SESI PENGEMASKINIAN MAKLUMAT DAN MENANDATANGANI PENERIMAAN OPSYEN SARAAN BARU PERKHIMATAN AWAM (SBPA) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN YANG SEDANG BERCUTI BELAJAR DAN MENGISI JAWATAN LATIHAN BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SESI PENGEMASKINIAN MAKLUMAT DAN MENANDATANGANI PENERIMAAN OPSYEN SARAAN BARU PERKHIMATAN AWAM (SBPA) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN YANG SEDANG BERCUTI BELAJAR DAN MENGISI JAWATAN LATIHAN BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Dimaklumkan bahawa Bahagian Tajaan Pendidikan akan mengadakan sesi pengemaskinian maklumat dan menandatangani penerimaan opsyen Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang sedang bercuti belajar dan mengisi Jawatan Latihan Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia seperti di dalam surat edaran.
Sehubungan itu, semua PPP adalah di jemput hadir ke sesi tersebut. Bagi PPP yang belum mengisi dan menerima borang opsyen diwajibkan hadir bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Sekian, terima kasih.
Muat turun
SURAT EDARAN SBPA

Mesyuarat CUEPACS dengan JPA diadakan pada 23 Dis 2011


Mesyuarat CUEPACS dengan JPA diadakan pada 23 Dis 2011

Keputusan adalah seperti berikut :

1. Tempoh opsyen mengenai gaji SBPA  dilanjutkan ke 15 Jan 2012
2. Borang opsyen lanjut umur persaraan mesti dikembalikan pada
    30.12.2011
3. Semua diminta tandatangan SBPA
4. Berhubung dengan ‘Exit polisi’ , wakil CUEPACS akan dilantik sebagai
    pemerhati dalam panel.
Nota:
Pendirian NUTP : Semua guru dimiinta tandatangani & terima opsyen SBPA dalam tempoh 16-30 Dis 2011. Skim Guru adalah baik. Segala ketidakpuasan akan diperjuangkan pada tahun 2012 seperti yang dijanjikan oleh JPA      

Basinah tidak mahu anak bangsa tercicir – Berita Harian


Basinah tidak mahu anak bangsa tercicir
Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bharian.com.my
2011/12/23

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoBasinah memeluk pelajar dalam majlis persaraannya.
  • FotoPelajar menunjukkan poster ‘Kami Sayangkan Cikgu’.
  • FotoBasinah menaiki kereta kuda mengelilingi sekolah.

LAMBAIAN terakhir yang diiringi lagu `Dimana ku cari ganti’ nyanyian seniman Tan Sri P Ramlee kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI), Kajang, Selangor, Basinah Taib membuatkan ramai warga sekolah itu terharu dan menitiskan air mata.

Acara simbolik itu sempena perpisahan pengetua yang bersara pada usia 56 tahun pada majlis yang berlangsung di Dataran Gemilang dihadiri lebih 2,000 warga sekolah itu.

Menariknya, acara simbolik itu diserikan kehadiran sebuah kereta kuda yang dihias cantik membawa pendidik berjiwa besar ini mengelilingi sekolah buat kali terakhir.

Basinah yang dilahirkan pada 3 November 1955, pernah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran di SMK Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Kajang dan SMK Telok Datuk Banting, Kuala Langat, Selangor pada 1983 sehingga 1989.

Ketegasan dan komitmennya dalam memimpin pelajar sekolah terbukti apabila beliau dilantik sebagai penyelia petang di SAAS, Kajang pada tahun 1991 dan seterusnya diberi tanggungjawab untuk membimbing sebuah sekolah baru iaitu SMK Jalan 4 Bandar Baru Bangi, yang ketika itu baru dibuka pada November 2002 sebagai Penolong Kanan.

Seterusnya, anak kelahiran Muar, Johor itu tidak menoleh belakang dan menggalas tanggungjawab sebagai pengetua SMKSI bermula Ogos 2007 sehingga November 2011.

