Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual – Bernama


Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual

2012/01/10

IPOH: Mereka yang memegang lesen memandu selepas diuji dengan kenderaan transmisi automatik hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu sahaja mulai Mei ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan sistem baru itu, pemandu yang lulus selepas diuji menggunakan kenderaan manual dibenarkan memandu kedua-dua jenis kenderaan, transmisi automatik dan manual.

“Kita sedang membuat satu rancangan pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap yang merangkumi ujian menggunakan kereta automatik sebagai satu pilihan.

“Terpulang pada pelajar untuk memilih sama ada mereka hendak diuji dengan kenderaan automatik atau manual untuk belajar.

“Mereka yang diuji kereta manual lesen memandu boleh digunakan untuk memandu manual dan auto manakala mereka yang diuji dengan kereta auto, pemegang lesen hanya boleh memandu kereta auto sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan cek Magnum IT Sdn Bhd sebanyak RM69,000 kepada 23 badan-badan kebajikan di seluruh Perak.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang akan dilaksanakan pada Mei selepas pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap.
Mengenai pendidikan keselamatan jalan raya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah, Kong berkata, kerajaan bercadang untuk melanjutkannya sehingga ke Tingkatan Empat bagi mewujudkan satu budaya keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda.

Kong berkata, bagi Tingkatan Satu sebuah buku teks yang mengandungi pendidikan keselamatan jalan raya disediakan mulai tahun ini.

“Ini adalah satu usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai satu usaha untuk membantu pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya,” katanya.

Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih. – BERNAMA

Sistem pendidikan perlukan penambahbaikan berterusan – Bernama


Sistem pendidikan perlukan penambahbaikan berterusan

10/01/2012 4:02pm

 

PUTRAJAYA 10 Jan. – Sistem Pendidikan negara memerlukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan mutu pendidikan Malaysia setanding dengan negara-negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh sedang dijalankan untuk memahami garis dasar pencapaian dan membangunkan fakta asas berdasarkan cabaran sistem sekolah di negara ini dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi fasa pertama, penilaian sistem dilaksanakan dengan menubuhkan Panel Penilai Bebas tempatan dan antarabangsa bertujuan memberi input dan panduan dalam penilaian tersebut.

“Panel yang dilantik membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif yang luas mengenai sistem pendidikan negara.

“Dalam menyokong penilaian ini, bantuan kepakaran juga diperolehi daripada UNESCO melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman Kajian Semua Dasar Pendidikan Malaysia yang ditandatangani pada 18 Disember 2011,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. – BERNAMA

Notis SBPA kepada semua ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia


Kepada Semua Ahli KPPK,

Sila kemukakan masalah-masalah teknikal atau anomali yang timbul dalam SBPA.

Pihak NUTP sedang kumpul masalah-masalah ini untuk dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam / Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sila kemukakan subjek emel (SBPA) ke mail@nutp.org

Tarikh Berita/News Date:
27/12/2011

Pengisian Skor PKS-SKPM


Pengisian Skor PKS-SKPM

PERINGATAN!!!

SEMUA SEKOLAH DIPOHON UNTUK MENGISI SKOR PKS-SKPM SEKOLAH BAGI TAHUN 2011. 


SEKOLAH RENDAH

MULAI 01 OKTOBER 2011 HINGGA 20 FEBRUARI 2012.


SEKOLAH MENENGAH

MULAI 01 OKTOBER 2011 HINGGA 30 JUN 2012.

Alamat Portal NKRA untuk Pengisian SKPM 2003 adalah seperti berikut :

