Merajuk dengan ibu, remaja lari ikut rakannya – Sinar Harian


Merajuk dengan ibu, remaja lari ikut rakannya

RAIHAM MOHD SANUSI
January 17, 2012

CHUKAI – “Ana terjun dari tingkap biliknya lepas campakkan beg pakaiannya ke tanah dan kemudian dia terus naik kereta yang sedang menunggu di tepi rumah,” kata seorang ibu, Anita Othman, 44, yang mendakwa anak gadisnya lari bersama rakannya, 9 Januari lalu.

Pelajar Tingkatan Tiga itu  gagal dikesan sehingga sekarang.

Mengakui terkejut dengan tindakan anak keduanya, Wan Suhana Wan Rohin, 15, yang nekad terjun dari tingkap rumah walau tingkap rumah mereka yang agak tinggi dari tanah.

Anita berkata, dia yang menyedari perkara itu cuba mengejar selepas anaknya yang mesra dipanggil sebagai Ana terjun tetapi gagal kerana Ana pantas masuk ke dalam kereta sebelum kereta tersebut memecut laju.

Menurut ibu tiga anak ini, sebelum terjun Ana terlebih dahulu menyandarkan pintu biliknya dengan almari agar biliknya tidak dapat dimasuki.

“Tetapi anak mak cik yang bongsu sedar akan kelakuan pelik Ana yang sebelum itu mundar mandir di ruang tamu rumah. Sebaik Ana terjun dari tingkap anak bongsu mak cik yang baru berumur 12 tahun menjerit memberitahu sebelum mak cik kejar,” katanya ketika ditemui di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Chukai, hari ini.

Anita dari Jalan Banggol Kanan dekat sini, yang bekerja sebagai tukang sapu memberitahu, mereka sekeluarga mengesyaki Ana lari bersama kawannya itu berusia 19 tahun gara-gara persahabatan mereka berdua berdua dihalang keluarga.

Malah, katanya, pada 2 Januari lalu Ana juga tidak pulang ke rumah sehingga waktu malam selepas keluar bersama Alan sejak jam 4 petang menyebabkan mereka sekeluarga melaporkan kes kehilangan anaknya kepada polis.Bagaimanapun kira-kira jam 2 pagi barulah Ana dihantar pulang.

“Lepas lari sembilan hari lalu puas kami cuba hubungi dia tetapi gagal sebab telefon ditutup atau dia sudah tukar nombor telefon lain. Sehingga sekarang dia tidak pulang dan langsung tiada khabar berita, kami juga puas mencarinya di Paka kerana tomboy itu tinggal di sana tetapi gagal,” katanya.

Susulan itu kehilangan itu, Anita bersama suaminya, Yusof Ibrahim membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada 11 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan berkenaan.

Justeru itu, Ana dirayu kembali semula ke pangkuan keluarga kerana dikhuatiri sesuatu yang tidak baik akan menimpanya.

Sesiapa yang terlihat Ana diharap dapat menghubungi keluarganya menerusi talian 014-8443564.

Sekolah memandu jadi stor ganja – Utusan


Sekolah memandu jadi stor ganja

17/01/2012 3:35pm

 

 

Oleh AZIAN AZIZ

 

SHAH ALAM 17 Jan. – Kegiatan seorang guru sebuah sekolah memandu yang menggunakan premis tempatnya bertugas sebagai stor simpanan 153.9 kilogram ganja bernilai RM1.7 juta terbongkar apabila polis menyerbu sekolah tersebut yang terletak di tepi Lebuh Raya Karak Gombak dekat sini kelmarin.

Serbuan pukul 4.30 pagi itu dibuat kira-kira dua jam selepas guru lelaki berusia 30 tahun itu diberkas bersama 1.9 kilogram ganja di kawasan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Gombak dekat sini kelmarin.

Semasa serbuan di sekolah memandu, polis turut memberkas seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang masing-masing berusia 38 tahun dan 33 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua yang ditahan dipercayai terlibat dengan satu sindiket pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang yang telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu. – UTUSAN

Semakan Keputusan Tawaran KPLI-SR jQAF Ambilan Jan 2012


Semakan Keputusan Tawaran KPLI-SR jQAF Ambilan Jan 2012

Semakan Keputusan Tawaran KPLI-SR jQAF Ambilan Jan 2012 boleh dibuat mulai 17 Januari 2012 di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sekian, terima kasih. 

Sila lawat di sini untuk mengetahui keputusan. http://apps1.moe.gov.my/kpli/twr12/index.cfm

Dipaksa jadi buruh remaja – Sinar Harian


Dipaksa jadi buruh remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 17, 2012
buruh remaja

RAWANG – Asalnya dia hidup sebatang kara, tidak pernah sedikit pun merasa kasih ibu dan ayah apabila sejak kecil sudah disisihkan keluarga.

Ketika remaja, dia tinggal sebumbung dengan rakan-rakannya di Tawau, Sabah sehingga berusia 13 tahun, dia mendapat tawaran kerja di Semenanjung Malaysia daripada ejen buruh kononnya bergaji lumayan dan menetap percuma di kediaman teres.

Malang nasibnya, kerana semua itu janji kosong, kerja yang ditawarkan adalah sebagai tukang buat sarung tangan getah di sebuah kilang di Klang dengan gaji RM300 sebulan dan tempat tinggalnya di sebuah unit teres di Kapar, Klang yang dikongsi lebih 10 orang termasuk pekerja lelaki.

Dari situ, bermulalah siri hidup Nurhanis Mohd Noor, 27, sebagai buruh ‘remaja’ yang saban hari dilalui penuh getir.

Berstatus ‘warga asing’

Nurhanis tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah kecuali surat perakuan sumpah menyatakan dia dilahirkan di Lahad Datu, Sabah pada 1983 dan sehingga kini dia masih berstatus ‘warga asing’.

Kerja di kilang sarung tangan tidak lama dan Nurhanis nekad lari setelah rumah sewa mereka diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), namun dia dilepaskan dan terus meniti pengalaman bekerja di beberapa kilang, kedai, gerai dan restoran sekitar Selangor.

Pada usia 17 tahun, ketika menetap di Bandar Country Homes, di sini Nurhanis bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang tua setahun daripadanya, berasal dari Tapah, Perak.

Nurhanis berkata, perkahwinan tanpa pendaftaran itu dikendalikan seorang warga Indonesia.

“Hasil perkongsian hidup, kami dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Amin Zaim, 4, dan Nurain Fatihah, 2.

“Namun, jodoh kami tidak panjang kerana suami lari ketika anak kedua saya baru berusia setahun lebih,” kata ibu tunggal itu ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat MIC Cawangan Taman Hijau, di sini, kelmarin.

Nurhanis datang bersama ibu angkat, Alimah Karim, 60, yang menjaganya sejak ditinggalkan suami.

Anak bongsu hidap sawan

Belum pun padam luka di hati ditinggal suami, Nurhanis diduga dengan keadaan anak bongsunya yang menghidap penyakit sawan sehingga menyebabkan fizikal Nurain terencat.

Nurhanis berkata, dia memerlukan banyak belanja untuk menampung kos rawatan dan terapi untuk anaknya, namun mengakui tidak mampu kerana bukan saja tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk melayakkan dia mendapat rawatan di klinik atau hospital kerajaan, malah pendapatan sekitar RM800 sebulan hasil upah kerja di sebuah kilang di Rawang tidak mungkin dapat membiayai kos rawatan anaknya itu.

Rayu daftar kewarganegaraan

Menurut Nurhanis, sekiranya dia masih tidak tidak didaftarkan sebagai warganegara Malaysia dan tidak memiliki MyKad, semua usaha yang dilakukan terutama untuk masa depan anaknya tidak kesampaian, ibarat angan-angan mat jenin.

“Sebab itu, saya harap sangat dapat didaftarkan dan diberikan kad pengenalan bagi memudahkan segala urusan, kedua-dua anak saya juga tidak memiliki sijil lahir kerana perkahwinan kami tidak didaftarkan dan semua ini menyukarkan serta akan menghalang anak-anak saya untuk bersekolah,” katanya penuh harapan.

Ibu angkat beri dorongan

Walaupun bukan darah daging sendiri, tetapi sebagai ibu angkat, Alimah cukup simpati dengan nasib Nurhanis dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga Nurhanis yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Saya juga senasib dengan Nurhanis, ditinggalkan suami ketika masih muda, namun kehidupannya lebih getir.

“Selagi kudrat ada, saya berusaha membantunya dan berharap segalanya selesai sebelum mata ini pejam,” katanya.

MIC usaha bela Nurhanisa

Sementara itu, Pengerusi Kebajikan MIC Negeri Selangor, MB Raja berkata, buat masa ini, usaha mendapatkan maklumat kelahiran anak pertama Nurhanis di sebuah pusat pengembangan Islam yang dahulunya pernah diharamkan kerana didakwa membawa ajaran sesat,
akan dilakukan bagi memudahkan proses pendaftaran­ kelahiran.

Menurutnya, keadaan seperti yang ditempuh Nurhanis wajar mendapat pembelaan apatah lagi keluarga berkenaan anak tempatan yang layak menerima status kewarganegaraan.

“Dia hidup yatim piatu dan cuba berdikari, datang ke Semenanjung dengan harapan dapat membina hidup baru, tetapi dianiaya.

“Lebih membanggakan, dia nekad mahu menjaga kedua-dua anaknya walaupun sedar kesempitan hidup, orang seperti ini yang harus kita bantu,” katanya.

Raja yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Masyarakat Bestari (PKSMB) Daerah Gombak berharap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi kerajaan berkaitan tampil membantu keluarga Nurhanisa.

Gerakan sokong SBPA dikaji – Sinar Harian


Gerakan sokong SBPA dikaji

NORJIMI AZMI LATIF
January 17, 2012
Tan Sri Koh Tsu Koon

KUALA LUMPUR – Gerakan mengesyorkan kepada kerajaan mengkaji semula, sistem kerja dan pelaksanaan gaji di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bukan sahaja meme­natkan penjawat awam, terutamanya guru, malah menerima aduan mengenai kenaikan gaji yang tidak adil.

Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, guru turut mengeluh kerana dibebani dengan tugas tambahan.

“Sebenarnya, kita menyokong dasar kerajaan ini bagi memantapkan sektor awam, namun pada masa sama, ia juga perlu memastikan kakitangan mendapat manfaat, terutama guru-guru yang mengeluh kerana mereka bukan sahaja perlu mengajar murid-murid setiap tahun yang semakin bertambah, malah menghabiskan masa untuk menyediakan rekod tugasan harian.

“Untuk mengatasi masalah ini, Gerakan mencadangkan, kerajaan mengambil beberapa orang kerani dan pembantu tambahan,” katanya.

Menurutnya, Gerakan turut mem beri perhatian mengenai aduan mengenai beban guru-guru dalam melaksanakan pelbagai tugas yang diberikan sebagai mana dasar kerajaan seperti satu pelajar, satu sukan.

Tsu Koon berkata, Gerakan telah menyatakan pendapatnya supaya SBPA dikaji semula, bagi menjaga kepentingan seluruh penjawat awam.

Menurutnya, kakitangan kerajaan telah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana berlaku ketidakadilan dari segi jurang pendapatan antara peringkat atasan dan bawahan.

“Kita tidak mahu pendapatan diperoleh pihak atasan terlalu tinggi berbanding bawahan. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membawa perkara ini ke Kabinet dan mengkaji masalah yang timbul daripada sistem yang baru dicadangkan serta mengambil langkah-langkah tertentu.

“Semua kakitangan awam perlu mendapat manfaat dan bukan lapisan atasan sahaja. Ini selaras dasar transformasi kerajaan yang memberi kebaikan kepada seluruh rakyat dalam pelbagai bidang,” katanya.

Amuk penghidu gam – Metro


Amuk penghidu gam

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI PETANI: “Saya terkejut melihat Noriza berlumuran darah sambil menjerit ‘mak, Raja tetak cek’ sebelum rebah di pintu rumah,” kata Basah Mat ,73, ibu kepada Noriza Md Noor, 48, seorang guru Kelas Fardu Ain (Kafa) yang ditetak seorang lelaki di Kampung Bakar Bata, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Sinar Intan (SKTSI ), di sini, baru keluar dari tandas apabila secara tiba-tiba ditetak seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging dari arah belakang.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di lengan kiri dan bahu kanan.
Basah berkata, sebelum itu, dia ada mendengar orang menjerit dan menyangka cucunya sedang bermain di belakang rumah.

 

“Bagaimanapun, saya terkejut melihat Noriza dalam keadaan berlumuran darah sambil menjerit memberitahu ‘Raja’ menetaknya sebelum rebah.