Pemimpin sekolah yang mudah mesra tidak kira dengan guru atau pelajar, bersikap terbuka dan menerima pandangan secara positif dalam memastikan prestasi akademik seiring pencapaian kurikulum.
Beliau berkata, menjadi kewajipannya memastikan pencapaian akademik sentiasa berada di tahap memberangsangkan terutama pada keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sudah menjadi tanggungjawab dan harapan melihat anak kita berjaya satu hari nanti. Setiap perkara yang dilakukan saya pasti sekolah memberi pengaruh utama dalam membentuk seseorang pelajar berjaya di luar.

“Oleh itu, saya lebih sukakan cara mendekati pelajar dan berbual bersama mereka jika terdapat sebarang masalah. Cara ini berkesan dalam memastikan anak bangsa tidak tercicir,” katanya yang bercadang untuk aktif menjayakan kerja amal.

Majlis persaraan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Azlan Ibrahim dan pegawai Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Penjara Kajang.

Kesatuan setuju guru Sarawak kembali berbakti – Berita Harian


Kesatuan setuju guru Sarawak kembali berbakti
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2011/12/23

KESATUAN Guru Sarawak mengalu-alukan guru dari negeri itu kembali berkhidmat di Sarawak selepas mengajar beberapa tahun di tempat lain begitu juga sebaliknya kepada guru dari Semenanjung Malaysia.

Presidennya, William Ghani Bina, berkata pihaknya berterima kasih dan sangat menghargai pengorbanan guru dari Semenanjung yang sanggup berjauhan dengan keluarga masing-masing untuk mendidik pelajar di Sarawak dan Sabah.

Namun, katanya, banyak permohonan guru yang berasal dari Semenanjung dibuat untuk kembali ke Semenanjung begitu juga dengan guru dari Sarawak dan Sabah, selepas berkhidmat beberapa tahun, permohonan mereka patut diberi pertimbangan sewajarnya.

Beliau berkata, bersandarkan pengalaman yang diperoleh dalam kalangan guru itu membolehkan mereka menabur bakti di tempat kelahiran sendiri pula jika mereka memohon untuk kembali.

“Pengalaman mereka mengajar di tempat lain dapat digunakan untuk mendidik anak tempatan dan rasanya mereka dapat bergaul lebih dekat dan memahami pelajar serta senario tempatan.

“Kawasan pedalaman terutamanya memerlukan anak tempatan terutama guru terlatih kerana di kawasan pedalaman pelajar bergantung 100 peratus kepada guru ekoran tiada perpustakaan yang lengkap, kafe siber, kedai buku dan pusat tuisyen.

“Berbeza pelajar di bandar yang mempunyai infrastruktur yang lengkap,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
William berkata, taburan guru terlatih perlu sama rata bagi memastikan prestasi dan pencapaian pelajar luar bandar dan pedalaman juga setaraf dengan di bandar.

Ditanya mengenai peruntukan pendidikan menerusi belanjawan kerajaan tahun depan, William berkata, pihaknya menyambut baik apa yang diberikan kerajaan, namun mungkin satu tabung penyenggaraan khas perlu diwujudkan untuk sekolah di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kebanyakan sekolah di dua negeri itu dibina sejak sebelum merdeka lagi, justeru bangunan sekolah, asrama, kemudahan dan pendawaian elektriknya perlu diselenggara.

Mengulas pemansuhan yuran tambahan pelajar sekolah rendah dan menengah pula, beliau berkata satu peruntukan khas perlu disediakan Kementerian Pelajaran.

“Hal ini sememangnya menggembirakan ibu bapa, namun jika tiada peruntukan khas menggantikan yuran ini bagaimana sekolah mahu jalankan aktiviti kokurikulum seperti kegiatan kelab, persatuan dan membayar kos kertas peperiksaan,” katanya.

Opsyen SBPA dilanjutkan sehingga 15 Januari – Bernama


Opsyen SBPA dilanjutkan sehingga 15 Januari

2011/12/23

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Januari depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr Ismail Alias.

Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.

“Kita akan meneruskan SBPA dan sebenarnya CUEPACS tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Disember tarikh tutupnya kerana ia membabitkan banyak isu perundangan.

“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan CUEPACS yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini, hari ini.

