Guru nyaris maut jambatan runtuh – Metro


Guru nyaris maut jambatan runtuh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GUA MUSANG: Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di sini, terselamat daripada maut apabila jambatan kayu balak yang digunakan sebagai laluan utama ke sekolah berkenaan, runtuh semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Hazizul Mamat, 30, yang menunggang motosikal terselamat selepas sempat berpatah balik apabila menyedari jambatan yang dilalui tiba-tiba bergegar sebelum runtuh.
Ketika kejadian, Hazizul berkonvoi bersama 20 guru dan 16 murid Orang Asli, dengan 10 daripada guru lelaki menunggang motosikal , manakala selebihnya menaiki lima kenderaan pacuan empat roda. Menurut Hazizul, dia mengetuai konvoi berkenaan dan sempat melalui jambatan berkenaan sebelum ia runtuh.

 

“Ketika separuh jalan melalui jambatan, saya berasa jambatan bergegar. Saya mengarahkan rakan lain yang berada di belakang supaya berhenti dan tidak melalui jambatan itu.
“Saya berpatah balik keluar dari laluan jambatan itu dan tidak sampai lima minit, jambatan itu runtuh. Mujur saya pantas berpatah balik kerana jika tidak mungkin saya tersepit di celah-celah runtuhan jambatan,” katanya.
Hazizul berkata, akibat kejadian itu, dia dan guru lain bersama murid Orang Asli terpaksa berpatah balik ke bandar Gua Musang.

Gadis 13 tahun ditangkap khalwat – Metro


Gadis 13 tahun ditangkap khalwat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang remaja perempuan ditahan bersama kekasihnya dalam bilik hotel bajet di Taman Melawati, di sini awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 pagi yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), remaja 13 tahun itu mengaku menyewa hotel berkenaan dengan harga RM30 semalam bagi meraikan tahun baru bersama kekasihnya.
Menurut sumber polis, pasangan itu menyewa bilik hotel itu mulai jam 1 tengah hari dan melakukan hubungan seks beberapa kali sebelum dicekup.

 

Katanya, remaja itu mengaku melakukan hubungan asmara bersama kekasihnya yang berusia 23 tahun kerana menyintai lelaki itu yang dianggap pelindung dan baik hati.
“Remaja terbabit bersama teman lelakinya dibawa ke Balai Polis Taman Melawati untuk dirakam keterangan,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

‘Ada hikmah di sebalik nahas’ – Metro


‘Ada hikmah di sebalik nahas’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SITIAWAN: “Saya bagaikan mati hidup kembali apabila terselamat walaupun tujuh rakan maut dalam kemalangan itu. Saya bersyukur kerana beg udara keselamatan menyelamatkan nyawa saya,” luah Khairul Faiz Mohd Noor, 18, salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas ngeri di Batu 6, Jalan Sitiawan-Lekir, di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, semua mangsa tercampak keluar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.
Rempuhan kuat menyebabkan tujuh mangsa yang duduk di bahagian belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mangsa mati di lokasi kejadian.

 

Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang luka parah di kepala meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.
Menceritakan detik nahas ngeri itu, Khairul Faiz berkata, dia masih lagi trauma dan terkejut dengan peristiwa semalam yang meragut nyawa tujuh rakannya serentak.
“Sebelum kejadian, saya sempat membeli baju untuk dipakai pada hari pendaftaran sebagai pelatih Pusat Giat Mara, Tanjung Tualang, Rabu ini (esok).

 

 

“Malah, kami semua begitu bersemangat mahu memulakan sesi baru persekolahan tidak lama lagi,,” katanya yang akan mendaftar sebagai pelatih kimpalan di pusat itu.
“Kemalangan berlaku ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli-belah dan minum bersama-sama,” katanya. Menurutnya, kemalangan berlaku sekelip mata apabila tubuhnya melayang dan tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki.

