Asrama lelaki SMA Nahdzah di Yan, Kedah terbakar – Bernama


Asrama lelaki SMA Nahdzah di Yan, Kedah terbakar

2012/01/24

YAN: Sebuah bilik asrama lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar dekat sini musnah dalam satu kebakaran pada jam 12.40 tengah hari tadi dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.

Pengetua sekolah, Adnan Osman, berkata pihak sekolah menyedari kejadian itu selepas seorang jiran yang tinggal berdekatan sekolah memaklumkan kepada pengawal keselamatan mengenai asap tebal dari arah kawasan blok asrama lelaki sekolah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Adnan berkata, ketika kejadian berlaku tiada pelajar berada di sekolah kerana semua sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina.

“Saya sangat bersyukur semasa kejadian ini berlaku sekolah masih bercuti dan tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku, cuma yang terbakar adalah katil, tilam serta buku sekolah saja,” katanya.

Katanya, blok asrama lelaki sekolah itu mempunyai 14 buah bilik iaitu tujuh bilik di tingkat atas manakala tujuh lagi di tingkat bawah dan bilik asrama lelaki yang terbakar itu menempatkan 10 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga dan Empat.

Sekolah itu adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan mempunyai 710 pelajar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Abdul Muin Ayob yang mengetuai operasi memadam kebakaran berkata, bomba menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari dan 11 anggota bomba bersama dua jentera tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari dan punca kejadian sedang disiasat.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, yang melawat kawasan kejadian menghulurkan sumbangan kepada pengetua sekolah bagi meringankan beban pihak sekolah untuk membaik pulih asrama itu. – BERNAMA

Remaja jadi hero pantai – Sinar Harian


Remaja jadi hero pantai

MOHD FIRDAUS YON
January 24, 2012
Arsyad

KOTA TINGGI – Seorang pelajar Tingkatan Empat nekad menggunakan kepakaran berenangnya untuk membantu seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Syafiq Arsyad Zainul Abidin, 16, bersama ibu saudara, Rita Zuhaida Mohd Nazeer, 24, dan rakan ibu saudaranya, Siti Aqilah Jahari, 23, turut berjaya menyelamatkan dua lagi mangsa daripada lemas dihanyut ombak kuat.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) itu berkata, dia pada mulanya menyangka suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit hanyalah sekadar gurauan berikutan terdapat sekumpulan remaja lain sedang bermandi di kedudukan berhampiran.

“Saya bersama makcik dan rakannya sedang mandi-manda bersama sebelum kedengaran suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit.

“Melihat tiada respons dan tindakan daripada kumpulan remaja yang mandi berhampiran kanak-kanak terbabit, saya menyangka jeritan minta tolong itu sekadar gurauan.

“Apabila melihat kanak-kanak terbabit terkapai-kapai dengan mulutnya sudah mengeluarkan buih, saya segera berenang menyelamatkannya.

“Manakala dua lelaki dewasa yang dilihat bersama kanak-kanak terbabit turut sama hampir lemas, makcik saya bersama rakannya segera mencapai mereka dan membawa ke arah darat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Syafiq yang berasal dari Taman Bukit Kempas berkata, dia diberitahu oleh orang ramai bahawa terdapat tiga yang lain dipercayai ahli keluarga tiga individu yang diselamatkan masih belum ditemui.

“Kami hanya berjaya mengesan tiga orang sahaja, namun saya melihat orang awam yang berada di pantai ini turut sama membantu menjejaki tiga yang lain,” katanya.

Menurutnya, kehadiran dia sekeluarga ke pantai terbabit bertujuan untuk beriadah dan berkelah bagi mengisi masa terluang sempena cuti Tahun Baru Cina.

“Saya sendiri tidak menyangka perkara ini akan berlaku. Kami tiba di pantai ini sekitar jam 11 pagi. Sebaik sahaja tiba, kami menjamah sedikit hidangan sebelum mula ke pantai untuk mandi-manda.

