Remaja lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bunuh – Bernama


Remaja lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bunuh

2012/01/26

JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan di Taman Kempas di sini, awal bulan ini.

Remaja bawah umur itu didakwa kerana menyebabkan kematian C Sivaranjini, 18, di sebuah rumah di Taman Kempas, kira-kira jam 9.30 pagi, 11 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Md Isa Mohamed.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil. – BERNAMA

Warga emas dituduh cabul kehormatan cucu perempuan – Bernama


Warga emas dituduh cabul kehormatan cucu perempuan

2012/01/26

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas,74, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap empat pertuduhan mencabul kehormatan cucu perempuannya yang berumur sembilan tahun.

Warga emas itu dituduh mencabul kehormatan cucunya di empat tempat berasingan termasuk di dua buah hotel dan dalam sebuah kereta di sini antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang, antara April 2010 dan Oktober 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, ibu kanak-kanak perempuan itu yang juga pengadu dalam kes berkenaan, dilihat menangis dan ditenangkan oleh anggota keluarganya.

Majistret Zulkpli Abdullah membenarkan warga emas itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Fauzi manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne. – BERNAMA

Temu Duga Pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1


Temu Duga Pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1

 


Temu Duga Pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1 di kalangan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan dilaksanakan mengikut opsyen secara berperingkat mulai 30 Januari 2012 sehingga 16 Mac 2012. Senarai nama akan dipaparkan di Portal SPP secara berperingkat. Senarai semak dokumen temu duga juga boleh disemak di sini.

30 Januari 2012
– Johor Bahru – Putrajaya – Alor Setar
– Kuala Terengganu – Kota Kinabalu – Putrajaya
31 Januari 2012
– Johor Bahru – Putrajaya – Alor Setar
– Kuala Terengganu – Kota Kinabalu – Putrajaya
1 Februari 2012
– Kota Kinabalu – Kuala Terengganu – Alor Setar
2 Februari 2012
– Putrajaya – Kota Kinabalu – Kuching
– Kuala Terengganu – Alor Setar – Putrajaya
3 Februari 2012
– Putrajaya – Kota Kinabalu – Kuching
Muat naik pada 20 Januari 2012

GARIS PANDUAN CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN


GARIS PANDUAN CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN

Salam,
Bahagian Tajaan Pendidikan adalah bertanggungjawab menguruskan cuti belajar jangka sederhana dan jangka panjang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) bagi mengikuti pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Pertama dan Ijazah Lanjutan di Institusi dalam dan luar Negara.
Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menambahbaik sistem penyampaian maklumat,  Bahagian Tajaan Pendidikan telah menghasilkan Garis Panduan Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Adalah diharapkan garis panduan ini boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan pihak tuan untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan cuti belajar.
Sebarang pertanyaan mengenai Garis Panduan ini sila hubungi pegawai berikut:
          (i)           Encik Azlan bin Ibrahim
                         No. Tel : 03-8321 7158
                         E-mel   : azlan.ibrahim@moe.gov.my
          (ii)          Puan Zalina binti Morad
                         No. Tel : 03-8321 7143
                         E-mel   : zalina.morad@moe.gov.my
Sekian, terima kasih.

Gnowledge.com salur talian percuma – Berita Harian


Gnowledge.com salur talian percuma

2012/01/26

PELAJAR sekolah seluruh negara berpeluang memperoleh pelbagai manfaat dan maklumat secara percuma melalui produk pendidikan berasaskan Teknologi Maklumat (IT) Gnowledge.com yang diwujudkan oleh Gnowledge Sdn Bhd.

Gnowledge.com adalah modul pendidikan secara dalam talian yang membolehkan penggunanya mencipta, mengolah, berkongsi maklumat serta mengambil ujian serta latihan mengikut tajuk, subjek dan gred secara percuma.

Syarikat penyedia kandungan itu berkata, pihak sekolah berpeluang memperoleh pelbagai faedah melalui pangkalan data dalam talian Gnowledge bagi penggunaan sekerap mungkin bertujuan berkongsi ujian dan latihan sebagai alat pembelajaran berkesan.

Katanya, guru juga boleh menyimpan semua soalan ujian dan latihan yang kerap digunakan menerusi portal Gnowledge untuk kegunaan pelajar secara individu atau kelas pada kemudian hari.

Ribut ‘sedut’ bangunan sekolah – Metro


Ribut ‘sedut’ bangunan sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Saya mungkin buta jika serpihan kayu dan batu siling itu menikam ke mata kiri saya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih terselamat dan hanya cedera ringan,” kata murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) al-Ansari Ulu Chemor, Ubaidilah Mohd Zamri, 12, yang terselamat dalam kejadian ribut taufan petang Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, bangunan sekolah yang menempatkan 39 pelajar tahfiz terbabit seolah-olah ‘disedut’ ke udara sebelum ranap menyembah bumi. Mangsa berkata, kejadian ribut dan hujan lebat itu berlaku ketika semua pelajar berehat dan menunggu masa untuk menunaikan sembahyang Maghrib.
“Ketika itu saya bersama pelajar lain berada di ruang rehat sekolah untuk bersembahyang kerana ruang solat basah terkena tempias hujan lebat.

