SBPA didakwa pinggir pensyarah – Berita Harian


SBPA didakwa pinggir pensyarah 
Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my
2012/01/06

RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam.

RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam.

JPA diminta kaji kenaikan gaji dengan ambil kira kesarjanaan, kekananan

PUTRAJAYA: Majlis Persatuan Kakitangan Akademik (MPKA) Malaysia yang mewakili kira-kira 30,000 pensyarah gred 54 ke bawah di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula pelarasan gaji mengikut Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilihat meminggirkan mereka.

Pengerusi MPKA Malaysia, Prof Madya Dr Razli Che Razak, berkata kajian semula itu perlu kerana peralihan tangga gaji dari Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke SBPA untuk kakitangan akademik bergred DS54, DM54, DU54 dan DUG54 ke bawah didapati meminggirkan prinsip kesarjanaan dan kekananan seseorang kakitangan akademik di IPTA.

Beliau berkata, MPKA melihat pelarasan gaji berkenaan sepatutnya mengambil kira aspek kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah dalam pelaksanaan SBPA supaya ia adil kepada semua pihak.

“Jika kita lihat kembali pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam mesti antara tujuh hingga 13 peratus daripada gaji mereka mengikut SSM, tetapi ia tidak berlaku kerana hasil analisis mendapati peningkatannya (mengikut SBPA) hanya kira-kira tiga peratus.

“Malah, jika dilihat dari segi gaji permulaan pensyarah gred DS45 mengikut SSM dan SBPA, kenaikan hanya RM3.90 iaitu daripada RM2,546 kepada RM2,550. Bagi kenaikan gaji gred 52 dan 54 pula tidak mengambil kira aspek kekananan dan tempoh perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil MPKA dari seluruh negara di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, MPKA mendesak JPA melantik sekurang-kurangnya tiga wakilnya menganggotai Majlis Bersama Kebangsaan tanpa kekangan gred dan tidak mengira sama ada mereka dari kumpulan profesional atau bukan.
Selain itu, Razali berkata, JPA perlu mempertimbangkan pemberian insentif baru kepada kakitangan akademik berdasarkan status universiti atau kepakaran seperti Universiti Penyelidikan atau Universiti APEX menerusi pelaksanaan pemberian insentif di bawah SBPA pada 2013.

“Kita juga berharap JPA akan mengkaji semula dan mengubah frasa opsyen dalam surat tawaran SBPA yang bertulis ‘muktamad’ kerana ia dilihat sebagai paksaan dan tidak membenarkan rundingan,” katanya.

Berikutan itu, MPKA bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bagi membincangkan masalah itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, yang turut hadir berkata, beliau menyokong tindakan MPKA itu dalam menyuarakan pandangan mereka kerana ia mampu menjamin kebajikan kakitangan akademik di negara ini.

“Kebajikan kakitangan akademik amat penting kerana mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan modal insan dan melahirkan tenaga kerja berkualiti di Malaysia.

“Justeru, CUEPACS berharap JPA turut mengambil kira desakan dan pandangan kakitangan akademik di IPTA dalam perbincangan mereka tidak lama lagi,” katanya.

Pendidikan vokasional perlu perubahan besar – TPM – Bernama


Pendidikan vokasional perlu perubahan besar – TPM

06/01/2012 3:02pm

 

BANGI 6 Jan. — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan Malaysia tidak akan menjadi negara kompetitif dan terus ketinggalan sekiranya pendidikan vokasional tidak mengalami perubahan besar dan segera.

Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

“Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau.

Tambah beliau, kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

“Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu.

“Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata, pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). — BERNAMA

Semakan Panggilan Temu Duga Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR j-QAF) Ambilan Januari 2012 Anjuran Bahagian Pendidikan Guru


 

Terima kasih kerana menggunakan sistem ini.
Proses untuk semakan panggilan temu duga tekan di sini… 

http://apps.moe.gov.my/kpli/tdjan2012/