Isu turun bendera: UPSI ambil tindakan tegas – Utusan


Isu turun bendera: UPSI ambil tindakan tegas

SEBAHAGIAN daripada ahli NGO serta wakil parti komponen BN yang mengadakan bantahan secara aman di pintu utama UPSI di Tanjung Malim, semalam.

 

TANJUNG MALIM 19 Dis. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pelajarnya yang didakwa biadab menurunkan dan menggantikan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi kelmarin.

Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Zakaria Kasa berkata, pelajar itu dikenal pasti sebagai Adam Adli, 22, yang sedang mengikuti pengajian kursus Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di universiti tersebut.

Beliau menegaskan, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat tindakan pelajar tersebut yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak sekali gus mencemarkan imej universiti pendidikan tertua negara itu.

”Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa pihak universiti tidak merestui sama sekali perbuatan Adam yang tidak mencerminkan sikap seorang pelajar yang bertanggungjawab.

”Sebagai seorang bakal pendidik, tindakannya itu amat mengecewakan kami. Jawatankuasa penyiasat sudah ditubuhkan dan tindakan paling tegas akan diambil jika dia didapati bersalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib yang mengetuai bantahan secara aman di hadapan pintu utama universiti itu hari ini.

Perhimpunan bantahan kira-kira 30 minit itu turut disertai ahli Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dan wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Tanjung Malim.

Kelmarin, kira-kira 200 ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkumpul dan berarak untuk menggesa AUKU dimansuhkan kerana didakwa, antaranya menyekat kebebasan akademik, hak untuk berpolitik, kebebasan bersuara dan diberi autonomi menjalankan pilihan raya kampus.

Sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, beberapa ahlinya ketika berpiket di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertindak menurunkan bendera yang mempunyai gambar Perdana Menteri.

Bendera tersebut adalah salah satu daripada lima yang mengibarkan gambar Najib dan semua bekas Perdana Menteri dan mereka menggantikannya dengan bendera kumpulan mereka.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Norhidayah Harun berkata, tindakan Adam itu jelas mencemarkan nama baik universiti yang sebelum ini melahirkan ramai negarawan serta tokoh pendidik.

”Ia tidak ubah seperti kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Sebagai pelajar UPSI, kami amat malu dengan tindakannya yang tidak mencerminkan sikap seorang yang berpendidikan,” tegasnya.

Pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah menengah – Utusan


Pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah menengah

JOHOR BAHRU 19 Dis. – Kerajaan bakal memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah menengah sejajar usaha meningkatkan kesedaran kepada golongan muda mulai tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pengenalan silibus berkenaan bertujuan memberi pendidikan mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya memandangkan kesedaran mengenainya dalam kalangan rakyat negara ini masih rendah.

Menurutnya, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan berkaitan keselamatan jalan raya dan akan terus berusaha mencari jalan terbaik untuk memastikan langkah yang diambil dapat diterapkan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Kata beliau, pendidikan keselamatan jalan raya telah diperkenalkan di sekolah rendah sejak empat tahun lalu.

“Kita berharap dengan pengenalan silibus itu kelak, golongan muda terutamanya, akan lebih berhati-hati apabila berada di jalan raya,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kereta api Malayan Tiger Train (MTT) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemalangan yang menyebabkan empat pelajar maut sementara dua lagi parah apabila kenderaan Toyota Innova terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 33.7, Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, empat mangsa yang terkorban ialah Ng Sin Yun, 17; Tey Jia Xin, 17; Winnie Ng, 18, dan Ching Hui Sean, 18.

Dua lagi iaitu pemandu kenderaan Toyota Innova, Victor Ng Wee Tai, 17, iaitu adik kepada Winnie dan rakan mereka, Chin Sai Xuan, 17, cedera parah.

Difahamkan kesemua mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi sedang dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi satu pameran pendidikan dan kerjaya di Persada, Johor Bahru.

MUAT TURUN SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 11 TAHUN 2011: PELAKSANAAN DASAR PEMISAH (EXIT POLICY) DALAM PERKHIDMATAN AWAM


MUAT TURUN SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 11 TAHUN 2011: PELAKSANAAN DASAR PEMISAH (EXIT POLICY) DALAM PERKHIDMATAN AWAM

 

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan keputusan Kerajaan untuk memperkukuhkan pelaksanaan dasar pemisah (exit policy) dalam Perkhidmatan Awam selaras dengan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

MUAT TURUN DI SINI: exit policy

60% GSTT lanjut pelajaran – Utusan


60% GSTT lanjut pelajaran

 

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 19 Dis. – Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang berjumlah 13,184 orang kini boleh menarik nafas lega apabila lebih 60 peratus daripadanya telah diterima masuk untuk mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan universiti awam terpilih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 7,079 guru GSTT akan dihantar mengikuti latihan perguruan selama dua tahun di IPGM dan universiti awam terpilih mulai tahun depan.

Menurutnya, pada masa sama terdapat satu kumpulan seramai 1,799 guru GSTT yang sedang mengikuti kursus dalam cuti termasuklatihan perguruan.

”Dalam permohonan yang sama, kita turut mendapati kira-kira 2,788 guru GSTT terbabit tidak menampilkan dokumen yang lengkap.

”Tetapi untuk mereka ini, kami akan buka proses rayuan sehingga 26 Disember ini untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Guru Sandaran Khas di sini, hari ini.

Daripada 7,079 guru GSTT tersebut, kira-kira 4,433 orang akan mengikuti latihan perguruan di universiti awam manakala bakinya pula di IPGM.

Bagi permohonan yang tidak layak mengikuti latihan perguruan itu pula, Ka Siong berkata, mereka akan ditawarkan kontrak untuk perkhidmatan (CFS) bagi meneruskan khidmat di sekolah yang memerlukan.

Menurutnya, kegagalan mereka itu disebabkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, antaranya umur melebihi 35 tahun dan tidak berkhidmat melebihi dua tahun berturut-turut.

”Dalam permohonan itu, kira-kira 916 permohonan GSTT dikira tidak layak kerana melebihi had umur yang ditetapkan dan 2,012 lagi tidak berkhidmat melebihi dua tahun secara berturut-turut.

”Penawaran CFS itu akan dibuat untuk tempoh tiga bulan dan ia boleh diperbaharui berdasarkan keperluan semasa,” katanya.