Day: January 27, 2012
Datuk didakwa cabul cucu – Utusan
Datuk didakwa cabul cucu
KUALA LUMPUR 26 Jan. – Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat berusia 73 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat tuduhan mencabul seorang cucu perempuannya yang berusia lapan tahun sejak dua tahun lalu.
Lelaki berketurunan Inggeris itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Zulkpli Abdullah.
Tertuduh didakwa mencabul cucunya di tiga tempat berasingan iaitu di bilik Hotel Cititel Mid Valley, sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Bangsar dan di dalam kereta jenis Hyundai Matrix yang berada di tempat meletak kereta di kondominium terbabit antara Mei dan Oktober 2011.
Selain itu, ahli perniagaan tersebut mohon dibicarakan atas tuduhan mencabul kanak-kanak tersebut di bilik Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang di sini antara pukul 1 dan 6 petang, April 2010.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ketika kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, kelihatan ibu mangsa selaku pengadu kes itu menangis teresak-esak, bagaimanapun keadaan wanita itu kembali terkawal apabila dia ditenteramkan oleh ahli keluarganya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Maline Anne mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam bela Muhammad Fauzi memohon agar jumlah itu dikurangkan.
Zulkpli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 Februari ini.
Beliau turut memerintahkan lelaki tersebut supaya tidak berkomunikasi dan tidak menganggu mangsa secara langsung atau tidak langsung sehingga kes selesai.
Mengikut laporan akhbar minggu lalu, seorang ahli perniagaan ditahan polis selepas menerima aduan daripada bekas menantunya yang mendakwa lelaki itu telah mencabul cucunya sendiri sejak dua tahun lalu.
Kejadian tersebut mula terbongkar ketika kanak-kanak itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada dua minggu lalu kerana menghidap penyakit apendiks.
Doktor dan jururawat yang merawat mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana kanak-kanak itu secara tiba-tiba akan berang selepas dia dimaklumkan bahawa datuknya akan datang melawat.
Kanak-kanak tersebut kemudian menceritakan perkara sebenar kepada ibunya.
Rogol, cabul murid dalam makmal – Kosmo
Rogol, cabul murid dalam makmal
adham.shadan@kosmo.com.my
KOTA BHARU – Perbuatan jahat seorang guru sains dan bahasa Cina yang sanggup memperkosa serta mencabul seorang murid darjah enam berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tertuduh, Yek Hock Soon, 29, dari Sitiawan, Perak, didapati bersalah oleh Hakim Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu.
Hock Soon yang telah berkahwin dan baru mendapat seorang cahaya mata dua bulan lalu dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang awal bulan Ogos 2009.
Dakwaan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara lebih 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, denda atau sebat.
Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan, dia mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan murid dalam menjatuhkan hukuman.
“Hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Jenayah seperti ini penting untuk dibendung oleh perundangan.
“Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan mencabul. Hukuman itu hendaklah dijalankan secara berasingan,” kata Rofiah.
Remaja didakwa bunuh gadis – Metro
JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun (gambar) dihadapkan ke Mahkamah Juvana Johor Bahru di sini, semalam atas tuduhan membunuh gadis seusianya yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 11 Januari lalu.
Tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian remaja perempuan itu pada jam 9.30 pagi di kediaman keluarga mangsa di Kempas di sini.
Ketika sebutan kes semalam, tertuduh berkemeja-T gelap dan berseluar paras lutut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret, Md Isa Mohamed. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Isa menetapkan 15 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil. Selepas selesai sebutan kes, remaja berkenaan dilihat dipujuk bapanya di kamar mahkamah sebelum dibawa polis meninggalkan mahkamah. Pada 11 Januari lalu, C Sivaranjini, 17, dibunuh kejam di rumahnya di Jalan Dataran 4/5, Taman Kempas di sini, antara jam 8 hingga 10 pagi.
Ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM tinggal bersendirian kerana bapanya, P Chandran, 42 dan ibunya, M Rani, 40, keluar bekerja di Singapura manakala dua adiknya bersekolah.
Difahamkan, seorang lelaki memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang dan melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletak di belakang rumah, selepas mengelar leher mangsa dan menikamnya beberapa kali.
Pada hari sama, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis Johor untuk menahan reman tiga lelaki berusia 17 hingga 49 tahun selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
3,996 lulus 10 subjek STAM – Berita Harian
3,996 lulus 10 subjek STAM
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2012/01/27
Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti
PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu.
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.
“Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
Na’imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.
Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.
Mengenai prestasi mata pelajaran, Na’imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya’ dan Mutala’ah, Tafsir dan Ulumuhu serta ‘Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.
Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.
Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.
“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).
“Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.
“Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.
Bayaran gaji Februari berdasarkan SSM – Bernama
Bayaran gaji Februari berdasarkan SSM
2012/01/27
KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Februari akan dibayar berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM), selepas kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semulanya dimuktamadkan.
Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan pembayaran baki perbezaan gaji Januari bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA pada 31 Januari ini juga tidak dapat dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini pada 9 Januari.
“Pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat selepas semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari 2012,” menurutnya.
Menurut kenyataan itu, keputusan itu juga berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA. – BERNAMA
Guru perkosa murid dijel 12 tahun, 7 sebatan – Metro
KOTA BHARU: Seorang guru sekolah rendah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol dan mencabul murid tahun enam di makmal sains sekolah itu, pada 2009.
Hakim Rafeah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Yek Hock Soon, 29, berasal dari Sitiawan, Perak selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Dalam penghakimannya, Rafeah berkata, tertuduh sepatutnya menjaga hubungan antara murid dan guru yang dianggap suci serta bertanggungjawab.
Berdasarkan tuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa antara jam 8 pagi hingga 3 petang, pada awal Ogos 2009 di makmal sains sekolah itu di Pasir Puteh, dekat sini.
Yek didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, Yek didakwa mencabul kehormatan mangsa, kira-kira jam 12.15 tengah hari di tempat sama, pada 17 Ogos 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan mangsa ketika kejadian hanya berusia 12 tahun tiga bulan.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa tertuduh sebagai guru sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada murid.
Tertuduh yang diwakili Rosmizan Sulaiman memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan anak guamnya yang baru berkahwin pada 2010 dan mempunyai anak berusia dua bulan.
Rafeah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi tuduhan pertama dan penjara tiga tahun serta dua sebatan bagi tuduhan kedua.
Semua hukuman itu diarahkan berjalan berasingan berkuat kuasa semalam.
Rafeah turut membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman hingga rayuan selesai sebelum tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM12,000.
“Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan perlu menyerahkan pasport sekiranya ada,” katanya.