Najib sahkan skim gaji baru ditangguh – Sinar Harian


Najib sahkan skim gaji baru ditangguh

G MANIMARAN, NURUL NADIA DAN ARHIZA AHMAD
January 12, 2012
NAJIB

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan memetik sumber-sumber berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguan semalam telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

“Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ketika dihubungi awal hari ini, pimpinan Cuepacs juga mengesahkan pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan sementara perundingan diadakan dengan mereka.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata Presidennya Datuk Omar Osman turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengenai penangguhan SBPA.

“Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian Online tengah hari tadi.

Sementara SBPA disemak semula, dalam kenyataannya Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.
Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

“Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak,” katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

SBPA ditangguhkan untuk semakan semula: Najib – Bernama


SBPA ditangguhkan untuk semakan semula: Najib

2012/01/12

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Najib berkata penangguhan itu bertujuan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA.

“Selepas semakan semula itu dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya.

Najib berkata, penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

“Semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Kabinet arah tangguh skim SBPA sektor awam – Sinar Harian


Kabinet arah tangguh skim SBPA sektor awam

G MANIMARAN
January 12, 2012

SHAH ALAM –  Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewan gan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

“Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi,” kata sumber.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus.

Bagaimanapun ia telah dinafikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bulan lalu.

SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat.

Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, “ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, juga kemungkinan hanya akan dilaksanakan selepas pilihan raya berakhir, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh.”

Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan enggan mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

“Tunggulah esok, maklumat jelas akan dikeluarkan,” kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi.

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan lalu.

Ketika itu, Cuepacs juga meminta ahli-ahlinya tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai.

Jabatan itu membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia sepatutnya ditutup pada 30 Disember, tetapi dilanjutkan sehingga 15 Januari selepas pertemuan Cuepacs dengan Najib.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji.

Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya.

Ada yang mendakwa menerima kenaikan gaji jauh lebih rendah daripada kadar yang diumumkan Najib.

“Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini,” kata Omar ketika itu.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

Cuepacs sahkan kerajaan tangguh SBPA – Sinar Harian


Cuepacs sahkan kerajaan tangguh SBPA

G MANIMARAN
January 12, 2012

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda sebentar tadi.

“Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Presiden (Cuepacs) Datuk Omar (Osman) mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Cuepacs, KSN bincang isu SBPA ditangguh – Sinar Harian


Cuepacs, KSN bincang isu SBPA ditangguh

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 12, 2012

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkaitan isu keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya akan membincang isu ini dan akan memberi penjelasan petang nanti.
“Sekarang tengah mesyuarat dengan KSN, pasal isu ini (SBPA). Telefon balik petang nanti untuk mendapatkan penjelasan,” kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

“Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi,” kata sumber.

Kenyataan Akhbar: “Pembayaran Awal Pencen Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2012”


Kenyataan Akhbar: “Pembayaran Awal Pencen Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2012”

E-mailCetakPDF

11 JANUARI 2012

Bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 23 dan 24 Januari 2012, Kerajaan telah memutuskan untuk membayar pencen bagi bulan Januari 2012 awal iaitu pada 13 Januari 2012.

Sehubungan dengan itu, penerima pencen yang menerima waran pencen bertarikh 14 Januari 2012 hingga 31 Januari 2012 boleh menunaikan waran mereka mulai 13 Januari 2012. Bagi penerima pencen yang dibayar pencen melalui bank boleh menuntut pembayaran pencen di bank yang terlibat mulai 13 Januari 2012.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
 10 Januari 2012

500 kecewa – Metro


500 kecewa

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 pensyarah Institusi Perguruan Malaysia (IPGM) kesal berikutan kegagalan ditawarkan kenaikan gred DG48 berbanding 400 pensyarah lain yang sudah menerima tawaran berkenaan November lalu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pensyarah terbabit sepatutnya layak diberi kenaikan daripada gred DG44 kepada DG48 berdasarkan prestasi cemerlang masing-masing.
“Keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya pengurusan IPGM menguruskan perkara berkenaan secara adil dan telus. Apa yang berlaku, ramai pensyarah cemerlang tidak menerima tawaran sebaliknya beberapa pensyarah baru berkhidmat pula ditawarkan kenaikan gred.

 

“Lebih menghairankan, ada pensyarah mengambil cuti belajar, selepas habis cuti terus ditawarkan kenaikan gred manakala pensyarah berkhidmat lebih 20 tahun dan menunjukkan prestasi cemerlang tidak mendapat tawaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kumpulan pensyarah terbabit mengadakan pertemuan dengan NUTP mewakili semua pensyarah IPGM seluruh Semenanjung meluahkan perasaan tidak puas hati berikutan diberi layanan sedemikian pada 31 Disember lalu.
Beliau yang mewakili kumpulan pensyarah terbabit berkata, kenaikan gred berkenaan adalah berdasarkan markah prestasi dari 2007 hingga 2009 perkhidmatan mereka sebagai pensyarah di IPGM manakala pensyarah baru dinilaikan berdasarkan markah prestasi 2009 saja dan markah prestasi sekolah bagi dua tahun sebelum itu.

