2,646 sekolah rendah diberikan bantuan khas RM500 juta – Bernama


2,646 sekolah rendah diberikan bantuan khas RM500 juta

13/01/2012 8:15pm

 

 

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

 

PAPAR 13 Jan. – Kerajaan telah mengenal pasti 2,646 sekolah rendah di negara ini yang akan diberikan bantuan khas menerusi peruntukan RM500 juta yang dibentangkan dalam Bajet 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf dan menambah baik sekolah terbabit pada tahun ini.

“Kita telah memeriksa 2,254 sekolah rendah dan daripada jumlah itu sebanyak 1,859 menghadapi masalah fizikal dan 965 sekolah melibatkan masalah pendawaian.

“Masih ada 392 sekolah yang belum dapat kita lawati kerana kebanyakan di pedalaman,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pengalat Kecil di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Sempena lawatan kerja berkenaan Puad turut melawat SK Beringgis dan SK Kuala di sini.

Menurut Puad, sebanyak 1,859 sekolah dikenal pasti mengalami masalah struktur, manakala 1,203 buah mengalami masalah bukan struktur.

Katanya, sekolah yang melibatkan masalah struktur dijangka mula dibaik pulih pada Julai ini selepas pelantikan perunding selesai.

Tambahnya, sekolah yang mengalami masalah bukan struktur pula dijangka boleh dimulakan proses baik pulih Mac ini kerana tidak melibatkan pelantikan perunding.

“Bagaimanapun, sama ada masalah struktur atau bukan struktur kita kena siapkan Disember ini dan kalau peruntukan tidak cukup kita kena cari tambahan lagi,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak RM164.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 821 sekolah rendah di Sabah. – UTUSAN

Roboh asrama, rugikan pelajar Melayu – Utusan


Roboh asrama, rugikan pelajar Melayu

13/01/2012 6:38pm

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Tindakan Yayasan Selangor di bawah kepimpinan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu merobohkan sebuah asramanya di Kampung Pandan di sini untuk tujuan komersial membuktikan bahawa mereka tidak serius memperjuangkan pendidikan anak Melayu.

Penyelaras Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS), Badrulzaman Baharuddin berkata, tatkala yayasan di setiap negeri berlumba-lumba memperjuangkan kepentingan pendidikan untuk anak Melayu, Yayasan Selangor pula mengambil langkah ke belakang apabila mahu merobohkan sebuah asrama yang telah banyak berjasa.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja `membunuh’ masa depan anak-anak Melayu di kampung yang mengimpikan pendidikan di sekolah-sekolah terbaik sekitar Kuala Lumpur, malah menyusahkan ibu bapa pelajar.

“Asrama berkenaan tidak lagi mengambil pelajar baru dan mereka yang masih berada di situ adalah yang menuntut di tingkatan tiga, empat dan lima.

“Tiada masalah dengan pelajar tingkatan lima kerana mereka berada pada tahun akhir persekolahan. Namun begitu, nasib pelajar tingkatan tiga dan empat masih kabur sama ada akan terus belajar di sekolah sama atau terpaksa berpindah ekoran rancangan merobohkan asrama berkenaan.

“Ia bukan sahaja menyusahkan pelajar, tetapi juga ibu bapa. Saya sendiri menerima banyak rungutan daripada ibu bapa yang tidak puas hati dengan rancangan berkenaan. Tindakan merobohkan asrama itu menggambarkan pihak yayasan tidak serius memperjuangkan pendidikan untuk anak Melayu di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas melawat asrama berkenaan di sini, hari ini.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1979 bertujuan memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih di sekitar Lembah Klang.

Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki, manakala Asrama Toh Puan Norashikin untuk pelajar perempuan.

Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah (SMK) Aminuddin Baki, SMK Victoria, SMK Convent Bukit Nanas dan SMK Methodist.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Asrama Yayasan Selangor, Mohd. Zaidi Barkis berkata, rata-rata ibu bapa pelajar tidak bersetuju dengan rancangan merobohkan asrama berkenaan.

