PM lulus bina 6 SRJK Tamil – Sinar Harian


PM lulus bina 6 SRJK Tamil

NORHASPIDA YATIM
January 22, 2012
Najib Tun Razak

PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kelulusan permohonan masyarakat India agar kerajaan membina enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT).

Keenam-enam sekolah akan dibina di Taman Keladi di Sungai Petani, Heawood Estate. Sungai Siput; Taman Sentosa,  Klang; Taman PJS1, Petaling Jaya; Bandar Mahkota, Cheras dan Bandar Seri Alam di Masai, Johor.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3.5 juta untuk pembinaan bangunan empat tingkat SRJKT Kinrara di sini.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di sini, pagi ini.
Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan “lesen” untuk membina SRJKT terbabit.
Menurut beliau, ia adalah pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang digerakkan oleh sekolah-sekolah Tamil dalam masyarakat India di negara ini.
Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kedudukan 15 buah SRJK Tamil yang mempunyai bilangan pelajarnya kurang daripada 10 orang, yang mana perlu dipindahkan ke kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai yang memerlukan pendidikan daripada sekolah tersebut.
“Inilah langkah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk masa depan sekolah Tamil. Yang penting, ada kerjasama yang erat antara kerajaan, persatuan guru-guru sekolah Tamil, PIBG dan komuniti kaum India, khususnya.
“Kita mesti anggap ini sebagai satu usaha bersepadu untuk merealisasikan objektif kita,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, Pengerusi BN ini mengeyorkan agar satu persidangan khas membincangkan masa depan SRJKT perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya.
Beliau berkata, persidangan itu yang melibatkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) antara lain perlu membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah tersebut.
Ini termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas  peralihan untuk pelajar sekolah tersebut, katanya.
“Masalah kekangan guru-guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah Tamil itu serta lain-lain keperluan, patut dibincangkan pada persidangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis tersebut.

Sidang khas bincang masa depan sekolah Tamil – Bernama


Sidang khas bincang masa depan sekolah Tamil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Persidangan khas membincangkan masa depan sekolah jenis kebangsaan Tamil perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persidangan itu membabitkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah terbabit.
Katanya, ia termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas peralihan untuk pelajar sekolah terbabit.

 

“Masalah kekangan guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah serta keperluan lain, patut dibincangkan pada persidangan itu,” katanya pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kinrara, di sini semalam.
Beliau berkata, rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis terbabit.
“Kerajaan komited dan ikhlas memajukan pendidikan sekolah Tamil serta sekolah lain,” katanya, yang turut mengumumkan kerajaan sudah meluluskan pembinaan enam lagi SJK Tamil di empat negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

 

 

Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan ‘lesen’ membina tiga SJK Tamil di Selangor iaitu di Taman Sentosa (Klang), Taman PJS1 (Petaling Jaya) dan Bandar Mahkota (Cheras). – Bernama

Anak hilang cermin mata tak pulang rumah – Metro


Anak hilang cermin mata tak pulang rumah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Teguran seorang bapa terhadap anaknya kerana menghilangkan cermin mata di sekolah menyebabkan murid yang berusia 11 tahun tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu selepas ke sekolah, pada 19 Januari lalu.

Muhammad Faiz Nasrullah Faizal Naim, murid tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini, dipercayai menghilangkan diri selepas tamat waktu persekolahan, jam 2 petang.
Bapanya, Faizal Naim Ahmad, 35, berkata dia memarahi anaknya kerana cuai meletakkan cermin mata yang baru dibeli di merata tempat sehingga hilang sebelum meminta anaknya mencari cermin mata itu sehingga jumpa jika tidak mahu dirotan.

 

Faizal Naim berkata, anaknya tidak menunjukkan reaksi seperti merajuk atau takut.
“Malah, ketika saya menghantarnya ke sekolah pagi hari kejadian, saya dan isteri sedikit pun tidak menyangka yang dia akan lari kerana ketika itu dia berpakaian sekolah dan bersalaman dengan saya seperti biasa.
“Saya dimaklumkan pemandu van sekolah yang anak saya tidak hadir ke sekolah agama pada sesi petang dan ia semakin merisaukan kerana anak saya hilang sejak tengah hari,” katanya. Faizal Naim yang juga kakitangan kerajaan berkata, anak lelaki sulung daripada lima beradik itu turut mengalami masalah alahan yang serius terhadap kacang parang dan kacang hijau serta memerlukan rawatan jika didapati terkena alahan.

