Suspek kes culik kanak-kanak direman 10 hari – Bernama


Suspek kes culik kanak-kanak direman 10 hari

2011/12/24

GEORGE TOWN: Seorang wanita berumur 25 tahun hari ini dikenakan tahanan reman 10 hari kerana disyaki suspek dalam kes penculikan dan penderaan dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika sedang bermain di kawasan rumah di flat Jalan Padang Tembak, Air Itam, 13 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata

suspek ditahan reman selama 10 hari sehingga 2 Januari depan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kerana hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek disyaki positif dadah jenis heroin.

“Suspek juga ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah culik dan mendera kanak-kanak tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, hari ini.

Dua kanak-kanak berusia antara tujuh dan lapan tahun yang dilaporkan hilang ketika sedang bermain di kawasan rumah mereka, sejak 13 Disember lalu, telah ditemui kira-kira jam 1 petang semalam dan polis berjaya menahan seorang wanita.

Suspek mengaku mengurung dan mendera kedua-dua kanak-kanak itu selama 10 hari di rumahnya selepas menyangka bahawa kedua-dua mereka mencuri wang dan telefon bimbit miliknya.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua kanak-kanak itu di Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati terdapat kesan kecederaan dan kesan lebam serta melecur. – BERNAMA

Penunggang bawah umur lakukan kesalahan depan masalah miliki lesen – Bernama


Penunggang bawah umur lakukan kesalahan depan masalah miliki lesen

2011/12/24

DUNGUN: Penunggang motosikal bawah umur akan berhadapan dengan masalah untuk memiliki lesen memandu sekiranya pernah membuat kesalahan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, walaupun kesalahan

itu dilakukan sekian lama, namun kesalahan berkenaan akan menjejaskan peluang mereka untuk memiliki lesen memandu kerana rekod itu disimpan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya golongan bawah umur ini tidak menunggang motosikal jika tidak memiliki lesen memandu.

“Golongan ini mungkin tidak menyedari akibatnya kerana jika disaman mereka akan membayar saman. Namun mereka harus ingat mereka akan menghadapi kesukaran untuk memiliki lesen memandu kerana kita menyimpan rekod mereka. “Sehubungan itu, kita meminta ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak membawa kenderaan jika tidak memiliki lesen dan tidak terbabit dengan aktiviti rempit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ ,di Kampung Kuala Abang di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menggunakan kaedah penguatkuasaan ini kerana cara itu paling berkesan bagi menangani masalah rempit.

Menurutnya, JPJ akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain seperti polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menangani masalah tersebut.

“Sebagai contoh di Terengganu kita telah menggunakan kaedah ini dan berjaya mengurangkan masalah rempit di negeri ini sepanjang operasi sejak sebulan lalu dan akan meneruskan operasi hujung minggu ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan ‘Ops Pra Perayaan’ sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Ismail berkata, operasi percubaan itu diadakan untuk membuat penilaian sebelum melaksanakan operasi sebenar dan ia dilakukan selama sebulan bermula awal Disember lalu. – BERNAMA

2,214 tempat disediakan di SBP untuk pelajar miskin – Bernama


2,214 tempat disediakan di SBP untuk pelajar miskin

24/12/2011 6:39pm

PUTRAJAYA 24 Dis. — Sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu (2,214 tempat), 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B.

“Jika kita lihat, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat sahaja.

“Bagi pelajar lepasan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), kita menyediakan 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang. Jadi, memang ada persaingan.

“Oleh kerana kita ada projek untuk membantu pelajar miskin, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, kita menyediakan 2,214 tempat untuk pelajar miskin. Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 57 pelajar daripada dua rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, di sini hari ini. — BERNAMA

Pelajar tunggu SPM jadi GRO – Kosmo


Pelajar tunggu SPM jadi GRO

SEBAHAGIAN wanita dipercayai GRO ditahan dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan diDamansara Perdana, Petaling Jayakelmarin.

 

PETALING JAYA – Keseronokan tiga gadis yang baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengisi masa lapang menunggu keputusan peperiksaan dengan bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) berakhir apabila mereka bersama 30 GRO lain ditahan di sebuah pusat hiburan di Damansara Perdana di sini tengah malam semalam.

