Sampan dinaiki tiga kanak-kanak ditemui terbalik di Gerik – Berita Harian


Sampan dinaiki tiga kanak-kanak ditemui terbalik di Gerik

2011/12/30

GERIK: Operasi mencari dan menyelamat tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dikhuatiri lemas yang disambung pagi ini menemukan sampan dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Bukit Marikan, di sini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat bagaimanapun berkata, setakat ini nasib kanak-kanak itu belum diketahui.

Ketiga-tiga mereka ialah Adham Ruzai, 8; abangnya, Amir, 11; dan sepupu mereka, Mohd Saiful Haikal Dahari, 8, dilihat menaiki sampan itu tanpa pengetahuan keluarga petang semalam.

Tiga sahabat main sampan dikhuatiri lemas di sungai – Metro


Tiga sahabat main sampan dikhuatiri lemas di sungai

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GERIK: Keseronokan tiga sahabat bermain sampan tanpa pengetahuan ahli keluarga bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang di Sungai Kenderong, berhampiran Kampung Bukit Marikan, dekat sini, kehilangan mangsa disedari ahli keluarga masing-masing selepas seorang penduduk memaklumkan ketiga-tiga mangsa sedang menaiki sampan di tengah sungai.
Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohd Saiful Haikal Gahari, 7, Amir, 9 dan Adham, 11, kali terakhir dilihat seorang penduduk kampung jam 2 petang.

 

Difahamkan, penduduk berkenaan terserempak ketiga-tiga mangsa dan cuba menasihati mereka supaya kembali ke tebing, namun mereka enggan mendengar nasihat sebelum memaklumkannya kepada keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang bergegas ke tebing sungai panik apabila mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu gagal ditemui, malah sampan berkenaan juga gagal dikesan.
Sehingga jam 7 malam tadi usaha mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa dilakukan anggota bomba dan penyelamat Gerik, namun gagal menjejaki mangsa.

 

 

Usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan berikutan keadaan arus sungai yang deras.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, ahli keluarga melaporkan kehilangan mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

 

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 3 petang oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat Gerik.
“Saya difahamkan, ketiga-tiga mangsa menaiki sampan milik ibu saudara seorang mangsa yang ditambat di tebing Sungai Kenderong,” katanya.

Padah tak dengar cakap ibu – Metro


Padah tak dengar cakap ibu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Tindakan seorang remaja enggan mendengar nasihat ibunya agar tidak keluar pada waktu senja mengundang padah apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Pesisiran Pantai, Kuala Sungai Padang, di sini, kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila motosikal ditunggang mangsa, Mohd Faiz Chenat, 15, merempuh sebuah motosikal lain di hadapan menyebabkan dia terjatuh dan mati akibat cedera parah.
Bapa mangsa, Chenat Jusoh, 51, berkata sebelum kejadian, isterinya, Rohana Mustafa, 44, melarang Mohd Faiz keluar rumah dengan menunggang motosikal tetapi langsung tidak diendahkan.

 

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu keluar kira-kira jam 6 petang mahu bertemu rrakannya sebelum mereka dikatakan bersiar-siar di sekitar kawasan berhampiran.
Katanya, dia tidak menyangka perasaan tidak sedap hati isterinya itu ternyata benar selepas anaknya maut dalam kemalangan selang beberapa minit kemudian.
“Ketika kejadian itu, saya baru pulang dari kerja mendapat panggilan telefon mengenai kejadian.

 

 

“Saya terus bergegas ke kawasan kejadian bagi melihat keadaan anak saya. Hancur luluh hati melihat Mohd Faiz sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, dia sedih melihat mayat anaknya terbaring tidak bernyawa dengan kecederaan parah di dada, manakala topi keledar dipakainya hancur.

 

“Meskipun kejadian ini amat mengejutkan, namun kami reda dengan pemergian arwah buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama tiga rakannya yang menunggang motosikal berasingan secara laju dipercayai merempuh sebuah motosikal lain yang membelok ke kanan.
Katanya, mangsa yang gagal mengawal motosikalnya merempuh motosikal di hadapan lalu jatuh tersembam ke atas jalan menyebabkan tulang rusuk kirinya patah.
“Mangsa maut di tempat kejadian sebelum tiga lagi rakannya melarikan diri kerana takut dengan kejadian yang menimpa rakan mereka.
“Motosikal yang dirempuh mangsa ditunggangi seorang remaja berusia 14 tahun yang turut mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini,” katanya.
Menurutnya, kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 04-9781079 bagi membantu siasatan.

Dua beradik disyaki mangsa dera – Utusan


Dua beradik disyaki mangsa dera

 

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

 

Seorang kanak-kanak menunjukkan cara kakinya dirantai oleh bapanya di Taman Mawar Raja Uda Butterworth, semalam.

 

BUTTERWORTH 29 Dis. – Keprihatinan seorang jiran yang segera melaporkan kepada polis selepas mendengar tangisan kanak-kanak meminta makanan dari sebuah rumah di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini berjaya menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa dera bapa sendiri.

Polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU) yang mendapat maklumat kejadian itu segera menyerbu rumah yang didiami oleh kanak-kanak bersama bapanya, seorang buruh berusia lingkungan 40-an.

Ketika ditemui, dua beradik terbabit iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dan adik lelakinya berusia 2 tahun berada dalam keadaan letih dan lesu, dipercayai seharian tidak menjamah makanan.

Malah, lebih menyedihkan, terdapat kecederaan di kaki masing-masing dipercayai akibat dirantai dalam tempoh masa yang agak lama di dalam bilik air rumah kedai setingkat itu bagi menghalang mereka bergerak bebas.

Kedua-dua mereka yang dirantai dalam keadaan separuh bogel dipercayai diperlakukan sedemikian sejak sebulan lalu oleh bapa mereka setiap kali dia keluar bekerja.

Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit, seorang warga Thailand dikatakan telah menghilangkan diri sebaik berpisah dengan bapa mereka awal November lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Zulkifli Alias ketika ditemui berkata, dua beradik itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan dan kini berada di bawah jagaan JKM SPU.

Menurut beliau, bapanya ditahan sebaik pulang ke rumah kira-kira pukul 8.45 malam dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.