30 sekolah dipilih jalani projek tenaga solar – Bernama


30 sekolah dipilih jalani projek tenaga solar

2011/12/17

SEKINCHAN: Sebanyak 30 sekolah khususnya di kawasan luar bandar akan dipilih tahun depan untuk menjalani projek tenaga solar dalam usaha membangun dan mempromosikan keupayaan teknologi sumber tenaga diperbaharui itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata projek itu akan dilaksanakan penjana tenaga bebas (IPP) dengan pembiayaan menerusi dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) di bawah kendalian kementeriannya.

“Projek ini akan dijalankan di 30 sekolah terpilih mulai tahun depan, didahului sebuah sekolah di Parlimen Sungai Besar,” katanya selepas melancarkan Karnival Komuniti Hijau Peringkat Selangor bertemakan ‘1 Hijau 1 Komuniti’ anjuran kementerian berkenaan di sini, hari ini.

Peter Chin berkata, tenaga solar yang dihasilkan di sekolah itu kelak akan disalurkan menerusi talian kabel Tenaga Nasional Berhad untuk dijual kepada syarikat utiliti itu.

Peter Chin berkata, lima sekolah di negara ini sudah menjalani projek perintis tenaga solar itu sebelum ini.

Beliau berkata, program itu adalah usaha kementerian untuk mendidik dan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Pelbagai insentif kewangan turut disediakan bagi menggalakkan syarikat swasta mengambil langkah serius mengamalkan aplikasi teknologi hijau dalam penghasilan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya. – BERNAMA

CUEPACS perlu perjelas rasa tidak puas hati terhadap opsyen SBPA – Bernama


CUEPACS perlu perjelas rasa tidak puas hati terhadap opsyen SBPA

2011/12/17

SERI KEMBANGAN: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr SSubramaniam, berkata perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.

“Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar” di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut CUEPACS akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Isnin ini bagi membincangkan mengenai SBPA yang disifatkan tidak begitu adil.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata skim baru yang ditawarkan itu bukan satu paksaan, malah terpulang kepada kakitangan kerajaan untuk menerima tawaran atau kekal dengan sistem lama.

Konvensyen yang dihadiri perwakilan dari 20 negara itu diadakan bagi membincangkan isu hak asasi untuk golongan terpinggir serta memperjuangkan konsep dan prinsip kesamarataan selaras dengan falsafah dan ajaran Dr B.R. Ambedkar.

Beliau adalah seorang pakar undang-undang India, pemimpin politik, ahli falsafah, antropologi dan ekonomi, serta antara pengasas negara India merdeka. – BERNAMA

Pelajar, teman lelaki berdepan hukuman gantung – Kosmo


Pelajar, teman lelaki berdepan hukuman gantung

ZULKEFLY (tengah) dan Inspektor Azman Marwaji (kanan) menunjukkan paket cili sos dan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Kulaijaya semalam.

 

KULAIJAYA – Seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditahan bersama teman lelakinya berusia 32 tahun berdepan hukuman gantung kerana dipercayai memiliki dadah jenis heroin seberat kira-kira 19 gram dan syabu 1.4 gram bernilai RM1,000 di Kulai Besar di sini kelmarin.

Ketika serbuan pada pukul 8.30 malam di rumah sewa lelaki itu, pasangan berkenaan dipercayai sedang membungkus dadah dengan melekatnya di belakang paket sos cili.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, polis turut menjumpai sepaket plastik lutsinar berisi heroin seberat 19 gram dan enam paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 1.4 gram di atas meja dalam sebuah bilik.

“Ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala teman lelakinya tidak bekerja,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kes tersebut, katanya, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan mereka direman sehingga Khamis depan.

1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta – Utusan


1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta

SEBAHAGIAN pelajar IPTA gembira sambil melaungkan slogan 1Malaysia selepas menerima replika cek Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM260,000,000 yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

 

PUTRAJAYA 16 Dis. – Seramai 1.3 juta penuntut yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan pelajar sekolah menengah di tingkatan enam layak menerima baucar buku bernilai RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012, baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM260 juta untuk diagihkan kepada penuntut-penuntut tersebut yang dikategorikan sebagai aktif.

Katanya, pemberian baucar tersebut diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan pun Doktor Falsafah (PhD) secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.

“Semua pelajar warga Malayasia yang aktif dan berdaftar dalam tempoh Januari hingga Mac tahun depan di institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/S), politeknik, matrikulasi/asasi mahu pun di peringkat pengajian persediaan layak menerima dengan syarat daftar sebelum hujung Mac.

“Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi kementerian tersebut di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, tempoh sah laku baucar tersebut hanya selama tiga bulan iaitu bermula pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, penuntut boleh menebus baucar itu di mana-mana kedai buku yang menyertai program tersebut namun dilarang menebus dengan wang tunai.

Pemandu lori dituduh perdagang remaja – Metro


Pemandu lori dituduh perdagang remaja

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan memperdagang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di negeri ini yang baru berusia 15 tahun untuk tujuan pelacuran.

Tertuduh, Suriah Sulong, 34, dari Taman Tun Sri Lanang, dekat sini, membuat pengakuan itu sejurus mendengar dan diterangkan mengenai pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Suriah didakwa memperdagangkan pelajar berusia 15 tahun itu bagi maksud eksploitasi seks di Hotel Coastal Park, Ujong Pasir, dekat sini, Ogos lalu.

 

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, sabit kesalahan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi membebaskan Suriah yang ditangkap pada 7 Disember lalu, sementara menunggu perbicaraan kesnya selesai.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana tidak mampu.

 

 

Zaharah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan lantikan peguam pada 25 Januari tahun depan.

 

‘Baik ibu bapa, baiklah anak’ – Metro


‘Baik ibu bapa, baiklah anak’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Didikan bermula dari rumah dan buruk baik tingkah laku anak, ibu bapalah yang mencorakkannya,” kata Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiyah Hassan.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai pengakuan seorang gadis berusia 19 tahun yang tidak pernah diberikan didikan agama oleh keluarga hingga menjadi bohsia sejak berusia 15 tahun.
Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, keluarganya memang orang berada dan tahu dia terbabit masalah sosial seperti minum arak, mengambil dadah dan mengamalkan seks bebas namun tidak melakukan apa-apa termasuk menasihatinya. Zawiyah berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak untuk menjadi manusia berguna dan berakhlak, malah merekalah yang menjadi model ikutan anak-anak sejak kecil lagi.

 

“Jika ibu bapa sendiri mengabaikan agama, bagaimana mereka mahu mempersiapkan anak ke arah kebaikan. Jika anak dididik dengan baik, jadilah mereka baik, begitu juga sebaliknya.
“Ada juga ibu bapa bernasib baik kerana anak mereka menjadi manusia berakhlak walaupun mereka tidak memberi didikan yang baik di rumah. Ia mungkin kerana faktor persekitaran dan pengaruh rakan sebaya yang mengajak ke arah kebaikan,” katanya. Bagaimanapun, kebiasaannya perlakuan ibu bapalah yang menjadi contoh kepada anak manakala pegangan agama pula penting kerana ia sendiri sudah menunjukkan semua perkara baik dan positif.
“Rasulullah sendiri mengatakan anak yang baru dilahirkan ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka,” katanya.

 

 

Mengenai kes gadis berkenaan, Zawiyah berkata belum terlambat baginya untuk kembali ke pangkal jalan dan segeralah bertaubat kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk hamba-Nya.

Rentung dalam tempayan – Metro


Rentung dalam tempayan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HANGUS...keadaan tapak  Rumah Panjang Lembong, Kuala Medalam, Entakong Medamit yang musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.
HANGUS…keadaan tapak Rumah Panjang Lembong, Kuala Medalam, Entakong Medamit yang musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

TRAGIS...ibu  Sofizza Camella meratapi mayat  anaknya yang ditemui mati dalam tempayan, malam kelmarin.
TRAGIS…ibu Sofizza Camella meratapi mayat anaknya yang ditemui mati dalam tempayan, malam kelmarin.

LIMBANG: Dua kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila masing-masing ditemui terduduk dalam tempayan bilik mandi dan rentung dalam bilik tidur selepas Rumah Panjang Lembung, Kuala Medalam, Entakong Medamit dekat sini, yang didiami 200 penghuni musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Tragedi memilukan berlaku ketika kanak-kanak malang, Sofizza Camella anak Abang, 6, dikatakan terperangkap dalam kebakaran dan cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi dalam tempayan berisi air, sebelum ditemui dalam keadaan menyedihkan termasuk kesan melecur pada seluruh badannya.
Seorang kanak-kanak lelaki, Alexiss Jipo anak Juli berusia 32 bulan pula ditemui rentung dalam bilik tidurnya selepas gagal diselamatkan jiran yang terdengar kanak-kanak itu menangis dalam kejadian yang memusnahkan rumah panjang 33 pintu, jam 10.30 malam.

 

Ketika kejadian, Alexiss tidur dalam bilik, manakala Sofizza ditinggalkan bersama neneknya berusia 60-an selepas ibu bapa kanak-kanak malang terbabit keluar menziarahi penduduk rumah sama yang sakit.
Sebelum kejadian, Sofizza Camella dan Alexiss berada di rumah masing-masing, yang jaraknya dipisahkan beberapa pintu rumah, dikejutkan dengan tangisan seorang kanak-kanak sebelum api menjulang dari rumah nombor 12.
Difahamkan, tangisan Alexxis didengari seorang jiran, Satie anak Barol yang mendiami rumah bersebelahan sebelum bergegas keluar bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit, tetapi tidak berjaya.

 

 

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, Sofizza dikatakan berjaya diselamatkan neneknya sebelum ditempatkan di bahagian ruai rumah panjang berkenaan.
Beliau berkata, sejurus menyelamatkan kanak-kanak itu, warga emas terbabit masuk semula ke rumah ketika api sedang marak bagi menyelamat beberapa dokumen penting tanpa menyedari cucunya itu mengikut dari belakang.

 

“Sebaik keluar, barulah wanita itu menyedari cucunya hilang sebelum menemuinya terduduk dan sudah tidak bernyawa dalam tempayan. Polis percaya kanak-kanak terbabit terperangkap ketika masuk semula ke dalam rumah, tetapi gagal mencari pintu keluar, sebelum masuk ke dalam tempayan berisi air bagi menyelamatkan diri.
“Siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada pelita di bilik tidur kanak-kanak lelaki terbabit sebelum merebak ke rumah lain.
“Usaha menyelamat yang dilakukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat berdepan kesukaran berikutan lokasi terbabit tidak dapat dihubungi melalui jalan darat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis mendapatkan bantuan helikopter daripada Unit Udara Polis Diraja Malaysia yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, bagi membawa doktor dari Hospital Limbang bersama pegawai penyiasat, Cif Inspektor Khairol Ridzuan Ahmad untuk melakukan bedah siasat di lokasi kejadian.
Mohd Bukhori berkata, penduduk rumah panjang membabitkan 200 penghuni cuba memadam api, tetapi tidak berjaya berikutan usia rumah panjang itu sudah lama selain diperbuat daripada kayu.
Katanya, mayat dua kanak-kanak malang terbabit diperiksa di lokasi kejadian memandangkan polis berdepan kesukaran mengeluarkannya untuk dibawa ke Hospital Limbang.
“Kanak-kanak lelaki terbabit rentung, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan melecur 80 peratus. Siasatan mendapati, tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Difahamkan, pihak berkuasa menempuh perjalanan dua jam untuk tiba di tempat kejadian menggunakan jalan darat dari Kuala Medalam, sebelum menaiki bot selama 30 minit.
Sementara itu, nasib keluarga kanak-kanak serta penghuni rumah panjang berkenaan mendapat simpati Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang yang turut melawat tempat kejadian dan menghulurkan bantuan awal.