 

 

“Penilaian sedemikian sama sekali tidak adil kepada pensyarah yang lebih senior dan saya juga dimaklumkan maklumat yang dikemukakan IPGM kepada Jabatan Sumber Manusia seperti maklumat perkhidmatan serta gred pensyarah terbabit kebanyakannya adalah tidak tepat.
“Lebih tidak adil kerana ada pensyarah yang memegang sarjana dan berprestasi cemerlang dengan markah prestasi melebihi 90 peratus juga tidak menerima tawaran kenaikan gred,” katanya.

 

Katanya, kumpulan pensyarah terbabit sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia bulan lalu namun hingga kini, tiada maklum balas daripada pihak terbabit.
Lok berkata, perkara berkenaan seolah-olah menjejaskan maruah mereka berikutan rata-rata pensyarah yang dinaikkan gred pernah menjadi anak didik mereka sebelum ini. “Jadi, ia perkara memalukan bagi mereka kerana mereka masih lagi dengan gred DG44 manakala pensyarah baru sudah ditawarkan gred yang lebih tinggi,” katanya.
Justeru, beliau menggesa IPGM menyelesaikan masalah membabitkan 500 pensyarah IPGM berkenaan dengan segera dan mahu mereka diberi tawaran kenaikan gred seperti pensyarah yang lain.

Bapa meraung! – Metro


Bapa meraung!

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
USUNG...mayat mangsa dibawa ke HSA untuk dibedah siasat.
USUNG…mayat mangsa dibawa ke HSA untuk dibedah siasat.

SEDIH... Chandran termenung memikirkan tragedi menimpa anaknya.
SEDIH… Chandran termenung memikirkan tragedi menimpa anaknya.

JOHOR BAHRU: Seorang bapa yang baru pulang daripada bekerja hanya mampu meraung apabila melihat anak perempuan kesayangan terbaring tidak bernyawa berlumuran darah di bilik tidur akibat lehernya dikelar, semalam.

Mangsa, C Sivaranjini, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dipercayai dibunuh tiga lelaki yang menceroboh rumahnya di Jalan Dataran 4/5, Taman Kempas, di sini, antara jam 8 hingga 10 pagi.
Ketika kejadian, mangsa tinggal sendirian kerana ayahnya, P Chandran, 42, dan ibu M Rani, 40, keluar bekerja di Singapura manakala dua adiknya ke sekolah.

 

Difahamkan, suspek masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang dan melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletak di belakang rumah selepas mangsa dibunuh.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, mayat mangsa dengan kesan kelar di leher dipercayai dilakukan menggunakan objek tajam, ditemui ayahnya yang pulang ke rumah pada jam 10 pagi.
Menurutnya, susulan kejadian, polis melakukan risikan dan menahan tiga lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun di tiga lokasi berasingan iaitu di Kempas, Pasir Gudang dan Senai. “Ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menyiasat motif pembunuhan terbabit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

 

 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk bedah siasat.
Mokhtar yang enggan mengulas lanjut bila dan bagaimana suspek ditahan, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

 

Sementara itu, adik mangsa berusia 16 tahun yang enggan dikenali berkata, sejurus pulang dari sekolah selepas dijemput bapa saudara, dia terkejut mendapati ramai orang berkumpul manakala ibu dan bapa pula dalam keadaan trauma. “Saya hanya mampu menangis selepas diberitahu kakak kesayangan dibunuh. Saya harap pembunuh kakak segera ditahan dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Rakan karib mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 18, berkata, mereka sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kempas.
“Tiga hari lalu, Sivaranjini menghubungi saya dan kami berbual agak lama. Dia memaklumkan mahu mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama saya.
“Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian dan saya amat terkejut apabila menerima berita kematiannya,” katanya.
Menurut Faizal, dia rapat dengan Sivaranjini sejak dua tahun lalu dan remaja berkenaan tidak mempunyai musuh malah disenangi ramai pelajar.
“Tidak sangka perbualan kami tiga hari lalu itu perbualan terakhir saya dengannya. Saya kehilangan seorang rakan yang peramah dan baik hati,” katanya sambil memberitahu mangsa turut menjadi calon SPM harapan SMK Taman Kempas.

Astro bina asrama di SK Sg. Paku – Utusan


Astro bina asrama di SK Sg. Paku

KAPIT 11 Jan. – Berulang alik ke sekolah sama ada dengan menaiki bot atau berjalan kaki kira-kira dua jam perjalanan adalah satu cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paku di sini, untuk menuntut ilmu.

Namun bermula penghujung Februari ini, segala cabaran berkenaan dijangka berakhir apabila projek pembinaan Hostel Astro yang merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) penyedia perkhidmatan televisyen berbayar utama negara, Astro, disiapkan.

Naib Presiden Hal Ehwal Komuniti Astro, David Yap berkata, projek Hostel Astro itu membabitkan tiga blok bangunan merangkumi asrama, dewan serbaguna, dapur memasak dan gelanggang serbaguna untuk aktiviti sukan para pelajar sekolah berkenaan.

