Tak kisah asal boleh ajar Bahasa Inggeris – Metro


Tak kisah asal boleh ajar Bahasa Inggeris

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU BERNAM: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat sanggup berhijrah dan menetap di kawasan pedalaman di negara ini untuk berkongsi kaedah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan guru tempatan.

Lelaki terbabit, Micheal Van Zander, 32, yang berasal dari Connecticut, New York, Amerika Syarikat kini mula serasi dengan budaya Malaysia dengan matlamat memantapkan teknik pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.
Dia yang ditemui melahirkan rasa kagum dengan semangat guru luar bandar di negara ini yang cekal mengajar walaupun melalui pelbagai masalah.

 

“Kehadiran saya di sini untuk membantu guru bahasa Inggeris tempatan daripada sudut aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya objektif pengajaran,” katanya.
Dia adalah salah seorang Guru Mentor di bawah Program Penutur Jati, Kementerian Pelajaran Malaysia yang dihantar ke sekolah rendah di kawasan Hulu Bernam, Selangor, bagi membantu guru mata pelajaran bahasa Inggeris meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid sekolah rendah.
Zander berkata, dia diberi tanggungjawab melaksanakan tugas itu di lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, SK Sungai Selisik, SK Kampung Shoeharto, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Changkat Asa dan SJK Cina Kalumpang.

 

 

Katanya, sepanjang bersama guru sekolah rendah di bawah seliaannya sejak tahun lalu, dia tidak mempunyai masalah kerana semua guru memberi kerjasama baik.
“Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris lebih berkesan jika guru sentiasa membabitkan murid dengan mempelbagaikan aktiviti di dalam kelas,” katanya.

 

Zander yang memiliki Ijazah Ekonomi dari University of Rochester, AS berkata, teknik lakonan, nyanyian dan permainan dalam kelas yang membabitkan penyertaan murid menjadikan suasana dalam kelas lebih menarik untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Anak minta sarapan kena campak – Metro


Anak minta sarapan kena campak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Hanya kerana merengek meminta disediakan sarapan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dicampakkan ke dinding oleh ibunya selepas dipukul berkali-kali di rumah mereka di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 7 pagi ketika kanak-kanak berkenaan sudah siap memakai pakaian seragam untuk ke sekolah. Sumber polis berkata, sebelum kejadian ibu mangsa yang berusia 30-an, sedang bersiap hendak menghantar anaknya itu ke sekolah berhampiran, namun mangsa merengek meminta diberikan sarapan terlebih dulu.
“Berikutan itu, suspek dikatakan naik angin lalu memukul mangsa berkali-kali sebelum mencampaknya ke dinding. Wanita itu kemudian menghantar anaknya ke sekolah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa.

 

“Bagaimanapun, beberapa ahli keluarga menyedari kesan lebam pada mangsa memujuk kanak-kanak itu menceritakan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan ketakutan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya dan ahli keluarga ibunya cuba menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun usaha itu dihalang suspek .
“Suspek turut memberi amaran kepada ahli keluarganya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

 

 

Keluarga suspek kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari yang sama.

Kaji tambah pendapatan imam, guru – Utusan


Kaji tambah pendapatan imam, guru

KOTA BHARU 27 Jan. – Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf kemudahan dan pendapatan imam, guru kelas asas fardu ain (KAFA) serta guru takmir di seluruh negara sejajar dengan wawasan untuk mencapai negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara tersebut diberi perhatian serius bagi memastikan golongan agama itu tidak tercicir dalam arus kemajuan terutama untuk meningkatkan jumlah pendapatan.

“Saya bercakap mengenai pendapatan rakyat sebanyak RM4,000 pada 2020, ini bermakna pendapatan itu bukan hanya untuk kelompok tertentu tetapi bagi semua. Disebabkan itu, penambahbaikan untuk guru KAFA, takmir dan sebagainya sedang dijalankan.