http://nkra.moe.gov.my

TEKS UCAPAN TPM / MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PERUTUSAN KHAS MENTERI PELAJARAN MALAYSIA 2012


TEKS UCAPAN TPM / MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PERUTUSAN KHAS MENTERI PELAJARAN MALAYSIA 2012

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERUTUSAN  KHAS
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012
PADA 10 JANUARI 2012; PUKUL 9.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN PLENARI,
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran;
Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran;
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Guru-guru, anggota kakitangan dan staf Kementerian Pelajaran  Malaysia, pelajar-pelajar, tuan-tuan dan puan-puan  yang dihormati sekalian.
PENGENALAN
1.      Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi tahun 2012. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga pendidik dan seluruh rakyat Malaysia. Kepada warga pendidik khususnya, harapan saya semoga di tahun baru ini sinar kegemilangan dan kejayaan akan terus menerangi kehidupan kita semua yang mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di negara kita.
2.    Saya berasa bangga kerana pada hari ini seluruh warga Kementerian dari segenap pelusuk tanah air dapat berhimpun untuk memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru bagi melonjakkan mutu pendidikan negara.  Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas usaha gigih dan komitmen yang telah dicurahkan kepada usaha untuk mencipta pelbagai kejayaan dalam arena pendidikan Negara sepanjang tahun 2011.
3.  Sesunguhnya, Kementerian Pelajaran adalah nadi utama dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara di masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju amat bergantung  kepada keupayaan warga Kementerian dalam menyediakan pendidikan berkualiti. Justeru, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipat gandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan masa kini dan masa hadapan. Usaha murni berterusan oleh warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang dihasratkan akan berupaya meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekaligus menjadikan negara kita sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
4.     Sehubungan itu, Kementerian kita telah diberikan satu peruntukan yang besar iaitu sebanyak 37.28 bilion ringgit dalam belanjawan tahun 2012. Saya  ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah meluluskan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran dan memberi keyakinan kepada kita semua sebagai pemangkin utama pembangunan modal insan di Malaysia.  Saya berharap agar peruntukan ini kita belanjakan secara cekap dan berhemah agar dapat memberi kesan berganda yang positif kepada pembangunan pendidikan secara menyeluruh.
INFRASTRUKTUR DAN KEBAJIKAN
5.      Bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan negara, dasar perancangan pembangunan pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10 diteruskan dengan matlamat memantapkan infrastuktur dan meningkatkan kemudahan fizikal institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk tahun 2011, Kementerian Pelajaran telah membelanjakan sejumlah 1.03 billion ringgit untuk pendidikan pra-sekolah dan rendah, 795.1 juta ringgit untuk pendidikan menengah dan 29.97 juta ringit telah diperuntukan untuk aliran teknik dan vokasional. Sementara itu, program pembangunan luar Bandar, Sabah dan Sarawak telah menelan belanja sebanyak 525.7 juta ringgit dan sistem pengkomputeran sekolah sebanyak 22.8 juta ringgit.
6.  Dalam memastikan akses pendidikan berkualiti diteruskan kepada anak bangsa, sebanyak tiga projek infrastruktur baru dan 1,967 projek sambungan dengan peruntukan sebanyak RM4.58 bilion telah diberikan untuk tahun 2012. Pendidikan Sekolah Bantuan Kerajaan diteruskan dengan memperuntukkan belanja mengurus termasuk emolumen guru dan geran per kapita yang sama kepada semua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) dan sekolah mubaligh. Usaha menyelenggara sekolah-sekolah daif dan uzur di kawasan Bandar dan luar Bandar akan dilaksanakan dengan menaiktaraf dan menyelenggara 600 buah sekolah yang dikategorikan sebagai uzur dan daif oleh pihak pemantauan audit fizikal yang ditubuhkan oleh Kementerian.  Sehubungan itu, peruntukan tambahan yang diperolehi bagi tahun 2012 semasa pembentangan Bajet 2012 iaitu Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah digunakan bagi usaha-usaha membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Bantuan ini juga merangkumi peruntukan sebanyak 500 juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan, manakala 100 juta ringgit masing-masing untuk SJKC, SJKT, sekolah mubaligh dan SABK.