“Ketika kejadian, saya hanya tawakal kepada ALLAH ketika cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Mujurlah ilmu berenang yang dipelajari sejak berusia lima tahun memberi manfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu lima daripada enam mangsa yang hampir lemas berjaya diselamatkan orang awam.

“Seorang daripadanya berusia 17 tahun ditemui mati lemas dalam kejadian jam 2.50 petang. Mayat mangsa lelaki ini ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 3.15 petang dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya.

Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma – Sinar Harian


Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
Fifi Ramadhani

KUALA LUMPUR- Kanak-kanak berusia 10 tahun, Fifi Ramadhani Safruddin, yang dijadikan tebusan selama enam jam oleh seorang lelaki di rumahnya semalam, masih trauma dengan tragedi yang menimpanya.

Ibu mangsa, Santi Sugiono, 29, berkata, anaknya juga tidak dapat tidur lena apabila seringkali terjaga malam tadi.

“Fifi juga sekarang kurang bercakap. Tetapi saya bersyukur sangat kerana dia masih selamat.

“Esok dia akan bertemu doktor pakar. Cuma sekarang ini, doktor beritahu jangan bercakap mengenai kejadian semalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Fifi berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang semalam.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan empat das tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

Fifi ketika ditemui hanya mendiamkan diri sambil membaca majalah yang dibawa oleh ahli keluarganya.

Dia hanya menganggukkan kepala dan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai keadaan dirinya.

Dalam pada itu, menurut Santi, doktor turut menasihatkan agar dia sekeluarga tidak tinggal di rumah itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempunyai saudara-mara lain dan mungkin akan mengecat semula rumahnya.

“Saya di sini sehelai sepinggang. Saya nak pindah ke mana. Mungkin kami akan cat rumah itu dan berharap Fifi akan lupakan kejadian ini walaupun saya tahu ia mengambil masa lama,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas – Sinar Harian


Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas

AHMAD ISMADI ISMAIL & HIDAYAH HAIROM
January 23, 2012
Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang tadi.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan, yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami terpaksa mengambil tindakan itu kerana lelaki itu bertindak agresif, mangsa selamat dan dihantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur)  untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis berhadapan dengan sitiuasi sukar apabila lelaki itu berada dengan mangsa di dalam bilik serta bersenjatakan pisau.

“Lelaki berusia 34 tahun itu tidak menuntut wang tetapi mahu dadah dan jaminan dia selamat. Pakar psikiatri turut membantu dalam kejadian ini, lelaki itu tiada rekod masalah mental,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, suspek masuk ke dalam rumah mangsa lalu bertindak mengambil sebilah pisau dari bahagian dapur lalu meletakkannya di leher mangsa dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak melawan. Rumah mangsa yang terletak di Jalan Raja Mahmud mempunyai tiga bilik.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik utama.

Sehingga jam 3 petang tadi, pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen.

Pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa.

Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian dia berada dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu.

Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya.

“Isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat,” katanya.

Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik.

Menurut polis, lelaki itu dipercayai bukan penduduk di sini, tetapi berasal dari Sabah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pernah ditangkap sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3A Akta Culik 1961.

‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’ – Kosmo


‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’

KUALA LUMPUR – Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki yang begitu gelisah dan takut apabila terpaksa menyaksikan leher anak sulung perempuannya diacukan pisau oleh seorang lelaki bogel untuk dijadikan tebusan selama enam jam semalam.

Kelibat Syafrudin Marlis, 47, yang sebelum itu tidak dipedulikan oleh masyarakat sekeliling tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia memperkenalkan diri kepada wartawan sebagai bapa Fifi Ramadhani, 10, iaitu kanak-kanak yang dijadikan tebusan itu.

Walaupun nampak tenang tetapi naluri kebapaan yang terbit dari hati kecilnya memaksa dia mengalirkan air mata sebelum dia sudi menceritakan kejadian yang mencemaskan itu.

“Saya sebenarnya memakai kaki palsu sebelah kanan selepas ia kudung beberapa lama dulu. Saya tidak mampu untuk melawan penculik yang memasuki rumah dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

“Ketika itu kami sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum lelaki itu menerjah masuk. Dia kemudian mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke leher anak sulung daripada dua beradik itu,” ceritanya.

