Jangan tandatangan borang opsyen kosong: CUEPACS – Bernama


Jangan tandatangan borang opsyen kosong: CUEPACS

2011/12/20

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Loke Yim Pheng hari ini menasihatkan penjawat awam supaya tidak menandatangani borang opsyen kosong kerana ia adalah dokumen amat penting yang akan menentukan kenaikan pangkat dan prospek kerjaya mereka di masa depan.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memastikan borang berkenaan diisi dengan jadual gaji yang betul sebelum mereka menandatanganinya.

Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kesatuan perguruan terbesar negara dan ahli gabungan CUEPACS, memberitahu BERNAMA pihaknya menerima aduan bahawa ada guru “dipaksa” menandatangani borang opsyen kosong.

“Kami amat bimbang dengan perkara ini dan menggesa ketua jabatan untuk tidak memaksa staf mereka menandatangani borang kosong hanya kerana tarikh akhir untuk menandatangani borang itu semakin hampir,” katanya.

Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberikan opsyen untuk memilih skim gaji baru dan diberi tempoh sehingga 30 Disember untuk mengembalikan borang mereka. Jika mereka gagal berbuat demikian sehingga tarikh akhir itu, mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sedia ada.

Loke berkata, CUEPACS turut prihatin dan bimbang dengan nasib kira-kira 200,000 penjawat awam di Gred 17 N, W dan F kerana mereka diberikan tawaran kurang memuaskan.

Beliau menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan penjelasan mengenai skim baru itu kerana kebanyakan penjawat awam masih keliru dan tidak tahu berapa banyak manfaatnya kepada mereka. – BERNAMA

UPSI siasat pelajar ‘biadab’ – Berita Harian


UPSI siasat pelajar ‘biadab’
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2011/12/20

DR ZAKARIA (kiri) berkata sesuatu selepas menerima memorandum bantahan  daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim bersama parti komponen BN dan NGO serta wakil penduduk di hadapan pintu masuk utama UPSI,  Tanjung Malim, semalam.

DR ZAKARIA (kiri) berkata sesuatu selepas menerima memorandum bantahan daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim bersama parti komponen BN dan NGO serta wakil penduduk di hadapan pintu masuk utama UPSI, Tanjung Malim, semalam.

Jawatankuasa khas kumpul bukti tindakan turun bendera papar gambar PM

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat seorang pelajarnya yang didakwa bersikap biadap menurunkan bendera memaparkan gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam kejadian di Dataran Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Sabtu lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof Madya Dr Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, sedang mengumpul bukti termasuk gambar yang disiarkan beberapa laman blog berhubung pembabitan pelajar terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Katanya, selepas penyiaran berita dan gambar berhubung pembabitan pelajar UPSI terbabit, pihak universiti beberapa kali cuba mencari dan menghubungi pelajar berkenaan untuk mendapatkan penjelasan tetapi tidak berhasil kerana telefon bimbitnya ditutup selain tiada di sekitar kampus.

“Pihak universiti sendiri tidak merestui perbuatan pelajar terbabit apatah lagi bakal menjadi pendidik. UPSI memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya kerana jika benar dia bertindak demikian, ia jelas menjatuhkan imej UPSI pada mata masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum bantahan dari UMNO Bahagian Tanjung Malim bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil penduduk meminta UPSI mengambil tindakan tegas terhadap pelajar itu di depan universiti terbabit, semalam.

Pelajar semester lima Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) berusia 23 tahun yang juga peserta demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), didakwa menurunkan bendera tertera gambar Najib serta menggantikannya dengan bendera perhimpunan berkenaan Sabtu lalu.
Kejadian dikatakan berlaku apabila kumpulan mahasiswa membabitkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menuntut pemansuhan AUKU.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang mengetuai penyerahan memorandum berkenaan berkata, kejadian itu jelas menunjukkan sikap biadap pelajar terbabit sekali gus menjejaskan nama baik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khususnya UPSI.

2 beradik mengaku salah – Metro


2 beradik mengaku salah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar yang baru selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya berusia 21 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menyimpan sebuah kereta Proton Wira milik seorang jururawat yang dilaporkan hilang.

Tertuduh, juvana berusia 17 tahun dan abangnya, Mohd Firdaus Azmi, 21, berasal dari Jertih, Besut mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki barang curi.
Mengikut pertuduhan, dua beradik itu bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa dengan curangnya menyimpan barang curi iaitu kereta Proton Wira milik Rosilawati Daud, 35, di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut jam 7.30 malam, 4 Disember lalu.

 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebaik pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, Noradila membenarkan pelajar berkenaan dilepaskan dengan jaminan RM2,000 sementara menunggu 29 Januari depan untuk penghakiman kes selepas mendapatkan laporan akhlak tertuduh yang masih di bawah umur.
Beliau juga menetapkan tarikh sama menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Firdaus yang tidak boleh diikat jamin kerana berdepan tuduhan lain.

