MAKLUMAN TAMBAHAN SESI PENGEMASKINIAN MAKLUMAT DAN MENANDATANGANI PENERIMAAN OPSYEN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN YANG SEDANG BERCUTI BELAJAR DAN MENGISI JAWATAN LATIHAN BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


MAKLUMAN TAMBAHAN SESI PENGEMASKINIAN MAKLUMAT DAN MENANDATANGANI PENERIMAAN OPSYEN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN YANG SEDANG BERCUTI BELAJAR DAN MENGISI JAWATAN LATIHAN BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Dengan segala hormatnya saya adalah diarah menarik perhatian tuan/puan mengenai perkara di atas.
2.         Dimaklumkan bahawa tempat bagi program tersebut adalah seperti berikut:

Tarikh dan Masa
Sasaran Peserta
Tempat
28 Disember 2011
8.00 pg – 5.00 ptg
Sesi penerangan pada jam 9.00 pg
PPP yang mengikuti pengajian di Zon Tengah
(UM, UIAM, UKM, UiTM, UPM, UPSI, MMU, USIM danUTeM)
Dewan Serbaguna
Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani
Aras G, Lot 4G1, Wisma Tani
Presint 4, Putrajaya
29 Disember 2011
8.00 pg – 5.00 ptg
Sesi penerangan pada jam 9.00 pg
PPP yang mengikuti pengajian di Zon Utara
(USM dan UUM)
Bilik Latihan
Institut Pengajian Siswazah
Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang
29 Disember 2011
8.00 pg – 5.00 ptg
Sesi penerangan pada jam 9.00 pg
PPP yang mengikuti pengajian di Zon Selatan
(UTM dan UTHM)
Dewan Kuliah 2,
Blok C17, Fakulti Sains
Universiti Teknologi Malaysia
Johor Darul Takzim
Nota : Sila bawa bersama Senarai Semak Borang Opsyen (Lampiran A), Borang Pengesahan Diri Terkini Bagi PPP Yang Sedang Cuti Belajar (Lampiran B) dan Slip gaji terkini
3.         Berikut adalah maklumat tambahan berhubung dengan program tersebut:

Sekian, terima kasih.

 

Bahagian Tajaan Pendidikan

Kementerian Pelajaran Malaysia

Surat Siaran Kebenaran Kepada Pihak Sekolah Untuk Memilih Dan Memasang Perkhidmatan Internet Di Sekolah Masing – Masing


Surat Siaran Kebenaran Kepada Pihak Sekolah Untuk Memilih Dan Memasang Perkhidmatan Internet Di Sekolah Masing – Masing

Surat Siaran Kebenaran Kepada Pihak Sekolah Untuk Memilih Dan Memasang Perkhidmatan Internet Di Sekolah Masing – Masing
– Pelanjutan Tempoh Interim Untuk tahun 2012

Delegasi India puji sistem pendidikan vokasional negara – Utusan


Delegasi India puji sistem pendidikan vokasional negara

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Usaha kerajaan mewujudkan sistem pendidikan vokasional bagi membantu pelajar-pelajar lemah daripada terus tercicir dalam arus pendidikan mendapat pujian daripada delegasi Pusat Asal Usul Kecemerlangan Pendidikan New Delhi, India.

Delegasi itu mengadakan lawatan ke Malaysia selama 10 hari berakhir esok melibatkan 68 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru dari tiga buah negeri di India iaitu Rajasthan, Bihar dan Madhya Pradesh.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tujuan lawatan itu adalah bagi memberi pendedahan dan maklumat berkaitan sistem pendidikan negara terutama pendidikan vokasional.

“Lawatan itu merupakan satu bentuk interaksi global yang menyediakan ruang untuk bertukar pandangan dan pengalaman mengenai pendidikan vokasional yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Mereka (delegasi) memuji inisiatif kerajaan dalam mewujudkan dan memastikan kelangsungan sistem pendidikan vokasional demi masa depan generasi muda,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Jalinan Mesra di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Besar pusat itu, Talib Hussain memberitahu, sistem pendidikan vokasional Malaysia akan menjadi contoh kepada India dalam usaha membangunkan modal insan yang berkemahiran.

