KPT, UPSI digesa bertindak tegas terhadap Adam Adli
JOHOR BAHRU 21 Dis. – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa mengambil tindakan tegas terhadap mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli, 22, yang didakwa biadab menurun dan menggantikan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi baru-baru ini.
Setiausaha Gerakan Belia 4B Gelang Patah, Noorisham Ismail berkata, selain penuntut berkenaan, kementerian juga disaran mengambil tindakan sama terhadap ahli-ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang dianggap mencemar imej mahasiswa di negara ini.
Beliau berkata, UPSI turut disaran mengambil tindakan tatatertib terhadap Adam termasuk membuang penuntut terbabit.
“Tindakan membuang Adam Adli adalah wajar kerana sekiranya dia terus berada di UPSI dan menjadi seorang guru suatu hari nanti, dia akan membawa kesan yang tidak baik khususnya kepada pelajar.
“Justeru, saya berharap kementerian terbabit termasuk UPSI mengambil tindakan tegas terhadap penuntut berkenaan dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan bantahan di hadapan pintu masuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini hari ini.
Bantahan bermula pukul 2 petang itu dihadiri 20 orang termasuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Khalid Mohamad; Naib Presiden Aspirasi Evolusi Mahasiswa UTM, Nor Hasrul Akhmal Ngadiman dan beberapa penuntut universiti berkenaan.
Sabtu lalu, kira-kira 200 ahli SMM berkumpul dan berarak untuk menggesa Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU) dimansuhkan kerana didakwa menyekat kebebasan akademik.
Sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, beberapa ahli SMM ketika berpiket di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertindak menurunkan bendera yang mempunyai gambar Perdana Menteri.
Sementara itu, Nor Hasrul Akhmal berkata, tindakan penuntut tersebut sedikit sebanyak mencalar dan menjatuhkan imej mahasiswa yang selama ini dipandang tinggi masyarakat.
Justeru, Adam diminta memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri.
Like this:
Like Loading...