“Kita mahu lihat dalam ruang yang lebih besar untuk ke depan, mungkin esok bergaji lebih besar (golongan agama), sekarang kita menempatkan imam lulusan universiti di masjid negeri dan daerah, mungkin suatu hari kita akan menempatkan lulusan universiti di masjid tempatan dengan mengambil kira imam sedia ada,” katanya di sini hari ini.

Pelarasan gaji ikut tarikh kuat kuasa – Utusan


Pelarasan gaji ikut tarikh kuat kuasa

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Pembayaran gaji di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat setelah semakan semula mengenainya dimuktamadkan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan, pembayaran pelarasan gaji itu akan dibuat dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari 2012.

“Bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki perbezaan gaji bagi bulan Januari 2012 di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada 31 Januari tahun ini.

“Pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari ini juga tidak dapat dilaksanakan dan akan dibayar mengikut gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM),” jelas kenyataan itu.

SBPA: CUEPACS tetap 5 perkara – Utusan


SBPA: CUEPACS tetap 5 perkara

PULAU PINANG 27 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak lima perkara diberikan perhatian utama oleh pasukan petugas khas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, kesemua perkara itu telah dimaklumkan semasa mesyuarat pertama petugas khas mengkaji SBPA pada Rabu lalu.

Menurutnya, beliau juga mahu tiga lagi pemimpin kanan CUEPACS dibawa masuk ke dalam mesyuarat kedua pasukan petugas khas tersebut akan datang.

“Kalau saya seorang sahaja dalam mesyuarat berkenaan, saya akan tarik diri.

“Saya mohon empat pemimpin CUEPACS mesti berada dalam pasukan itu iaitu Presiden, timbalannya, Setiausaha Agung dan Setiausaha Kewangan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memberi jaminan semakan semula skim SBPA yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya.

CUEPACS sebelum ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar memberitahu, beliau juga kesal apabila dimaklumkan terdapat segelintir kakitangan awam sudah pun menerima gaji berdasarkan skim SBPA.

“Sepatutnya semasa SBPA disemak, pelaksanaannya ditangguhkan termasuk pembayaran gaji. Kita tidak mahu pasukan petugas khas ini hanya ditubuhkan bagi menyedapkan hati CUEPACS,” ujarnya.

Sekolah agama asrama penuh di Putrajaya – Utusan


Sekolah agama asrama penuh di Putrajaya

PUTRAJAYA 27 Jan. – Sebuah sekolah agama berasrama penuh dengan kemudahan 25 buah bilik darjah membabitkan kos pembinaan RM55 juta bakal dibina di tapak seluas 1.6 hektar di Presint 11 di sini tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya yang baru itu mampu menempatkan 750 pelajar itu akan memberi kelegaan kepada lebih 217 pelajar tingkatan satu dan dua yang kini terpaksa menumpang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah bersetuju memohon kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan projek tersebut dalam permulaan ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Saya berharap dengan kemudahan ini nanti pelajar kita di kalangan anak-anak Islam dapat belajar dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat khas UMNO Bahagian Putrajaya di sini, hari ini.

Pada masa ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya menumpang di SMK Putrajaya Presint 11 (2) dan sejak dibuka pada 4 Januari tahun lalu, bilangan pelajarnya semakin meningkat tahun ini.

SMKA Putrajaya akan dibina di atas tanah milik Kementerian Pelajaran di Jalan P11C, Presint 11.

Menurut Muhyiddin, sekiranya terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa untuk menempatkan anak mereka di sekolah tersebut, sekolah baru akan dibina mengikut keperluan dan kehendak semasa.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mengumumkan Pejabat Pelajaran Putrajaya akan dinaik taraf sebagai Jabatan Pelajaran Putrajaya seperti di Wilayah Persekutuan dalam tempoh terdekat.

“Jabatan Pelajaran Putrajaya akan ada pengarahnya sendiri dan kita akan laksanakan secepat mungkin,” katanya.