Jawatan penolong kanan pendidikan Islam mungkin diperluas
2012/01/05
KANGAR: Jawatan guru penolong kanan pendidikan Islam yang kini hanya wujud di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) mungkin diperluaskan ke sekolah harian tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran kini masih mengkaji keperluan itu dan jika didapati sesuai, ia akan dilaksanakan di sekolah harian yang mempunyai kelas aliran agama (KAA).
“Kajian itu membuktikan kesungguhan kerajaan memartabatkan pendidikan Islam di sekolah harian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama rakyat (SAR) seluruh Perlis di sini hari ini.
Mohd Puad juga berharap lebih banyak SAR dan Sekolah Agama Negeri (SAN) mendaftar sebagai SABK untuk membolehkan mereka menerima bantuan yang lebih sempurna daripada kerajaan.
Pada masa ini, sebanyak 169 daripada 247 SAR telah mendaftar sebagai SABK manakala bagi SAN hanya 77 daripada 472 sekolah yang mendaftar.
Beliau berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada SABK untuk kerja-kerja menaik taraf pembaikan dan jumlah itu tidak termasuk bayaran gaji kakitangannya.
Katanya, jika SAR dan SAN mendaftar sebagai SABK, sudah pasti sekolah itu akan menikmati kemudahan peruntukan itu.
Beliau percaya SAR dan SAN bimbang untuk mendaftar sebagai SABK dengan alasan kurikulum di sekolah mereka akan dikawal kerajaan.
Pada majlis itu, Mohd Puad menyampaikan bantuan sebanyak RM1.24 juta kepada lapan SMKA dan SABK dan RM1.3 juta kepada enam SAR, dari seluruh Perlis.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
– BERNAMA