 

“Ustazah mengarahkan saya melaungkan azan. Ketika itu ribut menggoncang bangunan sekolah sebelum siling jatuh menimpa kami,” katanya.
Menurutnya, serpihan siling dan batu itu melayang mengenai mukanya menyebabkan dia menahan sakit sambil mencari tempat berlindung.
“Kami kelam-kabut lari menyelamatkan diri apabila sebatang pokok kelapa tumbang dan menimpa pula bangunan sekolah serta empat rumah berhampiran.

 

 

“Saya yang berada di bawah runtuhan itu, bagaimanapun amat bernasib baik kerana tidak ditimpa batang pokok kepala itu,” katanya.

YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli – Berita Harian


YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/01/26

Potongan lima peratus untuk anak ahli melanjutkan pengajian di MUCH

SERAMAI 270,000 guru di seluruh negara yang belum menganggotai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dipelawa menyertainya bagi membolehkan anak mereka menikmati potongan lima peratus yuran melanjutkan pengajian di Masterskill University College of Health Science (MUCH).

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kemudahan atau `produk’ baru itu adalah antara keistimewaan terkini yang ditawarkan kepada 130,000 anggota YGMB.

Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH sentiasa interaktif dan berorientasikan industri. – Alimuddin Mohd Dom, Pro-Canselor MUCH

Beliau yang juga Pro-Cancelor MUCH berkata, sebagai langkah permulaan, YGMB menjalankan usaha mempromosi peluang melanjutkan pengajian ke MUCH dalam kalangan ahli.

“Kita yakin kemudahan baru itu dapat menarik minat guru bukan anggota YGMB menganggotainya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara YGMB dan MUCH di kampus kolej universiti itu di Cheras, Selangor, baru-baru ini.

YGMB diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Asariah Mior Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan itu, Hashim Mohd Yusof. MUCH diwakili Timbalan CEO Masterskill Education Group Berhad (MEGB), Datuk Kamarudin Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor yang juga CEO MUCH, Prof Datuk Nik Rahimah Nik Yacob; Ketua Pegawai Operasi (COO) MEGB, Datuk Alicia Nathan; Naib Presiden Kanan MEGB, Datuk Abdul Rashid Mohd Sharif dan Pengarah MEGB, Datuk Kamaruddin Md Ali.
Alimuddin berkata, hasil MoU itu, pengambilan pertama pelajar dalam kalangan anak anggota YGMB adalah pada April ini menerusi pengajian peringkat diploma dalam bidang sains kesihatan.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kolej universiti itu adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pendidikan bertaraf dunia menggunakan teknologi canggih serta melahirkan graduan berdaya saing.

“Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH adalah sentiasa interaktif dan berorientasikan industri,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin Khalil berkata, MUCH menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, diploma (12), ijazah sarjana (enam) dan masing-masing satu program Doktor Falsafah (PhD) dan yayasan.

Asariah pula berkata, promosi YGMB bertujuan membantu anak anggota melanjutkan pengajian ke kolej universiti itu terutama yang meminati bidang sains kesihatan seperti kejururawatan, pengimejan perubatan dan fisioterapi.

“Kerjasama dalam kalangan guru menerusi organisasi seperti ini mewujudkan transformasi untuk dimanfaatkan ahli dan ahli keluarga bagi memperoleh pendidikan berkualiti,” katanya.

Anak mati tercampak – Metro


Anak mati tercampak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Sejurus van itu terbalik, semua ahli keluarga termasuk saya menyahut apabila nama kami dipanggil kecuali arwah yang kemudian disedari sudah tidak bernyawa lagi,” kata mangsa yang juga saksi kejadian kemalangan, Suhana Sofia Omar, 27.

Ketika kejadian jam 6.45 pagi, semalam mereka dalam perjalanan ke Johor Bahru selepas di Langkawi.
Sebaik tiba di Kilometer 254.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Senawang, tiba-tiba van yang dinaiki terbabas menyebabkan seorang kanak-kanak, Danish Abdul Latif, 6, tercampak keluar sebelum dihempap van itu.

 

Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zurina Omar, 36, yang mengandung dan bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, enam ahli keluarga lain termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia setahun dan 10 tahun tercedera. Suhana berkata, mereka sekeluarga bercuti di Langkawi selama beberapa hari terlebih dulu pergi ke Pulang Pinang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya nyenyak tidur terkejut apabila mendapati van dinaiki berpusing dan terbalik. Saya kemudian berasa pelik apabila arwah tidak menyahut,” katanya.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

3,996 calon STAM 2011 lulus – Bernama


3,996 calon STAM 2011 lulus

2012/01/26

PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (Lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 mendapat Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya Maqbul.

Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2011 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Daripada segi nilai Gred Purata Nasional, Na’imah berkata pencapaian keseluruhan calon menunjukkan peningkatan daripada 3.23 pada 2010 kepada 3.19 pada 2011.

STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000, melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Mengenai prestasi mata pelajaran, Na’imah berkata enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya’ dan Mutala’ah, Tafsir dan Ulumuhu serta ‘Arudh dan Qafiyah mencatatkan peratusan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) berbanding tahun 2010.

Empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz Al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq, katanya.
Beliau berkata satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon yang lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran serta teknik yang sesuai untuk pelajar. Kita akan cari mekanisme terbaik,” katanya.

Na’imah berkata calon-calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun. – BERNAMA