Keputusan PMR diumum Khamis ini – Bernama


Keputusan PMR diumum Khamis ini

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 akan diumumkan Khamis ini.

Menurut satu kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, analisis keputusan PMR akan diumumkan di Putrajaya pada hari berkenaan.

“Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari sama,” menurut kenyataan itu.

Mulai tahun ini, kementerian memperkenalkan khidmat semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi Khamis hingga 12 tengah malam, 28 Disember.

 
Maklumat lanjut berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) itu boleh diperoleh di laman sesawang kementerian http://www.moe.gov.my.

Seramai 481,292 calon menduduki peperiksaan PMR di seluruh negara tahun ini. – Bernama

7,079 guru STT ditawarkan ikuti kursus perguruan – Bernama


7,079 guru STT ditawarkan ikuti kursus perguruan

2011/12/19

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.

Beliau berkata, adalah antara 13,184 GSTT yang sudah berkhidmat sejak Jun tahun lalu dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya sudah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.

“Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT.

“Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSTT yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri,” katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini hari ini.

Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan.
“Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara “contract of service”.

“Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang…secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu,” katanya.

Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara “contract of service”, pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT.

Wee berkata, Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa semua GSST berkenaan tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lalu.

“Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap sudah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi,” katanya. – BERNAMA

KEPUTUSAN SEMAKAN LATIHAN PERGURUAN BAGI GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) AMBILAN DISEMBER 2011 MOD SEPENUH MASA


KEPUTUSAN SEMAKAN LATIHAN PERGURUAN BAGI GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) AMBILAN DISEMBER 2011 MOD SEPENUH MASA

Sukacita dimaklumkan bahawa Keputusan Semakan Latihan Perguruan bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa boleh dibuat mulai 19 Disember 2011 melalui url http://apps.moe.gov.my/abpg/gstt_tawar/ 

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH TAHUN 2011


KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH TAHUN 2011


KENYATAAN AKHBAR

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
PENILAIAN MENENGAH RENDAH
TAHUN 2011

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan PMR 2011 akan diadakan pada hari Khamis, 22 Disember 2011 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat UtamaAras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.
Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.
Untuk makluman, peperiksaan bertulis PMR 2011 telah berlangsung pada 4, 5, 6, 10 dan 11 Oktober 2011. Seramai 481,292orang calon telah menduduki PMR pada tahun ini di 3,521 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Mulai tahun ini juga Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi22 Disember 2011 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam28 Disember 2011. Bersama ini dilampirkan bahan promosi perkhidmatan yang dikeluarkan oleh MAMPU untuk rujukan.
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
20 Disember 2011

KEPUTUSAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) MELALUI SMS


KEPUTUSAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) MELALUI SMS

Mulai tahun ini juga Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 22 Disember 2011 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 28 Disember 2011.

Dua beradik derita sering dicabul abang – Metro


Dua beradik derita sering dicabul abang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: Dua beradik perempuan termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) yang tidak tahan menanggung derita apabila kerap dicabul abangnya bertindak melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum suspek ditahan, Jumaat lalu.

Sumber berkata, dua gadis berusia 17 dan 20 tahun berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kulim selepas tidak tahan dengan perbuatan terkutuk abang mereka yang berusia 21 tahun yang didakwa sering mencabul mereka ketika berada di rumah.
Menurutnya, abang mangsa didakwa sering mengambil kesempatan terhadap adik-adiknya itu, tetapi perkara berkenaan hanya didiamkan sahaja kerana mereka bergantung harapan kepada lelaki terbabit termasuk menanggung keperluan hidup seperti makan dan tempat tinggal.

 

“Bagaimanapun, akibat sudah tidak tertahan dengan kekerapan perbuatan sumbang abang mereka, kedua-dua mangsa nekad membuat laporan polis kejadian itu sebelum suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan selanjutnya.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Tuah guru saat akhir – Metro


Tuah guru saat akhir

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2, Jasin, tidak menyangka penyertaannya dalam cabutan bertuah di gerai Metro Ahad 30 minit sebelum penyertaan ditutup, membawa tuah kepada dirinya.