Serbuan mengejut pada pukul 12.30 malam oleh anggota Bahagian Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman itu dilakukan selepas polis menerima maklumat berhubung kewujudan pusat hiburan itu yang menyajikan tarian tiang berunsur seks dan GRO bawah umur.

Ketua Operasi D7 Bukit Aman, Supritendan Amir Rasid Derani berkata, kesemua GRO yang ditahan berusia antara 17 tahun hingga 30-an dan tiga daripada mereka baru tamat peperiksaan SPM.

“Semasa serbuan, sebahagian daripada GRO sedang rancak melayan pelanggan manakala yang lain sedang menunggu untuk dipilih pelanggan yang masuk ke pusat hiburan berkenaan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Saling membantu rahsia kejayaan pasangan kembar – Kosmo


Saling membantu rahsia kejayaan pasangan kembar

PASANGAN kembar, Nur Aliya Zaida (kanan) dan adiknya Nur Ilya menunjukkan keputusan PMR mereka di Kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Persaingan sihat dalam pelajaran menjadi resipi kejayaan pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan kelmarin.

Pasangan kembar berkenaan, Nur Aliya Zaida Mohd. Hassany, 15, dan adiknya, Nur Ilya Zaida, 15, masing-masing memperoleh 9A dan 8A dalam peperiksaan tersebut.

Nur Aliya berkata, persaingan sengit antara mereka berdua menjadi pendorong untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam PMR selain saling membantu jika terdapat kelemahan dalam sesuatu mata pelajaran.

“Saya lebih mahir dalam Bahasa Inggeris manakala adik bijak dalam Matematik. Jadi kami berdua akan saling menunjuk ajar antara satu sama lain.

“Begitu juga, saya dan adik selalu berbincang dan bertukar pendapat untuk memastikan kami memperoleh keputusan cemerlang dalam PMR,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.

Habis SPM jadi GRO – Metro


Habis SPM jadi GRO

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TAHAN... antara GRO yang ditahan polis di pusat hiburan di Damansara Perdana.
TAHAN… antara GRO yang ditahan polis di pusat hiburan di Damansara Perdana.

KUALA LUMPUR: Bekerja sementara ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memang digalakkan, namun tidak jika pekerjaan yang dipilih ialah pelayan pelanggan atau GRO.

Kegiatan tiga GRO remaja itu dikesan ketika polis melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Damansara Perdana, dekat sini, dan mereka antara 33 GRO warga tempatan serta asing yang dicekup, jam 12.30 tengah malam kelmarin.

“Saya tahu perbuatan saya salah kerana masih di bawah umur, namun demi keseronokan saya beranikan diri. Emak pun tak tahu saya buat kerja ini kerana dia sangka saya hanya tinggal di rumah kakak,” kata gadis mahu dikenali sebagai Nor, 17, antara tiga GRO remaja yang dicekup itu.

Menurutnya, sebaik tamat menduduki peperiksaan SPM pada 14 Disember lalu, dia yang tinggal di utara tanah air terus datang ke ibu negara dan tinggal bersama kakaknya di Setapak di sini.

 
Katanya, setiap malam teman lelakinya berusia 21 tahun akan menjemputnya untuk bekerja di pusat hiburan itu

Lanjut 15 Januari – Metro


Lanjut 15 Januari

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam dilanjutkan sehingga 15 Januari ini selepas rundingan lima jam antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), semalam.

Bagaimanapun, tarikh akhir penyerahan borang opsyen bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun kekal pada 30 Disember.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr Ismail Alias berkata, secara keseluruhan rundingan berkenaan mendapat kata sepakat mengenai lima isu yang dibangkitkan termasuk ‘dasar keluar’ (exit policy) dan semua pihak bersetuju SBPA kini diteruskan.

 

“Kami meneruskan SBPA dan sebenarnya Cuepacs tidak menolak SBPA. Opsyen yang kami beri itu, ada dua. Pertama, tempoh opsyen (lanjutan) umur persaraan kepada 60 tahun tetap (berakhir) pada 31 Disember kerana ia membabitkan banyak isu perundangan.
“Sementara opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak (31 Disember ini), JPA bersetuju ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, di Ibu Pejabat JPA, di sini, semalam.
Ismail berkata, penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen tidak perlu bimbang kerana opsyen SBPA masih berjalan seperti biasa cuma tempohnya dilanjutkan dari 31 Disember kepada 15 Januari depan.