Katanya, objektif utama projek berkenaan adalah untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa bagi didiami oleh pelajar SK Paku selain membuka lebih banyak ruang menempatkan kanak-kanak di kawasan sekitar.

“Kami percaya dengan kapasiti asramanya yang dinaik taraf dan program penglibatan yang menyeluruh dari pihak para sukarelawan, pelajar dan guru, SK Sungai Paku mampu untuk berfungsi sebagai hab pendidikan buat kanak-kanak yang tinggal di kampung sekitar kawasan ini.

“Selain itu, kita akan melengkapkan sekolah dengan pakej Astro Kampus termasuklah sebuah set televisyen LCD 32 inci, decoder TV satelit Astro dan akses tanpa had kepada 15 saluran iaitu enam saluran antarabangsa dan sembilan saluran pendidikan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada upacara pecah tanah pembinaan projek Hostel Astro di SK Sungai Paku yang disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Tanah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Tan Sri Dr. James Masing semalam.

Sementara itu, Masing sewaktu mengulas projek berkenaan menyampaikan rasa terima kasih penduduk setempat kepada Astro di atas komitmennya dalam pembangunan masyarakat dan menasihatkan para pelajar SK Sungai Paku, guru dan ibu bapa supaya bekerjasama dengan sukarelawan daripada program Astro Kasih supaya projek tersebut dapat disiapkan dengan jayanya.

“Dengan adanya kemudahan seperti ini, Astro juga telah memberi peluang yang sama rata kepada mereka untuk berjaya seperti mana peluang yang sama telah diberikan kepada para pelajar di kawasan bandar.

“Kami percaya dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti ini, mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berkembang dengan lebih baik dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Turut mengalu-alukan inisiatif berkenaan ialah Guru Besar SK Sungai Paku, Syaiful Annuar Mahjem yang memuji usaha Astro untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada para pelajarnya.

“Saya percaya blok sekolah yang baru ini dapat menggalakkan para pelajar untuk menghadiri sesi persekolahan selain menggalakkan ibu bapa di kawasan sekitar menghantar anak-anak mereka ke sekolah.” katanya.

12 tahun tak makan nasi – Berita Harian


12 tahun tak makan nasi
Oleh Nor Amalina Alias
bhkb@bharian.com.my
2012/01/12

SITI MAHANI  disuap adiknya, Siti Mashitah (kanan)  di Kampung Telong, Kandis, semalam.

SITI MAHANI disuap adiknya, Siti Mashitah (kanan) di Kampung Telong, Kandis, semalam.

Kanak-kanak istimewa hanya mahu jamah kuih bahulu cicah air suam

BACHOK: Sepanjang hidupnya, Siti Mahani Abdullah, 12, tidak pernah menjamah nasi, dan bergantung kepada kuih bahulu sebagai makanan rutinnya setiap hari serta mampu menghabiskan sehingga 35 biji bahulu dalam sehari.

Malah, kanak-kanak yang juga penghidap sindrom down dan bisu itu cukup berselera jika kuih tradisional kegemarannya dicicah dengan air suam dan disuap oleh ahli keluarganya.

Ibunya, Maznah Hashim, 44, berkata sebelum ini beliau dan suaminya sudah mencuba pelbagai jenis makanan untuk hidangan anak mereka, namun Siti Mahani hanya mahu memakan bahulu.

“Pernah neneknya menyuapkan kuih lain seperti akok, namun dibuangnya dan dia akan merengek untuk makan bahulu jika tiba waktu makan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Telong, Kandis, di sini, semalam.

Disebabkan tabiat makan yang pelik itu juga gigi Siti Mahani dijangkiti karies gigi hingga semuanya giginya terpaksa dicabut.

Maznah memberitahu anaknya akan makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan dia membelanjakan hampir RM100 sebulan bagi membeli bahan membuat bahulu seperti telur, gandum dan gula.
“Biasanya saya akan membuat 100 biji bahulu sehari dan disimpan dalam bekas bagi memudahkannya makan jika lapar.

“Malah, saya terpaksa belajar kemahiran membuat bahulu kerana sebelum ini membelanjakan RM50 sehari bagi membeli kuih ini,” katanya yang hanya mempunyai sebuah loyang membuat bahulu.

Selain kekurangan peralatan dan kos yang tinggi untuk membuat bahulu, keluarga berkenaan juga memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli keperluan Siti yang lain seperti lampin pakai buang dan susu tepung kerana beliau tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Bagi bapa kanak-kanak istimewa itu, Abdullah Hashim, 52, keunikan Siti Mahani yang juga anak keenam daripada sembilan beradik adalah anugerah daripada Tuhan yang diterima dengan reda dan syukur.

“Meskipun anak saya tidak seperti kanak-kanak lain, saya anggap ia ujian dan bersyukur kerana anak tidak ditimpa sebarang penyakit lain akibat pemakanannya,” katanya yang akan membawa anaknya menjalani rawatan bulanan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu.