Jel 15 tahun, 30 sebatan – Metro


Jel 15 tahun, 30 sebatan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak sulungnya berusia 11 tahun selepas mangsa pulang dari sekolah di Bukit Beruntung, dekat sini, dua tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap bapa kepada tiga anak itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Slamat pada penghakimannya berkata, mahkamah memutuskan untuk mempercayai kredibiliti mangsa sebagai saksi pendakwaan kelima.

 

Beliau berkata, ini memandangkan hubungan antara bapa dan anak itu tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham.
Oleh itu, katanya, tiada sebab untuk kanak-kanak itu mereka-reka cerita berhubung kejadian rogol berkenaan. Selain itu katanya, tertuduh ketika membela diri tidak menafikan berada di tempat kejadian, tetapi hanya menidakkan pertuduhan terhadapnya. Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 34 tahun itu didakwa merogol anaknya di rumah keluarga itu di Bukit Beruntung, jam 2 petang, pada 14,15 dan 17 April 2010. Dia didakwa mengikut Seksyen 373(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Slamat menjatuhkan hukuman penjara lapan, 10 dan 15 tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.
Beliau turut memerintahkan lelaki itu dihukum 10 sebatan untuk setiap pertuduhan.

 

 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya tanpa menyatakan sebarang alasan. “Saya memang tidak bersalah, tetapi jika Yang Arif mahu menjatuhkan hukuman, saya mohon hukuman ringan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan sumbang mahram dilakukan tertuduh amat serius. Beliau berkata, kes itu amat memalukan khususnya dalam konteks masyarakat Melayu beragama Islam. Selain itu, katanya, mahkamah perlu mengambil kira trauma dan kesan terhadap masa depan mangsa.

 

Menurutnya, tertuduh sebagai ayah kandung kepada anaknya itu sepatutnya bertanggungjawab melindungi kanak-kanak itu. “Mangsa ketika memberi keterangan berkata dia tahu perbuatan ayahnya itu salah dan memberitahu mahkamah ‘sedangkan haiwan pun sayangkan anaknya,”’ katanya.
Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Berdasarkan keterangan saksi, tertuduh merogol anaknya pada kejadian pertama selepas terangsang akibat menonton video lucah.
Pada masa kejadian, isterinya tiada di rumah kerana berkerja pada siang hari manakala tertuduh akan ke tempat kerja pada sebelah petang.
Tembelang tertuduh pecah apabila anaknya terpaksa memberitahu rakan sekolah kerana bimbang akan mengandung.
Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan terdapat kesan koyakan melebihi tempoh 72 jam pada kemaluan mangsa.

Ditampar, digari lelaki lagak polis – Metro


Ditampar, digari lelaki lagak polis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERI KEMBANGAN: Seorang pendawai elektrik bukan saja bengkak di muka selepas ditampar malah digari seorang lelaki menyamar pegawai polis yang menahannya kerana didakwa membuat bising dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa berusia 17 tahun dikatakan menunggu rakan wanitanya di belakang sekolah berkenaan bersama dua lagi rakan sebaya.
Menurutnya, sementara menunggu, mangsa yang duduk atas motosikal memerah enjin dengan kuat hingga menimbulkan bunyi bising sebelum dihampiri seorang lelaki yang datang dengan menunggang motosikal.

 

“Lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan meminta kad pengenalan mangsa untuk diperiksa serta memarahi mangsa kerana membuat bising. “Tiba-tiba lelaki terbabit mengeluarkan gari dan menahan mangsa serta rakannya. Lelaki ini juga bertindak menampar muka mangsa dan menendang motosikalnya hingga rebah,” katanya.
Abdul Razak berkata, ketika insiden berlaku muncul anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah dan berhenti di tempat kejadian selepas melihat kekecohan.
“Anggota berkenaan terkejut melihat mangsa dan rakannya digari sebelum meminta kad kuasa pegawai polis itu untuk diperiksa kerana mengesyaki dia bukan penjawat awam.

 

 

“Lelaki terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk tindakan lanjut selepas gagal menunjukkan kad kuasa,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit yang berusia 29 tahun adalah seorang ahli e-Kepolisan Masyarakat (CP) Selangor dan memperoleh gari itu daripada rakannya yang juga bekas anggota Rela.

