Melonjak pendidikan vokasional – Utusan


Melonjak pendidikan vokasional

 

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan buku Transformasi Pendidikan Vokasional sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Dr. S. Subramaniam, Ahmad Shabery Cheek, Mohd. Shafie Apdal dan Abdul Ghafar Mahmud pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia di German-Malaysian Institute, Bangi, semalam.

BANGI 6 Jan. – Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta 11 tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja pelajar dan melonjakkan pendidikan vokasional agar setaraf dengan negara maju dilancarkan hari ini.

Ia dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan serentak dengan itu, sebanyak 15 sekolah menengah vokasional di setiap negeri dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional berkuatkuasa tahun ini.

Melalui pelan transformasi tersebut, pendidikan vokasional di negara ini tidak lagi dianggap sebagai kelas kedua, sebaliknya ia menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua dengan berasaskan program bercorak pekerjaan sebagaimana dilaksana negara maju.

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, pendidikan vokasional di Malaysia perlu melalui perubahan besar dengan segera kerana jika tidak dilakukan, negara dibimbangi menjadi tidak kompetitif di peringkat global serta akan terus ketinggalan.

“Kejayaan pendidikan di Malaysia perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik semata-mata, tetapi perlu ada definisi baru kepada kejayaan tersebut iaitu melalui bidang teknikal serta vokasional.

“Ini kerana kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

“Jadi dalam memenuhi aspirasi ini, transformasi pendidikan vokasional adalah laluan penting ke arah melahirkan modal insan yang relevan dengan keperluan semasa serta mampu menghadapi saingan global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan di Institut Jerman Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Sempena majlis itu juga satu perjanjian persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelajaran dengan 11 rakan strategik merangkumi pihak industri, agensi awam dan swasta, institut pengajian tinggi awam serta swasta telah ditandatangani.

Menurut Muhyiddin jalinan kerjasama antara kementerian dengan rakan strategik itu akan memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar kerana ia melibatkan perkongsian teknologi serta kepakaran.

“Ini merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih banyak agensi awam, swasta dan industri akan tampil untuk bersama-sama terlibat dalam proses transformasi pendidikan vokasional yang sedang berlaku.

“Kerjasama ini amat penting kerana dengan kepakaran serta kemudahan yang ada pada kedua-dua belah pihak, ia boleh mengelak berlakunya masalah ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan industri latihan kemahiran,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s