 

 

Faizal Naim merayu orang ramai yang terserempak atau mengetahui di mana anaknya, menghubunginya di talian 019-3953797 atau menghantar anak ke balai polis berdekatan.

Budak balik sekolah hilang – Berita Harian


Budak balik sekolah hilang 
Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2012/01/23

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoFAIZAL Naim menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kehilangan anaknya di Balai Berita, Shah Alam, semalam.
  • FotoMuhammad Faiz

Muhammad Faiz tak pulang rumah selepas ke sekolah Khamis lalu

SHAH ALAM: Keluarga seorang kanak-kanak, Muhammad Faiz Nasrullah Faizal Naim, 11, yang dilaporkan hilang selepas ke sekolah di sini, Khamis lalu, merayu kanak-kanak itu pulang atau dipulangkan segera.

Muhammad Faiz dihantar ke Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini untuk mengikuti persekolahan sesi pagi dan tidak ke sekolah sesi petang di Sekolah Agama Hasaniah, Seksyen 6.

Bapanya, Faizal Naim Ahmad, 35, berkata Muhammad Faiz yang juga anak sulung daripada lima beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa sebelum kehilangannya.

“Beberapa jam sebelum Muhammad Faiz ke sekolah, saya ada memarahinya mengenai cermin matanya yang hilang.

“Bagaimanapun, ketika menghantarnya ke sekolah, Muhammad Faiz langsung tidak menunjukkan reaksi marah atau merajuk dan beliau bersalaman dengan saya seperti biasa,” katanya ketika hadir ke Balai Berita Shah Alam, di sini, semalam.

Faizal berkata, kehilangan anaknya itu memberi kesan teruk kepada isterinya, yang baru melahirkan anak kelima seminggu lalu.
Katanya, walaupun sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Jumaat lalu, beliau tetap meneruskan usaha mencari anaknya itu.

“Saya amat risau dengan keselamatan Muhammad Faiz, tambahan pula dia mempunyai alahan kepada makanan kekacang kerana menghidap penyakit Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) sejak kecil.

“Saya berharap Muhammad Faiz dapat pulang atau dipulangkan segera kerana kami amat bimbangkan keadaannya,” katanya.

Sehubungan itu, Faizal Naim, merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Faiz untuk menghubunginya di talian 019-3953797 atau balai polis berhampiran.

3 bulan semak SBPA langkah terbaik, adil – Berita Harian


3 bulan semak SBPA langkah terbaik, adil

2012/01/23

KUALA LUMPUR: CUEPACS menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan bagi semakan dan penambahbaikan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai langkah terbaik dan adil kepada penjawat awam.

Presidennya, Omar Osman berkata, setiap kali kongres mengadakan taklimat di seluruh negara, kira-kira 1.3 juta penjawat awam terutama kakitangan Gred 54 ke bawah dan Kumpulan Pelaksana Satu dan Dua memang melahirkan perasaan tidak berpuas hati terhadap SBPA sedia ada.

“Ketika ini skim itu dilihat seolah-olah berat sebelah, tidak adil dan mempunyai jurang besar daripada segi keistimewaan pekerja kelas atasan dan bawahan. Justeru, kita menyambut baik keputusan Perdana Menteri supaya SBPA diperbaiki dengan mengambil kira cadangan dan suara hati penjawat awam semua peringkat bagi memastikan nasib kami lebih terbela.

“Pada masa sama, kita mahu keistimewaan diterima kumpulan atasan disemak semula menentukan sama ada benar-benar layak diterima atau sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab dan bebanan tugasan masing-masing,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Najib supaya pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang akan memuaskan hati setiap penjawat awam semua peringkat.

Omar berkata, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan dengan penjawat awam di seluruh negara pada Februari ini untuk membincangkan semakan semula SBPA.

PM minta pelan hala tuju SJKT – Utusan


PM minta pelan hala tuju SJKT

 

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

 

NAJIB Tun Razak bertanya soalan kepada murid semasa sesi soal jawab pada Majlis Mesra Perdana Menteri bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kinrara, Puchong, Selangor, semalam. – UTUSAN/ASWAD YAHYA

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pendidik India serta badan bukan kerajaan (NGO) kaum itu menyediakan satu pelan hala tuju pendidikan Tamil untuk dibincangkan bersama kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pihak tersebut demi pembangunan serta keselesaan sekolah vernakular yang menjadi salah satu asas penting dalam sistem pendidikan negara.

