Bakti sumbang kaki palsu kepada 4 pelajar mangsa kemalangan – Utusan


Bakti sumbang kaki palsu kepada 4 pelajar mangsa kemalangan

ROSMAH Mansor bersama Noorainee Abdul Rahman dan Siti Hasmah Mohamad Ali bermesra dengan Mohammad Shahrul Nizam Yahya (kanan), Muhd. Hasryani (dua dari kanan), Muhammad Muazs (tengah) dan Muhamad Haqimie di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

 

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) hari ini menyumbang kaki palsu kepada empat pelajar yang kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya.

Sumbangan itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi penyerahan surat persetujuan membeli kaki palsu pada satu majlis di Bangunan Bakti Siti Hasmah hari ini.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, sumbangan itu sebahagian daripada program kebajikan badan tersebut untuk membela golongan kurang bernasib baik.

“Kami berharap penyerahan sumbangan itu dapat mengubah kehidupan pelajar berkenaan untuk menjalani kehidupan normal seperti rakan-rakan sebaya lain dan dapat meringankan beban ahli keluarga mangsa,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Empat penerima bantuan tersebut ialah Muhammad Muasz Mohd. Mokhtar, 15, yang menerima bantuan kaki palsu bernilai RM7,800, Mohammad Shahrul Nizam Yahya, 16, (RM6,800), Muhd. Hasryani Mokhtar, 17, (RM7,800) dan Muhamad Haqimie Hasim, 20, (RM10,800).

Rosmah berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat diharap terus memberi perhatian terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Saya percaya peranan NGO telah membantu meringankan beban kerajaan, masyarakat serta ibu bapa dan jika kesedaran ini diperluas maka ramai lagi golongan kurang bernasib baik mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Muhamad Haqimie gembira dan bersyukur kerana bantuan tersebut membantunya berjalan semula.

“Sejak kemalangan Jun lepas, saya tidak dapat berjalan setelah kehilangan kaki kiri dari pangkal paha.

“Bantuan ini akan memudahkan urusan harian dan menjadi pemangkin kepada diri untuk terus berjaya melengkapkan pengajian,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Senibina, Universiti Teknologi Mara itu terpaksa mengambil cuti kecemasan selama satu semester akibat kemalangan itu.

Seorang lagi penerima, Mohammad Sharul berkata, bantuan kaki palsu itu akan memudahkan pergerakannya yang selama ini bergantung kepada tongkat.

“Saya tidak akan patah semangat dan terus berusaha mencapai cita-cita serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” ujarnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, Segamat, Johor.

Mesyuarat pertama semak SBPA selepas Tahun Baru Cina – Utusan


Mesyuarat pertama semak SBPA selepas Tahun Baru Cina

PUTRAJAYA 17 Jan. – Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

”Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,” katanya ketika dihubungi¬†Utusan Malaysia¬†di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

”Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,” katanya.

Majlis Pra Pelancaran World Robot Olympiad 2012 & Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi World Robot Olympiad 2012


Sukacita dimaklumkan, Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengadakan Majlis Pra Pelancaran World Robot Olympiad 2012 & Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi World Robot Olympiad 2012 pada hari ini (18 Januari 2012) jam 2.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Putrajaya.