Sampan dinaiki tiga kanak-kanak ditemui terbalik di Gerik – Berita Harian


Sampan dinaiki tiga kanak-kanak ditemui terbalik di Gerik

2011/12/30

GERIK: Operasi mencari dan menyelamat tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dikhuatiri lemas yang disambung pagi ini menemukan sampan dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Bukit Marikan, di sini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat bagaimanapun berkata, setakat ini nasib kanak-kanak itu belum diketahui.

Ketiga-tiga mereka ialah Adham Ruzai, 8; abangnya, Amir, 11; dan sepupu mereka, Mohd Saiful Haikal Dahari, 8, dilihat menaiki sampan itu tanpa pengetahuan keluarga petang semalam.

Tiga sahabat main sampan dikhuatiri lemas di sungai – Metro


Tiga sahabat main sampan dikhuatiri lemas di sungai

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GERIK: Keseronokan tiga sahabat bermain sampan tanpa pengetahuan ahli keluarga bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang di Sungai Kenderong, berhampiran Kampung Bukit Marikan, dekat sini, kehilangan mangsa disedari ahli keluarga masing-masing selepas seorang penduduk memaklumkan ketiga-tiga mangsa sedang menaiki sampan di tengah sungai.
Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohd Saiful Haikal Gahari, 7, Amir, 9 dan Adham, 11, kali terakhir dilihat seorang penduduk kampung jam 2 petang.

 

Difahamkan, penduduk berkenaan terserempak ketiga-tiga mangsa dan cuba menasihati mereka supaya kembali ke tebing, namun mereka enggan mendengar nasihat sebelum memaklumkannya kepada keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang bergegas ke tebing sungai panik apabila mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu gagal ditemui, malah sampan berkenaan juga gagal dikesan.
Sehingga jam 7 malam tadi usaha mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa dilakukan anggota bomba dan penyelamat Gerik, namun gagal menjejaki mangsa.

 

 

Usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan berikutan keadaan arus sungai yang deras.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, ahli keluarga melaporkan kehilangan mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

 

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 3 petang oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat Gerik.
“Saya difahamkan, ketiga-tiga mangsa menaiki sampan milik ibu saudara seorang mangsa yang ditambat di tebing Sungai Kenderong,” katanya.

Padah tak dengar cakap ibu – Metro


Padah tak dengar cakap ibu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Tindakan seorang remaja enggan mendengar nasihat ibunya agar tidak keluar pada waktu senja mengundang padah apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Pesisiran Pantai, Kuala Sungai Padang, di sini, kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila motosikal ditunggang mangsa, Mohd Faiz Chenat, 15, merempuh sebuah motosikal lain di hadapan menyebabkan dia terjatuh dan mati akibat cedera parah.
Bapa mangsa, Chenat Jusoh, 51, berkata sebelum kejadian, isterinya, Rohana Mustafa, 44, melarang Mohd Faiz keluar rumah dengan menunggang motosikal tetapi langsung tidak diendahkan.

 

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu keluar kira-kira jam 6 petang mahu bertemu rrakannya sebelum mereka dikatakan bersiar-siar di sekitar kawasan berhampiran.
Katanya, dia tidak menyangka perasaan tidak sedap hati isterinya itu ternyata benar selepas anaknya maut dalam kemalangan selang beberapa minit kemudian.
“Ketika kejadian itu, saya baru pulang dari kerja mendapat panggilan telefon mengenai kejadian.

 

 

“Saya terus bergegas ke kawasan kejadian bagi melihat keadaan anak saya. Hancur luluh hati melihat Mohd Faiz sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, dia sedih melihat mayat anaknya terbaring tidak bernyawa dengan kecederaan parah di dada, manakala topi keledar dipakainya hancur.

 

“Meskipun kejadian ini amat mengejutkan, namun kami reda dengan pemergian arwah buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama tiga rakannya yang menunggang motosikal berasingan secara laju dipercayai merempuh sebuah motosikal lain yang membelok ke kanan.
Katanya, mangsa yang gagal mengawal motosikalnya merempuh motosikal di hadapan lalu jatuh tersembam ke atas jalan menyebabkan tulang rusuk kirinya patah.
“Mangsa maut di tempat kejadian sebelum tiga lagi rakannya melarikan diri kerana takut dengan kejadian yang menimpa rakan mereka.
“Motosikal yang dirempuh mangsa ditunggangi seorang remaja berusia 14 tahun yang turut mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini,” katanya.
Menurutnya, kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 04-9781079 bagi membantu siasatan.

Dua beradik disyaki mangsa dera – Utusan


Dua beradik disyaki mangsa dera

 

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

 

Seorang kanak-kanak menunjukkan cara kakinya dirantai oleh bapanya di Taman Mawar Raja Uda Butterworth, semalam.