“Saya bergegas mendapatkannya dan mendapati kesan tetakan pada lengan kiri dan bahu. Saya mengambil beberapa helai kain bagi menahan darah yang keluar,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Basah berkata, menjerit meminta bantuan anak lelakinya yang berada di dalam rumah.

“Noriza dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kerana kecederaan bertambah serius,” katanya.

Guru tadika maut tercampak keluar MPV – Berita Harian


Guru tadika maut tercampak keluar MPV
Oleh Adnan Ibrahim

2012/01/17

KLUANG: Seorang guru tadika wanita maut apabila tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama lima rakannya selepas dirempuh sebuah kereta lain di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Simpang Renggam di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan jam 4.15 petang di Kilometer 58 Jalan Machap-Simpang Renggam, mangsa, Zainun Maas, 44, mati di tempat kejadian akibat tercampak kira-kira lima meter hingga memasuki laluan lebuh raya bertentangan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman, berkata ketika kejadian, mangsa bersama lima rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Johor Bahru selepas menyertai satu program di Parit Raja dekat Batu Pahat.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, Toyota Wish dinaiki mangsa dipandu seorang rakannya dikatakan berhenti secara tiba-tiba menyebabkan Toyota City yang mengekorinya tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan mereka.

“Rempuhan itu mengakibatkan pintu belakang Toyota Wish terbuka menyebabkan mangsa bersama seorang lagi rakannya tercampak keluar kira-kira lima meter,” katanya di sini, semalam.

Azmi berkata, mangsa mati di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kulai, sementara empat lagi rakan mereka cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Sementara itu, bapa mangsa, Maas Mohamad, 74, dari Pasir Panjang, Kulai, tidak menyangka akan menerima berita buruk mengenai kematian anak sulungnya selepas kali terakhir mereka bertemu akhir bulan lalu.
“Pemergian Allahyarham buat selama-lamanya pasti dirasai kami sekeluarga kerana beliau sering menjadikan suasana meriah di rumah setiap kali pulang bercuti ke kampung. Allahyarham rapat dengan saya dan selalu berhubung untuk melepaskan rindu,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan terakhir bulan lalu, anak perempuannya itu sempat menyerahkan cenderamata yang dibelinya dari China untuk mereka sekeluarga.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasir Raja, Kulai selepas bedah siasat di Hospital Kluang.

EKSKLUSIF: 8 tahun ‘terkandas’ di Sarawak – Berita Harian


EKSKLUSIF: 8 tahun ‘terkandas’ di Sarawak
Oleh M Hifzuddin Ikhsan

2012/01/17

Lebih 1,000 guru j-Qaf dakwa dinafikan pertukaran ke Semenanjung

PETRA JAYA: “Jika tidak kasihankan saya, kasihanilah dua anak saya ini,” kata seorang guru j-Qaf di Sarawak yang terpaksa berjauhan dengan suami sejak enam tahun lalu akibat gagal mendapat perpindahan ke Semenanjung.

27 kesatuan guru bantah PTD – Berita Harian


27 kesatuan guru bantah PTD
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2012/01/17

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kesatuan dan persatuan guru sebulat suara menolak cadangan penempatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran dan agensi di bawahnya.

Dakwa suami mahu sembelih – Kosmo


Dakwa suami mahu sembelih

 

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

 

Siti Muniroh menunjukkan empat laporan polis yang dibuatnya di Alor Setar, Kedah semalam.

 

ALOR SETAR – Seorang guru di sebuah sekolah rendah kini dalam ketakutan apabila suaminya yang akan dibebaskan dari sebuah penjara di Sabah esok, mengugut akan menyembelihnya hingga mati.

Siti Muniroh Mohd. Shukri, 31, berkata, dia bimbang suaminya yang panas baran itu benar-benar membalas dendam apabila mengetahui dia sudah melarikan diri dari kediaman mereka di Sabah pada Julai lalu.

Dakwa guru mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan St. Dominic di Tawau itu, dia terpaksa kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Alor Buluh di sini bagi mendapat perlindungan kerana tidak tahan dipukul oleh suami sendiri yang juga berusia 31 tahun.

Suaminya itu kini menjalani hukuman penjara di Sabah kerana kesalahan dadah dan tidak pernah bekerja selepas pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada Julai 2009.