Kabinet arah tangguh skim SBPA sektor awam – Sinar Harian


Kabinet arah tangguh skim SBPA sektor awam

G MANIMARAN
January 12, 2012

SHAH ALAM –  Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewan gan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

“Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi,” kata sumber.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus.

Bagaimanapun ia telah dinafikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bulan lalu.

SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat.

Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, “ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, juga kemungkinan hanya akan dilaksanakan selepas pilihan raya berakhir, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh.”

Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan enggan mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

“Tunggulah esok, maklumat jelas akan dikeluarkan,” kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi.

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan lalu.

Ketika itu, Cuepacs juga meminta ahli-ahlinya tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai.

Jabatan itu membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia sepatutnya ditutup pada 30 Disember, tetapi dilanjutkan sehingga 15 Januari selepas pertemuan Cuepacs dengan Najib.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji.

Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya.

Ada yang mendakwa menerima kenaikan gaji jauh lebih rendah daripada kadar yang diumumkan Najib.

“Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini,” kata Omar ketika itu.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

14 Comments

  1. Kalau tak nak gaji rendah..pergi sambung belajar.. ini orang yang dok belajar dapat ijazah..master.. dapat gaji tak jauh beza dengan yang gaji spm..camtu..baik belajar takat spm je.. tak fikir susah senang orang yang berusaha belajar..tak tau bersyukur langsung..dulu suruh belajar rajin2 malas.. bila dapat gaji rendah.. bising.. tak puas hati..

  2. ade orang yang tak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yg lebih tinggi.. kos sara hidup kat kawasan bandar makin meningkat, bukan semua orang bernasib baik macam korang.. dah pegang jawatan tinggi, jangan menyombong-nyombong..tak baik..belajar susah2, dapat kerja senang, dapat gaji mahal.. tak belajar tinggi, kerja susah, gaji sikit… sepatutnya, lagi susah kerja tu, lagi mahal gaji.. lagipun, orang yg belajar tinggi2, bukannye semua tau buat kerja.. pandai bercakap je, bagi arahan pehtu yg buat kerjanye sape?.. tak orang bawah?.. fikir la sebelum nak mengate orang.. boleh?

  3. apa la tongong…….lagi susah keje memang la lagi mahal gaji…..sebab tu la orang yg keje pakai otak gaji lebih mahal dari yg pakai kudrat….kalau pakai kudrat gaji lebih mahal, baik tak payah pegi blajo pandai2…..cakap ngan anak cucu tak payah blajo…..

  4. Bagi aku kenaikan harus lah setara cth: kalau naik 10%, maka semua penjawat awam akan dpt kenaikan 10% drpd gaji pokok, tak kira tinggi atau rendah pangkatnya..ini baru di namakan PENYELARASAN GAJI.. Dengan cara ini tak timbul rasa tak puas hati dikalangan penjawat awam. Elaun juga haruslah dinaikkan juga…yg tak keje dng GOMEN jgn KOMEN…

  5. yang penting setiap sistem yg diperkenalkan mempunyai keadilan dan imbuhan yg diberi adalah setara dengan kerja yg dilakukan. Baik pekerja atasan, menengah & rendah semuanya ada saling berkait. Cane plak tu? Lu pikir la sindri…!! Apa yg penting? Kerjasama!!!!

  6. saya sokong….jgn saling kata mengata kita dalam satu pasukan….dah nama kita yg bawah kerja cara org bawah dan org atas cara kerja org atas..org bawah paham ke kalau suruh buat kerja org atas kalau org x tau buat kerja org bwah…fikir……ingt kalau x kita x dinamakan satu pasukan….

  7. jgn ckap org x mau blajar, kta x tau org lain ada mslh kwgan atau ada mslh lain. brdosa seorg muslim kta brkata-kata yg x baik pada org. bukan semua org bertuah dapat smbung blajar. semua org mahukn pluang tuk smbg bljar. jgn agkuh dgn apa yg diri kta ada skrg dan brsikap smbong.

Leave a reply to nor Cancel reply