7.       Pembangunan pendidikan dan kemajuan murid Orang Asli juga diambil perhatian berat oleh Kerajaan. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani isu-isu pendidikan murid Orang Asli khususnya penyertaan Murid Orang Asli sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah. Antaranya:- (i) Meningkatkan kualiti kemudahan fizikal di sekolah sedia ada, (ii) Pelaksanaan Program Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi (KEDAP), (iii) Pelaksanaan Projek Rintis Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah iMurid Orang Asli dan Penan (KAP) dan (iv) Pengajaran Pedagogi Berasaskan Perspektif Pribumi. Usaha ini adalah sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan KPM yang bertujuan untuk memastikan setiap warganegara, tanpa mengira kaum dan status ekonomi, mendapat peluang pendidikan yang terbaik dari segi akses, ekuiti dan kualiti. Hasil program-program ini, Kementerian berjaya meningkatkan kemahiran 3M dan kemahiran sosial murid Orang Asli, meningkatkan jumlah murid Orang Asli yang menamatkan pendidikan sehingga peringkat menengah, iaitu peningkatan sebanyak 4 peratus pada tahun 2010, serta merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar. Dapatan yang memberangsangkan ini akan mendorong Kementerian Pelajaran untuk meneruskan program-program ini dengan lebih giat lagi agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.
8.        Kerajaan sedar akan peningkatan kos sara hidup sejak akhir- akhir ini.  Namun,  hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak kita.  Justeru, untuk meringankan beban kos tanggungan persekolahan, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit untuk Bantuan Khas Awal Tahun kepada setiap murid dengan pemberian 100 ringgit seorang. Selain itu, pemberian dalam bentuk Baucer Buku bernilai 200 ringgit juga akan disalurkan kepada setiap pelajar Matrikulasi dan Tingkatan 6 dengan jumlah peruntukan sebanyak 24 juta ringgit. Keprihatinan Kerajaan menyalurkan bantuan persekolahan kepada mereka yang kurang berkemampuan diteruskan pada tahun ini dengan bantuan kepada murid miskin dengan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah 606 juta ringgit. Peruntukan ini meliputi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah 400 juta ringgit, Rancangan Makanan Tambahan sebanyak 201.9 juta ringgit dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform sebanyak 4.5 juta ringgit. Kementerian kita telah mengambil inisiatif untuk memastikan penyaluran peruntukan bantuan persekolahan dilaksanakan dengan lebih baik melalui penambahbaikan kaedah penyaluran menggunakan Sistem eBantuan.  Pelaksanaan sistem ini dapat memastikan murid menerima bantuan persekolahan dengan lebih cepat dan sistematik.
9.       Kita menyedari bahawa dalam dunia pendidikan di Malaysia yang pesat berkembang ini, terdapat murid yang cerdas namun tidak berpeluang untuk menggarap potensi dalam bidang akademik lantaran wujud kekangan persekitaran seperti kemiskinan keluarga, keadaan rumah yang kurang sesuai dan ketiadaan akses kepada teknologi maklumat. Oleh yang demikian, selaras dengan semangat asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh, iaitu untuk membantu murid-murid cemerlang terutamanya dari kalangan keluarga miskin dan luar bandar, Kementerian telah menetapkan mulai tahun 2012, kelayakan minima bagi kemasukan murid ke Tingkatan Satu di SBP untuk murid dari keluarga Miskin Tegar ialah 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dalam pemilihan untuk kemasukan ke tingkatan 1 SBP 2012, pihak Kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah memilih seramai 1052 orang murid daripada golongan Miskin Tegar di seluruh negara. Dengan menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada mereka, kita berharap murid-murid ini mampu untuk meningkatkan kecemerlangan diri dan seterusnya membantu keluarga mereka keluar daripada lingkungan kemiskinan.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
GTP NKRA
10.     Sebagai Menteri Peneraju Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Sektor Pendidikan, saya bertanggungjawab memastikan kesemua sasaran yang ditetapkan di bawah lima bidang kecil NKRA pendidikan iaitu, enrolmen pra-sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS), sekolah berprestasi tinggi (SBT), tawaran baru ataupun Ba’iah untuk pengetua dan guru besar dan program penambahbaikan sekolah dapat dicapai.  Sukacita saya ingin maklumkan di sini bahawa sasaran untuk kesemua sub-NKRA tersebut telah melepasi sasaran 2011. Kita telah berjaya meningkatkan enrolmen pra-sekolah kepada 76.3 peratus, 97.5 peratus murid telah menguasai kemahiran literasi dan 96.8 peratus menguasai kemahiran numerasi, 52 buah sekolah telah dinobatkan sebagai sekolah berprestasi tinggi dan 304 buah sekolah berjaya melonjakkan prestasi di bawah Program Pembangunan Sekolah. Oleh kerana tahun ini adalah tahun terakhir untuk kita mencapai kesemua sasaran NKRA Pendidikan, saya berharap agar semua warga pendidik dapat melipatgandakan usaha untuk memastikan semua sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai. Saya yakin dengan semangat dan iltizam semua pihak, serta dengan izin Allah s.w.t., kita mampu untuk melakukannya.
11.     Selain itu, Program Sekolah Amanah yang dilancarkan pada akhir 2010 di bawah usaha sama awam-swasta Khazanah Nasional Berhad melalui Yayasan AMIR dan Kementerian Pelajaran Malaysia merangkumi 10 buah sekolah rintis di Johor dan Sarawak telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Walaupun baru setahun dilaksanakan, program ini telah mula menampakkan kesan yang positif. Antaranya, otonomi pengurusan telah menyebabkan pengurusan kewangan sekolah menjadi lebih teratur, fleksibel dan efektif; kaedah pedagogi terkini yang seiring dengan kehendak KSSR telah dapat dilaksanakan dengan baik dan penyertaan ibu-bapa serta komuniti dalam proses pembelajaran murid juga telah meningkat.  Di samping itu, murid-murid Tahun 1 dan 2 yang mengikuti Program Sekolah Amanah juga menampakkan keyakinan diri yang lebih kental berbanding mereka yang berada di tahap persekolahan yang lebih tinggi. Berdasarkan pencapaian yang positif ini, saya berharap lebih banyak lagi sekolah yang dapat menyertai Program Sekolah Amanah dengan sokongan berterusan daripada pihak swasta.
MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
12.       Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid juga diberikan perhatian khusus oleh pihak Kementerian. Melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kementerian sedang mengambil beberapa inisiatif baru yang lebih berkesan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid.  Antara inisiatif tersebut adalah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru-guru terlatih dalam bidang bahasa Inggeris, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, dasar soft-landing PPSMI juga sedang dilaksanakan untuk memastikan pembelajaran kohort murid PPSMI sedia ada tidak terjejas.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
PENCAPAIAN AKADEMIK DAN KEMENJADIAN MURID
13.     Dari segi pencapaian akademik, kita telah menyaksikan peningkatan pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2011. Pencapaian keseluruhan calon UPSR dan PMR meningkat dan merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional. Untuk itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga pendidik, para ibu bapa dan pelajar atas kejayaan cemerlang ini. Saya berharap pada tahun ini, pencapaian calon UPSR dan PMR yang mendapat kelulusan penuh dapat menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan lagi.
14.  Selain menitikberatkan pencapaian akademik, Kementerian juga memberikan penekanan kepada pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan sukan. Aktiviti luaran ini adalah penting untuk menggarap sahsiah dan kemahiran kendiri pelajar dalam membentuk modal insan yang seimbang. Pelancaran Dasar 1Murid 1Sukan yang telah disempurnakan pada 2 Julai 2011 merupakan salah satu tunggak dalam membudayakan sukan di kalangan murid. Selain itu, penubuhan IPG kebitaraan sukan Raja Melewar di Negeri Sembilan merupakan satu permulaan ke arah meningkatkan professionalisme latihan kesukanan di kalangan guru-guru pelatih.
15.   Tahun 2011 telah memperlihatkan kejayaan pelajar-pelajar kita mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan, seni dan kokurikulum di peringkat antarabangsa. Atlet murid kita telah memenangi Pingat Acara Individu dan Berpasukan di beberapa acara sukan seperti Piala Dunia Memanah di Shanghai, China, temasya Sukan Komanwel Remaja ke-4 2011 di Isle of Man dan Kejohanan Sukan SEA ke-26. Murid kita juga tidak kurang hebatnya dalam bidang reka cipta inovasi dengan mewakili negara di peringkat antarabangsa di Inova 2011, 36th International Invention Show, Zagreb Fair, Crotia.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
16.       Kementerian juga melihat bahawa satu sistem pentaksiran yang lebih holistik adalah penting bagi membolehkan potensi murid dikenalpasti dan digarap secara menyeluruh. Justeru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang merupakan satu penambahbaikan terhadap sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan telah dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun  1, 2011. Pada tahun 2012, Pentaksiran Berasaskan Sekolah melibatkan guru dan murid Tahun 2 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 di sekolah menengah. Transformasi Pentaksiran Pendidikan melalui PBS membawa kepada penghijrahan daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran yang lebih holistik, bersepadu dan seimbang.  Pentaksiran yang dijalankan secara berterusan untuk mengesan dan memantau perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran diharapkan mampu mencungkil potensi dan bakat murid dalam pelbagai bidang selain bidang akademik. Harapan saya, melalui sistem pentaksiran baru ini murid-murid berpeluang untuk meningkatkan potensi diri secara menyeluruh dan menjadi lebih kreatif dan inovatif dengan bimbingan secara berterusan oleh guru.
TRANSFORMASI TVET
17.     Selain itu, transformasi sistem pendidikan turut dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian agar terus relevan dengan tuntutan semasa dengan membuat perubahan pada hala tuju pendidikan vokasional dan teknikal. Pada minggu lalu saya telah melancarkan pelan transformasi pendidikan teknikal dan vokasional. Di samping strategi dan tindakan yang telah digariskan dalam pelan transformasi pendidikan teknikal dan vokasional, pihak industri, sektor swasta dan agensi-agensi berkaitan akan turut berperanan menaikkan status dan mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional seperti di negara-negara maju dan serantau yang lain.
TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN
18.    Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan pada tahun lalu. Melalui dasar ini, kerajaan mensasarkan untuk memperluaskan capaian jalur lebar di sekolah-sekolah di seluruh negara dan menyediakan persekitaran pembelajaran maya kepada semua murid. Konsep persekitaran pembelajaran maya ini dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta memperkukuh sistem pengurusan maklumat berkaitan pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara. Sehingga 31 Disember 2011, sebanyak 200 sekolah sudah siap dipasang capaian jalur lebar manakala sehingga April 2012 sebanyak 1052 sekolah lagi akan siap dipasang. Menjelang akhir  2012 sebanyak 7902 sekolah di seluruh negara dijangkakan mendapat perkhidmatan jalur lebar dan melaksanakan konsep persekitaran pembelajaran maya. Pemasangan capaian jalur lebar untuk semua sekolah dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2013.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN DAN PROFESION KEGURUAN
19.     Sepanjang tahun lalu, saya telah meluangkan masa untuk bertemu dan berdialog dengan guru-guru di seluruh negara. Saya juga telah bertemu dengan kesatuan-kesatuan guru bagi untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksakan tugas sebagai pendidik. Dalam siri pertemuan ini, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah soal kebajikan guru, terutamanya tentang sistem saraan dan prospek kemajuan kerjaya. Saya mengambil perhatian yang berat mengenai perkara ini dan telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri serta Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mencari jalan bagaimana profesion keguruan dapat kita mantapkan lagi dengan menambahbaik sistem saraan dan peluang kenaikan pangkat bagi guru-guru. Alhamdulillah, pandangan guru-guru dan kesatuan telah diambil kira oleh kerajaan. Hasilnya, pengumuman pertama mengenai penambahbaikan perkhidmatan keguruan telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa sambutan Hari Guru pada tahun lalu. Kemudiannya, beberapa penambahbaikan tambahan telah dimasukkan dalam Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula dilaksanakan pada tahun ini.
20.       Di bawah SBPA, kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan kualiti dalam perkhidmatan yang merangkumi: (i) peluang kenaikan pangkat yang cepat berdasarkan kecekapan dan prestasi; (ii) peningkatan pembangunan profesional secara berterusan; dan (iii) pelaksanaan kaedah pengurusan prestasi yang lebih mantap. Saya berharap agar semua pihak bersikap terbuka dalam menerima penambahbaikan dan pelbagai faedah yang terdapat dalam skim baru ini di samping mempertingkatkan kualiti kerja masing-masing.
21.      Selaras dengan hasrat memartabatkan profesion keguruan, KPM melalui Bahagian Pendidikan Guru telah menyediakan bantuan yuran pengajian kepada guru-guru untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Infrastruktur Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga ditingkatkan dengan menaiktaraf infrastruktur sedia ada untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran yang lebih kondusif kepada bakal-bakal guru dalam mengikuti latihan perguruan.
22.      Transformasi dalam pendidikan guru turut dilaksanakan bagi memastikan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran.  Untuk itu, Institut Pendidikan Guru telah mengambil inisiatif menyemak dan menggubal kurikulum pendidikan guru dengan melaksanakan pedagogi dan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif merentas kurikulum sedia ada. Pendekatan aplikasi seni dalam pendidikan dan pengaplikasian alat kemahiran berfikir dalam aktiviti pembelajaran dan penyelesaian masalah digunakan untuk mencetus daya kreativiti dan inovasi pelatih guru bagi membentuk minda kreatif murid.
23.   Kementerian juga bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dalam melaksanakan projek rintis i-THINK (Thinking Schools) di 10 buah sekolah terpilih di seluruh negara dan menjalin usahasama dengan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia bagi melahirkan IPG Lestari melalui penggunaan kaedah yang inovatif dalam meningkatkan kesedaran pemeliharan alam sekitar dan budaya ‘hijau’ . Selain itu, kolaborasi dengan Petrosains dijalankan bagi membolehkan pendedahan dan pengamalan kaedah inkuiri penemuan dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik.  Jalinan kerjasama yang dibuat dengan agensi-agensi tersebut adalah bagi memantapkan lagi komitmen melahirkan guru yang boleh menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang interaktif.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
PENILAIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DAN INOVASI
24.       Walaupun sistem pendidikan kita telah banyak menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara selama ini, kita perlu mengakui bahawa penambahbaikan berterusan diperlukan jika kita ingin melihat mutu pendidikan di negara kita setanding dengan pendidikan di negara-negara maju. Untuk itu, kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh sedang dilaksanakan dengan tujuan untuk (i) memahami garis dasar pencapaian dan membangunkan fakta asas berdasarkan cabaran sistem sekolah Malaysia dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian; (ii) mengiktiraf kejayaan dan kemajuan yang dicapai; (iii) menterjemahkan penilaian kepada halatuju masa depan sistem pendidikan; dan (iv) menyokong transformasi Kementerian Pelajaran.
27.       Bagi fasa pertama, penilaian sistem dilaksanakan dengan menubuhkan Panel Penilai Bebas tempatan dan antarabangsa bertujuan untuk memberi input dan panduan dalam penilaian tersebut.  Panel yang dilantik membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif yang luas mengenai sistem pendidikan negara. Dalam menyokong penilaian ini, bantuan kepakaran juga diperolehi daripada UNESCO melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman Kajian Semula Dasar Pendidikan Malaysia yang ditandatangani pada 18 Disember 2011. Adalah dijangkakan Laporan Penilaian dan Halatuju Sistem Pendidikan Negara yang lengkap akan dibentangkan sebelum akhir tahun 2012.
25.    Pada masa yang sama, Malaysia turut bekerjasama dengan UNESCO untuk membantu negara-negara kurang membangun termasuk Negara-negara kepulauan kecil dan Negara-negara Afrika bagi mencapai sasaran EFA dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Malaysia-UNESCO Cooperation Programme (MUCP) pada 15 November 2011. Saya berharap kerjasama yang dijalinkan dengan anggota-anggota UNESCO secara tidak langsung dapat memantap dan meletakkan pendidikan negara kita di tahap yang membanggakan serta bertaraf antarabangsa.
26.       Kerajaan percaya dengan program-program dan inisiatif yang telah disebutkan tadi, sistem pendidikan kita dapat melahirkan generasi rakyat Malaysia yang inovatif, kreatif dan mampu melonjakkan negara menjadi pemimpin di persada antarabangsa dalam bidang pendidikan. Semua ini memerlukan cetusan inovasi yang mampu meningkatkan daya saing negara, menjana ilmu dan mensejahterakan rakyat.
29.       Memandangkan gerakan inovasi di Malaysia masih lagi di umur muda, Kementerian menyahut seruan Kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan warga KPM dengan melaksanakan Tahun Inovasi KPM 2012 bertemakan Mengungguli Modal Insan: Mencerna Kreativiti, Mencetus Inovasi.  Inovasi dan kreativiti tidak hanya disarankan kepada murid sekolah dan institusi pendidikan sahaja malah melibatkan keseluruhan warga KPM di peringkat kumpulan premier, kumpulan pengurusan dan professional serta kumpulan pelaksana supaya rantaian nilai pendidikan negara boleh dianjak ke satu tahap yang lebih tinggi.
30.       Bagi menyokong inisiatif pelaksanaan Tahun Inovasi KPM 2012, pelbagai program dan aktiviti inovasi akan dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan seluruh warga Kementerian Pelajaran.  Saya berharap warga KPM akan memberi sumbangan dan sokongan padu terhadap aktiviti-aktiviti tersebut selain meneruskan sumbangan cetusan idea kreatif bagi mengarusperdanakan peningkatan budaya inovasi.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
PENUTUP
31.     Cabaran yang bakal kita hadapi sepanjang tahun 2012 ini amat kritikal kepada kejayaan kita sebagai warga pendidik untuk mencapai sepenuhnya sasaran-sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKRA  pendidikan. Selain itu, pelaksanaan dasar-dasar baru seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik yang telah berusaha memerah keringat dalam menjayakan pelbagai program pendidikan pada tahun 2011.  Tanamkanlah tekad dan iltizam untuk terus mendaki puncak kejayan. Bagi tahun 2012, saya berharap lebih banyak jalinan kerjasama dengan semua pihak dapat dibuat bagi memastikan penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan negara tercapai.  Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.  Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada rakyat dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia di negara kita. Semoga usaha kita akan sentiasa diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita akan berjalan dengan lancar, inshaAllah.
Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

