Sekolah Berasrama Penuh sedia 2,214 tempat untuk pelajar miskin – Kosmo


Sekolah Berasrama Penuh sedia 2,214 tempat untuk pelajar miskin

DR. MOHD. PUAD (tengah) bergambar dengan penerima bantuan persekolahan di Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Sebanyak 2,214 daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) disediakan kepada pelajar daripada keluarga miskin dan berasal dari luar bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, daripada 2,214 tempat itu, 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B.

CUEPACS lega 5 isu berbangkit selesai – Berita Harian


CUEPACS lega 5 isu berbangkit selesai
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2011/12/24

Pertemuan dengan JPA jelas kekeliruan timbul

KUALA TERENGGANU: CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.

Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember ini.

Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000 kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.

“CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi pandangan.
“Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred mereka tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24 Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di sini, semalam.

Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera borang opsyen SPBA.

Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.

“Kita tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam,” katanya.

Lanjut tarikh terima SBPA disambut baik – Utusan


Lanjut tarikh terima SBPA disambut baik

IPOH 24 Dis. – Pergerakan Wanita UMNO menyambut baik pelanjutan tarikh akhir penerimaan opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selaras dengan dasar keterbukaan kerajaan yang prihatin dengan penjawat awam di negara ini.

Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, lanjutan itu memberi peluang kepada mereka untuk mengadakan konsultansi secara lebih terperinci sekali gus ia dapat diterima di semua peringkat kakitangan kerajaan.

“Skim SBPA ini sangat penting kepada penjawat awam bagi menambah pendapatan mereka selain menjamin perjalanan kerjaya yang mampu mencungkil bakat, motivasi dan produktiviti kerja.

“Mereka yang bertindak sebagai nadi mahupun jentera kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan perlu meneliti skim ini sepenuhnya bagi menjayakan pelan transformasi negara,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penyelesaian kemelut SBPA yang pada akhirnya mencapai kata sepakat apabila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) diberi hak berunding dalam isu berbangkit serta menjadi pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau exit policy.

Perbincangan lebih tiga jam antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam membawa hasil positif apabila masing-masing bersetuju supaya tarikh akhir untuk menerima opsyen SBPA dilanjutkan ke 15 Januari 2012, manakala tarikh akhir untuk penerimaan opsyen umur persaraan 60 tahun dikekalkan pada 30 Disember ini.

Dalam pada itu, Kamilia berpendapat, setiap jabatan dalam perkhidmatan awam wajar mengadakan bengkel perbincangan lebih-lebih lagi dalam mengatasi persepsi bahawa skim tersebut hanya menguntungkan golongan ‘kaki bodek’.

Justeru katanya, kakitangan kerajaan perlu berani memberikan input-input penambahbaikan bagi pelaksanaan skim tersebut dan tidak hanya tahu mengkritik.

“Skim ini perlu dilihat secara positif selain sebagai satu insentif untuk berjaya. Penjawat awam perlu tahu kenapa mereka boleh dibersarakan awal kerana kerajaan kini mementingkan produktiviti,” katanya.