Rundingan itu yang berlangsung selama lebih tiga jam diadakan untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, mengarahkan supaya CUEPACS dan JPA mengadakan rundingan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
Dr Ismail berkata, pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan sbpa dan lima isu termasuk ‘exit policy’ yang dibangkitkan oleh CUEPACS turut dibincangkan.

“Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang dikemukakan oleh CUEPACS, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, bagi penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata, rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini adalah jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya. – BERNAMA

Tarikh terima opsyen SBPA dilanjut ke 15 Januari – JPA


Tarikh terima opsyen SBPA dilanjut ke 15 Januari – JPA

23/12/2011 2:32pm

 

PUTRAJAYA 23 Dis. – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Januari depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Ismail Alias.

Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata, bagaimanapun tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.

“Kita akan meneruskan SBPA, dan sebenarnya Cuepacs tidak menolak SBPA.

“Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Disember tarikh tutupnya kerana ia melibatkan banyak isu perundangan.

“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan Cuepacs yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini hari ini. – BERNAMA

Budaya berkhatan secara beramai-ramai – Kosmo


Budaya berkhatan secara beramai-ramai

 

Oleh NURUL IZZA ROSLY

 

SUDAH menjadi kelaziman, kanak-kanak yang bakal dikhatankan dibasahkan di bawah pancuran air sebelum proses berkhatan dimulakan.

 

SUASANA di kawasan lapang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur penghujung November lalu dipenuhi dengan kanak-kanak lelaki berpakaian baju Melayu yang teruja bermain air daripada pancuran pili bomba.

Ibu bapa mereka tidak langsung memarahi anak mereka yang ternyata sudah basah kuyup bermain air sebaliknya ramai yang sibuk merakam hari bersejarah anak-anak mereka.

Kegirangan 120 kanak-kanak lelaki tersebut boleh dikatakan sebagai mukadimah perjalanan untuk menginjak ke alam dewasa kerana mereka bakal dikhatankan.

Seramai 120 kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 14 tahun itu menikmati detik-detik terakhir zaman kanak-kanak mereka dengan hilai tawa sambil bergurau senda tanpa memikirkan kesakitan melalui proses berkhatan.

Pancuran air istimewa seolah-olah air hujan itu dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia bersama Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee selama 15 minit.

Selesai sahaja bermandi ‘hujan’ mereka beratur untuk menerima kain pelekat dan bunga telur daripada Rosnah.

Tidak lama selepas itu, mula kedengaran esakan tangis kanak-kanak yang telah dikhatan. Hilang terus wajah riang, ceria dan gembira ketika bermain air pancuran bomba sebelum ini.

Dua orang kanak-kanak sempat bermain game sementara menunggu giliran untuk disunatkan.

 

Ada yang berwajah pucat menunggu giliran dan tidak kurang pula merengek enggan berkhatan sambil dipujuk oleh ibu bapa masing-masing lantaran melihat rakan-rakan lain menahan kesakitan saat melangkah keluar dari bilik khas.

“Program berkhatan secara beramai-ramai atau berkelompok akan meningkatkan lagi semangat kekeluargaan dan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat setempat.

“Ini juga membuktikan bahawa masyarakat kita terutama orang Melayu masih boleh bersatu di atas nama kepentingan bersama terutama apabila membabitkan tuntutan ataupun syariat agama dan juga adat budaya bangsa,” kata Rosnah.

Tambahnya, tujuan utama amalan berkhatan bagi kanak-kanak dipraktikkan di dalam masyarakat Melayu adalah kerana ingin menjaga kebersihan.

Amalan berkhatan bukan sahaja dijadikan amalan bagi masyarakat Melayu, malah masyarakat Cina mahupun masyarakat India mempraktikkannya percaya kerana amalan berkhatan banyak kebaikannya terutama dari segi kesihatan.

ROSNAH menenangkan seorang kanak-kanak yang dikhatankan oleh doktor dari Hospital Pantai.

 

“Amalan berkhatan juga dapat mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing.

“Kajian membuktikan bahawa, bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali ganda lebih rendah risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser zakar, prostat dan kanser serviks dan payudara kepada wanita.

“Kuman Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks dalam kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita ketika persetubuhan.

“Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks dapat dielakkan. Virus yang sama juga boleh mencetuskan kanser payudara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Kuala Lumpur, Engku Marina Engku Hatim berbesar hati kerana lima pakar perunding perubatan daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Hospital Pantai Cheras bersama-sama 23 jururawat meluangkan masa untuk memberi perkhidmatan tanggungjawab sosial di majlis berkhatan percuma.

SAKIT. Seorang kanak-kanak kelihatan menahan sakit sebaik sahaja selepas disunatkan di PPR Pudu Ulu, Cheras.

 

Dalam kelompok 120 kanak-kanak berkhatan yang majoritinya Melayu, terdapat kelibat seorang kanak-kanak Cina keturunan Tiong Hoa yang turut sama berkhatan, Eldred Wong, 10.

Ayahnya, Wong Hui Meng, 56, memberitahu anaknya meminta dirinya disunatkan seperti rakan-rakannya yang lain.

“Saya sendiri tiada masalah membenarkan anak saya bersunat kerana ia bagus untuk kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosni Othman, 39 dan Haini Baharom, 48, yang merupakan suri rumah memberitahu dua anak lelaki mereka dikhatankan pada majlis tersebut.

Rosni berpendapat program sedemikian yang dianjurkan oleh UMNO Parlimen Cheras sangat bagus kerana ia dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa mengkhatankan anak-anak di klinik.

“Saya pula perlu memaksa anak-anak saya bersunat kerana ia bagus untuk kesihatan memandangkan mereka takut berbuat demikian selepas melihat rakan-rakan yang lain kesakitan.

“Saya memujuk dengan mengingatkan mereka mengenai pesanan arwah bapa mereka, Abu Mutalib Manan iaitu: “kalau sunat nanti jangan lari sebab anak lelaki kena berani’,” kata ibu kepada enam orang anak, Haini Baharom, 48.

Khidmat sosial Bank Pembangunan – Kosmo


Khidmat sosial Bank Pembangunan

 

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

 

KEADAAN surau yang uzur dan usang menyukarkan kakitangan dan pelajar beragama Islam di SMK Pekan Telipok, Tuaran untuk beribadat dengan sempurna.

 

KIRA-KIRA 900 pelajar dan guru beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok, Tuaran, Sabah bakal berpeluang menjalankan rutin ibadat dengan selesa pada masa hadapan.

Ia berikutan pihak sekolah itu menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Pembiayaan itu bertujuan untuk dimanfaatkan bagi projek penambahbaikan pembinaan surau sekolah tersebut.

Majlis penyerahan cek sumbangan itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Kredit Bank Pembangunan, Abu Hurairah Bahari kepada Pengetua sekolah, Ng Kah Ghor di dewan sekolah itu baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Abdul Hanif Abu Bakar berkata, pemberian sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial bank tersebut kepada masyarakat.

Katanya, keadaan sekolah berkenaan yang serba daif dan usang sebelum ini menyebabkan pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan.

“Kami amat bersimpati dengan nasib pelajar-pelajar dan guru di sekolah ini yang berhadapan situasi persekitaran pembelajaran yang bukan sahaja tidak selesa dan dengan ketiadaan surau yang sempurna.

“Bantuan yang diberikan bertujuan membaik pulih surau yang sedia ada. Sekurang-kurangnya, mereka dapat beribadat dan melakukan pelbagai aktiviti keagamaan dengan lebih selesa,” katanya dalam program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Bank Pembangunan, Jamaluddin Nor Mohamad.

Kelengkapan

Pada majlis itu, Bank Pembangunan turut menyampaikan sumbangan pelbagai kelengkapan sekolah di samping wang saku sebanyak RM50 kepada setiap 50 orang pelajar miskin di sekolah itu.

Ia disusuli pemberian sumbangan wang zakat kepada Pusat Zakat Sabah bernilai RM164,473.40, yang diwakili oleh Ketua Penolong Setiausaha Pusat Zakat Sabah, Mohd Zarat Khan.

Sementara itu, Kah Ghor pula berkata,

sumbangan tersebut amat bermakna bagi pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) kerana selama ini, surau dijadikan tempat utama bagi menjalankan program sekolah seperti kem akademik, kem motivasi, program kerohanian dan sahsiah pelajar.

Katanya, biarpun pembinaan bangunan baharu sekolah itu masih belum dapat direalisasikan sehingga kini, sekolah itu tetap berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam beberapa peperiksaan utama.

KAH GHOR (kiri) memberi penerangan mengenai keadaan surau SMK Pekan Telipok yang uzur dan memerlukan pembaikan segera.

 

“Ketika ini, SMK Pekan Telipok berada di kedudukan kelima hingga keenam di sekitar daerah Tuaran. Biarpun serba kekurangan, namun kami tetap berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar dan guru di sini,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan orang perseorangan, pihak swasta ataupun badan korporat yang ingin memberi bantuan dan sumbangan demi kepentingan serta keselesaan kakitangan di sekolah itu pada masa hadapan.

“Dengan adanya sokongan dan bantuan itu nanti, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar malah motivasi kakitangan sekolah yang mengajar di sini,” katanya.

Sisipan Minda bantu cemerlang – Berita Harian


Sisipan Minda bantu cemerlang

2011/12/23

CALON Pendidikan Khas, Muhammad Danial Zainuddin,16  dan adiknya Nurul Diana Zainuddin,15  mendapat keputusan 9A  dalam peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik semalam.

CALON Pendidikan Khas, Muhammad Danial Zainuddin,16 dan adiknya Nurul Diana Zainuddin,15 mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik semalam.

Calon anggap rujukan mudah difahami, bahan latih tubi terbaik

KUALA LUMPUR: Kebanyakan calon yang menggunakan akhbar sisipan Minda terbitan Berita Harian pada setiap Selasa sebagai bahan latih tubi, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, semalam.

Malah, beberapa calon bukan Melayu turut menganggap Minda bahan rujukan terbaik terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) kerana penerangan diberikan jelas, disertakan contoh dan mudah difahami, sekali gus membantu mereka memperoleh A dalam subjek itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) Methodist, Kuala Lumpur, Serafim Rumiris Putri, berkata beliau menggunakan Minda sebagai bahan rujukan dan latih tubi tambahan terutama bagi meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran BM.

Beliau yang bertutur bahasa Indonesia di rumah, berkata menghadapi masalah menguasai BM dengan baik, tetapi penggunaan Minda sejak Tingkatan Satu berjaya mengatasi kelemahan itu hingga berjaya memperoleh A dalam PMR.

“Apabila sudah banyak membuat latihan bagi soalan yang sukar dan mudah dalam Minda, saya lebih bersedia dan yakin menjawab soalan dikemukakan dalam PMR,” katanya.

Bagi pelajar SMK Assunta, Petaling Jaya, Karishma Thillinadan, fokus terbaik dalam Minda ialah BM dan Sejarah kerana soalan latihan dikemukakan setiap ming- gu mempunyai standard lebih tinggi serta sukar berbanding pelajaran dalam kelas, sekali gus membantu calon meningkatkan pencapaian.

Beliau yang bercita-cita menjadi doktor pakar pergigian berkata, pengisian Minda sangat bermanfaat membantu calon PMR meraih kecemerlangan kerana disediakan guru pakar.

Kebaikan Minda turut diakui pelajar SMK Sinar Bintang, Segambut, Choo Han Lim, yang mula menggunakan sisipan itu sejak tahun lalu dan berjaya meningkatkan pencapaiannya dalam semua mata pelajaran.

Choo berkata, kandungan fokus BM dalam Minda banyak membantunya memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran penting itu kerana penerangan diberikan mudah difahami, selain kepelbagaian bentuk soalan boleh menguji penguasaan tatabahasa calon.

Sementara itu, sekolah yang menggunakan sisipan Minda turut mencatatkan keputusan cemerlang dalam PMR termasuk SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara yang melanggan Berita Harian sejak 2009 apabila 54 pelajarnya mendapat semua A.

Pengetuanya, Kek Lee Beng, berkata peratus lulus tahun ini iaitu 87.9 dengan gred purata 2.12 meningkat berbanding 86 peratus pada 2010.