2,252 tak ke sekolah – Berita Harian


2,252 tak ke sekolah

Oleh Norliza Wasilan, Hanneeyzah Bariah Baharin, Betty Subaryati, Jauhariatul Akmar Johar bhkb@bharian.com.my 2012/01/04

9 sekolah di Pantai Timur ditenggelami banjir

KOTA BHARU: Seramai 2,076 murid dari tujuh sekolah di Kelantan dan 176 murid dari dua sekolah di Terengganu tidak dapat mengikuti sesi persekolahan 2012 semalam, apabila laluan dan kawasan sekolah mereka ditenggelami banjir.

Tiga sekolah yang ditutup di Tumpat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, SK Bendang Pak Yong dan SK Teluk Jering, manakala masing-masing dua di Gua Musang dan Rantau Panjang.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata murid tiga sekolah di Tumpat yang memulakan sesi persekolahan terpaksa dihentikan pembelajaran lebih awal pada jam 12.30 tengah hari apabila air memasuki kawasan sekolah serta jalan ditenggelami berikutan limpahan air Sungai Golok.

Katanya, berikutan perkembangan itu, guru besar tiga sekolah di Tumpat terpaksa memberi taklimat ringkas berhubung tahap keselamatan murid dan memaklumkan ibu bapa supaya mengambil anak masing-masing kerana pada jam 2 petang, paras air Sungai Golok dilaporkan meningkat ke paras 9.56 meter, melebihi paras bahaya sembilan meter.

“Seramai 218 murid Tahun Satu dari SK Bihai dan 227 lagi dari SK Balar di Gua Musang juga yang tidak dapat memulakan sesi persekolahan sejak kelmarin dan hari ini (semalam) apabila laluan masuk ke sekolah ditenggelami banjir sedalam antara 0.5 hingga satu meter,” katanya.

Sementara itu, Hussain berkata, tujuh sekolah yang ditutup akibat banjir di Rantau Panjang sudah dibuka kembali manakala dua masih ditutup. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah Siram dan SABK Diniah Bongor, Rantau Panjang, masih ditutup dan jabatan akan memaklumkan dari semasa ke semasa bila sekolah berkenaan beroperasi semula.

Dua sekolah di Gua Musang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar juga tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan. Banjir di Pasir Puteh pula semakin pulih apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing berikutan cuaca baik semalam.

Berdasarkan portal rasmi e-Banjir Kelantan, hanya 18 mangsa membabitkan empat keluarga dari Kampung Gong Nangka di Pasir Puteh masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang.

Pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil dan SK Kampung Nara yang sebelum ini menempatkan lebih 50 mangsa, ditutup semalam selepas banjir semakin surut di kampung terbabit.

Suri rumah, Rosnah Hamzah, 35, yang berada di pusat pemindahan SK Bukit Awang sejak tiga hari lalu, berkata beliau terpaksa berpindah selepas rumahnya di Kampung Gong Kala Tok Kundur, Pasir Puteh tenggelam sehingga paras paha.

Katanya, keadaan bertambah sukar apabila anaknya, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 10, yang sepatutnya memulakan sesi persekolahan di SK Bukit Awang semalam tidak dapat berbuat demikian kerana malu tidak mempunyai baju sekolah kerana tertinggal di rumah yang dilanda banjir.

“Dia malu nak ke sekolah sebab tidak ada baju seragam, kami tak sempat membawanya ke sini untuk membolehkan dia memulakan sesi persekolahan,” katanya yang berpindah ke pusat pemindahan bersama suami dan empat anak.

DI KUALA TERENGGANU: Keghairahan 53 murid SK Kampung Bukit dan SK Kuala Besut (123 orang), Setiu memulakan hari pertama sesi persekolahan terbantut, apabila mereka diminta pulang oleh guru masing-masing kerana sekolah dinaiki air.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatuallah Mohd Said, berkata, banjir di kawasan sekolah berkenaan semakin surut, tetapi air bertakung menyebabkan ia terpaksa ditutup atas faktor keselamatan untuk kerja pembersihan.

Beliau berkata, sekolah dibuka hari ini selepas kerja pembersihan dilakukan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan murid.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s