 

“Lelaki terbabit yang bekerja sebagai mekanik kemudian direman empat hari hingga 23 Januari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 323 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan dengan tangan,” katanya.
Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang (HS) untuk rawatan dan dibenarkan pulang selepas didapati stabil sebelum membuat laporan berhubung kejadian di balai berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan CP Selangor, Kuan Chee Heng, mengesahkan mengenai tindakan seorang anggotanya yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis.
“Lelaki terbabit sudah dilucutkan keahliannya serta-merta kerana bertindak sendiri di luar batas undang-undang. Kami tidak pernah dibekalkan peralatan polis, malah tidak diberi kuasa untuk bertindak sebagai polis.
“Sebaliknya, kami hanya membantu polis dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membanteras jenayah,” katanya.

‘Ah Jib Gor’ beri angpau besar – Metro


‘Ah Jib Gor’ beri angpau besar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Hari ini ‘Ah Jib Gor’ nak beri angpau besar,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap mengumumkan peruntukan RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa, Jalan Gombak, di sini, semalam.

Najib berkata, peruntukan itu yang juga sebahagian daripada peruntukan Bajet 2012 bagi SMJK Cina untuk pembinaan bangunan baru sekolah yang sudah berusia 53 tahun itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang Perdana Menteri ke Kuala Lumpur semalam.

 

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalannya, Datuk M Saravanan; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; dan Pengerusi Lembaga Pengelola SMJK Chong Hwa, Datuk Lim King Hoo.
‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud ‘Abang Najib’ adalah laman sosial Facebook Perdana Menteri dalam bahasa Cina yang dilancarkan tiga hari lalu dan menarik 3,000 pengikut serta dijangka akan bertambah selepas ini.
Najib berkata, sumbangan diberikan kepada sekolah berkenaan akan turut mendapat pelepasan cukai.

 

 

Terdahulu, dalam ucapannya Najib berkata, sekiranya ekonomi negara berkembang hingga enam peratus setiap tahun, negara mampu mencapai status negara maju dalam tempoh kurang daripada lapan tahun. “Apabila ia dicapai, semua rakyat secara langsung atau tidak langsung akan mendapat faedah dan nikmat daripada pembangunan serta perubahan besar yang berlaku pada negara.
“Antaranya penjawat awam boleh mendapat kenaikan gaji manakala pekebun kecil boleh menikmati harga tinggi hasil jualan kelapa sawit dan getah,” katanya.

 

Dalam program berkenaan, Najib turut mengadakan lawatan ke pasar basah Teratai Mewah, Danau Kota, di sini, dan Kampung Puah Lembah, dekat Jalan Gombak.

CUEPACS dakwa 1.3 juta penjawat awam tak puas hati SBPA – Utusan


CUEPACS dakwa 1.3 juta penjawat awam tak puas hati SBPA

JOHOR BAHRU 20 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada golongan tersebut yang melahirkan kekecewaan mengenai skim berkenaan sepanjang lima jelajah taklimat SBPA yang dijalankannya di beberapa negeri baru-baru ini.

“CUEPACS turut menerima empat memorandum mengenai semakan SBPA dan antara isu utama yang dibangkitkan adalah kenaikan gaji yang tidak menyeluruh termasuk skim gaji yang dikatakan tidak adil antara pegawai atasan dan bawahan.

“Selain itu, isu lain yang turut akan diketengahkan adalah penukaran nama jawatan sehingga memberi kesan kepada skop tugas dan faedah yang dinikmati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat dan Dialog mengenai SBPA di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas yang ditubuhkan bagi mencari penyelesaian mengenai isu berkenaan diberi tempoh selama dua bulan sehingga 16 April depan untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Omar berkata, pihaknya yang turut terlibat dalam pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim berkenaan berharap hasil perbincangan dan kajian yang diputuskan kelak dapat memuaskan hati semula penjawat awam di negara ini.

RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa – Utusan


RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa Jalan Gombak di sini bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah meluluskan model pembangunan projek bagi menggantikan bangunan sekolah yang sudah lama.

“Peruntukan yang diberikan itu merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan melalui Belanjawan 2012 untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Sebagai Ah Jib Gor (abang), saya nak beri angpau kepada sekolah ini sebagai sumbangan ikhlas kepada rakyat,” katanya semasa melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalannya, Datuk M. Saravanan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Pengerusi BN Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafei Abdullah.

Najib turut mengumumkan sambutan baik masyarakat Cina terhadap akaun laman sosial Facebook bahasa Cinanya iaitu ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud Abang Najib mempunyai 12,000 pengikut selepas tiga hari dibuka.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sokongan berterusan daripada rakyat penting untuk memastikan program transformasi yang dirancang kerajaan dilaksana dalam usaha negara mengejar status negara maju.