 

 

Pada masa sama, beliau berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah akan mengadakan taklimat khusus berkaitan SBPA dan penyelarasan gaji kepada wakil Cuepacs dan semua jabatan minggu depan.
Sementara itu, Omar berkata, lima isu yang dibangkitkan Cuepacs dianggap selesai selepas rundingan awal berkenaan dan rundingan sama akan diadakan tiga bulan sekali terutama mengenai SBPA.

 

Malah, katanya rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit diselesaikan secara bersama.
Pada masa sama, beliau berkata JPA dan Cuepacs menetapkan tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan isu pelarasan gaji anggota keselamatan Gred 17 supaya mereka dapat menikmati kadar upah sama dengan kakitangan kerajaan berkhidmat di bahagian pentadbiran bergred itu.
Mengenai ‘dasar keluar’, Omar berkata seorang wakil Cuepacs dilantik sebagai pemerhati dalam pelaksanaan dasar berkenaan bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan ketika dasar itu dilaksanakan.
Katanya, menerusi rundingan itu juga mereka mendapat pemahaman lebih jelas apabila hanya JPA yang boleh membuat keputusan berhubung ‘exit policy’, bukannya jabatan, agensi, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau persekutuan.
“Dulu kami ingat jabatan boleh ambil tindakan, sebenarnya ia akan dilaporkan kepada JPA dan mereka akan putuskan, kami pun tak nak simpan orang yang bermasalah… kalau produktiviti dah tak bagus buat apa nak kekalkan.
“Selain itu, JPA juga bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan ‘exit policy’ daripada enam bulan kepada setahun bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan produktiviti kerja,” katanya.

Pelakon komedi bangga anak peroleh 8A dalam PMR – Berita Harian


Pelakon komedi bangga anak peroleh 8A dalam PMR

2011/12/24

DIDIE  menganggap pencapaian cemerlang Nur Dinie sebagai hadiah paling bernilai untuknya bagi tahun ini.

DIDIE menganggap pencapaian cemerlang Nur Dinie sebagai hadiah paling bernilai untuknya bagi tahun ini.

KUALA LUMPUR: Anak pelakon komedi popular, Didie Alias, Nur Dinie Mohd Ridzuan, 15 yang memperoleh pencapaian cemerlang 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan Khamis lalu menghadiahkan kejayaan terbabit kepada ibunya yang banyak berkorban mencari rezeki membesarkan mereka lima beradik.

“Saya tidak mampu membalas jasa mummy dengan wang ringgit sebaliknya dengan kejayaan mendapat keputusan cemerlang ini diharap mampu membahagiakan mummy. Mummy memang mengharapkan semua anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan mendapat segulung ijazah.

“Waktu di rumah saya belajar mengikut jadual disediakan manakala di sekolah dan kelas tambahan yang dihadiri, saya akan tumpukan sepenuh perhatian kepada kelas.

“Saya berterima kasih kepada mummy yang banyak berkorban serta guru dan rakan yang banyak membantu mengulang kaji pelajaran,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang saintis dan ahli astronomi.

Sementara itu Didie Alias atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammad menganggap pencapaian cemerlang anak ketiga daripada lima beradik itu sebagai hadiah paling bernilai untuknya bagi 2011.

“Sebagai seorang ibu saya amat berbangga dengan keputusan cemerlang yang diperoleh Dinie dan segala penat lelah mencari rezeki dalam industri seni ini seakan berbayar.

“Saya akui jarang membahagikan masa bersamanya kerana sibuk dengan aktiviti seni, namun jika ada masa terluang saya duduk bersama dan memantau setiap perkembangan pembelajaran dan aktiviti persekolahannya selain menghantarnya menghadiri kelas tambahan selepas waktu sekolah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Serah borang SBPA dilanjut ke 15 Januari – Berita Harian


Serah borang SBPA dilanjut ke 15 Januari
Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.m
2011/12/24

Permohonan opsyen usia pencen 60 tahun kekal 31 Disember: JPA

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju supaya tarikh akhir menyerahkan borang opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilanjutkan kepada 15 Januari ini bagi memberi lebih masa kepada kakitangan yang berkaitan.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) JPA, Datuk Dr Ismail Alias, berkata tarikh akhir untuk penyerahan borang opsyen bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun kekal pada Sabtu depan.

