Budaya berkhatan secara beramai-ramai – Kosmo


Budaya berkhatan secara beramai-ramai

 

Oleh NURUL IZZA ROSLY

 

SUDAH menjadi kelaziman, kanak-kanak yang bakal dikhatankan dibasahkan di bawah pancuran air sebelum proses berkhatan dimulakan.

 

SUASANA di kawasan lapang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur penghujung November lalu dipenuhi dengan kanak-kanak lelaki berpakaian baju Melayu yang teruja bermain air daripada pancuran pili bomba.

Ibu bapa mereka tidak langsung memarahi anak mereka yang ternyata sudah basah kuyup bermain air sebaliknya ramai yang sibuk merakam hari bersejarah anak-anak mereka.

Kegirangan 120 kanak-kanak lelaki tersebut boleh dikatakan sebagai mukadimah perjalanan untuk menginjak ke alam dewasa kerana mereka bakal dikhatankan.

Seramai 120 kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 14 tahun itu menikmati detik-detik terakhir zaman kanak-kanak mereka dengan hilai tawa sambil bergurau senda tanpa memikirkan kesakitan melalui proses berkhatan.

Pancuran air istimewa seolah-olah air hujan itu dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia bersama Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee selama 15 minit.

Selesai sahaja bermandi ‘hujan’ mereka beratur untuk menerima kain pelekat dan bunga telur daripada Rosnah.

Tidak lama selepas itu, mula kedengaran esakan tangis kanak-kanak yang telah dikhatan. Hilang terus wajah riang, ceria dan gembira ketika bermain air pancuran bomba sebelum ini.

Dua orang kanak-kanak sempat bermain game sementara menunggu giliran untuk disunatkan.

 

Ada yang berwajah pucat menunggu giliran dan tidak kurang pula merengek enggan berkhatan sambil dipujuk oleh ibu bapa masing-masing lantaran melihat rakan-rakan lain menahan kesakitan saat melangkah keluar dari bilik khas.

“Program berkhatan secara beramai-ramai atau berkelompok akan meningkatkan lagi semangat kekeluargaan dan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat setempat.

“Ini juga membuktikan bahawa masyarakat kita terutama orang Melayu masih boleh bersatu di atas nama kepentingan bersama terutama apabila membabitkan tuntutan ataupun syariat agama dan juga adat budaya bangsa,” kata Rosnah.

Tambahnya, tujuan utama amalan berkhatan bagi kanak-kanak dipraktikkan di dalam masyarakat Melayu adalah kerana ingin menjaga kebersihan.

Amalan berkhatan bukan sahaja dijadikan amalan bagi masyarakat Melayu, malah masyarakat Cina mahupun masyarakat India mempraktikkannya percaya kerana amalan berkhatan banyak kebaikannya terutama dari segi kesihatan.

ROSNAH menenangkan seorang kanak-kanak yang dikhatankan oleh doktor dari Hospital Pantai.

 

“Amalan berkhatan juga dapat mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing.

“Kajian membuktikan bahawa, bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali ganda lebih rendah risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser zakar, prostat dan kanser serviks dan payudara kepada wanita.

“Kuman Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks dalam kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita ketika persetubuhan.

“Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks dapat dielakkan. Virus yang sama juga boleh mencetuskan kanser payudara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Kuala Lumpur, Engku Marina Engku Hatim berbesar hati kerana lima pakar perunding perubatan daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Hospital Pantai Cheras bersama-sama 23 jururawat meluangkan masa untuk memberi perkhidmatan tanggungjawab sosial di majlis berkhatan percuma.

SAKIT. Seorang kanak-kanak kelihatan menahan sakit sebaik sahaja selepas disunatkan di PPR Pudu Ulu, Cheras.

 

Dalam kelompok 120 kanak-kanak berkhatan yang majoritinya Melayu, terdapat kelibat seorang kanak-kanak Cina keturunan Tiong Hoa yang turut sama berkhatan, Eldred Wong, 10.

Ayahnya, Wong Hui Meng, 56, memberitahu anaknya meminta dirinya disunatkan seperti rakan-rakannya yang lain.

“Saya sendiri tiada masalah membenarkan anak saya bersunat kerana ia bagus untuk kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosni Othman, 39 dan Haini Baharom, 48, yang merupakan suri rumah memberitahu dua anak lelaki mereka dikhatankan pada majlis tersebut.

Rosni berpendapat program sedemikian yang dianjurkan oleh UMNO Parlimen Cheras sangat bagus kerana ia dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa mengkhatankan anak-anak di klinik.

“Saya pula perlu memaksa anak-anak saya bersunat kerana ia bagus untuk kesihatan memandangkan mereka takut berbuat demikian selepas melihat rakan-rakan yang lain kesakitan.

“Saya memujuk dengan mengingatkan mereka mengenai pesanan arwah bapa mereka, Abu Mutalib Manan iaitu: “kalau sunat nanti jangan lari sebab anak lelaki kena berani’,” kata ibu kepada enam orang anak, Haini Baharom, 48.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s