Justeru, beliau meminta pihak terbabit terutama pengurusan SJKT mengadakan satu persidangan khas bersama pihak terbabit dalam usaha mewujudkan pelan hala tuju berkenaan.

Katanya, antara perkara yang perlu dibincangkan termasuklah mengenai kewajaran sistem kelas peralihan yang masih diamalkan di sekolah tersebut.

“Masalah kekangan guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah dan reka bentuk sekolah Tamil itu serta lain-lain keperluan juga perlu dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kinrara yang julung kali dilakukan oleh seorang Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang disertai oleh Guru Besar, petugas dan ahli PIBG dari 524 SJKT seluruh negara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel merangkap Presiden MIC dan Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Seri Dr. S. Subramaniam.

Hadir sama, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan pembinaan enam buah SJKT baru iaitu di Taman Keladi, Sungai Petani; Heawood Estate di Sungai Siput; Taman Sentosa di Klang; Taman PJS1 di Petaling Jaya; Bandar Mahkota di Cheras dan Bandar Sri Alam di Masai.

Selain itu, katanya, Kementerian Pelajaran telah diarahkan untuk memindahkan kedudukan SJKT di seluruh negara yang mempunyai bilangan murid di bawah 10 orang ke kawasan terdekat yang mempunyai ramai penduduk India.

“Saya juga berbesar hati mengumumkan peruntukan khas RM3.5 juta kepada SJKT Kinrara sebagai hos pertemuan kali ini untuk pembinaan sebuah bangunan empat tingkat supaya lebih cemerlang pada masa depan,” katanya.

2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat – Utusan


2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat

 

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
utusanpahang@utusan.com.my

 

SEORANG lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa bertungkus-lumus memberi bantuan kecemasan kepada kanak-kanak yang lemas di Pantai Sepat, Kuantan, semalam.

 

KUANTAN 22 Jan. – Kegembiraan satu keluarga meluangkan masa dengan mandi-manda di Pantai Sepat di sini sempena cuti hujung minggu dan Tahun Baru Cina, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas.

Mereka yang meninggal dunia merupakan adik- beradik tiri iaitu Mohd. Saiful Mohd., 11, dan Mohd. Zaiful Abu Talib, 13.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, seorang lagi daripada mereka yang terselamat dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini manakala tiga lagi dirawat di wad pesakit luar.

Menceritakan kejadian malang itu, ibu mangsa, Zaleha Abd. Ghani, 42, berkata, mereka sekeluarga yang berasal dari Sungai Isap di sini, datang ke pantai itu untuk mandi-manda.

“Kesemua enam anak saya mandi di pantai tersebut. Sedang asyik mandi, tiba-tiba mereka dipukul ombak menyebabkan tiga daripadanya lemas.

“Saya cuba tarik mereka tetapi hanya seorang sahaja dapat diselamatkan. Dua lagi dapat dibawa ke darat oleh orang ramai tetapi meninggal dunia akibat sesak nafas manakala yang lain dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di HTAA, di sini malam ini.

Zaleha dalam nada sebak berharap tragedi di Pantai Sepat itu tidak berulang dan menimpa keluarga lain.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan pengawasan di pantai ini,” katanya.

Sementara itu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Mahathir Ali yang kebetulan melalui kawasan tragedi untuk ke rumah rakannya di Pekan, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat orang ramai berkerumun.

“Ketika saya sampai, orang ramai sedang memberi bantuan kecemasan kepada seorang kanak-kanak yang lemas di gigi air.

“Saya kemudian diberitahu ada seorang lagi mangsa terdampar di kawasan rumput tidak jauh dari situ yang menunggu untuk dibawa ke hospital.

“Secara tiba-tiba juga orang ramai menjerit melihat seorang lagi mangsa terapung di air dan mereka bergegas untuk menyelamatkannya,” katanya.

Menurut Mahathir, selang beberapa minit pula, dia melihat seorang lagi mangsa lain didukung oleh orang awam naik ke pesisir pantai.

Katanya, kebanyakan mangsa dibawa ke hospital menggunakan kereta orang ramai di kawasan itu sebelum pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian pukul kira-kira pukul 6.15 petang.