Perkara itu adalah antara persetujuan bersama antara JPA dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam perbincangan kedua-dua pihak berkaitan pelaksanaan SBPA di sini semalam.

Pada masa sama, Ismail mengesahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, sendiri akan mengadakan satu taklimat khusus berkaitan SBPA dan penyelarasan gaji kepada wakil CUEPACS dan semua jabatan pada minggu depan.

“Kita akan meneruskan SBPA dan sebenarnya CUEPACS tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, tempoh opsyen (lanjutan) umur persaraan kepada 60 tahun tetap (berakhir) pada 31 Disember kerana ia membabitkan banyak isu perundangan.

“Bagi opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak (31 Disember ini), JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media bersama Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, di Ibu Pejabat JPA, di sini, semalam.
Rundingan lebih tiga jam itu diadakan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, supaya JPA dan CUEPACS segera duduk semeja bagi menyelesaikan semua isu berbangkit berhubung SBPA, sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Dalam pada itu, Ismail juga mengesahkan JPA dan CUEPACS menetapkan tiga bulan untuk menyelesaikan isu pelarasan gaji anggota keselamatan Gred 17 supaya mereka dapat menikmati kadar upah sama dengan kakitangan kerajaan berkhidmat di bahagian pentadbiran bergred itu.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan JPA juga secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan SBPA dan akan bersama-sama menyelesaikan lima isu dibangkitkan sebelum ini termasuk dasar pemisah atau ‘exit policy’.

Katanya, JPA juga meminta penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen SBPA supaya tidak bimbang kerana seorang wakil CUEPACS akan dilantik selaku pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau pelaksanaan tindakan tatatertib.

Beliau juga berkata, ketua jabatan dan agensi tidak berkuasa memecat kakitangan bawahan sesuka hati dan hanya JPA boleh berbuat demikian.

“JPA juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan ‘exit policy’ daripada enam bulan kepada setahun bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan prestasi kerja dan tahap produktiviti mereka.

“Sekiranya produktiviti mereka tidak bagus, barulah JPA akan menasihatkan penjawat awam berkenaan supaya berhenti cara ‘baik’ sebelum tindakan ‘exit policy’ diambil, sekali gus memudahkan mereka mencari rezeki di tempat lain dan boleh menikmati kemudahan pencen seperti pesara kerajaan lain,”katanya.

Siling Sekolah St. George dibaiki hari ini – Utusan


Siling Sekolah St. George dibaiki hari ini

BALIK PULAU 23 Dis. – Pelajar Sekolah Rendah St. George (SRSG) di sini bakal memulakan sesi persekolahan 2012 seminggu lagi dengan perasaan gembira apabila pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) memberi jaminan kerja-kerja pembaikan siling bilik darjah di Sekolah Rendah St. George yang runtuh sejak 10 November akan dijalankan mulai esok.

Pengarahnya, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, kerja yang mengambil masa selama seminggu itu akan dijalankan oleh kontraktor yang dilantik pihaknya.

”Jabatan sudah mengeluarkan senarai sebut harga kepada kontraktor terbabit dan kerja-kerja dijangka dijalankan esok. JPN tidak mendapat sebarang surat daripada JKR sebelum ini yang mengatakan bangunan itu tidak selamat.

”Cuma JKR mengatakan bangunan itu dimakan anai-anai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Tarmizi demikian sebagai mengulas kenyataan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SRSG yang kecewa dengan pihak bertanggungjawab yang lambat mengambil tindakan sedangkan kejadian itu berlaku pada 10 November lalu.

Justeru itu katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan masalah itu berikutan JPN telah menyediakan alternatif lain iaitu pelajar akan ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah St. George yang terletak bersebelahan sekolah terbabit buat sementara waktu.

Sebelum itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SRSG, Mohamad Pazli Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan pihak bertanggungjawab yang lambat mengambil tindakan sedangkan kejadian itu berlaku pada 10 November lalu.