Semakan SBPA: Libatkan kami sama, kata NUTP – Bernama


Semakan SBPA: Libatkan kami sama, kata NUTP

January 16, 2012

 PUTRAJAYA –  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

“Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan  Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

“Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam,” katanya. – Bernama

TPM tiba di Sabah untuk lawatan rasmi – Bernama


TPM tiba di Sabah untuk lawatan rasmi

16/01/2012 5:48pm

 

KOTA KINABALU 16 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Sabah.

Muhyiddin tiba dengan pesawat khas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 4.40 petang.

Beliau diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan disambut oleh timbalan-timbalan ketua menteri, anggota Kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pemimpin masyarakat.

Muhyiddin akan menghadiri majlis makan malam tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO dan Jawatankuasa Barisan Nasional Negeri pukul 7 malam ini.

Esok, beliau dijadual berlepas ke Semporna dan dijangka tiba di daerah itu kira-kira pukul 9.20 pagi bagi menghadiri Majlis Mesra Rakyat dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Padang Pekan Semporna pukul 10 pagi.

Beliau juga akan membuat perjumpaan khas dengan guru-guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), penjawat awam dan pemimpin masyarakat di Dewan Masyarakat Semporna pukul 12 tengah hari.

Pada pukul 3 petang, Muhyiddin akan menghadiri Majlis Penyerahan BR1M di Dewan Masyarakat Tawau sebelum berlepas pulang ke ibu negara pukul 5 petang. — BERNAMA