Nasib ibu dua anak hidup melarat akhirnya terbela – Kosmo


Nasib ibu dua anak hidup melarat akhirnya terbela

MD. NOOR (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan segera berupa wang tunai dan makanan kepada Maryam dan anak-anaknya di Kampung Pulau Gajah, Sabak, Kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Nasib seorang ibu dan dua anaknya yang hidup dalam kedaifan di Kampung Pulau Gajah, Sabak dekat sini selepas ditinggalkan suami dua tahun lalu akhirnya terbela.

Selepas kisah duka hidup Maryam Mat Deris, 45, bersama dua anaknya, Mohd. Suhaimi Napi Husin, 15, dan Nordiana, 2, disiarkan akhbar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberi bantuan.

Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, pihaknya hadir bersama sumbangan berupa makanan selain wang tunai untuk membantu meringankan beban keluarga tersebut yang jelas menjalani kehidupan yang sukar ekoran tidak mempunyai sumber kewangan.

Menurutnya, selain sumbangan segera itu, pihaknya telah meluluskan Skim Bantuan Kanak-Kanak kepada dua anak Maryam dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan bermula bulan ini.

“Kita juga akan merujuk kepada pihak berkenaan untuk mengenal pasti sama ada keluarga ini tersenarai atau tidak sebagai penerima bantuan e-Kasih dan sekiranya tidak, kita akan sedaya upaya membantu membuat permohonan.

“Mengenai persekolahan Mohd. Suhaimi, kita akan merujuk kesnya kepada Pejabat Pelajaran Daerah sama ada dia boleh kembali ke sekolah kerana saya difahamkan dia berhenti ketika di tahun dua lagi,” katanya.

SBPA: CUEPACS mahu jumpa PM – Kosmo


SBPA: CUEPACS mahu jumpa PM


 

KUALA PERLIS – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Disember ini bagi menjelaskan mengenai bantahan terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman (gambar) berkata, dalam pertemuan itu CUEPACS akan turut membangkitkan mengenai kelemahan yang wujud dalam skim berkenaan.

Menurut beliau, pada masa kini CUEPACS memutuskan menolak tawaran SBPA kerana dilaksanakan dalam masa yang singkat serta tanpa rundingan dengan kongres tersebut.

Berikutan itu, katanya, kesatuan tersebut yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mahu rundingan lanjut diadakan bagi membincangkan mengenai skim berkenaan.

“Setelah ahli CEUPACS bermesyuarat hari ini (semalam), kami membantah SBPA kerana mendapati banyak perkara yang tidak jelas dalam tawaran berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas selama dua hari bagi membincangkan tawaran SBPA di sini.

SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300.

Menurut Omar, pihaknya menasihati ahlinya agar tidak menandatangani tawaran SBPA sehingga rundingan lanjut dengan Perdana Menteri dijalankan.

Ibu bapa sibuk, anak boleh sakit mental – Kosmo


Ibu bapa sibuk, anak boleh sakit mental

 

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

 

PUTRAJAYA – Ramai remaja dan kanak-kanak di negara ini mengalami masalah kesihatan mental disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat termasuk ibu bapa sibuk bekerja dan tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi anak-anak.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tong Lai, isu masalah kesihatan mental kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun meningkat daripada 12.3 peratus pada tahun 1996 kepada 19.1 peratus tahun ini.

“Peningkatan yang sama juga berlaku di kalangan remaja berusia 15 dan 16 tahun daripada 13.4 peratus pada 1996 kepada 22.2 peratus pada tahun ini,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

Masalah tersebut dikesan melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan peningkatan terhadap isu kesihatan mental di kalangan golongan berkenaan pada tahun ini berbanding kajian 2006.

Tinjauan itu turut menunjukkan peningkatan terhadap masalah obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, tabiat merokok, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan di kalangan masyarakat negara ini.

Tiong Lai memberitahu, kajian itu walaupun tidak mengkaji punca berlakunya peningkatan berkenaan tetapi beliau berpendapat masalah kesihatan mental itu berpunca daripada ramai ibu bapa yang sibuk bekerja dan tiada masa mengetahui masalah yang dihadapi anak-anak mereka.