Penculik bogel terima padah – Kosmo


Penculik bogel terima padah

 

Oleh NUR AISHAH AMIN
berita@kosmo.com.my

 

PETUGAS media berkumpul sambil berbincang sesama sendiri mengenai kejadian seorang kanak-kanak yang dijadikan tebusan selama enam jam.

 

KUALA LUMPUR – Siapa sangka keseronokan lapan sekeluarga yang sedang asyik menonton televisyen dicemari insiden berdarah apabila salah seorang daripada mereka dijadikan tebusan oleh seorang lelaki sebelum ‘drama’ itu mencapai klimaksnya dengan suspek mati ditembak polis enam jam kemudian.

Kejadian pukul 10.30 pagi semalam di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini itu berlaku apabila suspek berusia 34 tahun tanpa seurat benang tersebut dikejar sekumpulan penduduk yang mengesyaki lelaki tersebut hendak mencuri.

Suspek yang buntu untuk melarikan diri kemudian telah menerjah masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mengambil pisau di dapur lalu menangkap dan mengacukan di leher seorang kanak-kanak, Fifi Ramadhani Syafrudin, 10.

Enam ahli keluarga yang terkejut dengan kejadian itu kemudian melarikan diri kecuali bapa mangsa, Syafrudin Marlis, 47. Suspek yang bagikan kerasukan itu kemudian membawa mangsa masuk ke dalam bilik manakala bapanya kekal di ruang tamu.

Pelan hala tuju SJKT mampu bela pelajar India – Utusan


Pelan hala tuju SJKT mampu bela pelajar India

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Pelan hala tuju Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diyakini mampu membela nasib pelajar India di negara ini.

Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (Selangor), Sivakumar Ramachindran berkata, pelan tersebut diharap dapat menyelesaikan segala masalah yang sering berlaku di SJKT selama ini.

“Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan SJKT bakal ditutup, namun kami bersyukur kerana dengan adanya pelan itu, ia menunjukkan penubuhan sekolah tersebut akan tetap diteruskan.

“Penubuhan sekolah itu amat penting kerana tidak semua kaum India berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan estet,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang meminta pengurusan SJKT, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pendidik India serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum itu menyediakan satu pelan hala tuju pendidikan Tamil untuk dibincangkan bersama kerajaan.

Najib berkata, kerajaan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pihak tersebut demi pembangunan serta keselesaan sekolah vernakular yang menjadi salah satu asas penting dalam sistem pendidikan negara.

SBPA: Tempoh 3 bulan wujudkan skim terbaik – Utusan


SBPA: Tempoh 3 bulan wujudkan skim terbaik

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.

“Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.

“Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai ‘rumah siap, pahat berbunyi.’

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.

“Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut,” katanya.

Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.

“Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut,” katanya.

Anak pekerja Petronas Carigali maut terhidu gas beracun – Utusan


Anak pekerja Petronas Carigali maut terhidu gas beracun

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Anak seorang kakitangan Petronas Carigali Sdn. Bhd., maut manakala empat lagi ahli keluarganya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas beracun yang dipercayai berlaku di kediaman mereka di Turkmenbashi, Turkmenistan awal pagi inii.

Mangsa, Nurdanisha Farhana, 10, meninggal dunia beberapa jam selepas dikejarkan ke sebuah hospital di kawasan tersebut.

Menurut jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat, keluarga tersebut tinggal di Turkmenbashi yang dipercayai merupakan kawasan operasi pengeluaran gas.

Setakat ini pihak kedutaan masih lagi memantau dan menunggu laporan penuh pihak Petronas berikutan kawasan itu terletak jauh dari bandar.

“Kakitangan Petronas itu masih belum dikenal pasti, isteri dan dua lagi anaknya dilaporkan stabil dan kini menjalani rawatan di hospital yang sama.