 

“Saya berusaha bangkit sebelum melihat Mohd Hisam yang sedang mengerang kesakitan, manakala beberapa rakan lain kaku tidak bernyawa,” katanya, ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurutnya, Hisam didapati berlumuran darah di kepala dan dalam situasi ‘nyawa-nyawa ikan’.
“Saya cuba menenangkannya dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun dia terus tidak sedarkan diri.
“Saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini. Saya terselamat kerana beg udara keselamatan pada kenderaan itu mengembang secara mendadak sebaik rempuhan berlaku,” katanya yang cedera ringan dan mengalami luka di lutut dan bahu.

Syor 2 beradik diserah pada bapa saudara – Metro


Syor 2 beradik diserah pada bapa saudara

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BUTTERWORTH: Penderitaan dua beradik yang dirantai bapa mereka dalam tandas bakal berakhir apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah mahkamah untuk hak jagaan sementara.

Dua beradik berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini bagi membolehkan mereka dijaga pihak lain yang lebih bertanggungjawab.
Pengarah JKM negeri, Zulkifli Ismail berkata, dua beradik berusia enam dan dua tahun yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejak 28 Disember lalu kini pulih sepenuhnya dan tidak menunjukkan sebarang trauma. “Kami akan mencadangkan kepada mahkamah agar memberi hak jagaan sementara kanak-kanak perempuan itu dan adik lelakinya kepada bapa saudara mereka,” katanya.

 

Dalam kejadian Rabu lalu, bapa dua beradik itu berusia 40-an bertindak mengurung dan merantai mereka dalam tandas rumahnya di Taman Mawar, Raja Uda, dekat sini, sebelum dia keluar bekerja jam 3 petang.
Tidak tahan diperlakukan begitu, dua beradik berkenaan menjerit meminta tolong sebelum diselamatkan polis dan JKM jam 8 malam.
Dua beradik itu yang kelaparan kerana dirantai selama lima jam dengan hanya diberi roti oleh jiran sebelum dihantar ke HSJ untuk rawatan. Bapa dua beradik itu dikatakan berpisah dengan isterinya, seorang wanita warga Thailand sejak sebulan lalu dan bertindak demikian kerana mereka dikatakan nakal selain tiada orang menjaga mereka.

 

 

Sementara itu, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap bapa dua beradik berkenaan selama tiga hari.

Pelajar, mangsa banjir terpaksa kongsi tempat – Berita Harian


Pelajar, mangsa banjir terpaksa kongsi tempat
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad, Hanneeyzah Bariah Baharin dan Azlan Hafeedz

2012/01/03

 MUSTAFA Harun, bersama isterinya Haimah Awang,  menyelamatkan barangan penting  apabila rumahnya ditenggalami air di Kampung Nyatoh, Setiu, semalam.

MUSTAFA Harun, bersama isterinya Haimah Awang, menyelamatkan barangan penting apabila rumahnya ditenggalami air di Kampung Nyatoh, Setiu, semalam.

JPN Kelantan minta pengurusan sekolah beri kerjasama

PASIR PUTEH: Lebih 800 pelajar tiga sekolah di daerah ini yang memulakan persekolahan hari ini terpaksa berkongsi tempat dengan 73 mangsa banjir apabila dewan sekolah terbabit digunakan sebagai pusat pemindahan.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang dan SK Kampung Nara.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Hussain Awang berkata, pihaknya tiada masalah berhubung penggunaan dewan bagi mangsa banjir, sebaliknya meminta pihak pengurusan sekolah memberi kerjasama kepada pihak terbabit.

Katanya, pihak sekolah boleh menggunakan kelas atau dewan lain sebagai ‘ganti’ kepada dewan yang masih digunakan bagi menempatkan mangsa banjir itu.

“Murid dan pelajar terbabit banjir di Pasir Puteh itu diberi kelonggaran, bergantung kepada situasi banjir memandangkan ada sebahagian daripada rumah mereka masih ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 11 sekolah di negeri ini iaitu sembilan di Rantau Panjang dan dua di Gua Musang tidak dapat memulakan sesi persekolahan bermula hari ini disebabkan banjir.