K.I.D.S didik kanak-kanak tercicir – Metro


K.I.D.S didik kanak-kanak tercicir

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMPORNA: Tidak kira sama ada mereka penduduk tempatan mahupun bukan, mereka masih kanak-kanak dan perlu diberi pendidikan.

Demikian pendirian pengasas Pertubuhan Kanak-Kanak Inspirasi (K.I.D.S) Malaysia, Mazuin Mohd Ismail yang mengadakan program pendidikan secara percuma untuk kanak-kanak jalanan di sini, termasuk Tawau.
“Bagi kami, kanak-kanak ini berhak mendapatkan pendidikan dan bukan bekerja pada usia muda,” katanya di sini, baru-baru ini.

 

Menurut Mazuin, penubuhan K.I.D.S Malaysia ini bertujuan khusus untuk memberi pendidikan secara percuma kepada kanak-kanak jalanan berumur antara 5 hingga 15 tahun yang tercicir daripada pendidikan formal.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna dan akan menjalankan program pendidikan ini secara berperingkat.
“Antaranya ialah Kampung Bangau-Bangau dan pasar basah di Semporna dan perkampungan di Batu 3, Batu 4 serta Titingan di Tawau,” katanya.

 

 

Di Kampung Bangau-Bangau misalnya, seramai 215 kanak-kanak mengikuti program pendidikan secara percuma yang dianjurkan K.I.D.S Malaysia.
Mengutamakan aspek pendidikan, kebersihan dan pemakanan, K.I.D.S Malaysia cuba mendidik kanak-kanak jalanan ini supaya dapat mengubah cara hidup mereka sekurang-kurangnya boleh membaca dan menulis.

 

Bermula jam 8 pagi, program ini dibahagikan kepada tujuh sesi dan setiap sesi dihadiri 30 kanak-kanak.
Walaupun ada yang berumur belasan tahun, mereka diajar mengenal huruf dan menulis seperti pelajar pra sekolah memandangkan mereka tidak pernah bersekolah.

Ditukar sekolah kerana cacat – Utusan


Ditukar sekolah kerana cacat

 

Oleh Siti Airunnisa Alaui
pengarang@utusan.com.my

 

Mohd Ariff Mohamad dan anaknya, Mohd Fathi menunjukkan surat tawaran kemasukan ke asrama dari sebuah sekolah berprestasi tinggi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Tengah, Setiu, semalam. – BERNAMA

 

SETIU 9 Jan. – Akibat kemalangan yang dialaminya Ogos tahun lalu, seorang pelajar, Mohamad Fathi Mohd. Ariff, 17, tidak dibenar meneruskan pelajaran di sebuah sekolah elit di negeri ini.

Alasan pihak sekolah terbabit ialah pelajar tingkatan lima itu dikhuatiri tidak mampu lagi memberikan prestasi yang baik terutama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Bapa pelajar tersebut, Mohd. Ariff Mohamad, 39, mendakwa, anaknya yang telah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong sejak di tingkatan satu, diarah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok ketika mereka datang untuk mendaftar bagi sesi baru pada 2 Januari lalu.