 

 

Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah sama juga, Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah melupuskan harta curi iaitu sebuah kereta Proton Wira milik seorang buruh, Mohd Ismail Ali, 39.
Tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan pilihan, Seksyen 414 KK iaitu melupuskan sebuah kereta Proton Wira berkenaan yang berharga RM10,000.

 

Kereta itu dikatakan hilang di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, antara jam 2 petang hingga 7 malam pada 28 Disember tahun lalu.
Noradila menjatuhkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap apabila kedua-dua beradik itu ditahan ketika meleraikan komponen kereta dicuri di belakang sebuah rumah di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 4 Disember lalu.
Akhbar semalam melaporkan, seorang bapa dipercayai merekrut dua anak lelaki bagi mengikut jejaknya menjalankan aktiviti mencuri dan menjual kenderaan secara berkumpulan meskipun seorang daripada anaknya masih di bawah umur dan baru selesai menduduki SPM.

Pendidikan Islam di sekolah Cina – Bernama


Pendidikan Islam di sekolah Cina

 

Oleh HAMDAN ISMAIL

 

MAJLIS khatam al-Quran enam pelajar SJK (C) Chung Hua Pujut membanggakan guru-guru agama di sekolah itu.

 

BACAAN ayat-ayat suci al-Quran bergema memenuhi ruang dewan terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Chung Hua Pujut, Miri, Sarawak baru-baru ini.

Di atas sebuah astaka mini, empat pelajar Islam tahun enam sekolah itu khusyuk memperdengarkan bacaan mereka dengar lancar dalam sebuah majlis khatam al-Quran.

Biarpun berlangsung dalam keadaan yang amat sederhana, majlis itu tetap unik dan meriah khususnya buat keempat-empat pelajar yang terlibat ekoran latar belakang keluarga mereka yang kesemuanya bukanlah terdiri daripada anak Melayu tulen.

Bacaan yang diperdengarkan oleh Mohamad Naim Kasri, Shaqeem Valinton, Hijazida Hamdan dan Jhony Mohamad Ali pada hari itu mengesahkan satu lagi pencapaian buat Ali Sagir. Ali merupakan guru pendidikan Islam yang mereka kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu enam tahun lalu.

Mesra dengan panggilan Ustaz Ali, guru agama yang berasal dari Pahang itu berbangga dengan pencapaian anak didiknya menamatkan pengajian al-Quran mereka sebelum menamatkan pendidikan di sekolah itu.

“Sebenarnya jumlah pelajar Islam tahun enam di sini memang sedikit. Biarpun jumlah mereka sedikit, hasrat kami adalah untuk memastikan mereka dapat membaca al-Quran dengan baik sebelum tamat persekolahan mereka.

“Ibu bapa mereka pun beria-ia benar meminta saya mengadakan majlis khatam al-Quran di sekolah sebagai tanda pencapaian anak-anak mereka. Jadi kami buat majlis ini dengan kerjasama ibu bapa mereka,” katanya.

Sekolah tunggal

Ali berkata, SJK(C) Chung Hua Pujut adalah satu-satunya sekolah aliran Cina di Miri yang melaksanakan program j-QAF iaitu program yang bertujuan untuk memperkasa pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardhu Ain.

Bermula dengan hanya beliau seorang di sekolah itu sebagai guru khusus dalam pendidikan Islam, sekolah itu kini mempunyai dua lagi tenaga pengajar bagi membantunya melaksanakan program j-QAF.

Tidak seperti di sekolah kebangsaan, kekerapan waktu yang diperuntuk untuk pendidikan Islam adalah enam kali seminggu, sebaliknya di SJK(C) Chung Hua Pujut pendidikan Islam diperuntukkan sebanyak empat kali.

Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada Ali untuk menjalankan tugasnya. Beliau secara sukarela mengadakan kelas mengaji untuk pelajarnya berikutan permintaan daripada ibu bapa.

“Peranan yang dimainkan oleh ibu bapa pelajar ini juga amat saya hargai kerana mereka amat prihatin demi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran agama biarpun berada di sekolah aliran Cina,” katanya.

Ali menyifatkan sokongan yang diberikan oleh pihak pentadbiran SJK(C) Chung Hua Pujut, khususnya guru besarnya, Chuo Kwong Ung dan guru-guru lain telah membolehkannya menjalankan amanah sebagai guru agama sekolah itu dengan baik.

“Mereka amat terbuka setiap kali kami menyuarakan saranan dan sudah sekian lama berada di sekolah ini, saya merasakan kepentingan terhadap pendidikan Islam untuk pelajar tidak pernah dipinggirkan,” katanya yang telah berkhidmat lebih sedekad di sekolah itu.

Seorang lagi tenaga pengajar program itu, Nor Akmal Mohamad Zain berkata, beliau melalui pengalaman mengajar yang menarik sejak mula menjejakkan kaki di sekolah itu sejak 10 bulan lalu.

Kejutan

Anak kelahiran Kelantan yang juga merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan pada mulanya agak terkejut menerima arahan untuk ditempatkan di sekolah aliran Cina.