Di SETIU, seramai 189 mangsa masih berada di pusat pemindahan, dengan satu pusat pemindahan baru iaitu Surau Kampung Nyatoh dibuka tengah hari semalam bagi menempatkan seramai 64 mangsa.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir MKN Terengganu, berkata seramai 13 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sivik Desa Jaya; Masjid Guntung Luar (73) dan Sekolah Kebangsaan Kampung Besut (39).

Guru taska, anak cedera kena ragut – Berita Harian


Guru taska, anak cedera kena ragut

2012/01/03

 MOHAMAD NAJMI yang cedera bersama ibunya, Noritamendapat rawatan di Hospital Dungun   selepas kena ragut, semalam.

MOHAMAD NAJMI yang cedera bersama ibunya, Noritamendapat rawatan di Hospital Dungun selepas kena ragut, semalam.

DUNGUN: Seorang guru taska dan anak lelakinya cedera di muka, tangan dan kaki selepas terjatuh di atas jalan selepas mempertahankan beg daripada diragut seorang lelaki berhampiran jambatan Kampung Rajawali, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Norita Omar, 37, dari Kampung Pulau Serai, di sini bersama anaknya, Mohamad Najmi Almin, 5, menunggang motosikal bersama anaknya yang diletakkan dalam bakul motosikal.

Suspek yang menaiki motosikal dipercayai mengekori mangsa dan menghimpit kenderaan lalu menyentap beg tangan mangsa yang diletakkan dalam bakul motosikal.

Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Kembara yang menyaksikan kejadian membawa mangsa dan anaknya ke Hospital Dungun sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Norita yang ditemui di Hospital Dungun sukar bercakap berikutan mengalami kecederaan di mulut dan mangsa masih belum membuat laporan polis.

7,000 graduan ISMP ditemuduga – Berita Harian


7,000 graduan ISMP ditemuduga
Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/01/03

Lulusan ijazah perguruan ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan nasib kira-kira 7,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) termasuk 5,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang belum ditempatkan akan ditemuduga bulan ini, sebelum mereka yang layak ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac depan.

Bagaimanapun, penempatan lepasan ISMP yang belum menjalani proses temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) tertakluk kepada kekosongan, opsyen dipilih dan cukup syarat kelayakan.

Difahamkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat Kementerian Pelajaran minggu lalu selepas kerajaan menyelesaikan isu membabitkan lebih 13,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dengan 60 peratus darinya bakal diserapkan ke jawatan guru tetap selepas ditawarkan mengikuti kursus perguruan, juga mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika mengesahkan penempatan graduan ISMP, meminta lepasan guru itu bersabar kerana proses berkaitan sedang berjalan.

“Kita minta yang belum dapat penempatan kerja supaya bersabar kerana SPP sudah mendapat senarai semua IPTA untuk dipanggil temu duga. Apapun pelantikan itu akan dibuat berasaskan kepada kekosongan (di sekolah seluruh negara), opsyen dan cukup syarat kelayakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kedudukan 7,000 lepasan ISMP yang belum ditawarkan tempat menyebabkan ada di kalangan mereka menganggur kerana sukar mendapatkan pekerjaan sesuai.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memberi jaminan untuk menyerap 7,079 GSTT ke jawatan tetap di seluruh negara selepas menawarkan pihak terbabit peluang mengikuti kursus dalam bidang perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan IPTA terpilih, dengan sebilangan daripada mereka ditawarkan menjadi guru kontrak yang dibayar gaji mengikut hari, bermula tahun ini.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata kira-kira 3,000 graduan termasuk lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dan lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sudah ditemuduga bermula November lalu, dijangka ditempatkan di sekolah terpilih bermula bulan ini.

Sementara itu, Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Abdul Rahman Usman menyambut baik jaminan kerajaan dan berharap masalah itu diselesaikan dengan segera kerana ada di kalangan lepasan ISMP yang menganggur sejak empat tahun lalu.