”Alasan itu sukar diterima dan kerana rasa tidak puas hati dan malu, saya membuat laporan polis pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Gong Tengah, di sini hari ini.

Anak sulung kepada pasangan Mohd. Ariff dan Rosila Hussin, 37, itu terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kedua belah kakinya patah dan penglihatannya terjejas.

”Dia masih ke sekolah beberapa minggu sebelum sesi tahun lalu berakhir bagi membolehkannya menduduki peperiksaan akhir tahun tingkatan empat biarpun dibenarkan bercuti sakit selama dua bulan oleh pihak hospital,” katanya.

Menurutnya, antara alasan diberikan ialah anaknya itu mengalami kecacatan, tekanan perasaan serta gagal menduduki peperiksaan akhir yang dibimbangi tidak mampu memberikan prestasi baik dalam peperiksaan SPM.

“Sebelum ini pengetua sekolah memaklumkan Fathi hanya perlu mengulang tingkatan empat jika masih mahu mengambil peperiksaan SPM di sekolah itu kerana dia telah ketinggalan sesi pembelajaran kira-kira dua bulan.

“Namun ketika hari pendaftaran, pengetua, wakil Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memaklumkan anak saya tidak dibenarkan meneruskan pelajaran di sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniat mencabar pihak terbabit namun tindakan itu dirasakan tidak adil kepada anaknya.

Mohamad Fathi pula berharap dia dapat meneruskan pelajaran di sekolah terbabit kerana telah selesa dengan cara pembelajaran di sekolah itu.

“Saya seronok belajar di sekolah berkenaan dan berharap dapat kembali ke sekolah itu lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hashim Mohd. Zain ketika dihubungi berjanji akan menyiasat dakwaan tersebut dan akan menemui keluarga Mohamad Fathi untuk berbincang.

Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu – Berita Harian


Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

2012/01/10

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang pernah menyaman anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya hampir dua tahun lalu, semalam mengemukakan empat tuntutan baru terhadap anak sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berikutan kegagalan defendan membayar nafkah dipersetujui sebelum ini.

Mustafa Ismail, 66, membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 39, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua a anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik berkenaan lapan tahun lalu sebanyak RM18,866 iaitu RM9,309 bagi anak lelaki defendan kini berusia 17 tahun dan RM9,556 bagi anak perempuan, kini 15 tahun.

Dalam tuntutan yang difailkan melalui peguam, Fazru Anuar Yusoff, Mustafa yang juga pesara sebuah syarikat cari gali turut memfailkan tuntutan duit raya sebanyak RM1,000 setahun.

Selain itu, plaintif mengemukakan tuntutan supaya defendan kembali taat dengan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa dan dua anaknya selain menuntut defendan memohon ampun kepadanya dan isteri, Che Meriam Abdullah, 58.

Warga emas itu juga memfailkan permohonan menuntut defendan yang berkhidmat sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan membayar RM400 sebulan kepadanya dan isteri sebagai saraan hidup.

Hakim Rushdi Harun menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan dua anak defendan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar pada Julai 2010 melaporkan bapa memfailkan tuntutan terhadap anak lelakinya untuk memberi nafkah kepada dua cucunya yang diabaikan defendan sejak ditinggalkan bersama plaintif tujuh tahun sebelum itu.
Dalam tuntutan itu, plaintif berkata, defendan meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama.

Dapat insentif jika daftar SABK – Kosmo


Dapat insentif jika daftar SABK

 

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

 


 

KUANTAN – Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) disaran mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi menerima insentif yang disediakan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, kerajaan pada tahun lalu memperuntukkan RM100 juta kepada SABK untuk penambahbaikan dan penyediaan prasarana yang lengkap bagi keselesaan pelajar.

“Jika SAR dan SAN mendaftar sebagai SABK, pastinya sekolah-sekolah ini akan menikmati pelbagai kemudahan daripada peruntukan tersebut.

“Mereka tidak perlu bimbang dengan alasan kurikulum mereka akan dikawal oleh kerajaan kerana pembelajaran tahfiz sedia ada di sekolah boleh dikekalkan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Sekolah Agama di sini semalam.