“Sekarang ini, Asrama Toh Puan Norashikin telah ditutup untuk dirobohkan dan pelajar-pelajar perempuan perlu menetap di Asrama Tun Dr. Ismail dengan pelajar lelaki.

“Mereka terpaksa berkongsi kemudahan yang sama. Sudah tentu ia tidak mencukupi dan menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan pelajar. Kami sebagai ibu bapa tidak bersetuju dengan rancangan untuk merobohkannya,” jelasnya. – UTUSAN

Jadual Penerbangan bagi Penempatan Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPPS) pada 16 Januari 2012


Jadual Penerbangan bagi Penempatan Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPPS) pada 16 Januari 2012

Maklumat penerbangan bagi Penempatan Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPPS)  pada 16 Januari 2012 .
Tarikh penerbangan pada 16 Januari 2012.
Sila muat turun lampiran di bawah untuk maklumat lanjut.
Sebarang masalah dan pertanyaan boleh hubungi :
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (Sektor Rendah)
Aras 3 & 4, Blok E2, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya

Kaunter Aras 3 : 03-88849586
Kaunter Aras 4 : 03-88849370
Fax : 03-88849315

Pasukan petugas diberi dua bulan semak semula SBPA – Bernama


Pasukan petugas diberi dua bulan semak semula SBPA

2012/01/13

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pasukan petugas itu, yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan.

“Pasukan petugas terbabit akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

“Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh satu bulan dari kenyataan media ini iaitu pada 15 Februari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu-isu itu boleh dialamatkan kepada farida.sbpa@jpa.gov.my atau :
Datuk Farida Mohd Ali,
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam,
Aras 13, Blok C1, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62510 Putrajaya

Mohd Sidek berkata bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad hasil semakan semula itu dibuat.

“Bagi mereka yang telahpun bersetuju memilih SBPA, opsyen berkenaan kekal,” katanya.

Mohd Sidek berkata kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuk kemudahan dan gaji. – BERNAMA

CUEPACS mahu lebih ‘suara’ dalam semakan semula SBPA – Bernama


CUEPACS mahu lebih ‘suara’ dalam semakan semula SBPA

2012/01/13

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai ‘suara’ dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat awam tidak berpuas hati.

“Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya akan mengadakan roadshow, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, di seluruh negara selepas Tahun Baru Cina, bagi menjelaskan penangguhan pelaksanaan skim SBPA.

“Dalam roadshow itu, kita juga akan dapatkan pandangan daripada ahli-ahli untuk dibangkitkan dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA),” katanya.
Beliau juga berharap dengan semakan semula terhadap SBPA, yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan, akan memberi keadilan kepada semua penjawat awam terutama berhubung kenaikan dan tangga gaji baru.

Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar kerana percaya semakan semula yang dibuat terhadap skim SBPA akan lebih memuaskan hati mereka.
“Penjawat awam juga jangan bimbang kerana tarikh SBPA dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012. Kalau, ia dilaksanakan misalnya bulan Jun, mereka akan tetap dapat tunggakan,” katanya.

Katanya sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. – BERNAMA

Mengaku rogol kanak-kanak dipenjara 10 tahun – Sinar Harian


Mengaku rogol kanak-kanak dipenjara 10 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 13, 2012
Mengaku rogol kanak-kanak dipenjara 10 tahun

KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan senyum bersahaja ketika diiringi polis keluar Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas dijatuhi hukuman 10 tahun penjara.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha bersabit kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun 9 bulan di sini, dua tahun lalu, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mohamad Yuzwan Hamat, 26, dari Kampung Bukit Tiu, Machang mengaku bersalah merogol kanak-kanak terbabit di sebuah bilik di kampung sama antara jam 11 malam, 20 Januari 2010 dan 1 pagi, keesokan harinya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa masuk ke bilik tidur bersama adik perempuan tertuduh di rumah kakak iparnya di alamat berkenaan. Tertuduh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu ingin berjumpa mangsa sebelum masuk melalui tingkap serta merogol mangsa ketika adiknya sedang tidur.

