KUANTAN: “Bagaikan tidak percaya selepas menerima panggilan daripada sepupu mengatakan adik saya lemas. Lebih mengejutkan kejadian berlaku kira-kira lima kilometer dari lokasi saya meninggalkannya untuk mengikuti perkelahan bersama saudara lain,” kata R Thayalan, 20, abang kepada R Arvin, 16, yang lemas ketika mandi di Pantai Sepat, di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia menghantar adiknya ke pantai itu sekitar jam 3 petang untuk menyertai 14 saudara-mara lain yang datang dari Kuala Lumpur untuk berkelah sempena cuti Tahun Baru Cina.
Sebelum beredar, katanya, dia sempat berpesan kepada adiknya supaya hanya mandi sekitar belakang Sekolah Kebangsaan Sungai Soi, tempatnya meninggalkan adiknya itu kerana menganggap kawasan berkenaan lebih selamat.
“Sebaik dimaklumkan kejadian itu, saya terus bergegas ke lokasi berkenaan dan terkejut apabila diberitahu adik tidak lemas di kawasan itu, sebaliknya dihanyutkan kira-kira lima kilometer dari tempat dia mandi.
“Saya terkedu apabila dimaklumkan adik sudah tiada ketika berjaya ditarik ke pantai sedangkan baru pagi tadi (kelmarin) bercakap dengannya,” katanya sebak.
Menurutnya, dia mengetahui perancangan saudara-maranya untuk berkelah pada malam sebelum kejadian dan sempat melarang adiknya itu kerana berasa tidak sedap hati, namun mendiang ketika itu tidak memberikan sebarang jawapan.
Pantai Sepat seolah-olah menjadi ‘perangkap’ maut apabila Arvin adalah mangsa ketiga yang lemas di pantai itu dalam tempoh tiga hari. Ahad lalu, dua beradik, Mohd Zaiful Mohamad, 13, dan adiknya, Mohd Saiful, 11, lemas ketika mandi di pantai berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang apabila Arvin mandi bersama beberapa saudara-maranya sebelum dia dan seorang sepupunya, R Thanusa, 13, dilihat terkapai-kapai. Bagaimanapun, Thanusa diselamatkan orang awam dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan, namun Arvin sudah tidak bernafas ketika dibawa ke pantai.
Thayalan berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu, sebaliknya berkelakuan seperti biasa. “Kehilangan Arvin benar-benar memberi kesan kepada saya kerana dia satu-satunya adik saya dan hubungan kami cukup rapat, malah sentiasa berkongsi sebarang masalah bersama.
“Dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap tetapi ketika saudara-mara mengusulkan cadangan (berkelah), saya dapati dia begitu ceria,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTAA.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.