“Daripada sejumlah 50 orang pelatih kursus program j-QAF ini, saya seorang sahaja yang dihantar untuk mengajar di sekolah aliran Cina,” katanya mengingati semula waktu beliau menerima arahan mengajar di sekolah itu.

Bagaimanapun, segala kerunsingan yang dirasakan sewaktu mula menjejak kaki ke sekolah itu hilang apabila beliau tidak mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baharu itu.

Menurut Nor Akmal, pelatih di bawah program j-QAF akan dihantar ke sekolah dahulu untuk menimba pengalaman praktikal dan semasa cuti sekolah mereka akan kembali untuk berkursus di institut pendidikan guru.

Kata anak muda itu lagi, tempoh latihannya di situ hanyalah selama 18 bulan. Bagaimanapun kalau ditakdirkan juga untuk terus mengajar di situ, dia tetap menerima dengan tangan terbuka. – Bernama

Budak 13 tahun curi bas kilang – Kosmo


Budak 13 tahun curi bas kilang

 

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my

 

SEREMBAN – Suasana malam di Taman Rasa Sayang di Senawang di sini yang lazimnya aman damai bertukar kecoh semalam apabila seorang budak lelaki bertindak mencuri dan memandu sebuah bas kilang sebelum melanggar enam buah kereta yang diletakkan di kawasan taman itu.

Bunyi dentuman kuat akibat bas tersebut merempuh kereta milik penduduk pada pukul 12 tengah malam menyebabkan ramai penghuni yang sudah tidur terjaga.

Mereka yang meninjau dari rumah masing-masing terkejut apabila ternampak bas tersebut dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang oleh seorang budak lelaki berusia 13 tahun.

Suasana mencemaskan selama kira-kira 10 minit itu hanya berakhir selepas bas itu dikejar beberapa penduduk yang menunggang motosikal sebelum ia berhenti di sebuah kawasan rumah kedai di taman tersebut.

Budak lelaki itu memandu bas tersebut sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi bas itu dicuri.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah masjid berhampiran sebelum terdengar bunyi satu dentuman kuat.

Ketika dia menjenguk keluar dari masjid, dia terkejut melihat sebuah bas dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sambil dikejar beberapa penduduk.

“Mereka lebih terkejut apabila melihat bas itu melanggar sebuah kereta penduduk yang diletakkan di bahu jalan.

“Bas itu terus bergerak sebelum ia melanggar lima buah kereta lagi yang diletakkan di hadapan sebuah restoran di taman itu,” kata Zulkifli ketika ditemui di sini semalam.

2 maut selepas pulang hantar jenazah – Utusan


2 maut selepas pulang hantar jenazah

KUANTAN 19 Dis. – Dua maut manakala dua lagi parah setelah van yang mereka naiki selepas baru pulang daripada menghantar jenazah di Kuala Krai, Kelantan, terbabas di Kilometer 333 Jalan Raub, hari ini.

Kenderaan milik Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, Selangor itu dipercayai hilang kawalan ketika melalu jalan tersebut pukul 11.30 pagi.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandunya, Zaini Tamsir, 42, dan penumpang di tempat duduk belakang, Saffii Sajat, 61.

Dua lagi yang cedera ialah anak Zaini, Zulhilmie, 15, yang berada di sebelah pemandu dan penumpang tempat duduk belakang, Amran Sewa, 40-an yang patah tangan kanan.

Ketua Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, semasa kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kampung Melayu Subang selepas menghantar jenazah di Kuala Krai.

“Setibanya di tempat kejadian, van jenazah itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan. Ketika kejadian cuaca cerah dan berkeadaan baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, kedua-dua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Daerah Raub manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Budak pandu bas ditahan – Utusan


Budak pandu bas ditahan

 

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my

 

RASAH 19 Dis. – Penduduk Taman Rasa Sayang di Senawang dekat sini gempar selepas sebuah bas kilang yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tiba-tiba merempuh enam buah kereta diletakkan di taman perumahan itu, tengah malam tadi.

Penduduk, Zulkifli Muhammad, 44, memberitahu, kejadian berlaku pukul 12 tengah malam ketika dia berada di sebuah masjid berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.

Sebaik sahaja menjenguk keluar, katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah bas dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sambil dikejar beberapa penduduk.

“Saya terkejut melihat bas itu melanggar beberapa buah kereta yang diletakkan di bahu jalan. Saya juga melihat beberapa penduduk mengejar bas berkenaan dan menyuruh pemandunya berhenti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia turut mengejar bas itu sebelum kenderaan tersebut berhenti di satu kawasan rumah kedai yang dalam pembinaan, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Saya kemudian melihat beberapa penduduk mengheret remaja itu yang dipercayai berasal dari Senawang, keluar dari bas sebelum menyerahkan kepada polis,” jelasnya.

Difahamkan, bas berkenaan diletakkan di taman perumahan berkenaan dan pemandunya terlupa untuk mengambil kunci kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, remaja berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita masih lagi menyiasat punca remaja itu memandu kenderaan terbabit dan kita juga akan mengambil keterangan pemilik bas serta pemilik kereta terlibat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 kerana mencuri kenderaan,” katanya.