Day: January 9, 2012
Permohonan Biasiswa Sukan Tahun 2012
Permohonan Biasiswa Sukan Tahun 2012
Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke Unit HEM/Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing setelah mendapat pengesahan pengetua pada atau sebelum 30 Mac 2012 untuk tindakan selanjutnya.
Tahun 2012 lebih mencabar buat penjawat awam – Muhyiddin – Bernama
Tahun 2012 lebih mencabar buat penjawat awam – Muhyiddin
PUTRAJAYA 9 Jan. – Tahun 2012 bakal menjadi tahun lebih mencabar buat penjawat awam dalam memastikan segala peruntukan, program serta dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, penjawat awam perlu menentukan peruntukan besar yang diputuskan dalam Belanjawan negara tahun ini dapat diurus tadbir dengan baik.
“Dalam situasi tidak menentu maka tugas dan tanggungjawab penjawat awam menjadi lebih utama dan penting, tahun lepas penting juga tetapi tahun ini lebih penting,” katanya sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata, beban tugas dan tangungjawab penjawat awam kini lebih besar iaitu bagi memastikan kesan perbelanjaan peruntukan itu dapat memberikan impak untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita tahu rakyat berada dalam keadaan lebih sukar, kenaikan kos hidup sudah mula terasa sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengambil langkah berani dengan memberikan tumpuan dan perhatian bagaimana beban hidup rakyat dapat dikurangkan,” katanya. – BERNAMA
Bayaran gaji Januari berdasarkan SSM – Bernama
Bayaran gaji Januari berdasarkan SSM
2012/01/09
KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Januari ini.
“Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari 2012,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari. – BERNAMA
Mati tertiarap di kantin sekolah – Metro
SHAH ALAM: Tangannya diikat manakala mulutnya disumbat kain sebelum kepala, dada serta bahagian belakang badan ditetak menggunakan senjata tajam. Tetapi, barangan yang dilarikan hanya sebuah telefon bimbit.
Itulah nasib yang menimpa seorang pengawal keselamatan yang lumpuh pada bahagian tangan selepas dia ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di kantin Sekolah Menegah Kebangsaan Raja Muda Musa, dekat Bestari Jaya, semalam.
Mangsa berusia 41 tahun itu ditemui tertiarap kira-kira jam 3.50 pagi oleh rakan sekerjanya di kantin sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari pondok pengawal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa dan rakan sekerjanya mendengar bunyi salakan anjing di belakang sekolah berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan kira-kira jam 3.40 pagi.
Katanya, mangsa mengarahkan rakannya untuk berpecah dan memeriksa blok berlainan sementara dia memeriksa di belakang sekolah berkenaan.
“Selepas pemeriksaan dijalankan dan mendapati keadaan terkawal, rakan mangsa pulang semula ke pondok pengawal, namun selepas beberapa minit menunggu, mangsa masih tidak pulang ke pondok berkenaan.
“Curiga mangsa masih tidak pulang, rakannya meninjau kawasan sekitar sekolah sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tangan diikat dan mulut disumbat kain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, petang semalam.
Mohd Adnan berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa mati akibat cedera di bahagian kepala, dada dan belakang badan dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam. Namun, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.
Beliau berkata, pembunuhan kejam itu dipercayai bermotifkan samun kerana hasil siasatan awal mendapati telefon bimbit mangsa dilarikan suspek selepas membunuhnya. Menurutnya, siasatan awal polis di sekitar kawasan sekolah tidak menjumpai sebarang kesan pecah masuk, namun siasatan lanjut akan dijalankan memandangkan sekolah bercuti pada hari kejadian. “Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga rakan sekerja mangsa kerana kenyataan yang diberikan kepada pihak polis tidak konsisten dan meragukan manakala dia ditahan reman mulai esok (hari ini) untuk siasatan lanjut. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat,” katanya.
Keputusan MUET Akhir Tahun 2011 Khamis ini – Metro
KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysian University English Test (MUET) Akhir Tahun 2011 akan dikeluarkan Khamis ini (12 Januari), demikian menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.
Calon yang mendaftar di sekolah atau institusi boleh mendapatkan keputusan
mereka dari sekolah atau institusi masing-masing mulai 10 pagi pada tarikh
berkenaan manakala calon persendirian akan memperolehnya melalui pos.
“Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip MUET dan menghantarkannya ke 15888, mulai jam 12.01 tengah malam 12 Januari ini dan melalui ‘online’ dengan melayari portal MPM, http://www.mpm.edu.my mulai 9 pagi tarikh tersebut,” kata kenyataan itu.
