Dua beradik terapung – Metro


Dua beradik terapung

Oleh Ahmad Othman
metrojb@yahoo.com
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA TINGGI: “Abang, belikan Jud basikal sebagai hadiah hari jadi ya,” itu antara permintaan Mohamad Izzuddin Sanudin, 12, kepada abang sulungnya, Mohamad Hazwan, 23, sebelum dia lemas bersama seorang lagi abangnya, Mohamad Aqhmal, 21, di Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kecil, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, arwah Mohamad Izzuddin ditemui selang 30 minit selepas orang ramai menemui mayat abangnya, Mohamad Aqhmal terapung di pantai berkenaan ketika mereka bersama enam beradik dan ibu bapa bercuti di pantai berkenaan sempena cuti Tahun Baru Cina.
Abang sulung mereka, Mohamad Hazwan berkata, dalam perbualan telefon dengan Izzuddin minggu lalu, adiknya itu yang dipanggil Jud, memintanya membelikan basikal sebagai hadiah hari lahir ke-12 pada 18 Januari lalu.

 

“Bagaimanapun, sibuk bekerja dan tidak sempat mengambil cuti menyebabkan saya menangguh membelikannya basikal serta mengadakan sambutan hari lahirnya.
“Saya tergamam dengan kejadian ini, seolah-olah masih terdengar permintaannya itu. Sebagai abang, saya terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaannya,” katanya yang bekerja di McDonald Ulu Tiram dekat sini.
Difahamkan, ibu bapa mereka, Sanudin Abu, 45, dan Norhayati Ibrahim, 43, yang tinggal di Ulu Tiram, membawa lapan daripada 10 anak mereka berkelah ke pantai itu yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Tanjong Sedili.

 

 

Norhayati ketika ditemui berkata, anak sulung mereka, Hazwan tidak menyertai perkelahan kerana bekerja manakala anak ketiga menjalani latihan amali di Langkawi.
Menurutnya, ketika berehat pada jam 12.30 tengah hari, dua beradik itu naik dari pantai dan menemuinya kerana Jud luka di lutut manakala Aqhmal yang mesra dipanggil ‘Boboi’, luka kecil dan berdarah di dagu dipercayai terkena batu.

 

“Selepas makan mereka ke pantai manakala kami berehat. Pada jam 2 petang, pengunjung pantai dikejutkan dengan seorang kanak-kanak nyaris lemas dan didukung ke pantai sebelum diberikan bantuan kecemasan.
“Kami menuju ke arah orang berkumpul dan tiba-tiba tidak sedap hati kerana dua anak kami tidak kelihatan. Saya dan suami mencari Jud serta Boboi di sepanjang pantai, namun gagal menemui mereka,” katanya.
Menurutnya, pada jam 2.30 petang seorang pemancing yang duduk di atas batu ternampak mayat terapung lalu menarik mayat itu ke pantai.
“Terperanjat kami apabila mendapati mayat itu adalah Boboi dan meminta bantuan orang ramai mencari Jud yang masih hilang.
“Setengah jam kemudian seorang pengunjung meredah air apabila ternampak tubuh manusia separuh terapung yang kemudian dicam sebagai Jud,” katanya.
Jenazah dua beradik itu dituntut keluarga pada jam 9 malam selepas bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga di Bestari Indah, Ulu Tiram dan dikebumikan pada malam sama di Tanah Perkuburan Islam, Ulu Tiram.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian dua beradik itu yang lemas di Sedili Kecil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s