“Kita juga belum dapat memastikan lokasi kejadian sama ada di rumah mangsa atau lain-lain tempat selain punca berlakunya insiden itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, dua anak lelaki mangsa akan dibawa ke sebuah hospital di Dubai dalam waktu terdekat bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Turut difahamkan, kakitangan Petronas itu baru setahun 10 bulan bertugas di kawasan tersebut.

Tambah jurucakap itu, berdasarkan laporan Petronas, setakat ini hanya seorang sahaja iaitu Nurdanisha Farhana yang disahkan meninggal dunia.

Katanya, usaha untuk membawa pulang jenazah Nurdanisha Farhana juga masih dalam perbincangan dan pihak kedutaan akan memaklumkan perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay ketika dihubungi lewat petang ini mengesahkan kejadian itu.

Enam jam harungi detik cemas – Utusan


Enam jam harungi detik cemas

 

Oleh KAMIL MASLIH dan ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

 

Fifi Ramadhani Safruddin diangkat ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terpaksa mengharungi detik-detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki disyaki penagih dadah di rumahnya di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, di sini hari ini.

Dalam insiden cemas bermula pukul 9.50 pagi itu, suspek berusia 34 tahun yang dalam keadaan separuh bogel menceroboh masuk ke dalam rumah itu sebelum mengambil pisau di dapur dan mengugut mencederakan mangsa, Fifi Ramadhani Safruddin.

Ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarga yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Suspek bertindak mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam sebuah bilik dan menutup pintu dengan sebuah almari yang dijadikan sebagai penghadang.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 10 pagi mengambil pelbagai langkah bagi memujuk mangsa termasuk menggunakan khidmat pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain memanggil teman wanita suspek.

Selain itu, polis turut menawarkan makanan segera kepada suspek seperti Kentucky Fried Chicken dan McDonalds selain minuman tetapi gagal.

Sepanjang tempoh tebusan itu, polis hanya berkomunikasi dengan mangsa menerusi pintu bilik dengan kanak-kanak tersebut yang hampir setiap masa diacukan pisau ke dadanya oleh suspek.

Drama tebusan tersebut bagaimanapun berakhir pada pukul 4.10 petang apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas dipanggil lalu menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek.

Suspek mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar ke HKL untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dalam serbuan itu kerana suspek dilihat semakin agresif.

“Tiga daripada tembakan itu mengenai rusuk kiri suspek dan dalam masa sama, kita berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kata Zulkarnain, semasa dalam tempoh enam jam kejadian tebusan itu, suspek tidak membuat sebarang tuntutan lain, kecuali meminta sejumlah dadah jenis syabu.

Polis bagaimanapun enggan memenuhi permintaan tersebut kerana menyalahi undang-undang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sabah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun di daerah Dang Wangi.

Sementara itu, menurut bapa mangsa, Safruddin Marlis, 47, dia berada dalam bilik semasa suspek menceroboh ke ruang tamu rumahnya.

“Saya panik apabila melihat suspek dalam keadaan separuh bogel itu bertindak mengugut akan membunuh anak saya sekiranya saya bertindak melakukan sesuatu.

“Memandangkan keadaan saya yang kurang upaya, saya tidak dapat berbuat apa-apa semasa dia mengheret anak perempuan saya ke bilik belakang,” katanya yang menggunakan kaki palsu kerana kudung.

Safruddin memberitahu, kesemua ahli keluarganya di rumah itu termasuk isteri, seorang anak dan dua anak saudaranya dapat melarikan diri semasa suspek menceroboh masuk kecuali dia yang hanya keluar dari rumah itu selepas ketibaan polis.

Katanya, dia telah tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lalu dan tidak menyangka kejadian tersebut boleh menimpa keluarganya.

Dalam pada itu, menurut seorang saksi, Azhar Osman, 47, sebelum kejadian tebusan tersebut berlaku, dia melihat suspek berkenaan mundar-mandir dalam keadaan separuh bogel di Stesen LRT Kampung Baru.

“Saya telah menyuruh suspek untuk memakai baju dipegangnya tapi dia kemudian menghilangkan diri, saya tidak menyangka pula dia akan menceroboh rumah orang dan menjadikan kanak-kanak sebagai tebusan,” katanya.