 

BUTTERWORTH 29 Dis. – Keprihatinan seorang jiran yang segera melaporkan kepada polis selepas mendengar tangisan kanak-kanak meminta makanan dari sebuah rumah di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini berjaya menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa dera bapa sendiri.

Polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU) yang mendapat maklumat kejadian itu segera menyerbu rumah yang didiami oleh kanak-kanak bersama bapanya, seorang buruh berusia lingkungan 40-an.

Ketika ditemui, dua beradik terbabit iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dan adik lelakinya berusia 2 tahun berada dalam keadaan letih dan lesu, dipercayai seharian tidak menjamah makanan.

Malah, lebih menyedihkan, terdapat kecederaan di kaki masing-masing dipercayai akibat dirantai dalam tempoh masa yang agak lama di dalam bilik air rumah kedai setingkat itu bagi menghalang mereka bergerak bebas.

Kedua-dua mereka yang dirantai dalam keadaan separuh bogel dipercayai diperlakukan sedemikian sejak sebulan lalu oleh bapa mereka setiap kali dia keluar bekerja.

Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit, seorang warga Thailand dikatakan telah menghilangkan diri sebaik berpisah dengan bapa mereka awal November lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Zulkifli Alias ketika ditemui berkata, dua beradik itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan dan kini berada di bawah jagaan JKM SPU.

Menurut beliau, bapanya ditahan sebaik pulang ke rumah kira-kira pukul 8.45 malam dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.

Penstrukturan semula SBPA diharap tidak jejaskan swasta – Bernama


Penstrukturan semula SBPA diharap tidak jejaskan swasta

29/12/2011 6:04pm

 

KUALA LUMPUR 29 Dis. — Penstrukturan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diharap tidak akan menjejaskan pertumbuhan sektor swasta yang memacu ekonomi negara, kata Institute for Democracy Economic Affairs (Ideas) hari ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, Ideas berkata penstrukturan semula SBPA akan memberi kesan kepada keseluruhan aspek ekonomi seperti pergerakan buruh dan modal, pendidikan, kadar inflasi, kitaran perniagaan, serta kadar gaji dan upah di sektor swasta.

“Apa-apa semakan terhadap SBPA mestilah memberi lebih banyak ruang kepada sektor swasta menjana pertumbuhan ekonomi. Ini kerana kekayaan negara dijana oleh sektor swasta manakala sektor awam sekadar membelanjakan kekayaan tersebut.

“Dalam usaha membangunkan ekonomi, kita mesti pastikan mereka yang berbelanja tidak melebihi mereka yang mencipta kekayaan dan skim baru seperti SBPA perlu mengambil kira hal ini,” kata Eksekutif Kanan Ideas, Medecci Lineil.

Sehubungan itu, beliau berkata SBPA mestilah bermatlamat untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang benar-benar sesuai dengan suasana ekonomi yang semakin liberal dan kompleks dan apa juga perubahan haruslah melambangkan semangat liberalisasi ekonomi yang ada dalam Model Ekonomi Baru (NEM). — BERNAMA

Lelaki ditahan ikat dan kurung dua anak dalam tandas – Bernama


Lelaki ditahan ikat dan kurung dua anak dalam tandas 

2011/12/29

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua orang anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam tandas di rumah mereka di Jalan Raja Uda di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata lelaki berusia 40-an itu mengikat kaki anak perempuannya berusia enam tahun dan anak lelaki berusia dua tahun itu dengan rantai besi sebelum keluar bekerja pada jam 3 petang semalam.

Dua beradik itu dipercayai berlapar lebih lima jam selepas bapa mereka keluar rumah di Taman Mawar di Raja Uda di sini.

Lelaki, yang bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran di sini, berpisah dengan isterinya seorang warga Thailand sejak sebulan lalu.

Zulkifli berkata, kedua-dua beradik itu ditemui dalam keadaan sangat letih kerana kelaparan dan mereka hanya memakai baju dan seluar dalam dengan kaki berantai besi.

“Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu bertindak demikian kerana tidak mempunyai penjaga dan anaknya pula dikatakan nakal,” katanya.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak yang jika bersabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Seorang jiran keluarga itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau mendengar jeritan kanak-kanak berkenaan yang meminta tolong pada jam 8 malam.

“Apabila saya bertanya apa yang berlaku, kanak-kanak perempuan itu menjerit dan memberitahu yang mereka dikurung dalam bilik air,” katanya.

Beliau terus memaklumkan perkara itu kepada pasukan ronda sukarela Taman Mawar dan juga polis. – BERNAMA

Bapa rantai dua anak dalam tandas – Berita Harian


Bapa rantai dua anak dalam tandas

2011/12/29

BUTTERWORTH: Dua beradik diperlakukan seperti haiwan oleh bapa sendiri yang tergamak mengikat kaki mereka dengan rantai besi, mengurung mereka dalam tandas selama lebih lima jam dan membiarkan mereka kelaparan.

Dalam kejadian di rumah mereka di Taman Mawar, Raja Uda, di sini, semalam, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an mengikat kaki kiri anak perempuannya berusia enam tahun serta anak lelakinya berusia dua tahun ketika hendak keluar bekerja kira-kira jam 3 petang.

Suspek yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa anaknya nakal dan tiada siapa hendak menjaga mereka ketika dia keluar bekerja.

Suspek dikatakan sudah berpisah dengan isterinya yang dipercayai warga Thailand yang bertindak keluar rumah sejak sebulan lalu.

Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan amat menyedihkan.

Suspek yang pulang ketika dua kanak-kanak itu diselamatkan, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata kejadian itu disedari jiran yang terdengar jeritan kanak-kanak terbabit meminta tolong supaya dilepaskan.
“Jiran terbabit terus menghubungipolis kira-kira jam 8 malam dan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian bersama-sama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelamatkan dua beradik itu,” katanya.

Siasat pasar raya minta senarai gaji baru sektor awam – Bernama


Siasat pasar raya minta senarai gaji baru sektor awam

29/12/2011 2:11pm

 

KUALA LUMPUR 29 Dis. — Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia hari ini meminta pihak berkuasa menyiasat laporan beberapa blog yang mendakwa ada pasar raya meminta senarai tangga gaji baru penjawat awam di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, berdasarkan maklumat pada blog terbabit, perkara itu mungkin dilakukan bagi tujuan menaikkan harga barang.

Jika ini berlaku, tidak ada gunanya kerajaan menaikkan gaji penjawat awam kerana mereka tidak mendapat faedah daripada pelarasan gaji di bawah SBPA itu, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihak berkuasa mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang berbuat demikian.

“Jadi kita minta kerajaan terus jalankan pemantauan dan kalau ada peniaga yang menaikkan harga secara melampau ambil tindakan ikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya. — BERNAMA

KSSR lengkapi kemahiran hadapi cabaran – Berita Harian


KSSR lengkapi kemahiran hadapi cabaran

2011/12/29

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.

Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?

KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu? 

Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.

Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas? 

Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.

Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?

Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?

KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.

S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?

J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.

S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?

J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

Kakak mati atas pangku – Metro


Kakak mati atas pangku

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: Hanya laungan ‘kak’ sebanyak dua kali mampu dijeritkan oleh seorang gadis apabila melihat motosikal yang dinaiki kakak angkatnya hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai-Kuala Ketil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi berhampiran Sungai Karangan itu, mangsa Nor Azliyana Rosle, 23, dari Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Lebih memilukan apabila pemegang motosikal Honda Wave yang dinaiki mangsa turut melekat pada bahagian depan sebelah kiri lori terbabit akibat tercabut dipercayai disebabkan rempuhan kuat.

 

Adik angkat mangsa, Nor Fazlin Idayu Ali, 14, berkata, mereka dalam perjalanan menuju ke Pendang secara berasingan yang mana dia membonceng motosikal ditunggang adik mangsa, Nor Azri Izati, 16, manakala arwah menunggang sendirian.
Menurutnya, ketika berada di kawasan Sungai Karangan menuju ke arah Padang Serai, arwah berada di hadapannya pada jarak kira-kira 50 meter.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami berdua terkejut apabila secara tiba-tiba motosikal ditunggangi arwah terus memasuki laluan bertentangan.

 

 

“Terkejut dengan kejadian itu, kami menjerit ke arah arwah selepas melihat sebuah lori kecil berada di laluan bertentangan dan dalam sekelip mata saja terdengar bunyi dentuman apabila motosikal arwah bertembung dengan lori,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.
Menurutnya, akibat daripada pertembungan itu, arwah terpelanting di bahu jalan bersama dengan motosikalnya.

 

Katanya, dalam keadaan panik, mereka memberhentikan motosikal lalu terus mendapatkan arwah yang ketika itu berada dalam keadaan nazak.
“Kami terus memangku arwah dan ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala. Orang ramai yang turut berada di tempat kejadian menghubungi ambulans, namun arwah disahkan sudah meninggal dunia sebaik ambulans tiba.
“Kejadian ini membuatkan kami rasa begitu sedih kerana pagi tadi (semalam) dan semalam (kelmarin) sebelum bertolak ke Pendang, kami bertiga sempat bergurau senda seperti biasa dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Arwah seorang yang baik dan juga aktif dalam aktiviti pasukan sukarela beruniform apabila menyertai Askar Wataniah dan pasukan Rela. Kini kami sudah kehilangannya buat selama-lamanya dalam sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 11 pagi sebelum sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.