Lebih 82,000 mula tahun satu – Bernama


Lebih 82,000 mula tahun satu

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Lebih 82,000 murid memulakan tahun satu di 1,305 sekolah rendah di Terengganu, Kedah dan Kelantan apabila penggal pertama persekolahan 2012 dibuka di negeri berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, sesi persekolahan terganggu di beberapa sekolah di Rantau Panjang dan Gua Musang di Kelantan serta Setiu di Terengganu kerana masalah banjir atau jalan masuk ke sekolah dinaiki air menyebabkan terputus hubungan.

Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hashim Mohd. Zain berkata, 21,024 murid memulakan tahun satu di 349 sekolah rendah.

Dua sekolah terpaksa menangguhkan sesi persekolahan kerana terlibat dengan banjir.

“Kedua-dua sekolah di daerah Setiu itu ialah Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit melibatkan 52 murid, dan Sekolah Kebangsaan Kampung Besut melibatkan 201 murid. InsyaAllah, jika keadaan cuaca dan banjir pulih, sekolah berkenaan akan dibuka mulai esok,” katanya.

Di KEDAH, 32,068 murid tahun satu di 538 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini, menurut Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat.

Bagi tingkatan satu, bilangan pelajar di 179 sekolah di Kedah meningkat kepada 34,202 tahun ini berbanding 33,256 tahun lepas.

“Bagi prasekolah, bilangan kelas bertambah sebanyak 20 menjadikan 546 kelas dengan 13,650 murid,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kelas Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Taman Uda di Alor Setar.

Selain itu, sebuah sekolah baharu dibuka di Sungai Petani iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bayu dengan jumlah pelajar berdaftar melebihi 300 orang.

Mansor berkata, jumlah guru yang mengajar di sekolah rendah untuk sesi persekolahan 2012 ialah 17,368 orang dan 11,897 di sekolah menengah.

Di KELANTAN, lebih 29,000 murid tahun satu memulakan alam persekolahan di 418 sekolah.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata, 150,407 pelajar sekolah menengah pula memulakan sesi pengajian di 169 sekolah di negeri ini.

“Sebuah sekolah rendah yang baru di Gua Musang, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Pulai, mula beroperasi hari ini,” katanya.

Hussain berkata, sebanyak 11 sekolah di daerah Rantau Panjang dan dua di Gua Musang tidak dapat memulakan sesi pengajian kerana masalah berkaitan banjir.

Antara sekolah terlibat di Rantau Panjang ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh, SK Sri Rantau Panjang 2 dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah, Kampung Bongor.

Sekolah yang terlibat di Gua Musang pula ialah SK Balar dan SK Bihar di perkampungan Orang Asli yang terputus laluan ke sekolah kerana dinaiki air dan tanah runtuh.

Hussain berkata, sekolah-sekolah berkenaan akan beroperasi sebaik banjir pulih dan kerja pembersihan siap sepenuhnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s