Katanya, kebanyakan majikan tidak berani mengambil graduan ISMP sebagai pekerja kerana khuatir mereka akan meninggalkan syarikat selepas menerima tawaran mengajar.

Budak 6 tahun didera – Utusan


Budak 6 tahun didera

 

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

 

PULAU PINANG 2 Jan. – Hanya kerana mengusik dompet bapanya dan mencicirkan beberapa kad, seorang kanak-kanak perempuan menerima hukuman keras apabila dipukul dan dibiarkan menangis bersendirian di rumahnya lebih 10 jam.

Dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Perak di sini, mangsa yang berusia enam tahun diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tiba kira-kira pukul 11.45 malam tadi selepas dihubungi jirannya.

Jurucakap polis berkata, mereka mengambil masa hampir setengah jam sebelum berjaya memasuki rumah itu yang berkunci untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika ditemui, mangsa kelihatan takut. Keadaan fizikalnya baik cuma terdapat beberapa kesan luka baru dan lebam lama yang dipercayai dipukul dengan tangan,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian ibunya tiada di rumah kerana bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang dan mangsa dijaga oleh suspek yang juga seorang penganggur.

Menurut jurucakap itu, beberapa jiran menyedari suspek pulang tetapi melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Kanak-kanak terbabit kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di wad hospital mendapati kanak-kanak tersebut masih dalam keadaan trauma selain matanya dilihat bengkak.

Derita Iman Adam dapat perhatian – Utusan


Derita Iman Adam dapat perhatian

 

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

 

AHMAD Said meneliti kaki Iman Adam Raman yang terlantar menderita akibat langgar lari di rumah mangsa di Kebor Besar, semalam.

 

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Iman Adam Raman, 8, anak bongsu daripada sembilan beradik amat disayangi oleh keluarga dengan keletahnya yang periang dan cerdik.

Dia yang menyerikan suasana kehidupan keluarganya sudah berupaya menghafaz beberapa surah al-Quran selain surah Yasin dengan lancar.

Namun sejak tujuh bulan lalu, kedukaan menyelubungi kehidupan keluarganya apabila anak kecil itu terbaring kaku dalam keadaan koma.

Tarikh 2 Mei tahun lalu menjadi detik hitam keluarganya apabila Iman Adam cedera parah dirempuh oleh sebuah motosikal sewaktu melintas jalan menuju sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi sewaktu mangsa bersama bapanya, Raman Abdullah, 58, singgah sekejap di kedai tersebut untuk membeli peralatan sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke sekolahnya di Kampung Tok Jiring.

Ekoran rempuhan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki sehingga dia dirawat dan terlantar koma di hospital itu selama tujuh bulan.

Tersentuh dengan musibah yang menimpa Iman dan keluarganya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menziarahi rumah mereka di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini.

Kunjungan Ahmad membawa kelegaan kepada keluarga itu apabila kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan RM1,300 sebulan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said hadir sama.

Iman Adam lumpuh setelah menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di Kampung Kubang Jela, Manir pada 2 Mei lalu.

Ibu mangsa, Nik Aini Mohd., 51, mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Menteri Besar yang membantu meringankan beban keluarganya bagi menyediakan keperluan Iman.

Nik Aini menceritakan, sepanjang dirawat di HSNZ, anaknya itu terpaksa menjalani tujuh pembedahan di kepala selain rawatan lain.

“Saya tetap reda dengan apa yang menimpa Iman, malah bersyukur kerana dia masih hidup sehingga sekarang walaupun lumpuh.

“Semasa dirawat di hospital, doktor bertugas menjangkakan yang Iman hanya boleh hidup tiga hari, tapi Allah maha berkuasa, dia (Iman) masih ada sehingga ke saat ini,” katanya.

Nik Aini memberitahu, anaknya itu berkemungkinan hilang penglihatan dan kini hanya bergantung hidup kepada tiga tiub di dalam badannya yang disambung ke jantung, buah pinggang dan perut.