Muhammad Nur Mohamad, 29, diumumkan pemenang cabutan bertuah dan membawa pulang hadiah utama sebuah motosikal DV110D bernilai RM4,300 tajaan Demak Marketing Sdn Bhd sempena Karnival Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM) di Dataran 1Malaysia, Klebang, dekat sini.
Menurutnya, dia tidak menyangka penyertaannya pada saat akhir membolehkannya memenangi motosikal berkenaan yang diimpikan sejak sekian lama.

 

“Saya berniat membeli motosikal dan bersyukur dengan rezeki hari ini (kelmarin). Saya menyertai cabutan bertuah itu 30 minit sebelum ia ditutup.
“Tidak sia-sia saya membelanjakan RM60 membeli barangan dan ahkbar Harian Metro bagi mendapatkan dua borang penyertaan cabutan bertuah ini,” katanya yang ditemui selepas menerima hadiah berkenaan di sini, semalam.
Hadiah disampaikan Pengurus syarikat Motor Chang Sdn Bhd yang juga wakil pengedar motosikal Demak di negeri ini, Vong Yuh Sheng dengan disaksikan Pengarang Berita Metro Ahad, Manan Samad.

 

 

Bapa kepada lima anak itu berkata, penganjuran karnival seperti KGHM perlu diteruskan bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mendekati warga Harian Metro.
Dalam pertandingan itu, empat hamper diberikan kepada pemenang sampingan pertandingan berkenaan.

 

Terdahulu suasana gerai Metro Ahad meriah dengan kunjungan ribuan pengunjung yang menyaksikan permainan madhop diketuai pelopornya, Mohammad Naim Mohammad Isa, 26. Pengunjung turut berpeluang mencuba madhop secara percuma.

Ugut lari gadis – Metro


Ugut lari gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARANG: Seorang gadis berusia 19 tahun berdepan saat mencemaskan apabila dia diugut untuk dilarikan empat perompak yang memecah masuk rumah keluarganya di Kampung Kelulut, di sini, kelmarin.

Anina Alias berkata, perompak terbabit membuat ugutan itu bagi mendapatkan barangan berharga daripada keluarganya dalam kejadian jam 3 pagi.
Katanya, sebelum itu dia yang tidur dikejutkan seorang daripada empat perompak terbabit yang masuk ke biliknya.

 

“Bilik saya tidak berkunci menyebabkan dia mudah masuk sebelum mengarahkan saya bangun dan mengikutnya ke bilik ibu. Setiba di situ, saya terkejut melihat semua ahli keluarga berada di dalam bilik itu,” katanya.
Menurutnya, kecuali adik perempuannya berusia 10 tahun, perompak terbabit mengikat kaki dan tangan ibu bapanya, Hawa Bakar, 52, dan Alias Ahmad, 61, serta abang, Mohd Azmeer, 22, dan seorang adik lelakinya berumur 14 tahun.
“Saya mendengar seorang perompak bertubuh gempal mengugut melarikan saya jika tidak mendapat barangan berharga dan mengarahkan ibu menyerahkan semua barangan berharga yang ada dalam rumah.

 

 

“Kata-kata perompak itu menyebabkan saya menangis kerana bimbangkan keselamatan diri. Dalam hati, saya berdoa agar tidak diapa-apakan,” katanya.
Bagaimanapun, dia lega apabila perompak berkenaan beredar jam 3.45 pagi selepas memperoleh hasil diinginkan.

 

Kejadian itu menyebabkan keluarga Nor Anina kerugian RM80,000 apabila wang tunai RM7,000, barangan kemas, komputer riba dan telefon bimbit milik mereka dilarikan perompak terbabit.