“Kerajaan Malaysia berjaya mengenal pasti masalah belia dalam pendidikan terutama pelajar yang lemah dengan mewujudkan sekolah vokasional yang dapat menjamin masa depan mereka,’’ katanya.

Mengaku sebabkan guru maut – Metro


Mengaku sebabkan guru maut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Seorang pemuda berusia 21 tahun dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, semalam, selepas mengaku bersalah memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang guru pada Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Haizzat Hashim berasal dari Kampung Sungai Buor di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Ghazaly selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu van bernombor pendaftaran DT 5141 memandu secara melulu yang membahayakan orang ramai hingga menyebabkan kematian Junaidah Mohd Nor, 45, yang memandu kereta bernombor pendaftaran DAN 5365.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Julai jam 7 pagi di Kampung Tunjung, Kilometer (KM) 10 Jalan Kuala Krai, di sini, dan dakwaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak lebih RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah.

Bangun pagi, jumpa kawan baru


Bangun pagi, jumpa kawan baru


 

BAGI seorang ibu dari Subang Jaya, Selangor, Siar Siew Ling, 35, beliau sudah mula risau memikirkan anaknya yang bakal menjejak sekolah hanya dalam beberapa hari sahaja lagi. Bakal melalui pengalaman segar kerenah anak berhadapan dengan sekolah baharu di Tahun Satu, Siew Ling kelihatan lebih risau berbanding anaknya, Gabriel Kong Tze Hean, 6.

Ini kerana walaupun anaknya itu berasa teruja terutama sekali apabila sudah mempunyai beg sekolah, pakaian sekolah, kasut dan peralatan tulis baharu, dalam diam-diam, Siew Ling dapat juga merasai akan berlaku sedikit kejutan bagi Gabriel.

“Ia akan menjadi satu pengalaman yang sangat berbeza. Walaupun pernah memasuki tadika dan prasekolah selama tiga tahun iaitu bermula usia empat tahun, saya tetap takut,” katanya.

Tambah Siew Ling lagi, berhadapan dengan persekitaran pendidikan formal, guru besar, guru sekolah, kumpulan pelajar yang lebih besar dan peraturan sekolah pasti akan membuatkan kanak-kanak Tahun Satu sedikit terkejut.

Bagaimanapun ia adalah satu perasaan normal dalam kalangan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dan mahir mengendalikan situasi yang pelbagai, demikian kata Pakar Psikologi Klinikal, Program Psiko Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Madya Dr. Alvin Ng Lai Oon.

“Apa yang penting, jangan takutkan anak-anak terlalu awal mengenai zaman persekolahan tetapi, dedahkan secara berperingkat pada usia yang betul. Biar mereka didedah dengan persekitaran sekolah, melihat kanak-kanak lain ke sekolah dan bekalkan peralatan sekolah untuk menyedarkan kini tiba giliran mereka pula ke sekolah,” ujar Alvin.

Jangan terlampau risau

Kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan Tahun Satu dilaporkan banyak berhadapan dengan tekanan atau ketakutan. Walaupun ia sesuatu yang normal, adalah disarankan supaya ibu bapa mendekatkan kanak-kanak dengan persekitaran sekolah supaya ketakutan itu tidak lama, berpanjangan mahupun memberi impak terhadap akademik.

PASTIKAN anak mendapat tidur yang cukup untuk mengelakkan mereka mengantuk sewaktu berada di dalam kelas.

 

Alvin juga menyarankan agar ibu bapa tidak berkelakuan terlalu mengendahkan tekanan yang bakal dihadapi kanak-kanak sebaliknya cukup untuk mengambil kira ia sebagai satu kepentingan.

Mengambil contoh kebimbangan Siew Ling terhadap anaknya yang teruja untuk ke sekolah, Alvin juga mahu ibu bapa bersedia dengan beberapa perancangan atau pelan apabila anak mereka mula membuat perangai.

Apa yang dimaksudkan oleh Alvin ialah terhadap kanak-kanak yang akan mengharapkan ibu atau bapa akan sentiasa menemani mereka sepanjang berada di sekolah. Kanak-kanak itu akan menangis jika dipisah daripada ibu bapa atau enggan membuka mulut sewaktu di dalam kelas.

“Mungkin pada hari-hari permulaan, ibu atau bapa perlu memberi sedikit ruang dan masa. Tetapi jangan sekali-kala memanjakan anak sehingga anda memaksa diri untuk tinggal di sekolah sepanjang waktu persekolahan untuk tempoh lama,” katanya sambil mengakui ada ibu bapa yang terpaksa ‘berkampung’ di sekolah selama lebih sebulan.

Apabila ditanya penyelesaian untuk berhadapan dengan situasi yang disenarai tadi, Alvin berkata semuanya perlu bermula dari awal oleh ibu bapa sebagai modal dan disiplin di samping kelonggaran di mana patut.

ALAM persekolahan membolehkan anak-anak mengumpul sahabat baharu.

 

Bercakap panjang lebar, Alvin merujuk kepada kenyataan seorang lagi ibu Halina Mihamed Yasin, 32, “Saya berpendapat anak saya akan berhadapan dengan masalah bangun awal memandangkan sekolahnya bermula pada sesi pagi.”

Kata Alvin, masalah bangun awal pagi bukan satu masalah besar memandangkan setiap kanak-kanak melaluinya dan lazimnya mampu dilatih oleh ibu bapa. Katanya, ibu bapa perlu manjadikannya satu rutin dan ibu bapa perlu menjadi modal asas.

“Juga, ibu bapa boleh memberi ganjaran, jika anak bangun awal. Bukan merasuah atau tawaran tetapi, ganjaran dan ia dilakukan hanya selepas kanak-kanak itu berjaya melakukan,” katanya yang mengalakkan ganjaran untuk apa jua kelakuan positif kanak-kanak.

Katanya lagi, latihan untuk bangun awal boleh dilakukan apabila ibu bapa bersama-sama terlibat untuk tidur dan bangun awal. Lain-lain tip yang dikongsi Alvin bagi ibu bapa pertama kali mempunyai anak melangkah ke Tahun Satu ialah untuk memastikan anak-anak diberi pemakanan yang sihat sama ada sebelum pergi ke sekolah, bekalan makanan pada waktu rehat dan sepanjang hari. Katanya, diet sihat adalah antara elemen yang paling penting diberi keutamaan.

Belajar pengalaman anak sulung

Dalam pada itu, Halina, ibu kepada tiga orang anak akui kini giliran anak kedua pula ke sekolah rendah dan beliau sudah melakukan persediaan yang sepatutnya.

Sambil tersenyum manis, Halina mengakui seperti kanak-kanak lain, anaknya, Muhamad Aiman Haziq berasa seronok tetapi, dalam masa ketakutan itu tetap ada.

“Biasanya kanak-kanak suka pergi sekolah kerana dapat berjumpa ramai kawan. Dari segi sosial, biasanya tiada masalah tetapi persediaan akademik, saya terpaksa memberi sedikit tumpuan. Ini hasil pengalaman anak pertama saya,” ujar Halina.

IBU bapa tidak seharusnya terlampau risau dengan alam baharu anak-anak, selain memberikan kepercayaan kepada guru untuk menjalankan tugas mereka.

 

Tambah beliau, sebagai melatih dan bersiap sedia dengan pendekatan akademik anaknya, Halina bertindak menghantar Aiman ke tuisyen selama sebulan sebelum sesi persekolahan bermula.

“Saya dapat melihat perkembangannya, walaupun pernah menghantar ke tadika, saya memilih untuk hantar tuisyen untuk memastikan Aiman tidak akan ketinggalan di sekolah kelak. Nampaknya dia mampu mengikuti silibus baru,” akuinya.

Menurut seorang guru yang mengajar kanak-kanak kanak-kanak Tahun Satu di sebuah sekolah di Lembah Kelang, masalah yang dihadapi bukan sebenarnya daripada kanak-kanak itu.

“Kami boleh mengawal kanak-kanak dan memperkenalkan satu persekitaran yang mesra. Tetapi sukar untuk ibu bapa mempercayai kami dan meninggalkan anak mereka,” katanya yang enggan dikenali.

Dengan pengalaman hampir lima tahun, guru itu memberitahu, pada minggu pertama kanak-kanak hanya didedah dengan program orientasi dan suai kenal. Tetapi apabila ibu bapa bertindak berada di luar kelas dan terlalu memantau anak mereka, kanak-kanak ini seolah-olah terikat.

“Mereka (kanak-kanak) akan hanya memberi perhatian kepada ibu bapa yang sedang menunggu di luar dan bukan perjalanan dalam kelas,” katanya kesal.

Gadis tanggung tiga adik – Bernama


Gadis tanggung tiga adik

Helmi Abdul Khan (duduk) beramah mesra dengan Nur Sabirah Mohd. Tamize, (dua dari kanan) dan adik-adiknya di Kampung Bagan Semal, Kulim, semalam. – BERNAMA

 

BANDAR BAHARU (Kulim) 26 Dis. – Setelah kematian kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh 10 bulan, seorang gadis berusia 20 tahun kini terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga dengan menanggung tiga orang adiknya sejak November lalu.

Nur Sabirah Mohd Tamize, seorang pekerja kilang di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan terpaksa menyara tiga orang adik-adiknya dengan dua daripada mereka masih bersekolah.

Gadis yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terpaksa mengambil alih tugas menyara tiga adiknya Nur Sabihah, 16, yang berhenti sekolah sebelum sempat mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Norsyafika, 12, yang akan menduduki Tahun Enam pada tahun ini dan Mohd. Danial Zulfahrin, 4, yang akan memulakan persekolahan Januari depan di Kelas Pra Sekolah.

Nur Sabirah yang ditemui di rumah mereka di Kampung Bagan Samak di sini hari ini berkata, bapa mereka Mohd. Tamize Osman, 47, meninggal dunia akibat ketumbuhan di otak pada 5 Januari lalu.

“Ibu, Azlina Awang, 43, pula meninggal dunia akibat diabetik dan hipertensi pada 18 November lalu. Ayah adalah seorang tukang rumah semasa hidupnya sementara ibu pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa berhenti kerja setelah ayah sakit,” katanya.

Mujurlah dalam menghadapi masalah tersebut kedua-dua ibu bapa mereka sempat membina sebuah rumah yang sederhana besarnya di tanah pusaka keluarga itu untuk empat beradik itu tinggal dan berteduh daripada panas dan hujan.

Bapa saudara dan jiran kepada anak yatim piatu empat beradik itu, Abdul Malik Abdul Rahman, 62, berkata, beberapa hari selepas kematian ibu mereka, ada juga yang manyatakan hasrat untuk mengambil adik bongsu mereka Mohd. Danial Zulfahrin dan Nursyafika untuk dibela sebagai anak angkat tetapi Nur Sabirah enggan melepaskan mereka.

Sementara itu, sekumpulan anggota Alumni Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1980 Sekolah Menengah Agama Sultan Izzuddin Shah (SMASIS), Ipoh, Perak hadir di rumah Nur Sabirah bagi mengkaji latar belakang keempat-empat beradik itu dan mereka bersetuju untuk menjadikannya sebagai anak angkatnya.

Wakil kumpulan itu, Roslan Mohd Husin, 46, berkata, program anak angkat itu yang merupakan projek perintis kumpulan yang dianggotai hampir 100 orang itu, akan berusaha membantu meningkatkan tahap persekolahan Norsyafika serta Mohd. Danial Zulfahrin untuk masa depan yang lebih baik serta terjamin.

“Sasaran kami akan sedaya upaya memberi dorongan dan galakan kepada Norsyafika supaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 ini, selain turut membantu masalah kewangan yang dihadapi mereka,” katanya.

Katanya, kumpulan tersebut berjaya mengumpul RM900 sebagai bantuan permulaan untuk membeli pakaian dan peralatan belajar bagi dua beradik yang akan memulakan persekolahan tidak lama lagi.

Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu yang juga salah seorang anggota alumni itu, Helmi Abdul Khan yang turut hadir di rumah tersebut berkata, pihaknya akan memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bandar Baharu supaya menambah bantuan kepada dua beradik itu daripada RM100 sebulan kepada RM150 seorang.

Helmi berkata, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Malaysia (Jasa) Parlimen Kulim/Bandar Baharu Rohana Che Din juga bersetuju menyumbangkan secara peribadi bayaran tuisyen bulanan kepada Norsyafika bagi menghadapi UPSR.

Orang ramai dan mereka yang bersimpati dengan kedaifan hidup empat beradik itu bolehlah menghulurkan sumbangan mereka melalui akaun Nur Sabirah Mohd. Tamize Bank CIMB No 07310014578522 atau menghubunginya menerusi 013-4638904. – BERNAMA

Terima kasih Kerajaan Pusat – Utusan


Terima kasih Kerajaan Pusat

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

 

NIK Aznira Idris (kiri) melihat dua anaknya mencuba pakaian sekolah sambil dibantu jurujual kedai pakaian, Mohd. Firduas Abdul Azizi di Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

 

KOTA BHARU 26 Dis – Rakyat Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana membantu meringankan beban untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka melalui bantuan RM100 kepada setiap pelajar dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beberapa ibu bapa yang ditemui Utusan Malaysia ketika membeli barangan kelengkapan persekolahan di beberapa pasar raya di sini hari ini menyambuat baik pemberian tersebut dan menyifatkan ia adalah langkah tepat untuk membantu rakyat.

Seorang suri rumah, Nik Aznira Idris, 40, berkata, pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100 amat bermakna buat keluarganya dan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan bagi memulakan sesi persekolahan awal Januari ini.

“Bagi saya bantuan ini tepat pada masanya, ditambah pula dengan sesi persekolahan yang akan bermula awal bulan depan.

“Setiap kali sesi persekolahan dibuka, banyak duit yang hendak digunakan terutama membeli pakaian, itu tidak termasuk lagi kelengkapan persekolahan lain seperti alat tulis,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Rokiah Ya’akub, 58, menyifatkan pemberian kedua-dua bantuan berkenaan adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat.

“Bantuan ini amat berharga buat kami yang berpendapatan rendah. Dengan wang tersebut dapatlah saya gunakan untuk membeli pakaian dan kasut buat anak-anak yang akan memulakan persekolahan awal Januari nanti.

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan, pemberian bantuan ini amat besar dan bermakna dengan bagi golongan kurang berkemampuan seperti kami,” ujarnya.

Ismail Mohamad, 42, berkata, biarpun RM500 daripada BR1M masih belum diagihkan, tetapi ia dapat menggantikan semula wang yang digunakan untuk perbelanjaan sekolah pada masa sekarang.

“Saya hanya bekerja sebagai buruh binaan yang mempunyai empat anak yang bersekolah. Wang RM100 dan RM500 ini dapat menampung perbelanjaan untuk mereka masuk ke sekolah nanti.

“Sekiranya tidak ada wang ini, saya terpaksa bekerja keras dan mungkin terpaksa berhutang dengan keluarga,” katanya.

1,200 beg sekolah untuk kanak-kanak di Tanah Merah – Utusan


1,200 beg sekolah untuk kanak-kanak di Tanah Merah

TANAH MERAH 26 Dis. – Lazimnya bantuan persekolahan diberikan kepada pelajar sekolah dan universiti.

Bagaiimanapun, UMNO Bahagian Tanah Merah mencipta sejarah tersendiri apabila menyumbangkan 1,200 beg kepada kanak-kanak berusia lima tahun serta mereka yang bakal memasuki tadika dan pra sekolah.

Beg itu disampaikan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz pada Majlis Sumbangan Beg Perangsang Prasekolah Kanak-Kanak Yang Lahir Tahun 2006 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah (1) itu di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Baharuddin Yusoff dan Ketua Wanita bahagian Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamit.

Menurut Ikmal Hisham, secara keseluruhannya, UMNO bahagian tersebut menyediakan sebanyak 2,200 beg untuk disumbangkan kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, baki 1,000 beg lagi akan diserahkan kepada pelajar terbabit pada pertengahan Januari ini.

“Kami sedang mengesan jumlah kanak-kanak itu melalui kain rentang yang dipasang di kawasan strategik bagi memaklumkan pemberian tersebut kepada ibu bapa.