Seramai 93,869 calon telah menduduki ujian itu di 943 buah pusat ujian di seluruh negara.
Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan MUET mereka, boleh membuat rayuan semakan semula dengan bayaran sebanyak RM70 dan tarikh tutup rayuan ialah 27 Januari ini. – Bernama
Semangat kembali ke sekolah – Kosmo
Semangat kembali ke sekolah
MESKIPUN hampir dua jam jenuh mencari arah ke Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah, Meru, Klang penulis sedikit pun tidak mendengus. Melihat wajah anak-anak yatim itu menerbitkan rasa penuh kesyahduan.
Kata seorang kanak-kanak yang enggan menyebut namanya sendiri, dia belum ada beg, alat tulis dan buku lagi. Ujarnya sambil menyorok mukanya di sebalik kerusi: “Ayah dan mak dah jumpa Tuhan, tiada siapa yang nak belikan untuk kita.”
Konsonan kata-kata yang diaturnya secara spontan begitu menghiris kalbu. Raut wajahnya yang mendamaikan membuatkan penulis ingin mendakap erat dirinya. Namun, dia terus lari dan hilang daripada pandangan.
Sememangnya cerita di sebalik rumah anak-anak yatim lazimnya terkait dengan kisah dan momen yang meruntun jiwa. Ya, bila difikirkan semula, takdir dan ketentuan kehidupan kita ditulis oleh-Nya.
Berada di sana untuk satu tempoh yang singkat, menemukan penulis dengan Ansar Ghasang, 18. Bahtera kehidupan Ansar meniti jalan yang cukup berliku dan sinikal.
Dia kehilangan ayah tercinta sejak dia masih kecil. Dunianya menjadi semakin gelap-gelita apabila ibu tersayang menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu.
Ansar buntu. Di relung fikirannya terbayangkan bagaimana dia harus meneruskan kelangsungan kehidupan yang penuh ranjau ini? Lebih-lebih lagi ketika itu, dia masih berusia 13 tahun. Tiga orang adiknya masih kecil-kecil lagi.
Langit tidak selalunya mendung. Pertemuan Ansar bersama Hasnah Bahari dari Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah bagaikan satu rahmat kepadanya.
“Lepas jumpa ustazah Hasnah, kami dijaga sebaiknya, makan, minum, pakai semua dia yang jaga, Alhamdullillah,” kata calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan nada suara penuh tertib.
Bantuan YSM
Pada hari pertemuan itu, Ansar tampak ceria. Dia senyum meleret setelah menerima sumbangan berupa beg sekolah dan alat tulis dari Yayasan Sayang Mutiara (YSM).
“Ya, ada yang masih prihatin dengan nasib kami, syukur bukan saya sahaja malah, anak-anak di rumah ini juga akan ke sekolah dengan hati yang girang. Betul, setiap apa yang berlaku pasti ada rahmatnya, terima kasih kepada YSM,” kata Ansar berbicara matang.
Kanak-kanak lain seperti Zulkifli Zulinasar, 8; Nurin Rohadatul Rasidi, 11; dan kanak-kanak kurang upaya Norsyamira Ramzi, 11 turut gembira dengan pemberian itu.
Kata mereka, sumbangan itu membolehkan mereka belajar dengan sempurna.
Bersempena dengan bermulanya detik persekolahan di tahun baharu, YSM bertindak menyumbang kelengkapan sekolah kepada 125 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah.
Semua sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Ahmad Kemin.
Program tahunan YSM
Menurut Pegawai Operasinya, Mohd. Awee Sidek, YSM yang ditubuhkan pada tahun 2009 adalah bertujuan untuk mengurus dan menyelaraskan aktiviti kebajikan selain memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan pembangunan masyarakat.
“Ini (sumbangan di Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah) adalah kesinambungan daripada Program Jom Ke Sekolah anjuran YSM selepas daerah Johor Bharu, sebenarnya kerja-kerja kebajikan kita tak terbatas setakat di Johor sahaja tetapi, melewati ke tempat-tempat lain juga,” katanya.
Menariknya lagi tentang YSM, yayasan ini pada setiap tahun akan menganjurkan program tahunan menghargai pelajar luar bandar yang cemerlang pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pelajar-pelajar tersebut akan dipilih di 10 daerah dalam negeri Johor dan bagi merealisasikannya, YSM bekerjasama erat dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, selaku Pengerusi YSM, Ahmad berkata, besarlah harapan pihaknya agar sumbangan itu akan membakar lagi semangat penghuni rumah itu untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. – MAZLINA ABDUL MAJID