Pelajar cemerlang, adik rentung – Berita Harian


Pelajar cemerlang, adik rentung 
Oleh Poliana Ronnie Sidom

2012/01/16

TAWAU: Kegembiraan Andi Herah Andi Muddah, 19, untuk mendaftar di Kolej Perubatan MAHSA di Kota Kinabalu akhir bulan ini tidak kesampaian apabila pelajar cemerlang itu ditemui rentung bersama seorang adiknya dalam kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Blok 5, Kampung Titingan di sini, awal pagi semalam.

Mayat anak kedua daripada lima beradik itu ditemui rentung dalam keadaan berpelukan dengan adiknya, Andi Putri Intan, 6, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi.

Andi Herah dijadualkan melapor diri di Kolej MAHSA pada 28 Januari ini. Kebakaran itu turut menyebabkan 74 penghuni daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu bapa dan dua beradik lagi di tingkat bawah rumah manakala 11 saudara termasuk nenek mereka menetap di tingkat atas.

Difahamkan, bapa mangsa, Andi Muddah Manawang, 51, cuba menendang pintu bilik untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya tetapi tidak berjaya kerana terkunci rapat manakala api semakin marak.

Nenek mangsa, Rahmah Beddu Rahman, 65, berkata beliau nyenyak tidur bersama tiga cucu berusia satu, tiga dan enam tahun sebelum menyedari kediaman mereka dijilat api.

“Saya tersedar apabila terdengar jeritan di luar rumah disusuli letupan kuat. Saya bingkas bangun dan menarik ketiga-tiga cucu sebelum membawa mereka turun secara mengengsot melalui tangga dapur,” katanya di sini, semalam
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek, ketika dihubungi Berita Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 pagi dan menghantar dua jentera bersama 21 anggota ke lokasi kebakaran.

“Api marak terlalu cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat dan struktur papan memudahkan kebakaran merebak. Kita berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.52 pagi,” katanya sambil menambah kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta dan lori milik penduduk.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s