“Tujuan sumbangan ini adalah untuk menarik minat danmemberikan rasa gembira di kalangan kanak-kanak untuk menuntut ilmu,” katanya.

Dua pelajar terbunuh – Berita Harian


Dua pelajar terbunuh
Oleh Ariffin Salleh
bhnews@bharian.com.my
2011/12/27

 Muhammad Firdaus Mohamad (kiri) dan Mohd Shazlan Rosli

Muhammad Firdaus Mohamad (kiri) dan Mohd Shazlan Rosli

Motosikal dinaiki terbabas langgar tiang telefon

ALOR GAJAH: Dua remaja lelaki yang juga rakan sekolah, maut selepas motosikal mereka naiki terbabas sebelum merempuh tiang telekom di Kampung Rembia dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dol Said, Muhammad Firdaus Mohamad, 13, yang juga pembonceng motosikal, mati di tempat kejadian, manakala rakannya pelajar Tingkatan Tiga sekolah sama, Mohd Shazlan Rosli,15, disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka, kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata Muhammad Firdaus dari Kampung Rembia dan Mohd Shazlan dari Taman Seri Pelangi, Rembia meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.

Katanya, siasatan mendapati, motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui sebatang jalan lurus di Kampung Rembia.

Beliau berkata, akibat kejadian, Muhammad Firdaus mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki kiri, manakala Mohd Shazlan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.

“Muhammad Firdaus mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan patah tangan kiri, manakala Mohd Shazlan yang cedera di badan disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka lapan jam kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Umar berkata, saksi diminta tampil membantu siasatan kes dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-5563222.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kereta mewah taktik baru pengusaha bas sekolah haram – Berita Harian


Kereta mewah taktik baru pengusaha bas sekolah haram

2011/12/27

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) mendedahkan masalah pengangkutan sekolah haram kini kian meruncing dengan taktik operasi terbaru menggunakan kenderaan persendirian mewah, terutama pacuan empat roda untuk mengaburi pandangan pihak penguat kuasa.

Setiausaha Agung PPBSM, Md Saad Mohamad, berkata pengusaha terbabit menggunakan helah kononnya membantu mengangkut anak jiran jika ditahan penguat kuasa, sedangkan mereka mengaut keuntungan dengan berulang-alik antara dua hingga tiga kali sehari.

Beliau mendakwa, lebih 500 pengangkutan sekolah haram sedang beroperasi di seluruh negara dengan purata setiap sekolah menjadi lubuk sekurang-kurang tiga pengusaha terbabit, malah ada yang mencecah sehingga 10 kenderaan terbabit.

Katanya, operasi pengangkutan haram itu kian berleluasa apabila sesi persekolahan baru dibuka tidak lama lagi berikutan ia `merebak’ kepada penggunaan kenderaan persendirian mewah, berbanding bas dan van tanpa permit sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pemandu Bas Sekolah Daerah Johor Bahru berkata, keadaan itu mencetuskan persaingan tidak sihat terhadap pengusaha bas sekolah berlesen, lebih-lebih lagi ramai ibu bapa cenderung menggunakan perkhidmatan persendirian atau van sekolah haram atas alasan anak sampai awal ke rumah.

“Jadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta mengambil tindakan membanteras operasi pengangkutan sekolah haram itu kerana ia membawa risiko besar kepada keselamatan pelajar.

“Lebih membimbangkan, gejala itu mungkin semakin buruk ekoran kelewatan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memproses lebih 250 permohonan permit bas sekolah yang sudah dikemukakan sejak Januari lalu, sedangkan ibu bapa sudah membuat tempahan mengangkut anak mereka untuk sesi persekolahan baru tidak lama lagi.
“Masalah itu mencetuskan rungutan hingga ada pengusaha terbabit yang bercadang menggunakan kenderaan persendirian saja untuk mengangkut pelajar kerana ia boleh dibawa ke mana-mana,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Setakat ini, Md Saad berkata, SPAD hanya meluluskan kurang 10 peratus permohonan permit bas sekolah yang dikemukakan sejak Januari lalu dengan alasan ‘banyak urusan perlu diselesaikan’.