Bernafas dalam lumpur – Metro


Bernafas dalam lumpur

Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Dua sahabat terselamat walaupun terbenam selama setengah jam dalam lumpur akibat ditindih sebuah kereta yang merempuh mereka dalam kejadian di Batu 4, Jalan Penrissen di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 17 dan 21 tahun itu terselamat apabila motosikal dinaiki dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita menyebabkan mereka terpelanting ke dalam longkang sebelum ditindih kenderaan berkenaan.
Menurut pemandu kereta berusia 37 tahun itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke rumah seorang rakan di kawasan berkenaan sebelum merempuh motosikal mangsa ketika hendak membuat pusingan di Jalan Datuk Tawi Sli.

 

“Saya tidak menyedari terdapat sebuah motosikal di sebelah kereta saya ketika membuat pusingan untuk patah balik ke Batu 4, menyebabkan saya tidak sempat menekan brek dan merempuh mereka,” katanya.
Katanya, akibat gagal mengawal kenderaannya selepas rempuhan itu, keretanya terbabas ke dalam longkang di tepi jalan dan pada masa sama juga dua pemuda yang menunggang motosikal berkenaan terperangkap di bawah kereta.
“Saya terkejut apabila mendapati kedua-dua mangsa terbaring dalam longkang dan ditindih kereta saya. Mujur longkang itu kering, namun berlumpur dan mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat.

 

 

“Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu selama kira-kira setengah jam sebelum dapat dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.
Difahamkan, seorang daripada lelaki berkenaan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi mengalami luka di badan dan menerima rawatan di wad biasa HUS.

Dua beradik digulung ombak – Metro


Dua beradik digulung ombak

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANDAR PENAWAR: “Ini kali pertama keluarga kami berkelah di sini dan dalam tempoh setengah jam, saya kehilangan dua anak sekali gus,” kata Zuraini Adnan, 47, ketika ditemui di Pantai Desaru di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dua anak Zuraini, Mohd Fazli Fauzi, 23, yang juga pekerja kilang dan adiknya, Zulkhairi, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Seni Johor Bahru, lemas dihanyutkan ombak ketika mandi laut.
Bapa dua beradik itu, Mohd Fauzi Aliuddin, 49, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, cuba membantu, tetapi dia sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan pengunjung lain.

 

Zurani berkata, keluarganya berasal dari Tiram sampai di pantai itu pada jam 12 tengah hari untuk berkelah sempena hujung minggu.
“Ini kali pertama kami sekeluarga berpeluang berkelah di sini dan ketika kejadian saya berada di tepi pantai bersama anak yang lain manakala Fazli dan Zulkhairi pula mandi.
“Entah bagaimana, kedua-duanya tiba-tiba dihanyutkan ombak. Suami cuba membantu, tetapi tidak berdaya, saya cukup sedih kehilangan dua anak sekali gus,” katanya yang reda dengan kejadian itu dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

 

 

Saksi kejadian, Mohd Nabil Shafie, 26, berkata, sebelum kejadian, dia menemani adiknya di gigi air dan melihat dengan jelas dua beradik itu berenang kira-kira 30 meter dari pantai.
“Tiba-tiba ombak besar memukul kawasan mereka mandi. Saya nampak ombak menggulung dua beradik itu ke laut.

 

“Mereka tenggelam kerana gagal berenang, bapa mereka cuba membantu, tetapi dia juga nyaris lemas sebelum dibantu pengunjung lain. Jenazah Fazli ditemui tidak lama kemudian apabila dihanyutkan ombak ke pantai, tetapi adiknya masih hilang,” katanya.
Menurut Nabil, keadaan laut yang bergelora dengan ombak besar menyebabkan orang ramai yang bersimpati terhadap keluarga berkenaan tidak mahu mengambil risiko turun ke laut kerana bimbang turut menjadi mangsa.
Suasana di pantai berkenaan pula seolah-olah sepi dengan sebahagian besar pengunjung bertumpu di gigi pantai dengan harapan dapat menemui Zulkhairi, tetapi sehingga malam tadi, mayatnya belum ditemui.
Keluarga dua beradik itu pula ditenangkan orang ramai yang turut bersimpati dengan tragedi terbabit.
Jenazah Fazli kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT).