Murid maut dipanah petir, 4 termasuk guru cedera – Sinar Harian


Murid maut dipanah petir, 4 termasuk guru cedera

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2012

KUALA KANGSAR – Seorang pelajar maut manakala empat lagi termasuk seorang guru cedera dalam tragedi panahan petir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mazuin di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa berusia 10 hingga 12 tahun dan seorang guru dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa bersama rakan-rakan masih lagi berada di padang selepas selesai menjalani latihan.
“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pakri dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kematian disebabkan oleh ‘lightning injury’.

Kerana terpijak kasut, remaja rakyat asing dibunuh – Bernama


Kerana terpijak kasut, remaja rakyat asing dibunuh

31 Januari 2012

TAWAU – Gara-gara terpijak kasut pada majlis kenduri dan tari menari di Kalabakan, seorang remaja maut dibelasah sekumpulan lelaki di persimpangan bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Remaja lelaki berusia 16 tahun yang cedera di perut, muka, kepala dan tangan itu mati di Hospital Tawau pada pukul 3.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin berkata siasatan awal polis mendapati remaja rakyat asing itu dipukul menggunakan kayu dan tangan oleh sekumpulan lelaki berusia 17 dan 23 tahun yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

“Mereka menunggunya di bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan.

Sebaik mangsa yang menaiki motosikal tiba bersama dua rakan lain, mereka diserang secara tiba-tiba menggunakan kayu dan tangan.

“Dua rakan mangsa sempat melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, polis menahan lapan remaja dengan dua daripadanya rakyat asing dua hari lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, seorang lelaki rakyat Indonesia berusia 29 tahun mati ditikam, disyaki oleh rakan sebiliknya di sebuah rumah pekerja di Kem Luasong, kira-kira 110 kilometer dari sini.

Kejadian pada pukul 6 pagi Ahad lepas itu dikatakan hanya disebabkan lelaki itu membawa masuk sebuah katil usang ke dalam bilik yang dikongsi dengan seorang rakyat Filipina berusia 39 tahun itu, kata Ibrahim.- Bernama

SBPA: Cuepacs ulangi amaran ‘pulau’ jika… – Sinar Harian


SBPA: Cuepacs ulangi amaran ‘pulau’ jika…

31 Januari 2012

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat permohonan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mengemukakan surat kepada Mohd Sidek esok berhubung perkara itu bagi mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Awal dulu lagi, kita sudah maklumkan bahawa kita hendakkan tiga lagi tambahan pegawai Cuepacs dalam pasukan petugas itu.

“Mungkin kalau nak permohonan, kita akan hantar surat esok, untuk menambah tiga orang lagi anggota Cuepacas sebelum 8 Feb (mesyuarat kedua pasukan petugas khas),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi pasukan petugas itu Tan Sri Ismail Adam semalam bahawa pasukan itu tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memilih tiga lagi pemimpin kanan Cuepacs bagi menganggotai pasukan berkenaan.

Dipetik Bernama, kata beliau, sebaliknya hanya Mohd Sidek mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.

Tiga pemimpin kanan Cuepacs yang dicadangkan untuk menganggotai pasukan itu ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor.

Pasukan petugas khas itu kini dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan.

Cuepacs sebelum ini, menegaskan bahawa pihaknya tetap dengan pendirian tidak menyertai pasukan petugas khas itu, sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan menganggotai pasukan tersebut.

Bagaimanapun, Omar berkata jika masih tiada surat jemputan diterima, beliau tetap akan menghadiri mesyuarat kedua yang dijadual pada 8 Februari, tetapi akan mengisytiharkan secara rasmi untuk menarik diri.

“Ini bukan keputusan Omar Osman tetapi menghormati keputusan kongres dan anggotanya. Cuepacs hari ini adalah harapan 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara,” katanya.

Guru bebas tuduhan seks luar tabii dengan pelajar – Bernama


Guru bebas tuduhan seks luar tabii dengan pelajar 

2012/01/31

SHAH ALAM: Seorang guru sekolah rendah hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada dua pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dengan seorang pelajar lelaki sekolah menengah di sebuah rumah di Rantau Panjang, Klang, empat tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya melepaskan dan membebaskan Badrul Akmal Ishak, 33, tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan terutama keterangan mangsa sendiri bertentangan dengan keterangan sokongan khasnya keterangan ahli kimia dan keterangan perubatan yang mengatakan tiada tanda-tanda mangsa diliwat.

Hakim Slamat berkata pakar bedah, Dr S. Manimaran, memberi keterangan bahawa tidak terdapat kesan luka pada dubur mangsa manakala Dr Chan Swee Sing yang memeriksa mangsa, juga mendapati tiada kesan atau tanda-tanda mangsa diliwat.

Beliau berkata, ahli kimia P.Revathi pula menyatakan hanya DNA Badrul Akmal yang diambil daripada keratan kain dari biliknya, dan tiada DNA mangsa didapati di atas katil atau dalam bilik tertuduh. – BERNAMA

Sekolah diminta jaga persekitaran daripada ancaman denggi – Bernama


Sekolah diminta jaga persekitaran daripada ancaman denggi 

2012/01/31

PETALING JAYA: Pihak sekolah diminta supaya menjaga kebersihan kawasan persekitaran mereka daripada ancaman denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman, berkata ini berikutan dua daripada enam kes kematian akibat denggi yang dilaporkan dalam tempoh empat minggu pertama tahun ini, membabitkan pelajar.

“Seorang daripada mangsa merupakan pelajar sekolah rendah yang berusia sembilan tahun dan seorang lagi pelajar kolej berusia 18 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau melancarkan program Pertandingan Anti-Aedes Renjer Ridsect peringkat sekolah di Sekolah Menengah Perempuan Seri Aman, di sini hari ini.

Hassan berkata, daripada 1,868 kes jangkitan denggi yang dilaporkan setakat ini, 378 kes melibatkan pelajar sekolah iaitu 246 pelajar sekolah menengah dan 132 murid sekolah rendah. – BERNAMA

Eksploitasi kudrat pelajar – Metro


Eksploitasi kudrat pelajar

Oleh Aniza Zainudin dan Nurul Husna Mahmud
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyifatkan unsur eksploitasi terhadap kanak-kanak melakukan jualan pengumpulan dana pusat tahfiz dengan alasan memberi pendedahan keusahawanan adalah tidak wajar, apatah lagi kegiatan itu turut dikaitkan dengan individu yang terbabit dalam ajaran sesat.

Ini bermakna tanggungjawab yang diamanahkan ibu bapa dan penjaga menjadikan anak mereka sebagai tahfiz seolah tidak kesampaian apabila tumpuan sepenuhnya gagal diberikan berikutan kepenatan selepas melakukan penjualan.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, terdapat unsur eksploitasi terhadap golongan berkenaan menggunakan pelbagai alasan termasuk latihan amali untuk berdikari dan memperkenalkan budaya berniaga.

 

“Akibat daripada kepenatan mengutip dana dengan menjual pelbagai barangan, membuatkan kanak-kanak ini gagal menumpukan perhatian sepenuhnya untuk bergelar tahfiz.
“Kementerian tidak mempunyai kuasa ke atas pusat tahfiz persendirian berikutan ia didaftarkan dengan pusat agama negeri (malah ada yang tidak berdaftar), walau bagaimanapun, kita sememangnya memberi bantuan kewangan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai kegiatan pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan mengumpul dana menerusi pelbagai sumber termasuk menggunakan murid sebuah pusat tahfiz di Kedah untuk melakukan jualan amal di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

 

 

Menurutnya, pusat tahfiz berkenaan seharusnya prihatin dengan tindakan diambil kerana ia tidak adil bagi kanak-kanak terbabit terutama yang berstatus anak yatim.
Katanya, jabatan berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Sumber Manusia seharusnya mengambil tindakan dengan menyiasat sama ada kanak-kanak itu dieksploitasi ataupun sebaliknya.

 

Selain itu, ibu bapa harus memainkan peranan dengan membuat laporan polis sekiranya anak mereka disuruh melakukan aktiviti berkenaan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pusat tahfiz mempunyai kaedah lain untuk mendapatkan dana termasuk daripada perbadanan serta yayasan agama, bukan mengerah tenaga pelajar terutama di musim cuti perayaan dan persekolahan di lokasi tumpuan ramai.
Katanya, pelajar seharusnya memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran bukannya dikerah tenaga bagi mengutip dana pusat tahfiz. “Jika benar, ingin memberi pendedahan mengenai keusahawanan seharusnya pemantauan dilakukan bersama termasuk jadual anjal bagi masa rehat dan makan.
“Kes eksploitasi kanak-kanak ini sudah terlalu lama berlanjutan, namun ia seakan tidak pernah selesai.
“Pihak berwajib seperti jabatan agama negeri perlu melakukan pemeriksaan dan pemantauan termasuk di manakah wang penjualan itu disalurkan dan berapa banyak had kutipan diwajibkan bagi seseorang pelajar,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pelajar itu dibiarkan melakukan penjualan hingga lewat malam tanpa memikirkan aspek keselamatan dan seharusnya di waktu senggang kanak-kanak berkenaan berehat atau melakukan ulang kaji pelajaran.
Menurutnya, beliau sendiri kerap kali didatangi pelajar tahfiz berkenaan biarpun bersimpati, namun beliau enggan melayan permintaan kanak-kanak itu kerana mengetahui ia satu eksploitasi didalangi individu tertentu.

‘Abangku wira’ – Metro


‘Abangku wira’

Oleh Junaidi Ladjana, Nur Haffiza Mohd Firdaus dan Nur Ain Mohd Ibrahim
hmkk@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PADAM...bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, semalam. Gambar kecil, Justin.
PADAM…bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, semalam. Gambar kecil, Justin.

PENAMPANG: Seorang budak berusia 10 tahun sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak semata-mata mahu menyelamatkan dua adiknya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kanak-kanak berkenaan, Nigel Justin, melecur di tangan selepas meredah masuk menyelamatkan dua adiknya, Agustin, 6, dan Victor, 2, yang ketika itu berada dalam rumah yang terbakar.
Difahamkan, ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu, Justin Banot, 48, tiada di rumah kerana menemani seorang lagi anaknya, Jun Jenifer, 9, yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini, manakala anak sulungnya, Ricky, 19, bekerja di pekan Inanam.

 

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu yang tidak dikenali dikatakan sudah tidak lagi tinggal di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu walaupun dia belum bercerai dengan suaminya.
Akibat kejadian itu, rumah dua tingkat milik Justin musnah dan menyebabkan kerugian lebih RM60,000 termasuk kedai runcit disewa di tingkat bawah rumah turut rentung.
Menurut Nigel, ketika kejadian, dia di rumah menjaga dua adik selepas bapa pergi menziarah seorang lagi anaknya di hospital.

 

 

“Saya terhidu bau asap yang kuat dan terkejut apabila mendapati dapur rumah terbakar.
“Ketika itu, saya hanya berfikir menyelamatkan adik lalu berlari ke ruang tamu dan menarik tangan Agustin keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

 

Namun, selepas itu, Nigel menyedari seorang lagi adiknya, Victor tiada bersama lalu nekad masuk semula ke dalam rumah walaupun ketika itu api mula merebak.
“Saya terus ke bilik tidur dan terus mengangkat Victor yang ketika itu nyenyak tidur lalu berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya.
“Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda lain termasuk kelengkapan sekolah kerana hanya terfikir untuk menyelamatkan kedua-dua adik saya,” katanya.
Sementara itu, Justin ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia ke hospital untuk menemani seorang lagi anaknya yang dirawat kerana menghidap penyakit sawan.
“Saya terkejut dan hampir pitam apabila memikirkan keselamatan anak sebaik menerima panggilan memberitahu rumah saya terbakar.
“Walaupun tidak sempat menyelamatkan sebarang harta, saya bersyukur semua anak selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Johnny John Jinuli berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.18 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Seramai 11 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal satu jam kemudian.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Murid Tahun 6 lemas di Pantai Batu Hitam – Bernama


Murid Tahun 6 lemas di Pantai Batu Hitam

2012/01/31

KUANTAN: Seorang murid Tahun Enam mati lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Batu Hitam, di sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Sharul Hafiz Ramli, 12, murid Sekolah Kebangsaan Balok ke pantai berkenaan untuk mandi bersama dua rakannya, Mohd Nor Faiz Rolzami, 10, dan Mohd Taufik Firdaus Omar, 12, kira-kira jam 4 petang.

Menceritakan pengalamannya kepada pemberita, Mohd Taufik berkata pada mulanya mereka hanya mandi di tepi pantai sebelum Mohd Shahrul dan Nor Faiz berenang ke tengah sedikit.

“Tiba-tiba saya ternampak Nor Faiz terkapai-kapai dan mangsa cuba menyelamatkannya namun dia turut lemas dan saya cuba untuk menyelamatkan mereka tetapi gagal sebab air agak tinggi lalu saya pergi meminta pertolongan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata anggota penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira jam 7.05 petang dan diberikan rawatan bantuan pernafasan.

Katanya, mangsa dan Nor Faiz dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas manakala Nor Faiz dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, bapa tiri mangsa, Razali Rahim, 31, yang ditemui di bilik mayat berkata dia reda dengan kejadian itu.
“Mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum ini tetapi sebelum kejadian dia ada meminta duit 20 sen untuk membeli gula-gula di kedai berhampiran,” katanya. – BERNAMA

Pemberitahuan Kemaskini Borang Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2012/2013


KEMASKINI PERMOHONAN PROGRAM MATRIKULASI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA SESI 2012/2013

Sukacita dimaklumkan bahawa proses kemaskini permohonan ke Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia sesi 2012/2013  dibuka mulai 6 Februari 2012 sehingga 19 Februari 2012. Pelajar SPM 2011 yang memohon melalui internet hanya perlu menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor angka giliran SPM untuk masuk. Sebarang pertanyaan atau masalah boleh hubungi Bahagian Matrikulasi (BMKPM) di talian 03-88844040/4031 atau layari laman sesawang http://www.moe.gov.my atau http://www.moe.gov.my/bmkpm.


CUEPACS tubuh Jawatankuasa Bertindak SBPA – Berita Harian


CUEPACS tubuh Jawatankuasa Bertindak SBPA 

2012/01/31

KUALA LUMPUR: CUEPACS menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menyediakan satu kertas kerja yang komprehensif berhubung penambahbaikan skim itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kertas kerja itu akan turut merangkumi lima tuntutan yang dibuat oleh kesatuan sekerja berkenaan sebelum ini.

Omar berkata, jawatankuasa itu akan diketuai Timbalan Presiden I CUEPACS, Azih Muda dan dianggotai kira-kira 15 ahli jawatankuasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Omar berkata, jawatankuasa itu akan menyiapkan kertas kerja berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.