayaran gaji yang diterima sejak Oktober lalu.
Utusan Malaysia difahamkan masalah lebihan bayaran gaji tersebut berlaku berikutan penukaran status kontrak mereka daripada kontrak perkhidmatan (COS) kepada kontrak untuk perkhidmatan (COF) berkuat kuasa 17 Oktober lalu.
Ekoran itu ada di antara guru terbabit yang diarah membayar balik lebihan gaji berkenaan sehingga lebih RM3,000.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak GSTT, Mohd. Shamil Mohd. Nor berkata, mereka sedia mematuhi sebarang arahan dan keputusan kerajaan.
‘‘Bagaimanapun kami cuma berharap kerajaan dapat menilai semula perkara tersebut untuk keselesaan guru-guru GSTT di seluruh negara.
“Kami hanya tuntut pembelaan kepada gaji kami kerana arahan itu seolah-olah menjadikan kami tidak bergaji pada bulan Disember ini,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merujuk masalah tersebut kepada Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, pihaknya berharap kerajaan akan mengeluarkan satu garis panduan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya diberitahu mereka perlu tanda tangan surat akur janji bayaran balik itu esok (15 Disember).
“Bahkan saya difahamkan ada sekolah yang telah sedia untuk menahan gaji-gaji mereka pada bulan Disember (jika tidak menandatangani surat akur janji bayaran balik),’’ katanya.
Bagi mencari penyelesaian, Pemuda UMNO mengemukakan tiga tuntutan kepada kementerian iaitu penangguhan arahan pembayaran, pengecualian terus bayaran semula gaji dan penyelerasan semula gaji.
“Harap bayaran itu dapat dikecualikan kerana mereka berkhidmat secara kontrak dan tanpa caruman,’’ katanya.