Melonjak pendidikan vokasional – Utusan


Melonjak pendidikan vokasional

 

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan buku Transformasi Pendidikan Vokasional sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Dr. S. Subramaniam, Ahmad Shabery Cheek, Mohd. Shafie Apdal dan Abdul Ghafar Mahmud pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia di German-Malaysian Institute, Bangi, semalam.

BANGI 6 Jan. – Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta 11 tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja pelajar dan melonjakkan pendidikan vokasional agar setaraf dengan negara maju dilancarkan hari ini.

Ia dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan serentak dengan itu, sebanyak 15 sekolah menengah vokasional di setiap negeri dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional berkuatkuasa tahun ini.

Melalui pelan transformasi tersebut, pendidikan vokasional di negara ini tidak lagi dianggap sebagai kelas kedua, sebaliknya ia menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua dengan berasaskan program bercorak pekerjaan sebagaimana dilaksana negara maju.

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, pendidikan vokasional di Malaysia perlu melalui perubahan besar dengan segera kerana jika tidak dilakukan, negara dibimbangi menjadi tidak kompetitif di peringkat global serta akan terus ketinggalan.

“Kejayaan pendidikan di Malaysia perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik semata-mata, tetapi perlu ada definisi baru kepada kejayaan tersebut iaitu melalui bidang teknikal serta vokasional.

“Ini kerana kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

“Jadi dalam memenuhi aspirasi ini, transformasi pendidikan vokasional adalah laluan penting ke arah melahirkan modal insan yang relevan dengan keperluan semasa serta mampu menghadapi saingan global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan di Institut Jerman Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Sempena majlis itu juga satu perjanjian persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelajaran dengan 11 rakan strategik merangkumi pihak industri, agensi awam dan swasta, institut pengajian tinggi awam serta swasta telah ditandatangani.

Menurut Muhyiddin jalinan kerjasama antara kementerian dengan rakan strategik itu akan memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar kerana ia melibatkan perkongsian teknologi serta kepakaran.

“Ini merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih banyak agensi awam, swasta dan industri akan tampil untuk bersama-sama terlibat dalam proses transformasi pendidikan vokasional yang sedang berlaku.

“Kerjasama ini amat penting kerana dengan kepakaran serta kemudahan yang ada pada kedua-dua belah pihak, ia boleh mengelak berlakunya masalah ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan industri latihan kemahiran,” katanya.

Suspek kes dera kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan – Bernama


Suspek kes dera kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan

2012/01/06

GEORGETOWN: Seorang pekerja barang lusuh yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kes dera dan kurung anak perempuannya berumur enam tahun pada Isnin lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Jurucakap polis berkata lelaki berusia 49 tahun itu dibebaskan sementara menunggu laporan perubatan dan psikiatri mangsa.

“Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis atas arahan Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang sementara menunggu beberapa laporan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Lelaki itu ditahan kurang dari 12 jam selepas menjadi buruan polis dan dia turut cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepala untuk mengelak daripada dikenali namun cubaan itu tidak berhasil.

Lelaki itu berjaya diberkas ketika sedang menunggang motosikal di pasar Jelutong di sini pada awal pagi Selasa.

Isnin lalu, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang dikurung di dalam sebuah rumah di Jalan Perak, di sini.
Budak itu disyaki mangsa dera oleh bapanya berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan, dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula 3 petang sehinggalah diselamatkan pada 1 pagi. – BERNAMA 

Anggota ATM disaran ambil SPM untuk nikmati gaji baru – Bernama


Anggota ATM disaran ambil SPM untuk nikmati gaji baru

06/01/2012 4:50pm

 

SUNGAI PETANI 6 Jan. — Anggota pangkat rendah dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dalam kategori “Lain-lain Pangkat” (LLP) yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia disaran mengambil peperiksaan itu agar mereka dapat menikmati gaji dan imbuhan baru yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, mereka perlu lulus SPM dalam tempoh enam tahun mulai tahun ini untuk menikmati perubahan gaji dan imbuhan mengikut Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ATM yang dilaksanakan bulan ini.

Katanya, syarat itu penting bagi meletak ATM pada tahap profesionalisme seiring dengan keperluan pertahanan negara yang berkembang.

“Dulu untuk menjawat LLP dalam ATM hanya perlu lulus darjah enam, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) asalkan boleh membaca dan menulis.

“Keperluan dan syarat itu sekarang telah berubah. Kita mahu pemohon ada SPM dengan kredit Bahasa Malaysia dan Matematik serta lulus bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog mengenai SBPA ATM dengan pegawai dan anggota tentera di Markas Staf Stesen, Kem Lapangan Terbang, di sini hari ini.

Panglima Dua Divisyen, Mej. Jen Datuk Azizan Md. Delin, Panglima Briged Keenam Infantri, Brig. Jen. Datuk Md. Tajri Alwi dan Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain turut hadir.

Abdul Latiff berkata, terdapat 15,000 anggota LLP yang belum miliki kelulusan SPM dan mereka diberikan tempoh enam tahun untuk memilikinya.

Katanya, anggota LLP sedia ada yang memiliki kelayakan SPM lebih awal dari tempoh enam tahun akan diberi kenaikan gaji baru seperti termaktub dalam SBPA ATM manakala yang tidak memilikinya akan diletakkan di bawah skim Khas Untuk Penyandang (KUP) ATM.

Beliau berkata, ATM tidak bercadang menamatkan perkhidmatan anggota LLP yang tidak lulus SPM.

 

“Yang tak mahu miliki atau lulus SPM atau tidak dinaikkan pangkat ke Lans Koperal perlu menunggu tempoh lebih lama iaitu enam tahun untuk menikmati gaji baru setanding SBPA ATM. Jadi eloklah belajar dan ambil SPM,” katanya.

Abdul Latiff berkata, semua anggota ATM telah bersetuju menandatangani opsyen menyertai SBPA ATM. — BERNAMA

Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan – Bernama


Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan

06/01/2012 7:06pm

 

SIBU 6 Jan — Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Heng Soon berkata, remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.

“Saya gembira mengumumkan kami telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian berlaku pada Isnin.

“Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.

Heng Soon berkata, sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.

Law menjelaskan, dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang merupakan warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, telah dibebaskan hari ini.

Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah. — BERNAMA

Pembantu kedai makan mengaku rogol remaja 14 tahun – Utusan


Pembantu kedai makan mengaku rogol remaja 14 tahun

06/01/2012 7:42pm

 

 

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Seorang pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada sambutan tahun baru lalu.

Mohd. Ismail Johan, 23 didakwa melakukan perbuatan itu di bilik No. 13, Hotel Melawati, No. 321-A, 1, Lorong Selangor, Bandar baru Taman Melawati, Ampang Jaya dekat sini antara pukul 1.30 petang, 31 Disember 2011 dan pukul 2 pagi, 1 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, tertuduh memohon perintah hukuman ke atasnya ditangguhkan kerana keluarganya yang kini berada di Kelantan merancang untuk melantik peguam bagi mewakilinya membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.

Hakim Manira Mohd. Nor yang membenarkan permohonan itu turut menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 31 Januari ini. – UTUSAN