Pada petang keesokan hari pengadu menceritakan kejadian itu kepada kakak iparnya dan pengadu kemudiannya membuat laporan polis. Tahu tentang laporan itu, tertuduh bertindak melarikan diri dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah bank di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, tertuduh berjaya ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 4 Januari lalu.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon hukuman berat terhadap tertuduh berdasarkan faktor usia mangsa yang masih di bawah umur.

Sekolah hangus terima sumbangan – Metro


Sekolah hangus terima sumbangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Kementerian Pelajaran menyampaikan sumbangan untuk membaik pulih sebahagian blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda (2) yang musnah dalam kebakaran pada awal Disember 2010.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Yusoff Haniff kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Kashfi Abdul Rauf ketika membuat lawatan ke sekolah berkenaan.
Pihak kementerian turut meluluskan peruntukan tambahan untuk membina empat kabin bagi menampung keperluan sementara pelajar yang tidak mempunyai kelas selepas kejadian yang memusnahkan bilik guru dan empat bilik darjah itu.

 

Kashfi berkata, peruntukan terbabit digunakan untuk membaik pulih bangunan dan membeli peralatan serta kelengkapan baru.

Remaja koma meninggal – Metro


Remaja koma meninggal

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PEKAN: Selepas hampir seminggu bertarung nyawa dan koma kerana terjatuh dari motosikal ditunggangnya, remaja meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pagi kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Taofik, 17, dari Thailand dan mempunyai dokumen perjalanan sah, meninggal dunia pada jam 9.30 pagi akibat kecederaan di dada.
Dalam kejadian jam 9 malam, 6 Januari lalu, mangsa menunggang motosikal seorang diri apabila dia terjatuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Nenasi dari Tanjung Batu, di sini.

 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata mangsa yang tidak sedarkan diri, dihantar pulang ke rumah oleh rakannya sebelum dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) dan dipindahkan ke ICU HTAA Kuantan.
“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat tengah hari kelmarin,” katanya.

SBPA ditangguh: Najib – Berita Harian


SBPA ditangguh: Najib

2012/01/13

  NAJIB   memegang logo 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia sambil diperhatikan   Muhyiddin,    Ahmad Sarji (dua dari kanan),   Hamad Kama  (kiri) dan   Wan Abdul Aziz   (kanan) di  PWTC, semalam.

NAJIB memegang logo 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia sambil diperhatikan Muhyiddin, Ahmad Sarji (dua dari kanan), Hamad Kama (kiri) dan Wan Abdul Aziz (kanan) di PWTC, semalam.

Kerajaan semak semula dasar, bincang isu pelaksanaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, penangguhan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

“Setelah semakan semula dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

Bagaimanapun, Najib berkata semakan semula tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Beliau juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sudah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
“Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak dan satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama. Dalam skim baru itu, hiraki perkhidmatan awam terdiri daripada empat peringkat, iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sementara itu, CUEPACS yang mewakili lebih 1.2 juta kakitangan awam menyambut baik langkah kerajaan menyemak semula SBPA yang dilihat mampu menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum pelaksanaannya.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, sebelum ini hampir keseluruhan anggota kerajaan kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji penjawat awam yang banyak kekeliruan.

Pengetua sekolah dituduh terima rasuah – Utusan


Pengetua sekolah dituduh terima rasuah

KUCHING 12 Jan. – Seorang pengetua sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM12,000 sebagai balasan mengemukakan sokongan terhadap penilaian prestasi dan mempercepatkan bayaran tuntutan seorang pembekal makanan tiga tahun lalu.

Junaidi Zulkipli, 58, yang kini merupakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, Serian bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Junaidi didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8 pagi, 16 Februari 2009 ketika dia menjadi Pengetua SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya.

Dia dituduh menerima wang suapan daripada Saiful Bahri Ahmad Adibi melalui penyelia sekolah, Norassimah Kassim sebagai dorongan memberi sokongan terhadap prestasi pembekal makanan itu serta mempercepatkan proses tuntutannya dalam Pesanan Kerajaan (LPO) bagi Januari 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, bergantung kepada yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Mejar (B) Osman Ibrahim.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu perbicaraan pada 2 April depan.